Series
932
Bunyi berdesir dari radio polis memecah keheningan pagi di pinggir landasan kereta api lama Kuala Pilah. Tiga buah kereta Datsun Sunny putih berjalur biru tua, tersadai di tepi jalan tanah merah dengan enjin yang masih hidup. Sesekali, ekzosnya melepaskan batuk asap tipis ke udara awal pagi tahun 1980-an itu.
?"Jangan dekat! Semua ke belakang dan bagi laluan pada polis!" jerit Sarjan Kamil.
?Beliau yang berkumis tebal mendepakan tangan dengan tegas. Beliau tekad menghalang sekumpulan penduduk kampung berkain pelikat daripada melompati parit kecil. Di pinggangnya, sepasang gari besi berkilat yang terselit pada tali pinggang kulit memantulkan cahaya matahari pagi yang masih samar.
?Beberapa anggota bawahan pula sibuk merentang tali plastik kuning sebagai sempadan. Tali tebal itu diikat mati pada batang pokok senduduk dan kayu pancang. Pada tali itu tergantung kadbod keras bertulis tangan menggunakan dakwat hitam pekat: KAWASAN LARANGAN POLIS.
?Asp Kamal Mohamad aka Kamal, melangkah keluar dari perut kereta Datsun lalu membetulkan kolar kemeja Safari coklat mudanya yang sedikit renyuk. Itu memang gaya tipikal pegawai penyiasat zaman tersebut. Sebatang rokok Gudang Garam sudah menyala di bibir dengan asap berkepul-kepul naik ke udara. Beliau cuba melawan bau hanyir darah dan selut yang mula mencengkam tekak.
?"Kamil! Sini sekejap," panggilnya dengan suara garau sambil mengecilkan mata memandang rumpun lalang setinggi dada.
?Sarjan Kamil menabik hormat, sebelum berlari anak mendekati ketuanya. Beliau segera mengeluarkan buku nota tiga perlima dari poket baju.
?"Ya, Tuan!" sahut Sarjan Kamil.
?"Apa yang kita ada kat dalam tu? Siapa yang jumpa dulu?" tanya Asp Kamal sambil menghembus asap rokok ke tepi.
?"Laporan masuk pukul 7:45 pagi tadi, Tuan. Pengadu asal nama Pak Samad, pencari rotan. Dia terjumpa mayat ni masa nak potong jalan ikut landasan. Keadaan mangsa... agak mengerikan. Digantung pada palang kayu berbentuk 'T' persis orang-orang di sawah," jelas Sarjan Kamil dengan nada tertahan-tahan.
?Inspektor Rahman tidak terus menjawab. Beliau menyedut dalam-dalam rokoknya buat kali terakhir, sebelum mencampakkan puntung itu ke tanah. Kasut kulit jenama Bally miliknya, memijak puntung itu sehingga lumat ke dalam lumpur merah. Beliau melangkah melepasi sempadan tali kuning untuk mendekati kawasan tengah perimeter sambil diekori rapat oleh Sarjan Kamil.
?Semakin dekat mereka melangkah, semakin jelas 'karya' ngeri tinggalan si pelaku. Keadaan di dalam perimeter itu terasa mati malah angin yang bertiup juga bagai enggan singgah lama di situ.
?Tubuh kaku itu mendepang tangan di atas kayu palang yang dipaku kasar. Baju kurungnya koyak di beberapa bahagian serta dikotori sisa selut kering dan tompokan darah coklat pekat. Guni gandum yang menyarung kepala mangsa pula kelihatan lembap. Jerutan tali rafia hijau pada pangkal leher, mengikat kemas seluruh wajah dan hanya menyisakan hujung rambut yang kusut-masai terjulur keluar.
?"Tuan," panggil seorang Konstabel forensik yang sedang memegang sebuah kamera analog jenama Yashica.
"Kami dah ambil gambar dari arah depan dan rusuk kanan. Boleh kami buka sarung guni ni sekarang?"
?"Tunggu dulu," pintas Asp Kamal memberi arahan. Konstabel itu menghentikan tindakannya.
Beliau berpusing mengelilingi palang kayu itu dengan teliti. Matanya singgah pada ikatan tali guni di pergelangan tangan mangsa.
"Kamil, kau tengok simpul tali dekat tangan mangsa ni."
?Sarjan Kamil membongkok sedikit untuk melihat lebih dekat.
"Kenapa dengan ikatan tu, Tuan?"
?"Ini simpul mati. Kemas dan ketat. Jelas bukan kerja orang yang tengah panik atau tergesa-gesa. Ini kerja orang yang tenang dan tahu apa yang dia mahukan. Pada firasat kau, ini kes samun?" tanya pegawai tersebut tanpa beralih pandangan.
?"Kalau samun, takkan sampai buat hiasan begini, Tuan. Barang kemas atau duit dalam beg tangan boleh bawak lari terus. Ini macam kes dendam atau ...mungkin amukan orang gila seks," balas Sarjan Kamil memberikan pendapat.
?"Bukan orang gila," bidas Asp Kamal dengan tegas.
"Orang gila tak ikat simpul sekemas ini. Orang gila juga takkan buang masa heret mayat sampai ke pinggir landasan kereta api semata-mata nak menunjuk kepada orang kampung. Ini satu pertunjukan. Dia nak kita tengok."
?DIa kemudiannya menoleh semula kepada Konstabel forensik.
"Buka guni tu sekarang. Hati-hati dengan kesan cap jari pada tali rafia."
?Menggunakan sebilah pisau kecil, Konstabel tersebut memotong tali rafia di pangkal leher dengan cermat. Suasana sekeliling perimeter serta-merta menjadi tegang, sebaik sahaja guni gandum itu ditarik perlahan-lahan ke atas.
Bau busuk yang terperangkap di dalam guni, memancut keluar sehingga membuatkan beberapa anggota polis muda, terpaksa memalingkan wajah dan menutup hidung dengan sapu tangan.
?Apabila sarung guni beralih sepenuhnya, sekujur wajah pucat lesi yang dipenuhi kesan lebam terdedah di bawah simbahan matahari. Mata mangsa terbeliak seolah-olah dalam ketakutan yang amat sangat, sebelum nyawanya diragut. Di sudut bibirnya pula ada kesan darah kering akibat penangan tamparan kuat.
?Sarjan Kamil yang berdiri di sebelah, terundur selangkah. Buku nota di tangannya hampir terlepas dari genggaman. Wajahnya berubah pucat. Keterkejutan. Begitu juga dengan yang lain.
?"Ya Allah, Tuan!" suara Sarjan Kamil langsung gugup. Selama dia bertugas di pekan kecil itu, ini pertama kalinya melihat keadaan mayat sebegini teruk.
Asp Kamal Mohamad menoleh dan melihat reaksi anggotanya.
"Kenapa, Kamil? Kau kenal mangsa?"
?"Ini... ini Marina, Tuan! Anak Mak Cik Timah dari Kampung Ulu Pilah," jawab Sarjan Kamil dengan nada separuh berbisik. Anak matanya masih tidak lepas dari memandang rupa mayat tersebut.
?"Kau pasti? Jangan buat serkap jarang, Kamil. Keadaan muka mangsa dah mula bengkak," uji Asp Kamal untuk mendapatkan kepastian.
?"Saya kenal sangat, Tuan. Kampung dia sebelah kampung saya saja. Lagipun, ibunya baru sahaja datang membuat aduan di balai subuh tadi. Katanya, Marina tak balik rumah sejak malam tadi. Marina menaiki basikal," kata Sarjan Kamil bersungguh-sungguh.
?Asp Kamal mengangguk faham lalu mencatat sesuatu dalam mindanya. Beliau kembali merenung wajah kaku Marina.
"Kalau dia tak balik sejak malam tadi, maknanya kejadian berlaku antara pukul 11 malam hingga awal subuh. Kamil, kau arahkan budak-budak kita cari basikal mangsa di sekitar laluan estet getah jalan pintas ke Kampung Ulu Pilah."
?"Baik, Tuan. Ada apa-apa lagi?"
?"Satu lagi," arah Asp Kamal sambil memandang ke arah kerumunan orang kampung di luar garisan kuning.
"Panggil Pak Samad yang jumpa mayat ni, tadi. Bawa dia ke mari. Aku nak soal siasat dia sekarang juga, sebelum cerita luar sempadan ni jadi makin karut."
?"Sedia, Tuan." Sarjan Kamil segera menabik hormat dan berlalu pergi untuk melaksanakan arahan.
?Kabus pagi di Kuala Pilah kini sudah hilang sepenuhnya lalu mendedahkan realiti sekeping nyawa gadis kampung yang diragut kejam di dalam estet sunyi.
Share this novel