Series
2044
Pintu kaca automatik RayMoon Holdings terbuka sebaik sahaja Ervin Rayyan melangkah masuk. Langkahnya tenang dan tegap, namun cukup berwibawa untuk membuatkan ruang lobi yang sibuk itu seakan-akan berubah rentak sebaik sahaja kehadirannya disedari.
Kemeja putih yang dipadankan dengan sut gelap terletak kemas di tubuhnya. Tiada aksesori berlebihan, tiada gaya yang sengaja ditonjolkan. Namun, cara dia membawa diri sudah cukup untuk memperlihatkan kedudukannya sebagai lelaki yang terbiasa membuat keputusan dan memiliki kawalan terhadap apa yang berada di bawah tanggungjawabnya.
Wajahnya tenang tanpa senyuman. Pandangan tajam yang dilemparkan sekilas kepada ruang hadapan membuatkan beberapa orang pekerja yang kebetulan berselisih dengannya segera menundukkan kepala sebagai tanda hormat.
“Good morning, Mr. Ervin,” sapa seorang pekerja yang baru keluar dari salah satu lif.
Ervin sekadar mengangguk kecil tanpa memperlahankan langkah.
“Morning.”
Suaranya rendah dan bersahaja, tetapi tetap mempunyai ketegasan yang membuatkan sapaan ringkas itu cukup untuk menunjukkan siapa dirinya.
Ervin tidak perlu meninggikan suara untuk mendapatkan perhatian. Kehadirannya sahaja sudah cukup membuatkan orang di sekeliling lebih berhati-hati dengan setiap gerak-geri mereka.
Dia terus menuju ke lif peribadi yang terletak di bahagian hujung lobi. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Ervin melangkah masuk tanpa menoleh ke belakang.
Beberapa saat kemudian, pintu lif tertutup.
Di tingkat tertinggi bangunan RayMoon Holdings, suasananya jauh lebih tenang berbanding ruang lobi. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Ervin keluar dan terus menuju ke pejabatnya.
Pintu kayu berkaca yang tertera nama serta jawatannya ditolak perlahan.
Ervin Rayyan
Founder & Executive Chairman
RayMoon Holdings
Ervin melangkah masuk ke dalam pejabatnya dengan tenang sebelum meletakkan telefon bimbit dan kunci kereta di atas meja. Kot yang tersarung kemas di tubuhnya ditanggalkan lalu disangkut pada penyandar kerusi, sebelum dia bergerak menuju ke kerusi empuk di belakang meja kerja.
Setiap pergerakannya dilakukan tanpa tergesa-gesa, namun tetap memperlihatkan ketenangan seorang lelaki yang sudah terbiasa mengawal setiap urusan di bawah tanggungjawabnya.
Sebaik sahaja Ervin melabuhkan tubuh di kerusi, seorang lelaki yang sejak tadi berada di ruang kerja bersebelahan segera bangun sambil mencapai beberapa fail dan tablet yang sudah disediakan.
Ben.
Sebagai pembantu peribadi Ervin, Ben sudah cukup lama bekerja di sisinya sehingga dia benar-benar memahami rutin dan rentak kerja lelaki itu. Dia tidak perlu menunggu Ervin memberikan arahan untuk mengetahui perkara yang perlu disediakan setiap pagi.
Sebaik sahaja Ervin masuk ke pejabat, Ben sudah tahu apa yang perlu dilakukan.
Ben menghampiri meja kerja lalu meletakkan tablet dan beberapa dokumen di hadapan Ervin.
“Morning, boss,” sapanya bersahaja sambil menarik sebuah kerusi di hadapan meja.
Ervin mengangkat wajah memandangnya sebelum memberikan anggukan kecil.
“Morning,” balasnya ringkas sambil menyandarkan tubuh dengan selesa pada kerusi.
Hubungan antara mereka agak berbeza berbanding hubungan Ervin dengan kebanyakan pekerja lain. Ben sudah lama berada di sisi Ervin dan mengenali perangai lelaki itu bukan sekadar sebagai seorang majikan, tetapi juga sebagai seorang kawan. Ada masanya mereka bercakap secara santai, namun Ben tetap tahu batasnya. Walaupun hubungan mereka rapat, Ervin masih merupakan majikannya.
Ben membuka tablet lalu meneliti jadual yang sudah disusun untuk hari tersebut sebelum mula membacanya satu persatu.
“Pagi ni bos ada meeting dengan management team pukul sepuluh. Lepas tu pukul dua belas ada lunch dengan pihak Zenith Group,” maklum Ben sambil matanya masih tertumpu pada skrin tablet. Sesekali jarinya menatal skrin bagi memastikan tiada perubahan pada jadual yang perlu dimaklumkan.
Ervin mencapai sebatang pen yang berada di atas meja lalu memutarnya perlahan di celah jari sambil mendengar penerangan Ben.
“Petang?” tanyanya kemudian, masih tenang sambil menunggu jadual seterusnya.
Ben kembali menatal skrin sebelum menjawab.
“Pukul dua ada review dengan finance department. Pukul empat pula ada meeting dengan team marketing untuk final preparation event malam esok,” jelasnya sambil mengangkat wajah seketika untuk memastikan Ervin mendengar setiap perkara yang disampaikan.
Ervin mengangguk perlahan.
“Event tu semua dah settle?” soalnya pula, jelas mahu memastikan segala persiapan untuk acara tersebut berada dalam keadaan yang sepatutnya.
“Setakat ni, hampir semua dah settle,” jawab Ben dengan yakin. Dia membuka satu fail digital pada tablet sebelum meneruskan penerangannya.
“Venue dah confirm. Guest list pun dah final. Team event cuma tunggu confirmation beberapa orang VIP.”
Ervin mengetuk hujung pen pada permukaan meja secara perlahan sambil memproses maklumat tersebut.
“Papa dengan mama aku datang tak?” soalnya kemudian, kali ini dengan nada yang lebih bersahaja.
“Datang,” jawab Ben yakin sambil mengangguk kecil. Dia sempat mengukir senyuman apabila melihat Ervin kelihatan sedikit lega mendengar jawapan tersebut.
“Good.”
Ervin mengangguk perlahan sebelum menyandarkan tubuhnya semula pada kerusi.
Ben turut mengangguk, tetapi selepas beberapa ketika dia terdiam. Pandangannya beralih daripada skrin tablet kepada wajah Ervin yang kelihatan lebih serius daripada biasa pagi itu. Ada sesuatu yang ingin ditanyakannya, namun dia seakan-akan mempertimbangkan terlebih dahulu sama ada soalan itu sesuai diajukan.
“By the way...” Ben berhenti seketika sebelum akhirnya bersuara.
“Puan Tasha datang tak?”
Gerakan tangan Ervin yang sedang memusingkan pen terus terhenti.
Hanya sesaat.
Namun, perubahan kecil itu cukup untuk ditangkap oleh Ben yang sudah lama mengenali majikannya. Ervin kemudian meletakkan pen di atas meja dan mengangkat wajah memandang Ben.
“Tak. Dia busy,” jawabnya pendek sambil cuba mengekalkan riak wajah yang tenang, walaupun jelas ada sesuatu yang berat bermain dalam fikirannya.
Ben mengangguk perlahan. Dia tidak terus bertanya, sebaliknya kembali meneliti tablet di tangannya.
“So, tempat dia nak kosong kan ke tak?” tanya Ben sambil mengangkat wajah. Nada suaranya bersahaja, tetapi jelas dia hanya mahu memastikan susunan tempat duduk untuk acara tersebut.
“No need. Leave it. I’ll have a staff member take her place,” jawab Ervin selepas berfikir seketika. Nada suaranya kembali tegas dan profesional, seolah-olah perkara itu tidak perlu dibincangkan lebih lanjut.
“Okay. Understood,” balas Ben sambil mengangguk dan mencatat perkara tersebut pada tablet. Dia memilih untuk tidak bertanya lebih jauh apabila melihat wajah Ervin yang sudah kembali serius.
Ben kemudian menyemak semula jadual sebelum kembali bersuara.
“Lagi satu, ada satu perkara yang bos kena decide hari ni,” maklumnya sambil mengangkat pandangan daripada skrin.
“Apa?” soal Ervin sambil mencapai fail yang berada di atas meja. Riak wajahnya kembali fokus, bersedia mendengar perkara yang perlu diputuskan.
“Regarding the seating arrangement for the dinner,” jawab Ben sambil menunggu keputusan daripada Ervin.
Dia kemudian membuka fail digital yang mengandungi susunan meja dan nama tetamu sebelum memusingkan sedikit tabletnya ke arah Ervin untuk memudahkan lelaki itu melihat senarai tersebut.
Ervin menarik fail berkenaan lalu meneliti susunan tempat duduk yang telah disediakan. Untuk meja VVIP, namanya diletakkan bersama ibu bapanya, Dato' Rizman dan Datin Sofia, selain beberapa orang ketua jabatan yang akan turut berada di meja tersebut sepanjang majlis berlangsung.
Pandangan Ervin terhenti pada satu nama yang masih tertera di salah satu kerusi kosong.
Nama Tasha.
Dia diam seketika sebelum mengangkat wajah memandang Ben.
“Letak aku dengan parents aku. Yang lain ikut susunan yang dah ditetapkan,” arah Ervin tenang sambil jarinya mengetuk perlahan pada bahagian meja utama dalam senarai tersebut.
Ben mengangguk sambil mencatat arahan tersebut pada tabletnya.
“Okay. Yang seat Puan Tasha ni pula?”
Ervin kembali memandang senarai nama itu. Ada jeda seketika sebelum dia bersuara.
“Gantikan dengan Maya.”
Ben yang sedang mencatat terus berhenti. Dia mengangkat wajah memandang Ervin, seolah-olah mahu memastikan nama yang didengarinya itu benar.
“Maya?”
“Ya.”
Ervin mengangguk kecil sebelum kembali meneliti dokumen yang terbentang di hadapannya. Jemarinya menyelak helaian tersebut perlahan-lahan sebelum dia menjelaskan sebab di sebalik keputusannya.
“Maya, assistant Taufik dari Marketing. Dia antara orang penting dalam team tu dan banyak membantu mendapatkan client-client baharu untuk company. So, aku nak dia berada di meja VVIP. Aku nak perkenalkan dia pada papa dan mama aku nanti.”
Ben mengangguk perlahan. Kini dia faham mengapa Ervin memilih Maya untuk mengisi tempat yang ditinggalkan Tasha. Dia juga sangat mengenali Maya yang sangat berbakat dalam bidang tersebut. Dia segera membuat catatan pada tabletnya sebelum mengangkat wajah semula.
“Alright. Saya masukkan nama Maya,” jawab Ben sambil mengangguk kecil, memastikan arahan Ervin itu direkodkan dengan betul.
“Make sure Taufik tahu dia akan duduk di meja VIP. Kau boleh send out the email for information once everything is confirmed,” tambah Ervin sambil mengalihkan pandangan daripada fail kepada Ben.
Nada suaranya kekal tenang dan profesional, seolah-olah keputusan itu dibuat berdasarkan keperluan kerja semata-mata.
“Okay, boss. Saya inform Taufik nanti dan akan emailkan kepada yang lain sebaik semuanya siap,” jawab Ben sambil mencatat arahan tersebut pada tabletnya.
Ervin mengangguk kecil sebelum menutup fail di hadapannya. Keputusan itu selesai dibuat tanpa banyak soal, dan bagi dirinya, kerusi yang ditinggalkan Tasha perlu diisi oleh seseorang yang sesuai untuk berada di meja tersebut.
“Done,” jawabnya ringkas sambil memastikan maklumat tersebut telah dimasukkan dengan betul.
Beberapa saat kemudian, Ben kembali mengangkat wajah.
“Event ni penting untuk company. Ramai partner dan investor datang. Kau kena make sure semuanya smooth,” katanya sambil memandang Ervin dengan wajah serius.
Ervin menutup fail di hadapannya lalu memandang Ben.
“Itu kerja saya, bos,” balasnya dengan nada bersahaja, seolah-olah perkara tersebut tidak perlu dipersoalkan kerana dia sendiri sudah mengetahui tanggungjawabnya.
“Aku tahu kerja kau, sebab tu aku percaya pada kau,” kata Ervin sambil mengangguk, jelas menunjukkan keyakinannya terhadap kemampuan Ben mengendalikan acara tersebut.
Ben kemudian bangun dari kerusinya dan mencapai tablet sebelum bersedia untuk keluar.
“Kalau macam tu, saya keluar dulu. Pukul sepuluh meeting. Jangan lupa dan jangan lewat pula, bos,” katanya sambil tersenyum kecil.
Nada suaranya kedengaran seperti seorang kawan yang mengingatkan rakannya, namun dia tetap mengekalkan rasa hormat terhadap Ervin sebagai majikannya.
Ervin hanya mengangguk kecil sebagai tanda faham.
Ben baru sahaja hendak melangkah menuju ke pintu apabila suara Ervin kembali memanggilnya.
“Ben.”
Lelaki itu terus berhenti lalu menoleh ke arah Ervin.
“Ya?” sahutnya sambil menunggu arahan seterusnya.
Ervin menyandarkan tubuh pada kerusi sambil memandangnya dengan pandangan yang serius.
“Event esok... Make sure everything is perfect.” Pesan Ervin lagi.
Ben tersenyum lalu mengangkat sedikit tabletnya sebagai tanda faham.
“Don’t worry, bos! Kalau tak perfect, saya yang kena marah nanti,” balasnya sambil tersengih.
Ervin mengangkat sebelah kening sambil memandangnya.
“Tahu pun kau!” Kata Ervin sambil menjeling. Dia percaya pada kredibility Ben. Dia juga tahu Ben mampu melakukannya dengan baik. Selama ini, Ben sudah beberapa kali mengendalikan majlis besar dan semuanya sempurna.
Pintu tertutup semula selepas Ben keluar.
Ervin menggeleng kecil melihat gelagat pembantunya itu. Tanpa sedar, senyum tipis terbit di bibirnya, tetapi senyuman tersebut tidak bertahan lama apabila pandangannya kembali jatuh pada telefon bimbit yang berada di atas meja.
Ingatan tentang malam tadi kembali menerpa. Tentang Tasha dan perbincangan yang akhirnya bertukar menjadi pertengkaran antara mereka.
Ervin menghela nafas perlahan sebelum mencapai telefon bimbitnya. Skrin menyala sebaik sahaja jarinya menyentuh permukaan telefon, namun tiada sebarang mesej daripada Tasha, apatah lagi panggilan telefon.
Bangun pagi tadi pun, pembantu rumah hanya memberitahunya bahawa Tasha sudah keluar awal pagi. Tiada pesanan yang ditinggalkan, apatah lagi meminta keizinan daripadanya. Ervin sendiri tidak tahu ke mana Tasha pergi dan wanita itu juga tidak memberitahunya apa-apa sebelum keluar meninggalkan rumah.
Entah kenapa, perkara yang mungkin dianggap kecil itu terasa lebih berat daripada yang sepatutnya. Bukan kerana Tasha keluar tanpa meminta izin, tetapi kerana dia semakin merasakan bahawa dirinya tidak lagi menjadi seseorang yang penting dalam kehidupan wanita itu.
Ervin meletakkan semula telefon di atas meja sebelum mengangkat wajah dan memandang timbunan fail yang masih menantinya. Sebagai seorang lelaki yang memimpin sebuah syarikat besar, dia sudah terbiasa mengawal keadaan, membuat keputusan dan memastikan segala urusan berjalan mengikut perancangan.
Dia biasa mendapatkan apa yang diinginkan.
Namun, dalam soal rumah tangganya sendiri, Ervin mula sedar bahawa tidak semua perkara boleh dipaksa untuk mengikut kehendaknya. Ada perkara yang memerlukan dua hati untuk sama-sama berusaha, dan dia tidak mungkin terus menjadi satu-satunya pihak yang mengejar.
Untuk pertama kalinya, persoalan itu hadir dengan begitu jelas dalam fikirannya.
Adakah Tasha benar-benar masih mahu menjadi sebahagian daripada hidupnya?
Ervin menarik nafas panjang. Pandangannya jatuh semula pada telefon bimbit yang masih terletak di atas meja.
Dia sudah penat mengejar Tasha.
Ketika hati mula terasa penat untuk mengejar pada yang tidak sudi... Adakah mampu bertahan lagi?
Share this novel
lambatnya update