"Mereka sudah menghalauku!"
"Tidak mengapa. Kau bisa saja tinggal di sini bersamaku." Izzat mengusap air mata yang mengalir deras di pipiku.
Bila Izzat melepaskan pelukannya terasa beberapa tangan kecil sedang ligat membersihkan luka di tangan dan kakiku. Mereka adalah sahabatku yang dulu. Izzat sudah menukar mereka menjadi haiwan jadi-jadian sama seperti dirinya.
"Ceritakan padaku apa yang terjadi kepadamu." Pinta Izzat. Matanya galak memerhatikanku.
Bunyi suara riuh di luar rumah menarik perhatianku. Jendela kamar kutolak. Kelihataan beberapa orang kampung yang membawa parang dan jamung api berteriakan di bawah.
"Ana membela!"
"Ana ada hantu!"
"Halau Ana dari kampung ini!"
Itu antara suara orang kampung yang aku dengar. Intanlah kepala dalam perhimpunan itu.
"Ibu, tolong Ana !"
Jeritanku tidak diendahkan. Ibu hanya memandangku dengan pandangan benci. Intan semakin galak, dia mula menarik rambutku dan diheret hingga ke laman rumah.
Di situ, aku mula dipukul. Puas aku menjerit minta dilepaskan tetapi mereka semakin galak menyerangku. Aku mencuba mantera yang diajar Izzat, tetapi entah mengapa tidak berhasil. Mungkin kerana aku sudah tidak punya tenaga.
Kudrat mereka yang ramai itu tidak mampu terlawan. Kaki dan tanganku berbirat kerana dipukul dengan kayu. Ada juga libasan dari parang yang mereka bawa hingga mengalirkan darah di kakiku. Saat ini dalam fikiranku cuma ada Izzat.
Dengan kudrat yang masih tersisa, aku berlari terhencut-hencut menuju ke laut. Nasiblah laut dan rumahku tidak begitu jauh. Mereka masih mengejarku dari belakang. Parang kontot yang entah bila terbang melayang dan tercacak tepat di belakangku. Saat itu kakiku sudah mencecah pantai.
Aku menoleh dan rebah di dalam air. Ombak seakan menarik aku pergi bersamanya. Saat ini aku melihat mereka sudah berhenti dan hanya memerhatikan aku yang semakin jauh dibawa ombak.
Aku pasti akan datang lagi!
Share this novel