BAB 4

Romance Series 6776

" Ha. Macam mana? dapat cari tak?! "

Kus semangat.

Lontaran suara Haqiem yang tiba-tiba itu benar-benar buat Faiqa terperanjat. Sudahlah dia baru sampai, kakinya baru saja menyentuh lantai bilik pejabat Haqiem. Boleh pulak abangnya itu menyergah dia seperti itu.

Dengan lagak selamba, Faiqa kerling riak tidak sabar yang jelas terpampang di wajah Haqiem.

Huh, tahu pun mengelabah!

Faiqa kemudiannya membawa langkahnya ke arah sofa yang ada di penjuru bilik pejabat Haqiem. Di letakkan duduknya di situ sambil melepaskan nafas yang terasa mengah dan semput.

" Aika. Dengar tak ni? Along tanya mana perginya budak tu? dah jumpa dia ke belum? " tanya Haqiem kalut. Dia turut sama melabuhkan duduknya di hadapan Faiqa.

" Hisyhhh, Along ni... Kot ya pun nak tahu bagilah Aika duduk dulu. Penat tau Aika nak menapak ke bilik along ni. " rungut Faiqa sambil membetulkan shawl yang sedang melilit kepalanya. Shawl satin bercorak bunga tulip pemberian kakak iparnya beberapa bulan lepas.

Herot mulut Haqiem mendengar ucapan dari adiknya. Penat konon. Padahal bilik Faiqa bukannya jauh mana. Sebelah bilik pejabat dia je.

" Ha, sekarang Aika dah duduk dah kan. So macam mana? ada jumpa tak budak tu? " masih giat Haqiem menayakan soalan yang sama. Memang dia tak sabar nak tahu ke mana hilangnya pengasuh baru yang dipercayai sangat oleh Faiqa.

" Along ni kan, cubalah cakap tu lemah lembut sikit. Ni tidak, asyik cakap macam orang tak ada perasaan je. " tanpa hujung pangkal tiba-tiba Faiqa menempelek perilaku Haqiem.

" Eh, kenapa along pulak. Along cakap macam biasa je. " pantas Haqiem membalas. Suka-suka hati je Faiqa nak complain itu ini tentang diri dia.

" Biasanya apanya. Hari tu along ada marah-marah pada Nufa tu kan? " soal Faiqa sambil mengerutkan pelipisnya.

Haqiem menayang senyum jengkel. Tak sangka hal sekecil itu pun nak mengadu.

" Aika pun tahu kan. Along bukannya orang yang suka menunggu. Dia pulak jenis terhegeh-hegeh. Berjam duduk dalam tandas tu. Entah apa yang dia buat pun tak tahu lah! " gumam Haqiem memecahkan sunyi selang beberapa saat kemudian.

" La, kan dia sakit perut. Nak keluar dari tandas tu tentulah ambik masa sikit. " balas Faiqa cuba mempertahankan Nufa yang jelas tidak berbuat salah. Kalau bukan kerana Mak Uda yang memberitahunya, dia sendiri pun tak tahu apa yang berlaku tempoh hari.

" Sakit perut? Aika percaya ke? kot-kot dia temberang kita je. Budak macam tu bukannya boleh dipercayai sangat. Ni dah menghilang tah ke mana. Bukan sepatutnya hari-hari dia kena datang dekat rumah along ke? " serkap jarang dari Haqiem buat pandangan Faiqa meluru tajam ke wajah abangnya. Semerta Faiqa mengetap bibir.

" Aika bagi dia cuti. "

" Cuti???? wah, mudah betul kerja dia. Mentang-mentang duit dah dapat kan. " sela Haqiem sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Fikirannya laju merancangkan sesuatu. Andai benar tekaannya gadis itu telah menipu mereka. Tahu lah nasib gadis itu nanti.

" Eh, along ni dah kenapa? Sejak bila pulak along suka sangat buruk sangka dekat orang ni? Aika bagi Nufa tu cuti sebab Aika nak dia berehat. Lagi pun tak lama lagi kan Emir dah boleh keluar dari hospital. Jadi Aika nak Nufa tu rest betul-betul. Kalau emosi dia tak stabil macam mana dia nak sesuaikan diri dengan Emir tu nanti. Along ingat mudah ke dia nak menyusukan baby seusia Emir tu nanti. " panjang hujahan Faiqa sekaligus mengendurkan urat tegang di muka Haqiem.

Haqiem diam buat seketika. Dikawal air muka agar tak terlihat rasa bersalahnya kerana terbabas menuduh.

" Ha. Kenapa tiba-tiba diam? dah habis idea nak menjawab ke? " giat Faiqa membawa kembali pandangan Haqiem padanya.

" Along bukannya apa. Bukan nak menuduh sangat pun. Tapi zaman orang terdesak duit ni, kita kenalah hati-hati. Kena simpan sikit rasa curiga pada orang yang baru kita kenal. Nak-nak lagi dengan budak tu. Dah dapat duit, tiba-tiba menghilang. Macam mana along tak curiga. " bebel Haqiem masih merasa dirinya tidak bersalah.

" Asyik panggil budak tu, budak tu... nama dia Nufa la! " tekan Faiqa bila Haqiem tak sudah memanggil Nufa dengan nama yang tidak sesuai.

Haqiem senyum sungging. Mempamerkan riak malas nak kisah tentang apa yang dibebelkan oleh adiknya.

" dan lagi satu. Walaupun Aika tak kenal sangat dengan Nufa tu, tapi Aika yakin dia seorang gadis yang baik. "

Ya. Pertama kali Faiqa berjumpa dengan Nufa Aulia, Faiqa boleh rasakan gadis itu bukan seperti yang Haqiem gambarkan.

Haqiem tersenyum kecil. Keyakinan Faiqa menilai keperibadian orang yang baru dia kenali memang ternyata payah untuk digugat.

" By the way. Petang nanti Aika nak ajak Nufa pergi hospital. Lepas tu Aika ingat nak pergi melawat Emir sekali. Along nak ikut sekali tak? "

" Boleh. Tapi bagi along settlekan kerja along dulu. "

" Alright, bos. "

Faiqa tayang sengih. Harap-harap Haqiem tak terkejutlah bila berjumpa dengan pengasuh Emir tu nanti.

.
. .

Nufa paksa diri untuk bangkit. Kepala yang berpusing, tekak yang terasa mual benar-benar buat dia berasa tidak selesa sekarang. Namun demi menunaikan janjinya untuk keluar bersama Faiqa petang itu, Nufa gagahkan juga dirinya untuk bersiap serba ringkas.

Dengan hanya mengenakan dress lengan panjang dan seluar jeans Nufa menanti ketibaan Faiqa dengan sedikit debar di dada. Menurut kata Faiqa, hari ini dia akan di bawa ke hospital. Kondisi tubuhnya akan diperiksa. Doktor mahu melihat perkembangan tubuhnya selepas dia mengambil pil hormon yang diberikan Faiqa tempoh hari.

Selang beberapa minit menanti, telefonnya berbunyi. Faiqa memaklumkan bahawa dia sudah tiba di hadapan rumah sewa Nufa. Tidak mahu adik majikannya itu menunggu lama, Nufa lantas pamit tanpa memaklumkan kepergiaannya pada Kelly yang sedang lena ketiduran.

" Awak okay ke, Nufa? " soal Faiqa sebaik kenderaan yang dipandu meluncur laju di atas jalan raya. Melihat muka Nufa yang pucat buat hati Faiqa mulai berlagu resah.

" Saya okay. Tapi badan rasa lemah sikit. "

Jujurnya setelah mereka bertemu beberapa kali, Nufa mulai selesa berborak dengan Faiqa. Malah dia juga turut membiasakan dirinya memanggil Faiqa dengan panggilan Aika saja.

" Kenapa? Awak tak cukup rehat ke? "

Nufa geleng sedikit kepalanya.

" Rehat cukup. Mungkin sebab saya makan pil hormon tu kot. Sebab saya perasaan, setiap kali lepas makan pil tu kepala saya mesti rasa pening. "

Faiqa angguk-angguk kepalanya. Mengiakan dalam diam tekaan Nufa yang dia rasakan ada logiknya.

" Nanti kita tanya doktor. Sama ada ubat tu sesuai untuk awak atau tidak. Andai kata tak sesuai, kita mintak doktor suggest ubat lain. " balas Faiqa mengerling sekilas Nufa yang hanya senyum tanpa mahu menyoal lebih.

" Oh ya. Hari ni lepas kita check up dengan doktor, saya nak bawak awak jumpa dengan baby Emir. Kebetulan abang saya pun ada dekat sana. Nanti boleh la awak kenal-kenal dengan majikan awak tu. Awak pun belum pernah jumpa lagi dengan dia kan? " sambung Faiqa.

Nufa angguk tenang. Namun tenangnya itu hanyalah luaran saja. Padahal hati dah dipalu debaran. Sebu sudah memulas segala urat perut. Nak-nak lagi mengingatkan suara Haqiem yang memekik kuat tempoh hari. Aduh, gusar hati Nufa dibuatnya.

" Pasal kejadian tempoh hari, saya nak mintak maaf dekat awak. Abang saya memang macam tu. Dia jenis kasar sikit orangnya. Nak-nak lagi dengan orang yang dia tak kenal. Tapi kalau dah lama-lama kenal, mesti awak akan selesa dengan dia. " Terang Faiqa seperti tahu apa yang ada dalam fikiran Nufa.

Spontan bibir Nufa melakar senyum. Dia tahu Faiqa berniat baik. Wanita itu sedang cuba menjaga perasaannya. Tapi dia bukanlah jenis orang yang suka bersangka buruk. Dia tidak pernah menilai seseorang melalui luaran. Lagi pula, kejadian tempoh hari berlaku adalah kerana kecuaiannya sendiri. Dia yang tidak berterus terang pada Mak Uda tentang dirinya yang tidak boleh minum minuman berkafein. Akibat dari tindakannya itu perutnya memulas hingga ke petang.

" Jom keluar. Kita dah sampai ni. " ajak Faiqa sekaligus memecahkan cermin khayalan Nufa.

Sekali lalu Nufa menoleh memandang. Besarnya hospital ni. Tentu yang datang ke sini dari kalangan orang berada. Degus hati Nufa seraya menyusul langkah Faiqa biar mereka dapat jalan seiring.

Selang beberapa minit selepas mendaftar, nama Nufa diseru. Nufa masuk ke dalam bilik rawatan itu tanpa ditemani oleh Faiqa. Hati yang gundah, berasa sedikit lega tatkala menerima layanan yang baik dari doktor dan nurse yang merawat. Beberapa sesi rawatan dijalankan. Penerangan demi penerangan diberikan namun tidak semuanya melekat masuk ke dalam otak Nufa.

" Untuk merangsang pengeluaran susu yang banyak, Cik Nufa kena kerap mengurut. Urut dekat sini berulang kali. Buat sebanyak yang mungkin. Paling kurang 8 hingga 10 kali selama 10 minit. Kalau ada masa boleh gunakan pam sebagai langkah kedua bagi mengalakkan lagi pengeluaran susu. Tapi pastikan pam tu betul-betul sesuai dengan size nipple. " hujahan berjela doktor perempuan itu disambut anggukan perlahan dari Nufa. Canggung dan janggal pada awalnya, namun setelah beberapa minit bersama doktor wanita itu, segala rasa kurang enak mulai berlalu pergi.

" so macam mana Cik Nufa rasa sekarang? ada perubahan tak lepas makan pil hormon tu? "

" Ada. Saya rasa pening dan mual. " jujur Nufa meluahkan.

" Permulaannya memang akan rasa begitu. Tapi lama kelamaan selepas badan menerima, insyallah rasa pening dan mual tu akan beransur kurang. " tersenyum doktor itu melihat Nufa yang terlihat polos.

" Kalau macam tu Cik Nufa baring dulu dekat atas sana. Saya nak check, sama ada payudara dah berjaya menghasilkan susu atau tidak. "

Akur dengan permintaan itu, Nufa lantas berbaring. Segala rasa kekok dibuang jauh ke tepi.

Keluar saja dari bilik rawatan, Nufa segera mendapatkan Faiqa yang sedang setia menantinya. Figura seseorang di sebelah Faiqa, mengamit pandangannya untuk berhenti seketika di situ.

" Dah siap? "

Nufa angguk. Satu senyuman meniti di bibir.

" Doktor cakap apa? "

" Okay. "

" Aik, sikit pun lama duduk dekat dalam tu. Takkan okay je? " celah Haqiem sinis dan selamba. Kepala yang tadinya menunduk, serentak ditoleh ke arah kiri.

" Hisyhhh... apa along ni. " gumam Faiqa dengan muka geram. Melihat mata Haqiem yang sedari tadi tak terkalih memandang Nufa buat dia lantas menghayun siku tepat ke dada abangnya.

Mulut bukan main jahat. Mata gatal jugak!

" Aduhhh. Sakitlah! "

Haqiem mengeringai. Di usap atas dada yang terasa senak. Faiqa ni pun kalau nak pukul orang tu tak beragak. Sakit tahu tak!

" tapi tak ada apa-apa masalah kan? " Faiqa bertanya lembut. Langsung tak dihiraukan keadaan Haqiem yang masih mengaduh kesakitan.

" Tak ada. Cuma doktor ada sarankan saya makan vitamin. Tapi saya dah lupa jenama apa yang doktor tu sebut tadi. " Nufa sengih. Malu-malu bila dirinya gagal mengingati nama vitamun yang disebut doktor wanita tadi.

" yang tu tak apa. Nanti saya tanya doktor tu. Sekarang jom, kita pergi tengok baby pulak. " Faiqa bingkas berdiri. Haqiem di sebelah turut berbuat perkara yang sama.

" Err.. sebelum tu, boleh tak saya nak pergi ke tandas sekejap. " ujar Nufa sedikit perlahan. Risau jika permintaannya itu tidak disenangi oleh lelaki di sebelah Faiqa yang sedari tadi merenungnya seperti seorang pesalah juvana.

" Boleh. Saya tunggu awak dekat tingkat 3. Nanti kalau dah siap awak terus ke sana okay. " Faiqa jinjit beg tangannya. Bersedia untuk bergerak. Namun terhenti sebelum pandangannya singgah pada Haqiem di sisi.

" Along tak payahlah ikut. Along tunggu dekat sini kejap. " halang Faiqa tiba-tiba.

" Eh, kenapa pulak along nak kena tunggu dekat sini? " muka Haqiem berkerut. Bingung.

" Nufa kan nak pergi toilet. Along tunggulah dia sekejap. "

Haqiem menggeleng. Riak tak puas hati terbentuk jelas di riak wajahnya.

" Aika pun tahu kan. Along tak suka menunggu. "

" Alaaa.. tunggu lah kejap. Kang kalau Nufa tersesat susah pulak. " Faiqa tersengih dengan sebelah kening terangkat-angkat ke arah Haqiem. Berharap agar Haqiem tidak banyak soal dan menurut saja permintaannya.

" Telefon kan ada. Takkan tak reti nak guna. Dah siap nanti telefon jelah. Apa yang susah sangat. " rungut Haqiem selamba.

" tapi kan ..... "

" Dah. Dah. Jom kita pegi dulu. Dah siap nanti jangan lupa call! " arah Haqiem sengaja menekan perkataan di hujungnya. Dijeling sekilas reaksi Nufa yang sedang terpinga-pinga sebelum dia menuntun langkah pergi dari situ.

Faiqa gigit hujung bibir bagi mengawal rasa geram. Kelancangan Haqiem bercakap buat Faiqa rasa nak sagat je mulut abangnya dengan mesin kelapa parut. Namun demi terpandangkan Nufa, Faiqa orak senyum lalu meletakkan tangan kanannya di atas bahu gadis itu. Berharap Nufa bertenang dan tidak memikirkan sangat perangai pelik abangnya yang kadangkala bersikap mengalahkan perempuan datang bulan.

" Tuan Haqiem tu .... dia macam tak suka kat saya je. " entah apa yang mendorong Nufa sehingga dengan beraninya dia menyoal. Tapi reaksi Haqiem sebentar tadi menjelaskan apa yang sedang dia perkatakan.

" Nama pun Haqiem. Perangai pun macam hakim dekat majistret tu la! serius memanjang. " kerana geram laju Faiqa mengutuk abang sendiri.

Nufa tersenyum nipis.

" Awak jangan ambik hati tau. Jangan pedulikan sangat dengan perangai abang saya tu. Lepas isteri dia meninggal, perangai dia memang pelik sikit. Emo tak bertempat! " dikutuk lagi perangai tak semenggah Haqiem.

" Tak apa. Saya tak ambik hati sangat pun. " jujur Nufa membalas.

" Baguslah kalau macam tu. Awak jangan biarkan benda-benda negetif macam tu menganggu emosi awak. Fokus pada kesihatan badan awak, tu lagi penting. Emm, tadi doktor ada check breast awak tak? " Faiqa ubah corak perbualan agar kejadian tadi tidak terus menganggu fikiran Nufa.

" Ada. "

" So macam mana? ada perkembangan positif tak? "

Nufa angguk bersama satu senyuman.

" Alhamdulillah. Nanti terus makan pil tu tau. Lagi 2 hari baby Emir dah boleh keluar wad. " suara Faiqa kedengaran ceria dan teruja. Ketika itu mereka sudah mengorak langkah menuju ke tandas.

" Baby Emir tu dia lahir terus masuk wad ke? " soal Nufa terasa ingin tahu.

" Ya. Dia lahir premature. "

" Jadi isteri Tuan Haqiem meninggal selepas melahirkan Emir? "

" Lebih kurang macam tu la. Komplikasi selepas bersalin. "

Nufa angguk-angguk kepalanya. Hatinya tiba-tiba berasa belas tatkala mengenangkan bayi sekecil Emir sudah kehilangan kasih sayang seorang ibu.

" Belok kiri, hujung sekali tu ada tandas. Awak pergilah. Saya tunggu awak dekat sini. " lontaran suara Faiqa mengembalikan semula Nufa ke alam nyata. Nufa menganggguk senang. Layanan Faiqa yang baik buat Nufa rasa dihargai.

bersambung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience