Series
932
Matahari kian meninggi, memancarkan bahang yang mula menggigit tengkuk. Bunyi cengkerik yang tadinya bersahut-sahutan kini diganti dengan bisik-bisik resah orang kampung di sebalik tali kuning.
?ASP Kamal menyelukkan tangan ke dalam poket kemeja Safarinya, mengeluarkan sehelai sapu tangan lalu mengesat peluh di dahi. Matanya tidak beralih daripada susuk tubuh Pak Samad yang sedang dibawa masuk ke dalam perimeter oleh Sarjan Kamil.
?Lelaki tua itu berjalan terhenjut-henjut sambil memegang erat sebilah parang yang masih berada di dalam sarung kayu di pinggangnya. Wajahnya berjelaga.
?"Tuan, ini Pak Samad," ujar Sarjan Kamil sekaligus tabik hormat ringkas.
?ASP Kamal mengangguk. Beliau sengaja tidak menawarkan rokok, tahu keadaan emosi orang tua itu sedang berantakan. Mengikut profil kendiri Kamal sepanjang sepuluh tahun dalam cawangan jenayah, pendekatan psikologi adalah senjata terbaik.
?"Pak Samad. Sila bertenang. Saya ASP Kamal," mulanya dengan nada yang sengaja direndahkan.
"Saya tahu, Pak Samad terkejut. Tapi saya perlukan bantuan Pak Samad untuk faham apa yang berlaku pagi tadi. Boleh cerita pada saya, pukul berapa tepatnya Pak Samad lalu jalan ni?"
?Pak Samad menelan liur. Buah halkumnya bergerak-gerak. Beliau memandang sekilas ke arah mayat Marina yang masih tergantung, sebelum cepat-cepat melarikan pandangan ke tanah merah.
?"Bi...biasanya... pukul tujuh pagi saya dah keluar dari rumah kat Kampung Parit, Tuan," suara Pak Samad tersekat-sekat.
"Saya nak ke hutan sebelah sana, cari rotan sikit. Selalu saya ikut jalan besar tapi pagi tadi... entah kenapa, hati saya rasa semacam. Saya ambil jalan pintas ikut landasan kereta api lama ni."
?"Masa Pak Samad sampai kat sini, ada nampak sesiapa?" tanya Asp Kamal.
Matanya tajam memerhatikan gerak-geri tubuh Pak Samad, mencari sebarang tanda sekiranya orang tua ini menyembunyikan sesuatu.
?"Tak ada sesiapa, Tuan! Sunyi sepi. Kabus pun tebal lagi masa tu," Pak Samad mengangkat tangan, seolah-olah bersumpah.
"Tapi, bau... bau hanyir tu kuat sangat. Mula-mula saya ingat babi hutan mati kena langgar. Bila saya suluh pakai lampu picit ke arah lalang besar tu... Ya Allah... saya nampak benda tu."
?"Benda?" celat Asp Kamal.
"Pak Samad nampak guni tu dulu atau kedudukan mayat?"
?"Saya nampak kain baju kurung dia, Tuan! Warna biru bunga-bunga kecil. Saya kenal baju tu, sebab Marina selalu pakai kalau pergi mengajar mengaji petang-petang," Pak Samad mula sebak. Pandangannya mula berkaca.
"Bila saya dekat... saya nampak kepala dia bersarung guni gandum. Tangan kena ikat pada kayu. Saya terus lari lintang-pukang pergi balai sub-stesen kat pekan."
?Asp Kamal berpaling sedikit, memandang Sarjan Kamil yang sedang tekun menyalin setiap butiran dalam buku nota tiga perlimanya.
?"Kamil, Pak Samad sampai balai pukul berapa?"
?"Tepat pukul 7:45 pagi, Tuan. Macam dalam laporan awal," jawab Sarjan Kamil pantas.
Anggukkan kepala sebelum kembali menghadap Pak Samad. Beliau merapatkan jarak, mengecilkan ruang peribadi antara mereka untuk membaca reaksi wajah saksi utama itu.
?"Pak Samad... cuba ingat betul-betul. Masa Pak Samad lari dari sini atau masa dalam perjalanan ke sini... ada dengar bunyi enjin kenderaan? Kereta ke, motosikal ke?"
?Lelaki tua itu terdiam sebentar. Beliau memejamkan mata rapat-rapat cuba memerah memori dalam kepalanya yang masih trauma.
?"Takde pun Tuan..."
?"Baik, Pak Samad. Terima kasih. Kamil, bawa Pak Samad ke balai. Bagi dia minum air, ambik kenyataan bertulis yang lengkap. Selepas tu, benarkan dia balik," arah Kamal.
?"Baik, Tuan." Sarjan Kamil mengiringi Pak Samad keluar dari garisan polis.
?Asp Kamal berjalan semula ke arah tiang kayu tempat Marina tergantung. Beliau meneliti kesan tanah di bawah kaki mangsa. Tiada kesan pergelutan yang ketara di situ. Ertinya, Marina kemungkinan besar dibunuh di tempat lain dan kawasan landasan kereta api lama ini hanyalah 'panggung' yang dipilih oleh pembunuh untuk mempamerkan mangsanya.
?"Tuan Kamal," panggil Inspektor Rahman, pegawai kanan yang baru selesai memeriksa perimeter sebelah luar bersama anggota forensik. Dia memegang seplastik lutsinar berisi seutas rantai basikal yang putus dan berminyak hitam.
?"Kami jumpa ni dekat dalam parit, kira-kira lima puluh meter dari sini, Tuan. Ada kesan seretan tayar basikal masuk ke dalam semak lalang."
?Asp Kamal menerima plastik tersebut lalu menelitinya di bawah cahaya matahari.
"Rantai basikal... maknanya basikal Marina ada berhampiran sini. Pembunuh mungkin serang dia masa dia tengah mengayuh atau dia cuba melarikan diri bila rantai ni putus."
?Beliau memandang ahli forensik itu dengan pandangan penuh persoalan.
?"Rahman, panggil pasukan tambahan dari IPD. Aku nak setiap inci estet getah dan laluan landasan ni digeledah. Cari basikal Marina. Dan yang paling penting! Pembunuh kita masih bebas di luar sana!"
?"Faham, Tuan. Saya gerak sekarang," balas Insp. Rahman tegas sebelum bergegas ke kereta Datsun Sunny untuk menggunakan radio komunikasi.
Asp ?Kamal kembali merenung sekujur tubuh Marina yang mula dihurung lalat-lalat kecil. Satu kematian yang dirancang dengan teliti. Simpul mati pada tali. Sarung guni gandum dan pemilihan lokasi yang sunyi tetapi strategik untuk dijumpai. Ini bukan sekadar jenayah ghairah atau amukan melulu.
?Ini adalah satu pesanan. Dan tugas Asp Kamal adalah untuk mencari tahu siapakah?
***
Bau formalin menyengat hidung bercampur dengan bau hanyir yang kian membusuk di dalam bilik mayat Hospital Kuala Pilah.
Di atas meja bedah keluli tahan karat yang sudah nampak kusam dan calar-balar. Sekujur tubuh kaku Marina kini terbaring di bawah limpahan cahaya lampu pendarfluor.
?Zaman itu, bilik bedah siasat hospital daerah belum dilengkapi sistem pendingin hawa canggih mahupun penapis udara berteknologi tinggi. Sebuah kipas siling berjenama KDK berpusing lesu di atas kepala, sekadar menghalau udara pekat yang melemaskan ke arah tingkap nako yang sengaja dibuka sedikit demi pengudaraan.
?Dr. Jerry Wong, pakar patologi yang diterbangkan khas dari hospital besar sedang membetulkan apron plastik tebalnya yang berwarna hijau lumut. Beliau menyarung sepasang sarung tangan getah kuning yang tebal.
Jauh berbeza dengan sarung tangan nipis pakai-buang zaman moden. Di sisinya, seorang pembantu hospital bersedia dengan sebuah alat perakam kaset jenama Sony untuk merekodkan nota suara doktor manakala ASP Kamal setia berdiri di sudut bilik, memeluk tubuh dengan wajah tanpa emosi.
?"Sedia, Doktor?" tanya Asp Kamal. Nada suaranya kedengaran sedikit bergema di dalam bilik berdinding jubin putih kekuningan itu.
?"Sedia, Kamal. Kita mulakan dengan pemeriksaan luaran," jawab Dr. Jerry dengan logat Inggeris-Utara yang pekat.
?Dia membongkok, meneliti tubuh Marina inci demi inci. Pembantunya menekan butang Record pada perakam kaset, mengeluarkan bunyi klik yang kuat.
?"Mangsa, wanita Melayu. Dia dikenal pasti sebagai Marina binti Timah. Ketinggian anggaran 155 sentimeter. Memakai baju kurung biru bercorak bunga kecil yang koyak pada bahagian bahu kanan. Keadaan mayat telah mengalami rigor mortis sepenuhnya pada sendi-sendi utama," Dr. Jerry memulakan.
?Dia menggunakan sepasang penyepit besi ( twizzer) untuk meneliti kesan luka pada wajah mangsa.
?"Terdapat lebam teruk, berwarna keunguan di bahagian pipi kiri dan sudut bibir kanan, konsisten dengan impak objek tumpul atau penumbuk mentah. Seterusnya, beralih ke bahagian leher..." diagnose Dr. Jerry saat sama, mendekatkan lampu suluh kecilnya.
"Terdapat garis jerutan yang mendalam di sekeliling pangkal leher. Lebar garisan anggaran 0.5 sentimeter. Bahan jerutan berkemungkinan besar adalah tali rafia yang ditemui di tempat kejadian."
?"Sebab kematian kerana jerutan tu ke, Doc?" celah Asp Kamal, matanya tajam memerhatikan setiap gerakan tangan pakar patologi itu.
?"Sabar, Kamal. Biar saya tengok corak jerutan ni dulu," balas Dr. Jerry sambil membetulkan cermin matanya yang melorot akibat peluh.
"Garisan jerutan ini mendatar dan sekata... kalau mangsa bunuh diri dengan menggantung diri... garisan jerutan akan berbentuk 'V' menuju ke belakang telinga. Ini bermakna, mangsa dijerut dari belakang semasa dia masih hidup, sebelum tubuhnya digantung pada palang kayu tersebut untuk tujuan sandiwara si pembunuh."
Asp ?Kamal mengangguk perlahan. Nota disemat dalam minda. Pembunuh menyerang dari belakang.
?"Seterusnya, pemeriksaan tangan," Dr. Jerry mengangkat pergelangan tangan Marina yang pucat dan kaku.
"Terdapat calar di pergelangan tangan, menunjukkan mangsa cuba meronta dengan kuat ketika diikat. Ada kesan selaput hitam di bawah kuku mangsa. Pembantu, ambil sampel kuku ini guna pengikis. Kita hantar ke jabatan kimia untuk analisis manual."
?Zaman 1980-an, ujian DNA belum wujud di Malaysia. Pihak forensik terpaksa bergantung sepenuhnya pada jenis kumpulan darah, kesan cap jari dan analisis mikroskopik gentian fabrik atau sisa kulit di bawah kuku.
?"Sekarang, pemeriksaan dalaman," ujar ?Dr. Jerry mencapai sebilah pisau scalpel yang besar dan tajam.
Dengan satu kelar yang mahir dan mantap, beliau membuat hirisan berbentuk 'Y' yang bermula dari kedua-dua bahu, bertemu di tengah dada dan terus menghiris turun ke bawah pusat.
Bunyi kulit dan lapisan lemak yang terbelah, memenuhi ruang bilik yang sunyi itu.
?Menggunakan gergaji tangan manual yang kelihatan seperti gergaji besi pertukangan, pembantu hospital membantu memotong tulang dada Marina untuk membuka rongga dada.
Bau gas organ dalaman yang terperangkap serta-merta menerpa keluar, memaksa pembantu itu berpaling sekilas untuk menarik nafas.
?Dr. Jerry mengeluarkan organ hati dan paru-paru mangsa lalu meletakkannya di atas penimbang besi gantung jenis dacing yang biasa dilihat di pasar.
?"Paru-paru menunjukkan tanda-tanda asphyxia (lemas) yang jelas. Terdapat bintik-bintik pendarahan kecil (petechial hemorrhages) pada permukaan paru-paru dan jantung. Ini mengesahkan mangsa mati akibat kekurangan oksigen yang akut berpunca daripada jerutan leher," kata Dr. Jerry ke arah mikrofon perakam kaset.
?Beliau kemudian beralih ke bahagian bawah abdomen, melakukan pemeriksaan rahim dan kemaluan untuk menepis atau mengesahkan spekulasi Sarjan Kamil pagi tadi tentang amukan gila seks.
?"Tiada koyakan baru atau kesan trauma fizikal yang besar pada bahagian kemaluan. Walau bagaimanapun, terdapat sisa cecair yang mencurigakan. Saya akan ambil calitan (swab) menggunakan kapas palit dan letakkan pada slaid kaca. Kita perlu semak di bawah mikroskop sama ada terdapat sel sperma atau tidak. Jika ada, kita sekurang-kurangnya boleh tahu kumpulan darah si pelaku sama ada jenis A, B, AB, atau O."
?Dr. Jerry meletakkan semula peralatan bedahnya ke dalam talam besi dengan bunyi dentingan yang kuat. Beliau memandang Kamal sambil menanggalkan sarung tangan getahnya yang berlumuran darah tua.
?"Keputusan awal untuk kau, Kamal: Masa kematian adalah antara jam 12:00 tengah malam hingga 2:00 pagi tadi. Dia diserang, dijerut dari belakang sehingga mati dan hanya selepas dia meninggal dunia, barulah guni ditudung ke kepala dan mayatnya diheret untuk digantung pada tiang tersebut. Pembunuh kau tahu apa yang dia buat. Dia bukan sahaja kejam tapi dia sangat tenang."
Asp ?Kamal membetulkan kolar kemeja Safarinya. Anak mata merenung sekilas ke arah slaid-slaid kaca yang disusun di atas meja kayu di sudut bilik.
Teknologi forensik tahun 80-an mungkin lambat dan manual, memerlukan masa berhari-hari untuk laporan bertulis ditaip menggunakan mesin taip lama
namun petunjuk fizikal yang ditinggalkan pada tubuh Marina sudah cukup untuk mencetuskan satu pemburuan besar-besaran di Kuala Pilah.
?"Terima kasih, Doc. Slaid kaca tu... tolong hantar cepat ke Lab dekat KL. Aku perlukan keputusan kumpulan darah tu secepat mungkin," ujar Asp Kamal sebelum melangkah keluar dari bilik mayat.
episod ni ada gore sbb pmbedahan mayat
Share this novel