BAB 1

Romance Series 6776

Haqiem merengus. Segera ditamatkan panggilan telefon yang dirasakan tidak penting dan menganggu. Sekembalinya dia di ruang tamu itu, pandangan serta perhatian ahli keluarga dan tetamu yang ada serta merta terarah kembali padanya.

Haqiem pandang wajah Zalea yang masih mempamerkan air muka selamba. Tidak berkelip-kelip mata Haqiem. Tidak percaya pun ada juga. Mana boleh Zalea meminta begitu. Sedangkan semua orang pun tahu, malah gadis itu juga sendiri tahu tentang perasaannya. Dirinya takkan pernah mampu memberikan apa yang Zalea mahukan.

Tapi susah betul Haqiem nak terangkan pada semua orang. Nak-nak lagi pada Zalea yang dirasakan seperti sengaja tak nak faham. Memaksa walaupun jelas dia menolak. Membuatkan Haqiem seperti ingin segera lari dari situasi yang memeningkan itu.

" Macam mana Qiem? Aqiem setuju ke dengan cadangan ni? "

Masuk kali ini sudah tiga kali Datin Faridah bertanyakan soalan yang sama, namun respon yang diberikan Haqiem masih sama seperti tadi. Hanya menatapnya semata-mata. Wajah itu kosong tanpa rasa. Seolah-olah terlalu banyak perkara yang sedang bermain di fikiran anaknya.

Kalau diikutkan nasihat Datuk Heykal, memanglah Datin Faridah tidak patut masuk campur dalam soal ini. Tapi sebagai ibu, dia hanya mahukan yang terbaik untuk Haqiem. Tidak sanggup lagi dia melihat wajah keruh Haqiem setiap kali anaknya pulang ke sini.

" Orang kata, diam tu tanda setuju! "

" Hisyhhh, sayang ni! Apa pulak cakap macam tu. " tegur Adam seraya menyiku lengan isterinya. Walaupun Adam tahu bicara Faiqa bersifat gurauan namun dia tetap merasakan tidak sesuai isterinya itu menyampuk kala ini.

Pandangan Adam kini tepat terarah pada Haqiem yang hanya berjarak beberapa meter. Adam simpan ketawa dalam hati. Situasi Haqiem dilamar sebentar tadi masih lagi bermain difikirannya. Meskipun susah akalnya mahu terima tapi Adam benar-benar kagum dengan keberanian Zalea yang tidak semua orang miliki. Melamar lelaki di hadapan ahli keluarga sendiri. Kes rare wei! Adam sendiri pun tak berani nak buat.

Tapi nasib baik juga lamaran tadi tidak sampai ke fasa menyarungkan cincin. Kalau tidak, lagilah haru biru hidup lelaki bernama Haqiem Fuad! Entah apa pandangan orang jika berita ini tersebar. CEO MH Holdings yang terkenal dengan sifat garang dilamar gegadis. Wow, bikin malu oiii..

" Abang! dengar tak ni?! "

Cubitan Faiqa yang kuat kembali menyedarkan Adam. Segera Adam menoleh. Melihat muka garang Faiqa buat Adam tertelan liur sendiri.

" Abang jangan nak macam-macam eh... abang fikirkan pasal apa tadi? pasal girlfriend baru abang ke? " tembak Faiqa penuh curiga. Kecik besar anak matanya merenung suami sendiri. Jadi penasaran tatkala dia menyoal bermacam-macam hal tadi, Adam hanya diam namun bibirnya mengukir senyum.

" Girlfriend apa pulak ni sayang! Jangan nak mengarut sangat boleh tak! " sangkal Adam malas melayan. Sengaja juga diperlahankan suaranya dari menganggu perbincangan yang ada. Kalau di layan merepek Faiqa mahu seminggu mereka bermasam muka nanti. Rajuk isterinya bukan boleh dibawak berbincang. Adam dah masak sangat dah.

" Tapi tadi ....

Tak jadi Faiqa meneruskan kata bila telunjuk Adam sudah naik menutup separa mulutnya.

" Macam mana Qiem? Boleh ke? "

" Aqiem tak rasa ini masa yang sesuai, ma.. Emir lebih perlukan perhatian Aqiem sekarang. " tak menunggu lama Haqiem terus memberikan jawapan. Malas lagi Haqiem nak bermadah bagai. Lagi pula Haqiem ingin segera tamatkan perbincangan ini yang dirasakan sangat membuang masa.

" Kalau Aqiem nak, Lea boleh je tolong jagakan Emir. " tiba-tiba Zalea menyampuk. Menawarkan bantuan yang dirasakan sangat tepat pada masa dan keadaan.

" Tak apalah. Tak payah susah-susah. " tanpa berselindung, terang-terangan Haqiem menolak. Kepalanya turut sama menggeleng menyatakan penolakkan yang jelas.

" Eh, tak susah pun. Lea ikhlas nak bantu. " ucap Zalea kedengaran tulus menawarkan bantuan. Dia tersenyum puas tatkala berjaya menemukan Haqiem di sini. Terasa kedatangannya berbaloi setelah beberapa.kali lelaki itu menolak pelawaannya untuk keluar bersama.

" Thanks, but no thanks. "

" Tapi tak salahkan kalau Lea nak tolong jagakan Emir. Emir pun bukannya orang lain dengan Lea. Anak saudara sepupu Lea jugak. " pujuk Zalea enggan berputus asa. Langsung tak dihiraukan mata-mata yang memandang. Sebab dia tahu, kerasnya hati Haqiem memang susah nak dilembutkan. Tapi nasi kalau dituang air lama-lama pasti dapat dilembutkan juga.

" Nak jaga memang tak salah. I pun tak melarang kalau you nak datang jenguk Emir. Tapi kalau you meminta hubungan ni menjadi lebih daripada apa yang sepatutnya, I memang tak boleh nak bagi. I'm really sorry Lea. "

Akhirnya, Haqiem nyatakan pendiriannya secara terang. Pandangan galak Datin Faridah sejak tadi langsung tak dihiraukan. Begitu juga dengan riak kecewa yang terpeta di wajah Zalea.

" Apa kurangnya Lea? Lea bukannya isteri orang pun! "

Jatuh rahang Faiqa mendengarnya. Beraninya Zalea berkata begitu. Tak kenal lagi ke Zalea dengan perangai sebenar Haqiem? Abangnya bukan jenis lelaki yang suka dipaksa-paksa.

" You memang tak ada kurang. Serba serbi perfect. "

Ceria terus air muka Zalea. Dalam hidupnya, ini bukan kali pertama dia menerima pujian sebegitu. Dah selalu sangat. Macam Haqiem cakap tadi, dia perfect. Kecantikan wajahnya yang persis modelling antarabangsa, seringkali membuatkan dirinya menjadi perhatian.

" tapi macam mana kita nak berkahwin kalau I sendiri tak pernah cintakan you! "

Mahu saja Zalea berteriak kuat ketika ini. Sudahlah mukanya tebal berinci-inci kerana terpaksa melamar Haqiem. Kini, terang-terang pula dia ditolak lelaki itu. Tidak cukup dengan itu, bersungguh-sungguh pula Haqiem berkata tidak cinta padanya.

" Lea juga tak cintakan Aqiem.. " gumam Zalea perlahan.

" Dah sama-sama tak cinta, habis tu kenapa nak ajak I kahwin pulak? "

Haqiem tertawa sinis. Secara terang mengejek bicara kurang matang Zalea tadi.

" Sebab Emir perlukan seorang ibu. Dan juga kerana Lea sendiri sudah berjanji pada arwah Nayla. " ujar Zalea sekaligus membawa pandangan Haqiem tepat ke arahnya.

" About that just forget it. I tak rasa, you perlu ambil serius tentang semua tu. Sebagai ayah, I akan pastikan Emir sentiasa mendapat kasih sayang yang cukup." serius Haqiem berujar. Tidak berusaha mahu memujuk atau menjaga hati Zalea yang pastinya sedang terguris dengan bicara lancang darinya.

" Qiem, jangan buat keputusan terburu-buru." Datin Faridah yang diam sejak tadi mencelah tiba-tiba.

" Maksud mama apa? "

" Demi Emir yang masih kecil, mama nak Aqiem pertimbangkan dulu cadangan Lea tadi. Mama nak Aqiem fikirkan semasak-masaknya sebelum Aqiem buat keputusan. Mama tak ada masalah kalau Aqiem nak terima Lea sebagai isteri. Kalau Aqiem nak tolak lamaran Lea tadi pun, mama tak ada apa-apa halangan. Tapi terus terang mama cakap, mama memang tak yakin Aqiem mampu menguruskan Emir sendirian. Lagipun Aqiem kerja tak tentu masa. Kadang dah lewat malam baru Aqiem balik ke rumah. Kalau Aqiem bernikah, sekurang-kurangnya kebajikan Emir terjaga. Ada orang yang boleh diharapkan untuk jagakan anak Aqiem tu nanti. " nasihat Datin Faridah lembut. Zalea yang sedang duduk disebelahnya dijeling sekilas. Setakat apa yang dia lihat, Zalea seorang gadis yang baik dan perilaku gadis itu sentiasa menyenangkan hatinya. Jika Zalea menjadi pilihan Haqiem dia memang tak akan menghalang.

Terhenyak Haqiem dengan kenyataan Datin Faridah. Dalam diam rupanya mama sendiri tidak yakin dengan kemampuan dia untuk menjaga Emir sendirian. Jadi harus bagaimana lagi untuk dia menolak lamaran Zalea tadi. Takkan dia mahu menikahi orang yang langsung dia tak cintai.

" Sorry ma.. Aqiem tak boleh nak janjikan apa-apa. " balas Haqiem lemah sebelum dia angkat kaki meninggalkan ruang itu.

.
. .

" So, macam mana dengan konsep yang aku proposed tadi? Kau rasa ada apa-apa yang perlu aku ubah tak? " Beberapa keping kertas bersize A4 dan A3 yang sudah berselerakan di atas meja disusun semula sebelum Aidil meletakkannya di hadapan Haqiem yang sejak tadi banyak mendiamkan diri.

" Qiem! kau nak teruskan meeting ni ke tak? " tegur Aidil sambil mengetuk-ngetuk ruang meja bagi menyedarkan Haqiem yang sudah berlayar ke lautan biru.

Haqiem yang bagaikan baru tersedar pantas membetulkan duduknya.

" Naklah. Kenapa? kau dah tak boleh nak fokus ke? " balas Haqiem kemudian.

Aidil pantas menggeleng. Kertas di tangannya langsung diletakkan semula di atas meja sebelum matanya merenung tajam muka Haqiem.

" Nope. Bukan aku yang tak boleh fokus. Tapi kau, Qiem! You out of your mind. " ujar Aidil ambil berat. Sebagai kawan baik, setiap perubahan Haqiem kebelakangan ini memang selalu ada dalam perhatiannya.

" Sorry, Dil. Fikiran aku terganggu tadi. So, aku setuju dengan konsep yang kau terangkan tadi. Dan rasanya konsep tu much better than the previous one. Cuma kau kena draf cepat sikit. Siapkan complete proposal dan serahkan semula pada aku selewatnya akhir bulan ni. " pesan Haqiem.

" Sure, no problem. Aku akan speed up benda ni. Once dah ready aku call untuk final discussion. " ucap Aidil berjanji. Bukan senang untuk syarikat kecilnya menerima projek besar dari syarikat ternama seperti MH Holdings. Nasib baik juga perkenalannya dengan Haqiem sejak dari zaman universiti banyak membantu dia dalam membangunkan syarikat miliknya.

" Qiem, aku perhatikan kau asyik mengelamun je. Kenapa? kau ada masalah ke? "

Haqiem diam tidak membalas. Nafas dihela sebelum dia menyandarkan kembali tubuhnya yang terasa penat dan lelah.

" Pasal anak kau? " teka Aidil tidak sabar.

Haqiem senyum segaris. Kepalanya menggeleng perlahan.

" Habis tu pasal apa? "

" Zalea ajak aku kahwin. Dia melamar aku semalam. " beritahu Haqiem tanpa selindung.

" What?!!!! "

Berkerut habis muka Aidil saat berita itu menyapa gegendangnya.

" Kau biar betul Qiem?! Zalea lamar kau?! " tanya Aidil tidak percaya. Segera ditolak kerusi yang menampung tubuhnya agar kedudukannya berada lebih dekat dengan Haqiem.

" Betullah. Takkan aku tipu kau pulak. Kau pun tahu kan perangai Zalea tu macam mana. "

Aidil angguk-angguk kepalanya. Ya. Memang dia kenal sangat dengan perangai wanita bernama Zalea. Kali terakhir dia bertemu wanita itu sekitar 2 minggu sudah. Mereka berjumpa secara tidak sengaja di pejabat Haqiem. Gara-gara dia menasihatkan Zalea agar tidak terus mengejar cinta Haqiem, wanita itu lantas marah dan mengherdiknya sehingga menimbulkan pergaduhan kecil di antara mereka berdua.

" Habis tu kau setuju ke, Qiem? " tanya Aidil lanjut.

" Eh, memang taklah! Aku bukannya suka kat dia pun. Setakat dia sorang yang suka aku, kau ingat boleh bahagia ke perkahwinan tu nanti? "

Aidil angguk lagi kepalanya. Ya. Nak kahwin kenalah ada rasa suka. Tak suka macam mana nak hidup sekali.

" Apa alasan dia ajak kau kahwin? "

" Nak tolong jagakan Emir. Tapi entahlah. Aku macam tak berapa percaya sangat dengan apa yang dia cakap tu. " Haqiem raut wajahnya yang kusut. " Kalau aku tahu niat dia datang semalam untuk buat kerja-kerja merepek ni, awal-awal lagi aku dah halau dia tau. Dahlah melamar aku depan family aku, dia buat aku ni macam orang desprate sangat nak berbini.. " gumam Haqiem masih belum dapat melupakan kejadian semalam.

Aidil mengetap giginya menahan tawa. Air muka Haqiem yang kelat buat dia berkali-kali cuba memalingkan muka demi mengelak reaksinya dilihat oleh Haqiem. Kalau bukan kerana Haqiem itu kawan baiknya, sudah lama dihamburkan segala tawa yang sudah sarat memenuhi ruang mulutnya.

" Kalau kau nak ketawakan aku, kau ketawa jelah. Tak payah nak tahan-tahan sangat. Buat sakit mata aku je tengok! " bidas Haqiem geram. Berbulu matanya melihat tingkah Aidil yang langsung tak reti jaga perasaannya.

Semerta itu juga ketawa Aidil meletus. Dah orang bagi green light, buat apa nak tahan kan. Namun demi terlihatkan riak Haqiem yang semakin tegang, segera dia menamatkan tawanya.

" Habis tu apa plan kau sekarang? " tanya Aidil dengan sisa tawa yang masih berbaki.

Haqiem jongket bahunya. Tanda tidak tahu. Sejak semalam otaknya seakan tepu untuk berfikir.

" Dahlah. Kita stop cerita pasal hal ni. Makin diingat, makin sakit pulak otak aku ni. " ucap Haqiem seraya melonggarkan ikatan tali leher yang dipakai. Cawan yang berisi kopi yang sudah lama terhidang di atas meja kerjanya dicapai dan diminum. Ah, lega anak tekaknya.

Aidil ketawa dan mengangguk. Faham benar dia dengan perangai Haqiem yang tak suka serabutkan otaknya dengan hal remeh. Lagipun lelaki berkejaya bagus seperti Haqiem, takkan nak habiskan masa dengan berfikir tentang perempuan saja.

" Dil, jom. Malam ni kita keluar nak? aku belanja. " tiba-tiba Haqiem bersuara setelah lama berdiam.

Teruja mendengar cadangan Haqiem, Aidil lantas mengangguk.

" Elok jugak tu. Kau nak ajak aku pergi mana? malam ni ada bola tau. " bagitahu Aidil sambil membelek telefonnya yang tiba-tiba berbunyi.

" Kalau macam tu kita lepak dekat mamak je la. Boleh terus tengok bola dekat sana nanti. " saran Haqiem.

Tak semena Aidil menepuk dahi. Dilayangkan muka serba salahnya pada Haqiem.

" Alaaa Qiem, sorry. Aku terlupa laa... Malam ni aku ada date. " beritahu Aidil dengan riak serba salah. Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

" Hurmmm… date lagi. " Haqiem tayang muka bosan. " Kau ni hari-hari keluar dating, tak bosan ke? apa kata kau kahwin je. Kan senang. Hari-hari boleh jumpa dekat rumah. " Aidil dipandang dengan senyuman mengejek.

" Kau ni, ke situ pulak. Aku dengan dia kawan ajelah. "

" Kawan? Mati hidup semula pun aku tak percaya kau cuma anggap dia sebagai kawan. Tak ada orang sanggup buat macam mana kau buat pada dia tahu tak? Sanggup terima perempuan macam tu. Padahal kau boleh dapat yang lebih dari tu kalau kau nak. ” Tempelak Haqiem dengan senyum nipis. " Ermmm…atau jangan-jangan kau sekadar nak buat perempuan tu stok geli-geli kau je? " giat Haqiem apabila dia tiba-tiba terfikirkan tentang itu.

" Hisyhh, mana ada! Apa kau ingat aku ni teruk sangat ke? " tukas Aidil pantas.

" Habis tu apa masalahnya? Aku rasa kalau kau nak kahwin dengan dia, anytime je orang tua dia setuju. Yelah, dari kau bawak anak orang ke hulu ke hilir, why not kau halalkan je hubungan korang tu. " Haqiem jungkitkan kening menantikan jawapan dari temannya. Memiliki usia yang sama dengan dia, takkan Aidil tak nak tamatkan zaman bujangnya lagi. Nak kata tak laku, Aidil ada rupa. Pandai bergaya pulak tu.

" Susahlah aku nak terangkan dekat kau, Qiem. Tapi bab nikah kahwin ni aku memang tak nak terburu-buru. Kata orang, takkan lari gunung dikejar. Lagipun, jodoh pertemuan itukan Allah dah tentukan. Kalau Dia memang dah tentukan itu jodoh aku, cepat atau lambat, bersatu juga kami nanti. " balas Aidil bijak berfalsafah.

Tergeleng kepala Haqiem mendengarnya. Tak setuju langsung dia dengan falsafah Aidil yang dipandang kurang tepat dan sesuai. Namun sebagai sahabat dia menghormati apa saja keputusan Aidil.

" Ermmm… so malam ni kita cancel lah ya? "

" Nampak gayanya macam tu lah. Ni, apa kata kau ajak Adam je lepak dengan kau malam ni. Kau pun dah lama tak keluar lepak dengan dia kan? " tiba-tiba Aidil memberikan idea yang dirasakan bernas.

Haqiem pantas mencemik.

" Adam?? Ermmm.... dia dengan kau sama je... dua-dua kuat bagi alasan. Kalau kau tak habis-habis nak keluar dengan awek, dia pulak alasannya nak jaga anak dekat rumah. Padahal bukan aku tak tahu dia takut bini. " seloroh Haqiem sambil ketawa kecil. Teringatkan Adam yang takut bini buat Haqiem rasa nak ketawa kuat-kuat. Dengan Faiqa pun Adam nak takut.

" Eh, baguslah tu. Itu tandanya dia betul-betul sayangkan adik kau. "

" Orang lain pun sayang bini jugak. Tapi tak adalah macam dia. Memanjang bagi alasan. Sampai sanggup biarkan abang ipar ni lepak sorang-sorang. "

Terhambur tawa Aidil.

" Kuat touching jugak kau ni kan... Kalau macam tu kau keluar jelah dengan Zalea. Dia kalau dengan kau, tak pernah kata tidak. Pantang ajak, on selalu. " ucap Aidil dengan tawa yang masih bersisa. Dokumen di atas meja dikemaskan lalu dimasukkan ke dalam beg kerjanya. Komputer riba turut dicapai dan turut dimasukkan ke dalam beg yang sama.

" Sekali lagi kau sebut nama dia, aku cancel projek kita tadi! " gertak Haqiem geram.

Aidil angkat tangan, mengaku kalah.

" Kau lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kau, Qiem. Tapi satu pesan aku pada kau, jangan terlalu mencari kesempurnaan. Sebab tak ada manusia yang diciptakan sempurna. "

" Aku tahu dan terima kasih, Dil. Cuma aku minta, kau jangan berhenti mendoakan yang terbaik untuk kawan kau ni. " Haqiem sengih.

" Insyallah, Qiem. Bak kata si bijak pandai, you deserve all good things life has to offer. "

Mendengar jawapan sahabatnya, bibir Haqiem terus menguntum senyum lebar. 

bersambung.

jom sambung baca. maaf lambat update :)

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience