Hari berganti hari, detik pendaftaran tiba akhirnya. Anisah Humaira bersiap awal. Dipakai blouse dan tudung pemberian Cikgu Sarah. Tanpa solekan. Hanya ditepek bedak baby yang wangi baunya. Bedak baby, bau baby.
Debar di hati Anisah Humaira. Sedikit takut dan gentar dengan imej dirinya. Selamat kembali ke sekolah, Anisah Humaira. Perjalanan dari rumah ke sekolah tidaklah terlalu jauh. Semakin dekat, semakin kuat debaran di hatinya. Sudahlah sendirian. Tiada kawan yang dia kenal.
Beberapa orang pelajar yang datang mendaftar memandang pelik pada dia. Mana tidaknya. Tudung yang dipakai itu bidang 60. Labuh. Padahal majoriti di situ mengikut "perkembangan" fesyen. Sepanjang sehari itu, tiada langsung yang mendekatinya. Anisah Humaira diam. Dalam hati sedikit sedih.
Pulang sahaja ke rumah, moodnya hilang. Terasa mahu berhenti sekolah. Dia tak selesa dengan suasana bercampur lelaki dan perempuan. Menghadap ke cermin, dia tertanya sendiri, apa yang salahnya dalam mengikut syariat? Hampir sahaja dia menangis di situ.
Teringat kembali apa yang berlaku di sekolah tadi membuatkan dia begitu down. Orang menjeling pelik. Dari guru sekolah, sampai mak cik cleaner, semua memandang pelik. Bukan dia tidak mendengar ada yang berbisik-bisik. Bukan dia tidak tahu ada yang mencemuh, menghina. Bukan dia tak perasan ada yang mengejek dan mentertawakan. Dia nampak semua itu.
Anisah Humaira terdiam sendiri. Dia rasa sangat perlukan seseorang saat ini. Mahu memberitahu Cikgu Sarah, takut dia mengganggu. Cikgu Sarah pasti sedang megajar. Anisah Humaira akhirnya hanya duduk dan termenung. Dalam fikirannya, menimbang tara antara dua keputusan. Berhenti atau teruskan?
Share this novel