Selesai sahaja memasak, Athifa ke ruang tamu menjengah Zahar yang termenung di katilnya. Sekali sekala mata lelaki itu mengerling pada jam di dinding. Athifa faham apa yang Zahar tunggu.
"Sorry bah. Fa masak tadi. Kejap Fa ambil wuduk. Kita solat sama-sama ya," ujar Athifa. Lengan baju diselengsing hingga ke siku.
Barulah wajah Zahar kelihatan ceria. Jika tidak, dia kelihatan resah sahaja. Zahar mengangguk. Dia menanti dengan penuh sabar untuk Athifa menyiapkan dia seperti selalu.
"Fa, nanti kau bawa tilam kau letak dekat depan ni. Kang along sampai, susah nak ambil tilam kau nanti," pesan Mak Yan. Begitulah selalunya. Jika adik beradik yang lain datang bertandang serentak, pasti Athifa terpaksa tidur di ruang tamu.
Dan Mak Yan sentiasa memberi layanan istimewa pada anak-anak yang lain. Yang jarang pulang ke sini.
Adakalanya, Athifa terasa dengan Mak Yan. Tetapi, setiap kali itulah dia buang perasaan itu jauh-jauh dan hatinya dipujuk sendiri.
"Fa dengar tak ibu cakap ni?" Soal Mak Yan setelah melihat Athifa seakan mengelamun.
Athifa tersentak. Lantas dia mengangguk tanda faham. "Fa nak solat dengan abah dulu. Nak habis waktu dah ni. Kejap lagi Fa bawa keluar tilam tu,"
"Ambil sekarang. Diorang sampai kejap lagi ni," desak Mak Yan.
Athifa melepaskan keluhan kecil. Tidak mahu berbalah, dia menapak masuk ke biliknya dan mengambil tilam serta bantal miliknya dan dibawa ke ruang tamu.
"Nanti kau tolong hidang makanan atas meja. Ibu nak kemas bilik satu lagi. Ateh kau tu bukan boleh bilik berabuk. Bersin-bersin dia nanti," ringan sahaja mulut Mak Yan bercerita. Wajah wanita itu nampak ceria saat ini. Tahulah Athifa, yang Mak Yan benar-benar gembira mahu menyambut anak menantunya pulang ke rumah.
"Yelah, bu. Nanti Fa hidangkan. Fa nak solat dengan abah dulu. Lepas tu, baru Fa buat," ujarnya.
Tanpa membalas kata-kata Athifa, Mak Yan terus berlalu pergi dari situ menuju ke bilik yang dimaksudkan.
Athifa toleh pada wajah Zahar. Lelaki itu memberi isyarat agar Athifa cepat-cepat pergi mengambil wuduk. Dia sudah tidak betah menunggu.
"Okay, bah. Kejap ya." Tergesa-gesa Athifa ke bilik air untuk mengambil wuduk.
"BAH, tengok sini. Senyum sikit bah," Zamri mengarah Zahar agar melihat pada skrin telefon bimbitnya kerana dia mahu mengambil gambar dengan lelaki itu.
Terkebil-kebil Zahar saat ini. Senyumannya juga kelihatan janggal. Begitulah sikap Zamri dan anak-anak yang lain jika mereka pulang ke sini.
Sekadar datang menjengah. Mengambil gambar dan selebihnya, tetap sahaja Athifa yang menguruskan Zahar.
Zamri membelek gambar yang di ambil sebentar tadi. Dia tersenyum puas. Kemudian, dia mengedit sedikit gambar itu dengan pelbagai caption kasih sayang terhadap Zahar. Setelah berpuas hati, gambar itu dimuat naik ke media sosial miliknya.
Tidak lama selepas itu, hidung Zamri menangkap bau yang kurang enak dari tubuh Zahar. Berkerut-kerut dahinya saat ini. "Abah berak ke, bah?" Soal Zamri.
Zahar cepat-cepat mengangguk. Dia cuba meminta agar Zamri menolongnya. Namun, pantas sahaja lelaki itu memanggil Athifa. "Dik, abah berak ni!" Pekiknya dengan lantang.
Athifa yang baru sahaja mahu menyuap nasi ke mulut, terus terhenti suapannya. Dia tarik nafas dalam-dalam cuba menenangkan perasaan yang kian sebal.
Tanpa memberi apa-apa balasan, Athifa bangun dari meja makan dan membersihkan tangannya. Kemudian, dia menapak naik ke ruang tamu. Sambil mendekati Zahar, sempat matanya melirik pada kedua-dua lelaki yang ada di situ.
Tak boleh harap! Kutuknya di dalam hati.
"Abah berak ya?" Soal Athifa.
Pantas Zahar mengangguk. Berkerut-kerut mukanya pamer riak tidak selesa.
"Tolong Fa angkat abah ke bilik air," tetap sahaja Athifa meminta tolong kedua-dua abangnya itu.
Biar ada rasa tanggungjawab!
Lambat-lambat mereka bangun dari situ untuk membantu Athifa. Namun, gadis itu tidak peduli. Tuala mandi Zahar dicapai dan pampers baru diambil. Athifa kemudiannya terus menapak ke bilik air.
"AKHIRNYA dapat juga aku lepak dengan kau," luah Khatijah. Beg plastik berwarna merah yang berisi air tin dan jajan di serahkan pada Athifa. Mereka mengambil angin di tepi tasik berdekatan dengan kampung mereka.
"Muka kau nampak macam orang tua tau!" Sambung Khatijah dengan wajah selamba.
Athifa sekadar tertawa kecil. Bukan pertama kali Khatijah berkata begitu. Sudah berkali-kali. Namun, Athifa tidak ambil hati dengan sahabatnya itu. Dia tahu Khatijah geram dengan adik beradiknya yang lain kerana meletakkan tanggungjawab menjaga ibu bapa mereka kepada Athifa seorang. Walhal, mereka juga bertanggungjawab menjaga Mak Yan dan Zahar.
"Aku tak boleh lama ni. Kejap lagi nak mandikan abah. Nak solat dengan dia," ujar Athifa.
Khatijah cebir bibir geram. "Kan abang-abang kau ada dekat rumah tu. Diorang tak boleh tolong uruskan abah kau ke?"
Dah agak! Pasti hal itu akan dibahaskan oleh Khatijah. Athifa sekadar tersenyum nipis. "Cerita pasal benda lain boleh tak?" Topik perbualan diubah. Malas mahu berdebat. Lagi pula, dia tidak suka memburuk-burukan adik beradik sendiri. Selagi dia boleh pendam, dia akan pendam.
"Oh, ada-ada!" Khatijah melabuhkan punggungnya ke sebelah Athifa. Dia tersengih-sengih sendiri sebelum memulakan cerita.
"Apa dia?" Soal Athifa bersahaja. Air tin dibuka dan diteguk perlahan. Segar terasa saat air ice lemon tea sejuk itu masuk ke tekaknya.
Khatijah memulakan cerita dengan gelak tawa gatal. "Tadi, aku pergi hantar makanan dekat rumah Pak cik Rafael. Abang Hadreal yang ambil. Adudu.. handsome nak mati kau!"
PAP!
Paha Athifah ditepuk kuat. Gadis itu menjerit kecil kesakitan. "Sakitlah, Khatijah oii. Kalau nak cerita, cerita je lah. Tangan tu duduklah diam-diam!" Athifa menggosok paha yang terasa perit itu.
"Eh, sorry. Sorry. Kau tahu je lah aku ni kalau excited cerita, bukan mulut je bergerak. Kaki tangan semua aktif sama!" Tersipu-sipu Khatijah saat ini. Dia sendiri tidak sedar yang paha Athifa menjadi mangsa tepukannya tadi.
Athifa menggeleng geram. Kemudian, dia kembali meneguk air tin itu sehingga habis.
"Lepas tu si Haq keluar. Aku syak dia memang sengaja nak tayang muka dia pada aku." Khatijah menyambung ceritanya sambil ketawa gatal.
Athifah menggeleng. Menyampah dengan gaya tergedik-gedik sahabatnya itu. Dalam masa yang sama dia geli hati melihat gelagat Khatijah.
"So, dah dapatlah akaun Ig dengan tik tok dia?" Seloroh Athifa kerana dia tahu Khatijah memang sangat aktif di media sosial. Tanya sahaja mengenai berita semasa atau artis, pasti sahaja dia dapat menjawab dengan pantas.
"Alah, tak payah tanya, aku boleh cari sendiri. Cuma sekarang ni, aku buntu. Tak tahu nak pilih mana satu. Abang Had ke, si Haq tu? Sebab dua-dua memang meresahkan jiwa raga,"
Meledak tawa Athifa saat ini.
Perasan sungguhlah kawan aku sorang ni! Berangan kemain! Kata hati kecil Athifa.
Tidak sampai hati dia mahu meluahkan kata-kata itu pada Khatijah. Bimbang sahabatnya itu merajuk.
"Apa kata, aku ambil Haq, kau ambil Abang Had?" Sambung Khatijah lagi. Masih dalam mode berangan.
Athifa menggeleng dengan tawa yang masih bersisa. "Tak nak aku! Kau ingat diorang tu pandang ke budak kampung macam kita ni? Kirim salamlah!" Selar Athifa selamba.
"Kau ni tak sportinglah. Apa salahnya berangan? Mana tahu jadi kenyataan. Jodoh kau dengan Abang Had ke..," balas Khatijah. Wajah Athifa dipandang sekilas.
"Apa hal aku? Kau yang berangan, aku pula yang dijodohkan." Terhenti sudah tawanya tadi.
Mengekek Khatijah ketawa. Wajah cemberut sahabatnya itu mengelikan hatinya. Bukan dia tidak tahu nasib Athifa bagaimana. Terikat dengan tanggungjawab besar menjaga orang tuanya.
Pernah Athifa bercerita tentang Mak Yan. Ibunya itu siap berpesan agar Athifa tidak mencari jodoh awal kerana tiada siapa yang akan membantunya menjaga Zahar jika gadis itu berkahwin. Sungguh, Khatijah tidak faham dengan sikap Mak Yan. Tetapi, Athifa sendiri reda dengan keluarganya.
"Janganlah marah. Aku gurau je. Aku tahu kau nak berkhidmat jaga mak ayah kau sampai tua kan?" Sindir Khatijah dengan sengaja.
Athifa cebir bibir tanda geram dengan sindiran itu. Lalu jelingan tajam dihadiahkan pada Khatijah.
"Dahlah. Aku nak baliklah. Bising ibu aku nanti lambat mandikan abah," Athifa menolak tubuhnya bangun dari situ.
"Alaa, Fa.. Kejap sangatlah. Tak sampai sejam. Ibu pun tak call kau lagi. Kau merajuk dengan aku ke ni?" Khatijah turut bangun dari situ.
Athifa tersenyum sambil menggeleng. "Takdalah. Buat apa aku nak merajuk dengan kau? Setakat mulut laser kau ni, aku dah biasalah," jawab Athifa bersahaja.
"Habis tu, apasal awal sangat kau nak balik?" Soal Khatijah tidak berpuas hati.
"Kan aku cakap tadi. Nanti ibu bising aku lambat mandikan abah," ulang Athifa sekali lagi.
"Ala, rilekslah. Baru pukul berapa,"
"Abah tu tak boleh mandikan dia lambat-lambat. Dia tak selesa nanti. Ni cuaca panas. Mesti badan dia cepat berpeluh," jelas Athifa sambil berjalan menuju ke motor miliknya.
"Abang-abang kau kan ada. Tak kan diorang tak tolong apa-apa langsung? Kau 24 jam buat semua tu. Alang-alang diorang balik ni, apa salahnya tolong. Ni tak, kemain, ambil gambar dengan abah. Lepas tu tulis caption konon-konon anak soleh banyak tolong abah. Abahlah nyawa.. abahlah segala-galanya... Padahal... Hampeh!" Panjang Khatijah membebel pada Athifa. Kalau ikutkan hati, dia malas nak cerita tentang abang Athifa yang bernama Zamri itu. Tetapi, disebabkan dia berkawan dengan lelaki itu di media sosial dan kebetulan Khatijah ternampak gambar Zamri bersama Zahar tadi, membuatkan hatinya sebal.
Athifa diam. Dia tidak mahu berbalah dengan Khatijah perihal abang-abangnya. Bimbang membuka aib keluarga.
"Sorrylah ek. Next time kita lepak lagi. Kau faham aku kan?" Athifa cuba memujuk Khatijah yang sudah sedepa muncungnya itu.
"Aku tak faham kau! Tak faham kenapa kau tak bersuara, cakap pada adik beradik kau. Kau pun ada cita-cita macam diorang. Tapi, kenapa nak sekat cita-cita kau? Suruh kau jaga abah dengan ibu kau sorang-sorang?" Selar Khatijah.
Athifa tarik nafas dalam. Suasana berubah tegang. "Dahlah, aku balik dulu. Terima kasih belanja aku air," terus Athifa duduk di atas motor. Beberapa detik dia merenung wajah sahabatnya itu.
"Aku minta maaf sebab masuk campur urusan keluarga kau," ucap Khatijah dengan nada yang kembali mengendur. Sungguh, dia tiada niat mahu melukakan hati Athifa dengan kata-katanya tadi. Tetapi, dia sendiri tidak dapat menahan dari meluahkan segalanya.
"Takpalah. Aku tak ambil hati pun. Aku tahu kau macam mana. Terima kasih sebab ambil berat pasal aku. Kau doakan urusan aku dipermudahkan ek." Athifa tersenyum segaris.
Bibir Khatijah melengkung masam. Rasa bersalah menyusup masuk ke tangkai jiwanya. "Aku sentiasa doakan kau." Perlahan sahaja kata-kata itu diluahkan oleh Khatijah.
"Terima kasih," Athifah tersenyum lalu enjin motor dihidupkan. Setelah itu, dia membonceng motor pulang ke rumahnya.
selamat membaca!!
Share this novel
laa selfie je ... tolg xnk