Athifa duduk di kaki Zahar. Minyak urut di ambil dari bawah katil. Setitis demi setitis minyak urut berwarna hijau jernih itu di letak ke kaki abahnya.
"Fa doakan abah boleh jalan semula ya," ucap Athifa sambil tersenyum manis pada Zahar. Lelaki itu mengangguk bersungguh sambil menyapu muka tanda mengamin kan doa si anak.
Adik beradik lain, semuanya berkumpul di ruang dapur menjamu selera. Hanya Athifa sahaja yang duduk bersama Zahar diruang tamu. Dia sudah biasa begini setiap kali adik beradiknya ada. Mak Yan akan sibuk melayani anak-anak yang lain. Dan layanan yang diberikan sangat istimewa.
"Adik, jom makan," ajak Aisya yang baru muncul di situ.
Terus Athifa menoleh pada suara kakaknya itu. Dia tersenyum nipis. "Takpa la. Kak lang makanlah dulu. Fa nak uruskan abah. Abah belum solat isyak lagi." Balas Athifa bersahaja.
"Kita bawa abah makan sekali lah. Lepas tu, baru solat," kata Aisya lagi.
"Abah tak suka lewat solat. Nanti mula la dia merajuk." Balas Athifa. Serba salah dibuatnya. Tetapi, Zahar memang begitu. Tidak suka melewatkan solat. Semasa dia masih sihat pun, dia rajin ke surau kampung untuk menunaikan solat fardhu. Zahar lah yang akan datang paling awal untuk menyusun sejadah. Lebih-lebih lagi semasa solat maghrib dan isyak.
"Kalau macam tu, lepas solat, kita makan sama-sama. Kak Lang tunggu adik dengan abah." Aisya masih tidak berputus asa mahu makan bersama adik bongsunya itu.
Athifa tersenyum segaris. "Kak Lang pergilah makan dulu. Fa dengan abah makan dekat sini je. Susah nak bawa abah ke dapur,"
Aisya terus berjalan menghampiri Athifa dan Zahar. Punggung dilabuhkan ke sisi Athifa lalu minyak di ambil. "Biar kak lang urut kaki abah. Adik pergilah makan," pujuk Aisya lagi.
Bukan dia tidak tahu, Athifa merajuk dengan Mak Yan. Adiknya itu dimarahi siang tadi dek kerana pulang lewat ke rumah sehinggakan orang lain terpaksa memandikan Zahar.
"Kak lang pergilah makan. Fa tak lapar lagi. Biar Fa uruskan abah. Nanti ibu bising sebab susahkan kak lang," balas Athifa. Nadanya kedengaran merajuk.
"Abah ni tanggungjawab semua anak-anak dia. Bukan tanggungjawab adik sorang." Kata Aisya. Sungguh pun dia sendiri culas menjalankan tanggungjawabnya pada Zahar, tetapi, jika ada masa terluang, dia pasti akan membantu Athifa.
"Takpa lah, kak lang. Adik beradik lain dah bagi duit pada Fa untuk jaga mak dengan abah. Fa kena buat. Tapi, kalau tak bagi duit pun, Fa tetap buat. Sebab ni abah Fa. Bukan orang lain. Fa sanggup korbankan apa sahaja untuk abah. Walau dengan nyawa Fa sekali pun," tutur Athifa. Dadanya terasa sebak. Namun, sedaya upaya dia menahan dari perasaan itu terlihat diwajahnya.
Aisya bungkam. Sungguh hatinya dihenyak rasa bersalah pada Athifa. Masa kan tidak, adiknya itu sanggup menolak untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti semata-mata untuk menjaga Zahar dan Mak Yan.
"Kak lang minta maaf sebab tak banyak bantu adik," luah Aisya.
Athifa sekadar tersenyum pahit. "Kak lang pergilah makan. Nanti ibu ingat Fa yang suruh kak lang uruskan abah. Bising ibu nanti," kata Athifa.
Lambat-lambat Aisya bangun dari situ. Sempat dia mengucup pipi Zahar sebelum dia berlalu pergi.
"Lepas kita solat, Fa suap abah makan ya," kata Athifa pada Zahar. Lelaki itu mengangguk tanda faham. Athifa tersenyum tawar pada Zahar.
Sejujurnya dia terasa hati dengan layanan Mak Yan terhadapnya. Walaupun dia yang menguruskan Zahar, tetap sahaja dirinya tidak dihargai. Benarlah kata orang, jauh bau bunga, dekat bau tahi.
Namun, Athifa cepat-cepat buang perasaan itu. Tidak mahu tergelincir dengan perasaan yang terhasut oleh bisikan syaitan.
PAGI-PAGI lagi Athifa sudah membonceng motosikalnya ke kedai membeli barang-barang untuk memasak tengah hari. Selepas zohor nanti, adik beradiknya akan beransur pulang ke Kuala Lumpur. Jadi, atas permintaan anak-anak, Mak Yan sendiri akan masak menu istimewa buat mereka.
Sedang motor dibonceng tenang, fikiran Athifa melayang jauh. Dia membelok tanpa memberi isyarat.
BANG!!!
Sebuah kereta melanggarnya dari arah tepi dengan momentum yang agak perlahan. Athifa terjatuh ke jalan raya. Mujur dia tidak terpelanting.
"Aarrgghhh... Sakitnya..," erang Athifa. Dia memandang pada pemandu yang masih duduk di dalam kereta itu. Hatinya membuak geram apabila pemandu tersebut langsung tidak keluar dari kereta. Malah hanya memerhatikan dia dari dalam.
Athifa bangun dari situ. Dia membiarkan sahaja motornya menghalang laluan kerana tidak mahu pemandunya lari. Terus Athifa berjalan ke tingkap pemandu dan mengetuk cermin tingkap itu.
Tuk!tuk!tuk!
Perlahan cermin kereta diturunkan. Kelihatan seorang lelaki berkaca mata hitam memandang Athifa dengan pandangan dingin.
"Kenapa awak langgar saya?" Soal Athifa dengan nada yang masih sopan.
Kaca mata ditanggalkan. Lelaki itu merenung Athifa dengan mata yang mengecil.
"Kau bawa motor ada lesen tak? Masa masuk sekolah memandu, lulus ke tak? Belajar cara bagi signal kalau nak masuk simpang tak?" Bertalu-talu soalan itu meluncur keluar dari mulut lelaki itu.
Athifa terdiam. Alis matanya berkerut nipis. Wajah lelaki itu diamati. Setelah beberapa detik, baru dia tersedar, inilah lelaki yang selalu Khatijah ceritakan padanya.
Ikhwan Hadreal.
Athifa terpempan seketika saat melihat wajah kacak itu. Betullah kata Khatijah. Lelaki itu memang tersangat kacak. Namun, cepat-cepat dia menyedarkan diri dari realiti.
"Saya tak bagi signal ke?" Soal Athifa kembali.
Hadreal merengus kecil.
Ada ke tanya aku balik! Gerutunya di dalam hati.
"Lain kali kalau bawa motor, jangan mengelamun. Kalau nak mengelamun, duduk dalam toilet. Sini jalan raya. Nasib baik aku tak lenyek kau." Bebel Hadreal dengan rahang yang bergerak-gerak. Geram saat soalan itu ditanya Athifa.
Duduk toilet? Apa mamat ni merepek? Bisik hati kecil Athifa. Matanya terkebil-kebil cuba menghadam ayat lelaki itu.
"Dah. Ke tepikan motor kau. Aku nak jalan," Hadreal kembali memakai kaca mata hitam dan tingkap kereta ditutup.
Dahi Athifa berkerut seribu. Belum sempat dia berjalan ke motornya, lelaki itu membuka semula tingkap kereta, lalu memanggil Athifa, "Hei, tengok kereta aku. Ada calar tak? Kalau ada bagi no phone kau. Aku nak suruh kau bayar ganti rugi,"
Athifa telan air liur saat mendengar ayat terakhir lelaki itu.
Ganti rugi? Dia nak aku bayar dengan apa? Bulu hidung? Masak aku. Bebel Athifa di dalam hati. Dia mula cuak. Namun, kakinya tetap melangkah ke bonet depan kereta itu. Bersungguh-sungguh Athifa membelek tempat yang dilanggar tadi. Ada sedikit kesan calar. Sekali lagi Athifa teguk air liur.
Ah, mati aku.
Athifa angkat kepala memandang ke dalam kereta. Belum sempat Athifa memberikan laporan, lelaki itu sudah pun keluar dari kereta.
Athifa kecut perut. Dia berdiri tegak di situ tanpa berganjak.
Hadreal berdiri betul-betul di sebelah Athifa. Muka cuak Athifa dipandang beberapa ketika.
"Saya minta maaf." Tidak menunggu lama, Athifa terus ungkap kata maaf pada lelaki itu.
Hadreal menunduk sedikit melihat pada kesan calar dan sedikit kemek di depan bonet keretanya. Dia merengus lagi.
"Bagi nombor phone kau." Nada Hadreal kedengaran sedikit keras.
"Berapa saya kena bayar ni?" Soal Athifa cemas.
"Kalau aku sebut, kau tak mampu bayar. Biar aku minta pada mak ayah kau," dingin sahaja kata-kata itu keluar dari mulut Hadreal.
"Jangan. Ayah saya stroke. Nanti dia terkejut pula. Macam ni, saya bagi no telefon saya, awak bagi tahu berapa jumlah ganti rugi. Nanti saya akan usahakan untuk bayar," pintas Athifa. Sungguh dia bimbang jika hal itu diketahui oleh keluarganya. Mahu Mak Yan membebel panjang. Dan lebih membimbangkan dia ialah Zahar. Pasti ayahnya itu lebih risau.
Hadreal diam beberapa detik seolah sedang berfikir. Kemudian, dia menghulurkan tangan meminta telefon milik Athifa. "Bagi telefon kau,"
Pantas Athifa menyeluk poket seluar dan telefon bimbitnya diberi pada lelaki itu.
Dengan muka serius, Hadreal merenung telefon bimbit Athifa yang lusuh itu. Terus dia mendail nombornya pada telefon bimbit Athifa. Kemudian, diserah kembali telefon itu pada Athifa.
"Alih motor kau. Aku nak cepat," terus Hadreal berjalan semula ke pintu pemandu. Sempat dia memandang pada Athifa yang terhegeh-hegeh mengalih motornya dari laluan itu. Kemudian, Hadreal masuk ke dalam perut kereta dan terus memandu pergi dari situ.
Beberapa detik Athifa terpinga. Dia tersedar saat telapak tangan dan sikunya terasa pedih. Dibelek tangannya.
Luka.
"Aduh.. sakitnya," pasir yang melekat di telapak tangan dan sikunya dibersihkan dengan berhati-hati.
Kemudian, dia naik semula ke motornya. Enjin cuba dihidupkan. Tetapi, gagal.
"Allah, time ni kau nak buat hal." Keluh Athifa.
Wajah Zahar terus terbayang di mata. Jam di telefon bimbit dilihat. Hampir pukul sembilan pagi.
"Abah nak sarapan ni. Mesti ibu bising dekat aku ni,"
Mahu atau tidak, terpaksalah Athifa menolak motor sehingga ke kedai. Dia harus membeli barang dan cepat-cepat pulang ke rumah.
selamat membaca!!
Share this novel
poyo pulak mamat tu ... ksian life fa ..