Bunyi ketukan di luar mengejutkan aku. Aku bingkas bangun dari pembaringanku dan terus membuka pintu kamar. Pakcik sedang tersengih memandangku.
"Ada apa?"
Aku sedikit kaget bila pakcik merempuh masuk ke dalam kamarku. Aku masih lagi berdiri kaku di tepi pintu. Pakcik terus menghampirku dan menarik tanganku lalu pintu bilik ditutup.
"Apa ni!"
Pakcik bagaikan dirasuk. Dia cuba melakukan perkara yang tidak baik kepadaku. Mulutku sudah terkumat-kamit membaca mantera yang Izzat pernah ajarkan padaku dahulu. Tubuh pakcik yang tadi dekat denganku kini terapung dan terhempas ke dinding kamar. Belum sempat tubuhnya mencecah lantai sekali lagi dia terhumban jauh lalu jatuh tepat di kakiku.
Mulutku yang tadi terkumat-kamit terus terhenti bila pintu kamar ditolak seseorang dari luar. Kelihatan ibu dan Intan di hadapan sana. Mereka terpaku seketika dan terus berlari mendapatkan pakcik yang masih tersembam di kakiku.
"Apa kau cuba lakukan ini, Ana ?" Melengking suara ibu.
"Kau nak bunuh ayah aku, ya!" Intan pula menjerit kepadaku.
Aku mahu menjelaskan tetapi mulutku seakan terkunci. Suara tersekat di kerongkong. Ibu dan Intan kulihat memapah pakcik keluar dari kamarku. Aku terpana bila melihat wajah pakcik yang sudah berdarah kesan cakaran satu kuasa ghaib yang aku pelajari dari Izzat.
"Selamat pulang anakku. Belum sepurnama kau sudah pulang. Apakah kau merindui aku?" Izzat yang sedang duduk di atas batuan itu menyambut baik kepulanganku.
Aku terus berlari dan memeluk tubuhnya yang bersisik itu. Aku menangis semahunya. Aku terasa tangan Izzat mengusap lembut rambutku.
Share this novel