PULANG dari pejabat, Miya singgah di pasar raya berniat mahu membeli barang mentah untuk stok seminggu. Punya target untuk memiliki rumah sendiri sebelum usia mencecah 35 tahun membuat dia sangat berhemat dalam berbelanja. Setiap hari dia akan memasak dan membawa bekal ke tempat kerja. Hanya sesekali jika teringin atau jika dipaksa Balqis barulah dia mengeluarkan sedikit duit untuk makan di luar.
Selesai membeli barang, dia segera memandu pulang memandangkan hari sudah agak malam. Saat dia keluar dari pasar raya tadi, jam di pergelangan tangannya sudah menunjukkan pukul sembilan malam.
Ketika Miya keluar dari kereta, telinganya disapa oleh suara garau yang membuat jantungnya berdetak kencang. Sontak dia menoleh sebelum wajahnya berubah pucat lesi. Seluruh sendi tubuh terasa lemah longlai.
“Bila nak langsaikan hutang bapak kau?” tanya lelaki itu dengan seringai mengerikan. Tiga orang anak buahnya di belakang turut menyeringai sambil menatap Miya seperti mahu menerkamnya.
“S…Saya…Ermmm…Boleh bagi tiga hari lagi?”
Terbahak-bahak lelaki itu ketawa mendengar jawapan Miya. Entah apa yang membuat mereka begitu terhibur, Miya tidak tahu. Sedang dia tidak sedang bergurau. Walaupun dia tidak pasti dalam tempoh tiga hari dia mampu menyediakan wang 80 ribu itu atau tidak, tetapi untuk saat ini, dia mahu lelaki-lelaki jahat itu nyah dari pandangannya.
“Baik. Tiga hari.” Lelaki yang Miya agak adalah ketua kumpulan itu bersetuju memberikan tempoh tiga hari lagi. “Sediakan duit 80 ribu. Kalau tidak, mandi wangi-wangi, nanti abang datang jemput.”
Lelaki itu cuba menyentuh pipi Miya, namun Miya mengundurkan wajahnya. Tidak sudi dia disentuh tangan kotor itu.
“Kecik hati abang,” ujar lelaki itu dengan nada mengejek, disambut gelak ketawa rakan-rakannya. Jelak Miya melihat aksi lintah-lintah darat itu.
“Abang balik dulu ya sayang. Lagi tiga hari abang datang semula. Jangan lari, nanti abang kejar.”
Lelaki-lelaki itu berlalu, dan Miya cepat-cepat mengambil barang-barang belanjaannya dari but kereta sebelum berlari naik ke rumahnya di tingkat tiga. Pintu dan tingkap dia kunci rapat sebelum dia terduduk lelah dengan nafas turun naik. Setelah dirasakan jantungnya kembali berdetak normal, segera dia mencapai telefon di dalam beg tangan dan menghubungi Balqis.
“Bee…Bee…”
“Kau kenapa Miya? What happened?” tanya Balqis, ikut cemas apabila mendengar suara Miya yang panik dan termengah-mengah.
“Lintah darat tu datang lagi nak kutip hutang.”
“Hah? Habis tu macam mana? Kau kat mana tu? Kau okey ke?”
“Aku…okey. Sekarang kat rumah. Lintah darat tu pun dah balik, tapi lagi tiga hari dia nak datang balik. Macam mana ni Bee…”
“Hari tu kau kata nak pergi buat loan? Dapat tak?”
“Dapat memang dapat, tapi nanti komitmen bulanan aku jadi banyak tau. Bila kira-kira, kalau aku buat loan 80k, nanti gaji aku tinggal RM1200 je. Mana cukup. Nak isi minyak kereta, nak beli barang makan, nak bayar sewa rumah, bil api, air…Susahlah Bee. Apa aku nak buat ni...”
Terdiam Balqis di hujung sana. Mungkin memikirkan solusi yang sesuai untuk masalah Miya.
“Bee…” Miya memanggil apabila beberapa saat berlalu, Balqis tidak berkata apa-apa.
“Miya…” Suara Balqis kedengaran berat. “Aku rasa, baik kau terima je lamaran lelaki tu. Tapi pastikan ada perjanjian hitam putih, dan kau nampak dia bayar hutang 80k bapak kau tu.”
Tubuh Miya merosot. Dia sebolehnya tidak mahu menerima lamaran itu. Tetapi dalam keadaan sekarang ini, dia benar-benar tidak punya pilihan.
“Aku tak tahulah Bee…”
“Miya, sekarang ni bahagia tak bahagia belakang cerita. Yang penting lelaki tu dah janji nak settlekan hutang bapak kau. Kau kahwin, selesai masalah kau. Tak bahagia pun takpe sebab lepas setahun dia akan ceraikan kau. Lepas tu kau boleh teruskan hidup kau macam biasa, cari calon suami baru.” Senang Balqis berbicara seolah-olah hal berkait perkahwinan itu hanyalah perkara enteng seperti bermain pondok-pondok.
Namun, hingga saat ini Miya juga tidak nampak jalan penyelesaian yang lain. 80 ribu bukan sedikit jumlahnya. Hampir sama dengan harga sebuah kereta. Jika buat loan 9 tahun, bulan-bulan dalam 7 hingga 8 ratus juga jika buat pinjaman penuh. Tujuh lapan ratus sebulan dikorbankan untuk perkara sia-sia. Jika bapanya berhutang untuk menyekolahkannya, tidaklah dia terkilan. Ini berjudi. Sudah sah-sah hukumnya haram di sisi Islam.
“Okeylah Bee. Nantilah aku fikir. Kalau ada apa-apa, aku call kau balik.”
“Kalau kau takut, datanglah bermalam rumah aku.”
“Takpelah. Aku rasa dia orang tak datang lagi dah kut.”
“Emmm yalah. Jaga diri tau.”
“Okey. Bye.” Miya memutuskan panggilan lalu mengeluh berat. Menyandarkan tubuhnya ke dinding, dia menengadah; cuba memikirkan baik dan buruk jika dia menerima lamaran lelaki yang bernama Adrian itu.
.
.
.
ADRIAN tersenyum saat melihat panggilan dari nombor yang tidak dikenali pada telefonnnya. Boleh mengagak siapa gerangan pemanggil.
Tanpa mengubah posisinya yang sedang bersandar santai pada tempat duduknya, telunjuknya menggeser skrin menjawab panggilan itu.
"Hello..."
"Hello Encik Adrian. Saya...Miya..."
“Ya, Cik Miya…Dah pertimbangkan lamaran I?” tanyanya tanpa basa basi.
“Ya. Saya terima lamaran dan tawaran Encik.”
Senyum Adrian melebar mendengar penuturan Miya. “Good.”
“But I want to put it down in black and white first.” Teratur Miya menyusun kata supaya Adrian jelas dengan permintaannya.
“That’s not a big deal. My lawyer will prepare the agreement.”
“Okey…”
Adrian tersenyum puas. Akhirnya terlerai satu kekusutan.
“I’ll see you in three days, together with my lawyer and my assistant, then we’ll sign the agreement. Awak boleh bawa seorang ahli keluarga untuk jadi saksi.”
“Saya tak ada keluarga. Tapi saya akan bawa kawan saya," jawab Miya.
“Okay. Send me your address.”
“Okay.”
Adrian memutuskan talian dengan senyum senang. Bagai tuah datang bergolek kerana bertemu Miya di saat keadaan mereka saling mendesak. Selain terdesak, Miya memiliki pakej tambahan lain. Cantik dan…bijak. Dia belum kenal siapa Miya, tetapi mendengar tutur kata dan pembawaan diri gadis itu, dia yakin Miya wanita terpelajar. Tidaklah malu dia mahu memperkenalkan Miya pada keluarganya dan keluarga arwah isterinya, Dahlia.
.
.
.
Tepat tiga hari seperti yang dijanjikan, Adrian muncul bersama peguam dan pembantu peribadinya di rumah Miya.
“Cik Miya boleh baca dulu isi perjanjian ni, lepas tu turunkan tandatangan,” ujar Christian, peguam Adrian sambil menghulurkan sebuah fail kepada Miya.
Miya menyambut fail yang dihulurkan Christian sebelum membaca isi perjanjian itu bersama Balqis.
Jika diikutkan, dia tidak akan rugi apa-apa melalui perkahwinan itu. Mendapat satu juta ringgit dan sebuah rumah, maka nikmat Tuhan manakah yang engkau dustakan? Satu juta itu sudah lebih dari cukup untuk dia menampung hidupnya sehingga akhir hayat, disamping gaji bulanannya sebagai Pengurus Pemasaran. Dan dia tidak perlu berhutang untuk membeli rumah. Rumah yang dia sewa sekarang bolehlah dia lepaskan. Berkurang satu komitmen bulanannya.
Namun, ada satu syarat perjanjian yang membuat dia dan Balqis saling berpandangan. Syarat di mana dia tidak dibenarkan hamil dalam tempoh setahun ini bagi mengelakkan dia dan Adrian terikat antara satu sama lain. Jika tidak, semua pampasan yang dijanjikan itu akan ditarik balik. Membaca isi perjanjian itu membuat Miya merinding. Bukankah itu bermakna dia perlu menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, memenuhi keperluan batin suaminya? Ya, jika tidak, mengapa wujud syarat serupa itu?
Puff…bolehkah suami isteri tanpa rasa cinta, melakukan itu? Bukankah hubungan suami isteri itu perlu dilakukan dengan rasa cinta, rasa suka, rasa ingin memiliki dan dimiliki? Dia tidak punya pengalaman, tetapi setidaknya itulah yang dia harapkan saat dia menyerahkan tubuhnya kepada lelaki bergelar suami.
Sejenak, Miya mendongak memandang Adrian yang sedang menatapnya datar. Tatapan lelaki itu dengan aura wajahnya yang menyerlahkan kesombongan, membuat tekad Miya hampir melebur. Bagaimana dia mahu tidur sekatil dengan lelaki ini dan hidup bersamanya selama setahun? Bagaimana nanti dia harus menghadapi dan melalui saat itu?
Ah, Miya malas memikirkannya. Lebih baik ditiduri seorang lelaki dengan status suami yang sah daripada terus dibelenggu hutang ayahnya dan mungkin menjadi mangsa rogol beramai-ramai.
“Macam mana?” tanya Adrian; mungkin tidak sabar menunggu Miya menorehkan tandatangannya pada kertas perjanjian itu.
“Saya nak tengok encik bayar hutang lintah darat tu dulu, baru saya turunkan tandatangan.” Miya tidak terburu-buru menurunkan tandatangan, kerana matlamat utamanya menyetujui perkahwinan ini adalah kerana hutang itu.
“Sekejap lagi mereka sampai dan saya akan bayar mereka cash,” ujar Adrian.
Miya mengangguk. Pen di tangannya diletakkan. Dia mahu menunggu penagih hutang itu datang, mendapat bayaran daripada Adrian, selepas itu barulah dia menurunkan tandatangan.
Melihat tingkah Miya itu membuat Adrian mengulum senyum. Nampak lembut dan naif, tetapi tegas dan jelas dengan apa yang dimahukannya.
Sepuluh minit menunggu, lelaki lintah darat itu muncul bersama empat orang konconya. Eryna, pembantu peribadi Adrian mengambil briefcase hitam yang sudah disiapkan lebih awal lalu diletakkan di atas meja. Penutup briefcase itu dibuka dan memperlihatkan isinya. Beberapa berkas not 100 yang jumlah satu berkasnya mungkin seribu, terpampang di depan mata.
Bulat mata lelaki itu dengan seringai kagum. Dengan isyarat mata, dia meminta konconya itu mengira wang di dalam briefcase itu. Adrian mahu memberikannya cek, tetapi dia mahukan tunai.
Suasana hening saat empat lelaki itu mengira wang tunai yang diserahkan Adrian. Lebih dua puluh minit berlalu, mereka akhirnya selesai.
“Cukup, bos!” ujar salah seorang daripada mereka.
Lelaki yang dipanggil bos itu mengangguk puas hati.
“Bagus. Aku suka berurusan dengan orang yang menepati janji,” ujarnya lantas menghulurkan tangan ke arah Adrian, namun Adrian tidak menyambutnya. Memandang saja tidak, membuat lelaki itu menarik semula tangannya dengan wajah bengang.
Tanpa berkata apa-apa, dia terus berlalu keluar diikuti oleh konco-konconya.
“So, boleh sign sekarang?” tanya Adrian apabila melihat Miya terkebil-kebil memandang ke arah pintu, mungkin masih tidak percaya hutang 80 ribu itu sudah lunas.
“Oh…Ya.” Miya tersentak. Pen dicapai dan tanpa berfikir panjang, dia menurunkan tandatangannya.
“Ok, selesai” ujar Christian lalu mengambil dokumen yang baru ditandatangani Miya dan memasukkannya ke dalam fail.
“Kita kahwin Ahad minggu depan. Saya akan hantar orang untuk jemput awak,” ujar Adrian sambil memandang Miya.
Miya hanya mengangguk. Hari ini dia dapat melihat wajah Adrian dengan jelas. Kacak tetapi aura wajahnya terkesan angkuh. Bagaimanalah lelaki seperti ini boleh berkahwin dan mempunyai anak? Apa anaknya juga mewarisi sifat sombongnya itu?
“Kami minta diri dulu,” ujar Eryna, sebelum dia, Adrian, dan Christian keluar dari kediaman Miya.
Ketika berada di koridor, Eryna menjenguk ke bawah.
“You kata dia lompat dari sini?” soalnya lalu memandang Adrian.
“Yeah.”
“Wow...Not an ordinary woman,,” ujarnya.
Adrian tertawa perlahan. Dia pun tidak sangka Miya boleh bertindak seberani itu.
Miya Liany.
Seindah namanya, namun tidak mungkin dapat menggantikan tempat Dahlia di hatinya. Perkahwinan dengan Miya hanya tiket untuk memastikan penjagaan Miya Felora terus bersamanya. Dia mahu menjaga dan membesarkan Lora. Dia mahu melihat Lora membesar di depan matanya.
Anak perempuannya itu mengalami kemurungan sejak kematian Dahlia akibat kemalangan setahun yang lalu. Lora menjadi pendiam dan kurang bercakap. Sepatah yang ditanya, sepatah juga dijawab. Kadang-kadang hanya dibiar berlalu sepi. Bingung dia memikirkan perubahan sikap anaknya itu. Walaupun sudah dibawa berjumpa pakar, sikap Lora tetap begitu.
Dia faham perasaan Lora yang terasa kehilangan. Dia juga sama. Tetapi hidup mesti diteruskan.
.
.
.
“AKU terima nikahnya Miya Liany binti Abdullah dengan mas kahwinnya seribu ringgit, tunai.”
Dengan sekali lafaz, akhirnya Miya sah menjadi isteri Adrian. Dia tidak tahu apa perasaannya ketika ini. Gembira? Sedih? Terharu? Entahlah. Dia buntu. Kosong. Tapi sejujurnya dia lega kerana akhirnya dia tidak lagi dibelenggu oleh hutang-hutang ayahnya.
Majlis perkahwinan itu hanya diadakan secara ringkas dan dihadiri oleh keluarga Adrian, ibu bapa Dahlia, dan Balqis. Adrian memakaikan rantai dengan loket berlian ke leher Miya sebagai hadiah perkahwinan. Kata Adrian cincin terlalu signfikan dengan perkahwinan. Dia tidak mahu sesiapa mengesyaki Miya sudah berkahwin atau bertunang apabila melihat cincin di jari manisnya. Miya hanya menurut. Kata-kata Adrian itu ada logiknya juga.
Miya menahan nafas saat Adrian memakaikan rantai itu ke lehernya. Dia tidak pernah dihampiri lelaki sedekat ini. Haruman Amouage Interlude dari tubuh Adrian menusuk hidung, membuatkan dia sedikit khayal. Tidak semena-mena dia merasa berdebar-debar. Rasanya mahu saja dia berpura-pura pengsan atau koma dan sedar setahun kemudian supaya tempoh setahun ini berlalu dengan cepat. Namun, dia sedar itu tidak mungkin berlaku. Suka atau tidak, tempoh setahun ini harus dilaluinya.
SEBAIK sahaja selesai majlis, Adrian memperkenalkan Miya kepada anak perempuannya. Gadis kecil itu baru berusia lima tahun dan kelihatan agak pasif dan dingin. Persis ayahnya.
“Lora, this is aunt Miya.” Adrian bertinggung, sambil memandang tepat ke mata anaknya.
Miya hanya memerhati. Adrian kelihatan seperti bapa yang penyayang dan bertanggungjawab. Cara dia bercakap dengan anaknya juga lembut. Membuat Miya terfikir masih wujud rupanya bapa yang baik dalam dunia ini.
“Hai, Lora.” Walaupun agak kekok, Miya menyapa anak tirinya itu sambil menghadiahkan senyum paling manis.
“Lora, say hi to your new mommy,” ujar Datin Fauziah, ibu Dahlia.
New mommy? Ah, baru beberapa minit berkahwin, sudah dapat gelaran mommy. Kedengaran janggal panggilan itu di telinganya.
“Hai Miya,” sapa Lora. Dingin. Nampak sekali tiada keikhlasan dalam sapaan itu.
Adrian terkejut. Begitu juga Datin Fauziah. Miya pula berubah rona wajahnya. Selamba Lora menyapanya Miya. Seperti kawan sebayanya saja.
Tidak perlu menguras otak untuk dia menyimpulkan yang Lora tidak suka dan tidak menyenangi kehadirannya. Ya, anak mana yang suka tempat ibu mereka digantikan oleh wanita lain.
“Lora, you can’t call adults by name. That is not polite,” tegur Adrian. Walaupun suaranya masih lembut, tetapi nadanya kedengaran agak keras membuat wajah Lora berubah dan hampir menangis.
“No..no..It’s okay. You can call me Miya. Never mind,” ujar Miya apabila melihat wajah Lora yang naif dan kosong itu hampir menangis. Sekalipun dia tersinggung kerana Lora kedengaran agak biadap dengan hanya memanggilnya Miya tanpa gelaran auntie atau makcik, atau setidaknya kakak, tetapi dia tidak tega melihat anak kecil itu dimarah bapanya.
Adrian yang sedang bertinggung, mengangkat muka memandang Miya. Wajahnya yang datar dan tidak menunjukkan sebarang eskpresi itu membuat Miya kecut perut tiba-tiba. Adakah lelaki itu marah kerana dia masuk campur ketika cuba mengajar anaknya? Jika ya, ah dia menyesal.
“I think we should give her some time to adapt with this situation," ujar Miya. Dia harap Adrian dapat menerima alasannya dan berhenti memandangnya dengan wajah kosong tidak berperasaan begitu.
“Okay.” Adrian akhirnya bangun. Dia sebenarnya tidak menyangka Miya tidak langsung menunjukkan reaksi marah apabila Lora hanya memanggilnya dengan nama. Walaupun dia tidak begitu senang dengan tindakan anaknya itu, tetapi mungkin Miya betul. Lora perlu diberikan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru ini.
Miya menghembus nafas lega. Lelaki ini dan anak perempuannya benar-benar membuat dadanya sesak. Pandangan ibu bapa Dahlia juga membuatkannya salah tingkah. Entah apa yang bermain dalam fikiran mereka. Ya, sedikit sebanyak tentu mereka akan meragui juga perkahwinan yang agak tergesa-gesa ini, tetapi menurut Adrian, apa sahaja yang ditanya oleh keluarga Dahlia, biarkan dia sahaja yang menjawabnya. Miya tidak perlu berkata apa-apa. Namun, sehingga detik ini mereka tidak mempersoalkan apa-apa.
Keluarga Adrian juga agak terbuka dengan perkahwinan ini. Ibunya berketurunan Kadazan, manakala bapanya Cina. Patutlah wajahnya tidak terlalu ketara kecinaannya. Mungkin genetik ibunya lebih kuat. Anaknya Lora? Comel. Lebih mirip bapanya. Ibunya pun tentu sangat cantik.
Sebelum Miya melangkah masuk ke dalam kereta bersama Adrian dan Lora, Datin Fauziah menghampiri dan menangkap pergelangan tangannya.
“Saya harap awak boleh jaga Lora dengan baik. Kalau saya dengar satu saja komplen daripada dia, saya takkan lepaskan awak!” bisik Datin Fauziah. Nadanya penuh ancaman namun wajahnya mengukir senyum. Dia tidak mahu Adrian tahu apa yang dia perkatakan kepada Miya.
Miya meneguk liur. Adakah dia sedang menempah bala apabila bersetuju berkahwin dengan Adrian? Adrian dingin, sombong, dan beku dengannya. Lora tidak menyenanginya. Datin Fauziah juga tidak sukakannya. Ah, dunia apa yang sedang dia lalui sekarang? Hanya keluarga Adrian kelihatan agak mesra dan terbuka. Tidak sangka keluarga kaya dan ternama itu tidak mempersoalkan perkahwinan Adrian dengan gadis yang tidak punya apa-apa sepertinya. Sudahlah tidak berharta, keluarga pun tidak ada. Mujur ada Balqis yang setia menemaninya.
“Apa yang Datin Fauziah bagitahu awak tadi?” tanya Adrian tanpa memandang Miya. Matanya tertumpu ke arah jalan dan tangannya lurus memegang stereng.
“Nothing. Dia suruh saya jaga Lora dengan baik ,” balas Miya. Kemudian dia menoleh ke belakang memandang Lora yang sedang termenung memandang ke luar tingkap. Anak kecil itu seolah-olah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekelilingnya dan hidup dalam dunianya sendiri.
“Kalau dia suruh awak jaga Lora dengan baik, then that’s not nothing, but something you must do. She’s my daughter and not nothing,” ujar Adrian. Keras nadanya membuat Miya terasa seperti ada sesuatu menikam jantungnya. Terasa seperti mahu menangis namun tiada air mata yang keluar.
Adrian masih asing padanya, tetapi kata-kata lelaki itu cukup pedih dan menusuk. Dia tidak bermaksud untuk mengatakan Lora adalah ‘nothing’. Mengapa Adrian menyalah tafsir kata-katanya? Perlukah dia memberi penjelasan? Ah, buang masa. Adrian bukan peduli. Lihat wajahnya yang dingin itu saja dia sudah tahu.
“I’m sorry.” Akhirnya Miya hanya meminta maaf. Dia malas berbalah atau memanjangkan perkara ini. Perkahwinan ini bukan atas dasar cinta. Jadi dia tidak perlu mengharap Adrian untuk meminta maaf atau memujuknya. Lebih baik dia menjaga hati sendiri.
“Nanny and maid akan datang petang ni.” Adrian mengalih perbualan apabila melihat wajah Miya yang sudah berubah rona.
“I don’t need them,” balas Miya membuat Adrian memandangnya sekilas.
“They’re not for you. They’re for Lora,” tingkah Adrian.
“I know. But I don’t like strangers in the house,” ujar Miya.
“So, siapa yang akan jaga Lora dan buat semua kerja rumah? Awak boleh buat sorang? You work, right?” Soal Adrian.
“Yeah. But I can do it. Bukan masalah besar. Saya memang betul-betul tak suka orang asing dalam rumah,” tegas Miya.
“Kalau itu yang awak nak…Okay. Awak kena kejutkan Lora pukul tujuh pagi setiap hari, siapkan dia untuk ke sekolah dan pastikan dia sarapan,” ujar Adrian.
“Okay.”
Share this novel
??