Series
2260
“Maya, you boleh gantikan I tak?”
Maya yang sedang tekun menyemak proposal di tangannya mengangkat wajah apabila Taufik tiba-tiba muncul di hadapan mejanya.
Riak wajah lelaki itu kelihatan sedikit serba salah, seolah-olah ada sesuatu yang ingin dimintanya tetapi bimbang Maya tidak dapat memenuhi permintaannya.
“Gantikan you?” ulang Maya dengan dahi sedikit berkerut.
Dia meletakkan proposal di atas meja sebelum memberikan perhatian sepenuhnya kepada Taufik.
“You tahu kan, I kena pergi business trip dengan Ervin next week?” tanya Taufik sambil menarik sebuah kerusi lalu duduk di hadapan meja Maya.
Maya menganggukkan kepala. Dia memang sudah tahu tentang perjalanan tersebut kerana projek yang bakal dibincangkan itu berada di bawah kendalian Taufik.
“I memang sepatutnya pergi sebab I yang jadi Project Lead untuk projek ni,” jelas Taufik sambil menghela nafas perlahan. Wajahnya kelihatan berat untuk meneruskan kata-kata.
“Tapi semalam wife I accident. Tak serius sangat, tapi sekarang dia perlukan I dekat rumah. I memang tak boleh tinggalkan dia untuk pergi trip ni.”
Maya terus berubah riak sebaik sahaja mendengar perkara tersebut.
“Wife you accident? Macam mana keadaan dia sekarang?” soalnya, jelas terkejut dengan berita yang baru disampaikan.
“Alhamdulillah, okey. Cuma ada beberapa kecederaan dan doktor suruh dia banyak berehat. Sebab tu I nak minta tolong you gantikan I untuk trip ni.”
Taufik berhenti seketika sebelum menyambung, kali ini nadanya lebih bersungguh-sungguh.
“I nak you pergi sebagai representative on behalf of me and the team. Lagipun, you tahu semua tentang projek ni. Proposal pun you yang prepare dari awal. So, I rasa you paling sesuai untuk handle discussion dengan Ervin dan client nanti.”
Maya terdiam seketika. Permintaan itu memang agak mengejutkan, lebih-lebih lagi apabila dia baru mengetahui keadaan isteri Taufik.
Dalam masa yang sama, dia tahu Taufik bukanlah seorang ketua yang suka membebankan staf tanpa alasan. Lelaki itu sentiasa bertimbang rasa dan banyak membantunya sepanjang berada dalam pasukan tersebut.
“Baiklah,” jawab Maya akhirnya selepas beberapa saat mempertimbangkan permintaan itu.
“Berapa hari?”
“Seminggu.”
“What? Seminggu?” Maya terus membulatkan mata, jelas terkejut apabila mendengar tempoh perjalanan tersebut.
Taufik ketawa kecil melihat reaksinya.
“You ni, Maya. Macam tak biasa pula dengan business trip. Mana ada pergi jauh-jauh macam ni untuk sehari dua. Lagipun, sebab itulah I tak dapat pergi. I kena jaga wife I dulu.”
Maya mengangguk perlahan. Dia tidak mampu membantah alasan tersebut.
“Please, Maya. Kalau you okay, I inform Ervin terus. Nanti I minta Suzi uruskan booking bilik dan segala keperluan perjalanan you.”
Maya memandang wajah Taufik yang jelas mengharapkan pertolongannya. Setelah beberapa ketika, dia akhirnya menghela nafas kecil sebelum menganggukkan kepala.
“Okay. I pergi.”
Senyuman lega terus muncul di wajah Taufik.
“Thank you, Maya. I owe you one.”
“Tak ada masalah. You jaga wife you dulu. Yang sini I boleh handle.”
Taufik mengangguk sebelum bangun meninggalkan meja Maya. Namun, selepas lelaki itu beredar, Maya masih termenung seketika memikirkan perjalanan yang bakal dilaluinya.
Seminggu.
Dan dia akan menghabiskan seminggu bersama Ervin.
******
Maya yang baru sahaja memejamkan mata di sofa rumahnya membuka mata semula apabila telefon yang diletakkan di sisi bergetar. Nama Faris muncul pada skrin.
Dia mencapai telefon tersebut lalu menjawab panggilan itu tanpa menunggu lama.
“Maya?”
“Faris. Awak baru habis kerja ke?” tanya Maya sambil membetulkan kedudukannya.
Suara suaminya yang kedengaran di hujung talian membuatkan dia sedikit tersenyum, walaupun perasaan itu tidak bertahan lama.
“Ha’ah, baru habis kerja. Kenapa call tadi?” soal Faris sebelum Maya sempat berkata apa-apa lagi.
“Saya nak inform awak yang saya kena pergi business trip dengan boss minggu depan. Saya gantikan Taufik sebab wife dia accident semalam,” terang Maya terus kepada tujuan panggilannya.
Dia tidak mahu Faris mendapat tahu perkara itu daripada orang lain.
“Oh, macam tu. Pergilah. Berapa hari?” tanya Faris dengan nada biasa, seolah-olah berita bahawa isterinya akan berjauhan selama beberapa hari bukan sesuatu yang perlu dipersoalkan.
“Seminggu kat sana,” jawab Maya sebelum terdiam seketika. Kemudian dia bertanya perlahan.
“Awak balik tak nanti?”
“Kalau awak dah tak ada, saya tak baliklah. Saya sambung kerja je,” jawab Faris bersahaja.
“Nanti saya turun sekejap jenguk mak. Ayah call tadi, cakap mak tak sihat.”
Maya terus memberi perhatian.
“Oh, ya ke? Teruk ke mak?”
“Taklah. Demam je. Tak ada apa sangat.”
Maya menghela nafas lega mendengar penjelasan itu.
“Kalau macam tu, awak jenguklah mak. Tak apa, awak pergilah. Saya pun nanti sibuk dengan kerja.”
“Okay. Awak pergilah business trip tu. Hati-hati kerja nanti,” pesan Faris sebelum terdiam seketika.
“Baik, awak pun hati-hati. Nanti kirim salam pada mak dengan ayah awak, ya,” balas Maya sebelum panggilan itu berakhir.
Skrin telefonnya kembali gelap.
Maya masih memandangnya untuk beberapa ketika, dia berharap ada sesuatu yang lebih daripada sekadar perbualan singkat tadi. Namun, seperti biasa, panggilan mereka berakhir tanpa banyak cerita.
Semakin hari, dia semakin terasa sunyi dalam perkahwinannya sendiri.
Faris seolah-olah sudah terbiasa menjalani kehidupan tanpa dirinya, begitu juga Maya yang perlahan-lahan belajar membiasakan diri dengan ketiadaan suaminya.
Mereka masih suami isteri, masih saling bertanya khabar dan masih menjalankan tanggungjawab masing-masing, tetapi hubungan yang sepatutnya membuatkan mereka terasa dekat semakin lama semakin terasa jauh.
Lebih-lebih lagi apabila soal anak sering menjadi perkara yang mengganggu fikirannya.
Sudah beberapa kali ibu Faris mengungkit tentang zuriat setiap kali mereka pulang ke rumah keluarga lelaki itu. Tiga tahun berkahwin tetapi masih belum mempunyai anak membuatkan Maya sering menjadi sasaran kata-kata yang cukup mengguris hati.
Pernah satu ketika, ibu mentuanya secara terang-terangan mengatakan mungkin Maya mandul kerana masih belum memberikan cucu selepas tiga tahun mereka berkahwin.
Kata-kata itu masih tersimpan kemas dalam ingatan Maya.
Bukan kerana dia tidak mahu anak.
Tetapi bagaimana mereka mahu merancang masa depan sebagai suami isteri apabila masa bersama pun hampir tiada?
Faris bekerja di lautan dan boleh berbulan-bulan berada jauh daripadanya. Apabila pulang bercuti, tempohnya pula tidak pernah lama, hanya sekitar seminggu atau dua sebelum lelaki itu perlu kembali bekerja. Maya sendiri mempunyai kerjaya yang menuntut masa dan perhatian, sedangkan waktu yang sepatutnya mereka gunakan untuk bersama sering berlalu begitu sahaja.
Lebih menyakitkan, setiap kali Faris pulang, lelaki itu lebih banyak meluangkan masa di rumah keluarganya.
Jadi, bila masa yang mereka ada untuk bersama sebagai suami isteri?
Maya mengeluh perlahan sambil menyandarkan tubuh ke sofa.
Ada ketika dia tertanya-tanya sama ada Faris masih menganggap dirinya sebagai seorang isteri yang perlu diperjuangkan atau sekadar seseorang yang sudah terlalu lama berada dalam hidupnya sehingga kehadirannya tidak lagi memberi apa-apa perbezaan.
Dan yang paling menyakitkan, Faris tidak pernah benar-benar membelanya apabila ibunya mengungkit tentang zuriat.
Maya pernah terdengar sendiri ibu mentuanya meminta Faris mencari perempuan lain. Pernah juga dia mendengar wanita itu menyuruh anaknya menceraikannya kerana dianggap tidak mampu memberikan zuriat.
Setiap kali teringat kata-kata itu, hati Maya terasa begitu kecil.
Dia terasa dirinya dihina dalam keluarga yang sepatutnya menerima dirinya sebagai isteri kepada anak mereka.
Namun, Maya tetap memilih untuk berdiam diri.
Setiap kali Faris mengajaknya pulang ke rumah keluarga, dia tetap ikut dan cuba mengukir senyuman seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia tahu itu keluarga suaminya dan dia tidak mahu menjadi punca pergaduhan antara mereka.
Tetapi semakin lama, semakin berat untuk dia terus berpura-pura bahawa semuanya baik-baik sahaja.
Maya kembali memandang telefon di tangannya sebelum menghela nafas panjang.
Cinta yang semakin pudar~
Share this novel