Dahiku berkerut. Soalan apa ini? Mana mungkin Wok tidak mengenaliku?
"Saya Ana."
"Su... Ana ?"
Aku bertambah pelik. Mengapa Wok terperanjat seperti jumpa hantu?
"Kau masih hidup!" Tiba-tiba Wok memeluk tubuhku. Aku yang masih terpinga-pinga hanya menghadiahkannya senyuman saja.
"Sudah empat purnama engkau menghilang. Ke mana saja kau ni, Ana ? Macam mana kau boleh jadi begini cantik?"
Soal Wok bertalu-talu sambil tangannya membelek-belek wajah dan tanganku.
Ya, dulu aku cacat. Tempang dan jari tangan juga bercantum. Pasti mereka yang melihat akan pelik. Kerana sekarang aku sudah menjadi manusia biasa. Sempurna seperti mereka yang lain.
Empat purnama yang lalu, di dasar lautan ini aku diselamatkan oleh seekor ikan jadi-jadian. Namanya Izzat. Dia menjagai dan mengubati aku. Dia juga telah mengubati aku hingga aku jadi seperti manusia lain.
Pelbagai ramuan dasar laut yang dia beri padaku.Selama empat purnama ini juga dia telah mengajarkan aku satu ilmu yang tidak sepatutnya ada pada seorang manusia. Ianya sebagai syarat jika aku mahu pulang ke tempat asalku.
"Kau bersetuju dan pulang ke tempatmu atau jika tidak bersetuju kau akan kekal menemani aku di sini." Itu kata Izzat, bila aku sedikit berat untuk menerima tawarannya.
Jadi terpaksa aku menuntut ilmu darinya. Selepas empat purnama aku tamat belajar ilmu itu, aku diberi izin untuk pulang ke darat.
"Kau boleh pergi Ana. 'Sahabatmu' akan menemani kau hingga ke atas. Tetapi ingat! Perjanjian ini bersyarat. Kau harus kembali selepas sepurnama."
Share this novel