Rate

KKA 1 : Abah Jatuh

Family Completed 254815

"KAU tak jaga abah betul-betul ke? Sampai terjatuh orang tua tu dalam bilik air!" Kuat suara Zahidi memarahi adik bongsunya, Athifa.

Tak boleh diharap langsung! Jaga mak abah pun tak boleh! Bentak Zahidi di dalam hati.

Dia masih merenung tajam muka adik bongsunya itu. Namun, Athifa bungkam seribu bahasa tidak langsung menjawab.

"Tak kan nak harapkan ibu? Kau bukannya buat apa-apa pun. Kami bagi duit suruh bantu ibu jaga abah pun, tak kan tak boleh?" Celah Ashira, anak kedua dalam adik beradik mereka.

"Sudahlah. Jangan salahkan Fa. Benda nak jadi." Aisya anak ketiga pula cuba membela Athifa. Tetapi, wajah adik bongsunya itu tetap mendung seperti tadi.

"Tak boleh haraplah kau ni, Fa. Aku ni bukan senang nak balik sini. Banyak kerja dekat KL tu tau tak? Menyusahkan aku lah kau ni!" Zamri yang merupakan anak ke empat daripada adik beradik mereka pula bersuara dengan nada geram.

Ibu mereka, Mak Yan mencebik sinis. Dia juga geram dengan Athifa. Baru sekejap sahaja suaminya ditinggalkan bersama Athifa untuk diuruskan, sudah jadi kejadian sebegini.
"Baru suruh uruskan abah sekejap pun tak boleh!" Mak Yan turut bersuara. Entah berapa kali dia mendengus geram.

Athifa yang sudah tidak tahan dimarahi oleh semua orang, bingkas bangun dan berjalan keluar dari bangunan hospital.

Ditahan hatinya sekuat mungkin. Dia juga menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak menjaga Pak Zahar dengan baik.

"Abah.. Fa minta maaf. Sebab Fa, abah jatuh bilik air," lirih suara Athifa melepaskan tangisnya sebaik sahaja dia jauh daripada semua orang. Dia duduk mencangkung di tepi longkang. Teresak-esak dia menangis di situ.

Sejak dulu lagi, memang dialah yang ditugaskan menjaga Pak Zahar kerana dia anak bongsu. Hendak pula dia anak bongsu. Jadi, segala kehendak adik beradik yang lain, dia turuti.

Hampir lima tahun, dia membantu Mak Yan menjaga Pak Zahar yang stroke sejak beberapa tahun yang lalu. Sehinggakan dia membatalkan hasratnya untuk menyambung belajar di peringkat yang lebih tinggi. Bukan tidak mampu, tetapi, atas desakan Mak Yan dan adik beradik yang lain agar Athifa menemani kedua orang tuanya di kampung. Dan.. dia akur tanpa rela.

Namun, sepanjang dia menjaga kedua-dua orang tuanya, dia belajar untuk ikhlas walau pada awalnya dia memberontak dalam diam. Masakan tidak, dia juga mempunyai cita-cita yang tinggi untuk ke menara gading. Dan mahu kerja yang bagus seperti abang dan kakaknya.

Namun, segala impian dan harapan Athifa seakan terpaksa terkubur begitu sahaja dek kerana tanggungjawab yang dipikulnya kini. Dan, dia seakan sudah sebati dengan tanggungjawab yang digalas sekarang.

"Fa..." bahunya Athifa disentuh lembut seseorang. Cepat-cepat dia menyapu air mata yang masih tersisa diwajah. Kemudian, dia menoleh pada susuk tubuh itu.

"Kak lang.." sebutnya perlahan. Lantas dia bangun dari situ dan berdiri menghadap Aisya.
"Fa okay ke?" Soal Aisya dengan lembut.
Athifa menggeleng perlahan. Sungguh, dia tidak okay.

Aisya melepaskan keluhan perlahan. Bahu adiknya itu digosok lembut. "Kak lang faham. Bukan salah adik. Benda dah nak jadi," pujuknya lembut.

Athifa tunduk menekur lantai. "Fa suruh abah tunggu kejap je. Sebab Fa terlupa nak ambil tuala abah. Baru beberapa langkah Fa nak ambil tuala, abah jatuh. Sepatutnya Fa tunggu dan dudukkan abah dulu tadi," luah Athifa dengan rasa kesal yang mendalam. Air matanya kembali bergenang.
Aisya terus memeluk tubuh Athifa. Belakang tubuh gadis itu digosok lembut. "Jangan salahkan diri Fa. Kan kak lang cakap tadi, benda nak jadi," ulang Aisya. Sudah berkali-kali dia menyebut perkara itu. Namun, Athifa tetap menyalahkan dirinya.

"Ibu pun salahkan Fa..." lirih suara Athifa menyambung kata. Sungguh, dia sedih kerana Mak Yan turut menyalahkan dirinya. Bukan kali ini sahaja, sudah berkali-kali. Athifa berkecil hati dengan ibunya. Namun, dek kerana sayang, dia telan segala kemarahan ibunya itu.

"Ibu kan memang begitu. Mulut sahaja bising. Esok-esok diamlah dia," pujuk Aisya lagi.
Namun, kata-kata Aisya tentang ibu mereka, sedikit pun tidak memujuk hatinya. Kerana dia lebih tahu perangai Mak Yan berbanding adik beradik dia yang lain. Masakan tidak, 24 jam dia bersama orang tua itu.

Entah mengapa, Athifa merasakan yang Mak Yan selalu sahaja menyalahkan dirinya. Sedangkan setiap hari dia berusaha untuk membantu wanita itu menguruskan segala-galanya. Namun, tetap sahaja usahanya tidak dihargai, malah dipersalahkan lagi.

Athifa tarik nafas dalam cuba menenangkan hati sendiri. Wajah Aisya di pandang tanpa bicara lagi.

"Kak lang kena balik KL dah ni. Esok kak lang kerja. Weekend ni kak lang balik sini semula bawa anak-anak sekali." Ujar Aisya.

Athifa sekadar mengangguk perlahan.
Mereka bersalaman dan berpelukan. Setelah itu, Aisya berlalu pergi dari situ. Athifa hanya menghantar dengan pandangan kosong. Sehinggalah wanita itu menghilang, Athifa tetap merenung tanpa perasaan.

"AWAK takda adik beradik lelaki ke?" Tanya salah seorang jururawat yang bertugas saat melihat Athifa setia menemani Zahar sejak siang tadi.

"Ada. Tapi, abang-abang saya semua kerja. Lagipun, mereka tinggal di KL. Saya saja yang duduk dengan ibu abah di sini," jawab Athifa dengan lembut.

Jururawat itu sekadar tersenyum pahit. Sempat dia menggeleng sebelum berlalu dari situ.
Athifa kembali menatap wajah Zahar. Lama dia merenung muka tua abahnya dengan rasa kasih.
"Fa minta maaf abah. Sebab Fa, abah jatuh bilik air." Dahi Zahar yang berjahit diusap lembut. Mujur keadaan Zahar tidak serius.

Tiba-tiba, Zahar membuka matanya. Beberapa detik dia merenung wajah Athifa. Lalu, isyarat minum ditunjukkan pada anak gadisnya itu. Zahar yang tidak bisa berbicara hanya mampu memberi respon melalui isyarat sahaja.

"Abah dah bangun? Haus ke? Nak minum?" Bertalu-talu Athifa menyoal. Dia lega kerana Zahar sudah sedarkan diri.

Perlahan Zahar mengangguk tanda mengiakan kata-kata Athifa.

Cepat-cepat Athifah bangun dan mencapai sebotol air mineral dan dituangkan ke dalam cawan plastik. Kemudian, dia membantu Zahar duduk dan cawan disuakan ke mulut abahnya.
Perlahan-lahan Zahar menghirup air tersebut. Setelah hilang hausnya, dia memberi isyarat untuk baring. Athifa membantu Zahar. Kemudian, dia kembali duduk ke kerusi yang tadi.

Wajah Zahar direnung dalam. Kolam mata Athifa berkaca. Terkebil-kebil dia cuba menghilangkan kaburnya pandangan mata. Namun, air jernih tetap mengalir laju jatuh ke pipi.

Berkerut alis mata Zahar saat melihat anak bongsunya itu menangis teresak-esak.
Kening di angkat seolah bertanya.

Athifa mengesat air mata dengan belakang tangan. Tercebik-cebil bibirnya cuba menahan sedih. "Fa minta maaf." Ucap Athifa. Entah berapa kali ayat itu keluar dari mulutnya.

Zahar menggeleng pantas. Dari riak wajah lelaki itu, dia langsung tidak menyalahkan anak bongsunya itu.

Tangisan Athifa masih belum reda. Gadis itu menyembam wajahnya ke bahu Zahar sambil menyambung tangis.

Tangan Zahar lalu naik mengusap lembut kepala Athifa. Kolam matanya turut berkaca. Sungguh, hanya anak itu sahaja yang setia menemaninya setiap hari. Mana mungkin dia mahu menyalahkan gadis itu atas apa yang berlaku.

Perlahan kepala diangkat dari bahu Zahar. Athifa memandang pada wajah abahnya sekali lagi. "Fa janji, lepas ni Fa jaga abah betul-betul," tersedu sedan Athifa mengungkap janji.

Zahar mengangguk sambil tersenyum. Tangannya diletak ke dada tanda percaya pada janji anak bongsunya itu.

Setelah tangisan Athifa reda, mata Zahar meliar seakan mencari seseorang. Athifa dapat menangkap reaksi dari abahnya itu. Dia tahu siapa yang Zahar cari.

"Ibu dah balik. Esok ibu datang jemput abah. Esok abah dah boleh keluar." Kata Athifa sambil tersenyum senang.

Wajah Zahar ceria saat mendengar yang dia sudah boleh pulang ke rumah esoknya.
"Along, kak ngah, kak lang dengan abang teh dah balik KL. Hari minggu ni diorang balik sini bawa semua cucu-cucu abah sekali." Athifa menyambung cerita.

Senyuman Zahar bertambah lebar saat mendengar tentang cucu-cucunya.
"Abah lapar? Fa suap abah makan ye?"
Zahar menggeleng tanda tidak mahu. Dia memberi isyarat bahawa dia mahu melelapkan mata sebentar.

Athifa yang sudah faham dengan isyarat yang diberikan, terus menarik selimut hospital menutupi separuh tubuh ayahnya.
Hati Athifa terasa lega apabila melihat keadaan Zahar yang tidak begitu serius. Namun, saat melihat dahi yang berjahit itu, Athifa terasa sedih.
Fa, janji lepas ni Fa akan jaga abah betul-betul. Detik hati kecilnya.

Lalu dia melabuhkan duduknya ke kerusi sambil merenung wajah Zahar dengan rasa kasih.

Selamat membaca...

Share this novel

farid dahlia
2023-04-25 18:23:15 

sayu..

Mona Ho
2022-07-22 17:20:03 

Baca bab ni... Teringat sye mase jga arwah abah dulu... Staff lelaki dalam wad tu pun tnye bnde yg sme... Awak tkde adik beradik lelaki... Ad... Mereka duduk jauh²... Jadi yg ad di depan mata ini yg jaga arwah abah...


NovelPlus Premium

The best ads free experience