BAB 3

Romance Series 2176

Ballroom utama Grand Meridian Hotel malam itu terang-benderang dengan cahaya chandelier yang bergemerlapan. Pantulan cahaya keemasan memenuhi ruang, jatuh di atas meja-meja bulat yang dihiasi susunan bunga segar serta tetamu yang hadir dalam persalinan formal.

Di bahagian hadapan ballroom, skrin gergasi memaparkan logo RayMoon Holdings bersama-sama montaj projek-projek besar yang pernah dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Malam itu bukan sekadar sebuah majlis makan malam korporat.

RayMoon Annual Business & Investment Gala merupakan antara acara paling penting dalam kalendar syarikat. Pelabur, client korporat, rakan niaga, wakil syarikat pembinaan dan hartanah serta beberapa tokoh daripada syarikat-syarikat lain memenuhi ruang ballroom yang luas itu. Ada yang datang untuk meraikan pencapaian RayMoon, namun tidak kurang juga yang hadir dengan kepentingan masing-masing.

Bagi Ervin Rayyan, malam itu membawa makna yang jauh lebih besar.

Beberapa pelabur berpotensi berada di dalam ballroom. Beberapa client besar yang selama ini menyumbang kepada perkembangan RayMoon turut hadir, selain wakil daripada syarikat pesaing yang tidak mungkin melepaskan peluang untuk melihat sejauh mana perkembangan syarikat yang semakin mendapat perhatian itu.

RayMoon Holdings bukan lagi sekadar sebuah nama dalam industri pembangunan hartanah dan pengurusan projek komersial.
Syarikat itu sedang berkembang.

Dan Ervin mahu memastikan perkembangan tersebut tidak terhenti setakat itu.

Di luar hotel, deretan kenderaan mewah silih berganti memasuki ruang drop-off, membawa tetamu-tetamu penting yang hadir untuk malam istimewa RayMoon Holdings.

Di hadapan pintu masuk utama, jurugambar rasmi sudah lama bersedia dengan kamera masing-masing, menanti setiap kemunculan tetamu kehormat yang bakal mencuri perhatian sebelum acara bermula.

Tidak lama kemudian, sebuah kereta hitam berkilat berhenti tepat di hadapan lobi. Pintu belakang dibuka oleh pemandu, dan Ervin Rayyan melangkah keluar dengan tenang, wajahnya kekal bersahaja meskipun kehadirannya serta-merta menarik perhatian beberapa jurugambar yang berada tidak jauh dari situ.

Beberapa kamera terus terarah kepadanya sebaik sahaja kedua-dua kakinya mencecah lantai.

Klik. Klik. Klik.

Ervin tidak sedikit pun kelihatan terganggu dengan deretan kamera yang merakam setiap gerak-gerinya. Dia sekadar membetulkan sedikit hujung kot sut yang tersarung kemas di tubuh sebelum mengangkat wajah, membalas sapaan serta anggukan daripada tetamu dan beberapa kenalan korporat yang sudah menunggunya di hadapan lobi.

Malam itu, aura seorang pemimpin jelas terserlah pada setiap langkahnya. Cara dia berdiri, cara dia membalas sapaan dan cara pandangannya menyapu sekeliling seolah-olah memperlihatkan seorang lelaki yang cukup yakin dengan kedudukannya, tanpa perlu berusaha keras untuk mendapatkan perhatian sesiapa.

Namun, sebelum Ervin sempat melangkah menuju ke pintu utama hotel, langkahnya terhenti seketika apabila pandangannya beralih ke arah pintu kereta yang masih terbuka.

Seorang wanita keluar dari situ.

Maya.

Pandangan Ervin tanpa sedar tertahan pada wanita itu untuk beberapa saat, seolah-olah kehadiran Maya pada malam itu berjaya menarik perhatiannya lebih daripada yang sepatutnya.

Maya berdiri di sisi kereta sambil membetulkan helaian rambutnya yang sedikit ditiup angin. Rambut panjangnya dibiarkan bebas, jatuh kemas melepasi bahu. Wajahnya cantik dalam cara yang tidak memerlukan solekan berlebihan untuk menarik perhatian.

Malam itu dia mengenakan gaun deep emerald yang dipadankan dengan blazer hitam berpotongan kemas. Penampilannya tidak keterlaluan, malah cukup sopan untuk sebuah majlis korporat, tetapi tetap menyerlahkan sisi elegan dan berkeyakinan seorang wanita yang tahu bagaimana membawa dirinya.

Maya bukan sekadar seorang pembantu kepada Taufik di bahagian Marketing.

Sebagai Senior Marketing Executive, dia merupakan antara individu penting yang menjadi wajah RayMoon ketika berhadapan dengan client. Dia terlibat dalam pembentangan projek, urusan tender, promosi syarikat dan membina hubungan dengan client-client baharu.
Taufik mungkin mengetuai bahagian tersebut, tetapi Maya merupakan antara individu yang sering berada di barisan hadapan, terutama apabila melibatkan urusan dengan client dan pihak luar.

Dia tahu bagaimana hendak membawa perbualan supaya tidak kelihatan terlalu menjual, tahu bagaimana hendak menyampaikan sesuatu idea dengan cara yang mudah diterima, malah mempunyai kebolehan untuk membuatkan orang lain percaya terhadap apa yang dibawa oleh RayMoon.

Sebaik sahaja Maya berdiri di sisinya, Ervin mengalihkan pandangan ke hadapan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Namun, kamera para jurugambar yang sudah sedia menanti di hadapan lobi terlebih dahulu menangkap kehadiran mereka berdua dalam satu bingkai. Beberapa kamera mula dihalakan ke arah mereka dan bunyi pengatup kamera bertalu-talu memenuhi ruang hadapan hotel.

Klik. Klik. Klik.

Maya yang mula menyedari perhatian tersebut kelihatan sedikit kaku. Senyuman profesional segera terukir di bibirnya, cuba menyembunyikan rasa gugup yang mula menjalar apabila menyedari terlalu banyak mata sedang memerhatikan mereka. Namun, Ervin yang berdiri hanya beberapa langkah daripadanya cukup peka untuk menangkap perubahan kecil itu. Daripada cara jemari Maya menggenggam kemas beg tangannya sehinggalah kepada senyuman yang kelihatan sedikit dipaksa, lelaki itu tahu wanita di sisinya sedang cuba mengawal debar yang tidak mahu ditunjukkan.

“Relax.”

Suara Ervin rendah, hanya cukup untuk didengari oleh Maya.

Maya menoleh.

“I'm okay,” jawabnya sambil membetulkan pegangan pada clutch di tangannya. Namun, cara jemarinya menggenggam sedikit kuat menunjukkan dia tidak setenang yang cuba ditunjukkan.

Ervin memandang tangannya sebelum kembali menatap wajah Maya.

“You're nervous.”

Maya menggeleng kecil.

“No. Cuma... ramai sangat orang.”

Ervin tersenyum nipis.

“You've handled bigger clients than this.”

Kata-kata itu membuatkan Maya terdiam seketika.

Dia tahu Ervin tidak sedang memujuknya seperti seorang bos kepada pekerja yang gugup. Nada lelaki itu kedengaran terlalu yakin terhadap dirinya, seolah-olah Ervin benar-benar percaya bahawa dia mampu mengendalikan apa sahaja yang bakal berlaku malam itu.

Dan entah kenapa, keyakinan Ervin terhadapnya membuatkan Maya sendiri kembali yakin. Sedikit demi sedikit, rasa gugup yang tadi menguasai dirinya mula reda, digantikan dengan ketenangan yang selama ini selalu dia gunakan setiap kali berdepan dengan client penting.

Maya menghela nafas perlahan sebelum mengangkat wajah, memandang lelaki di sisinya dengan senyuman kecil yang masih menyimpan sisa keraguan.

“I don't want to mess things up tonight,” luah Maya perlahan, suaranya kedengaran cukup rendah agar hanya Ervin yang berada di sisinya dapat mendengar.

“You won't,” jawab Ervin tanpa teragak-agak, nada suaranya tenang tetapi penuh keyakinan sehingga membuatkan Maya kembali memandangnya.

Maya memandangnya beberapa saat.

Pandangan mereka bertemu.

Hanya seketika.

Namun, cukup lama untuk membuatkan Maya terlupa tentang bunyi kamera yang masih bertalu-talu di sekeliling mereka.
Ervin terlebih dahulu mengalihkan pandangan.

“Just stay close. Kalau ada client yang perlukan you, I'll let you handle it.”

Maya mengangguk.

“Okay, Mr. Ervin.”

Senyuman kecil terukir di bibirnya.

Mereka kemudian mula berjalan masuk ke lobi.

Kali ini, kamera bukan sahaja merakam Ervin.

Beberapa lensa turut mengikut langkah wanita yang berada di sisinya.

Seorang lelaki yang berada berhampiran pintu masuk sempat berbisik kepada rakannya apabila melihat mereka.

“Siapa perempuan tu?”

Rakannya mengangkat bahu.

“Marketing, I think.”

“Close juga dengan Ervin.”

Mereka ketawa kecil sebelum kembali menyambut tetamu lain.

Maya tidak mendengar apa-apa.

Ervin juga tidak memberikan sebarang reaksi.

Namun, tanpa Maya sedari, ketika mereka berjalan, Ervin sempat memperlahankan langkahnya supaya Maya dapat berjalan seiring dengannya.

Gerakan kecil itu terlalu biasa bagi Ervin sehingga dia sendiri tidak menyedarinya.

Tetapi bagi seseorang yang memerhatikan mereka dari jauh, ia kelihatan seperti sesuatu yang lain.

Seolah-olah mereka sudah terlalu biasa berjalan bersebelahan.

Sebaik sahaja memasuki ballroom, beberapa tetamu penting mula menghampiri Ervin.

“Mr. Ervin, good to see you.”

Ervin menyambut huluran tangan seorang lelaki berusia lingkungan lima puluhan itu dengan senyuman profesional.

“Good to see you too, Mr. Daniel. Thank you for coming.”

“Saya takkan lepaskan peluang untuk hadir ke event RayMoon,” ujar lelaki itu sambil ketawa kecil.

“Saya dengar malam ni ada beberapa announcement penting.”

Ervin tersenyum nipis.

“We'll talk about that inside.”

Mereka bersalaman sekali lagi sebelum lelaki itu beredar.

Maya masih berdiri di sisi Ervin.

Seorang wanita daripada salah sebuah syarikat rakan niaga kemudian menghampirinya.

“Maya, right?”

Maya segera mengukir senyuman profesional.

“Yes.”

“I met you during the Horizon project presentation.”

“Oh, yes. I remember you.”

Maya menghulurkan tangan lalu bersalaman dengannya. Perbualan mereka berlangsung dengan lancar apabila wanita tersebut mula bertanya tentang beberapa perkara berkaitan projek yang pernah dibentangkan sebelum ini.

Maya menjawab setiap soalan dengan yakin.

Dia tahu apa yang dibicarakan.

Dia tahu angka.
Dia tahu projek.
Dan dia tahu bagaimana hendak meyakinkan client.

Dari kejauhan, Ervin sempat memandang ke arah Maya.

Wanita itu kelihatan berbeza apabila berada dalam dunianya sendiri.

Tadi dia gugup.

Sekarang, dia berdiri dengan penuh keyakinan, bercakap dengan tenang sambil sesekali mengukir senyuman kepada client.
Pandangan Ervin tertahan beberapa saat lebih lama daripada sepatutnya.

“Mr. Ervin?”

Suara seorang pelabur menariknya kembali.

Ervin segera mengalihkan pandangan.

“Yes?”

“We need to discuss the East Coast project.”

Ervin mengangguk.

“Of course. Let's talk inside.”

Dia mengatur langkah bersama beberapa orang pelabur, tetapi sebelum pergi, pandangannya kembali mencari Maya.

Maya masih berbual dengan client.

Dan entah kenapa, melihat wanita itu masih berada di situ membuatkan Ervin berasa sedikit lega.

Beberapa minit kemudian, selepas selesai berbual dengan sekumpulan client, Maya mengundur diri dengan sopan sebelum pandangannya secara tidak sengaja melayari segenap ruang ballroom, seolah-olah mencari seseorang tanpa benar-benar menyedari bahawa itulah yang sedang dilakukannya.

Sehinggalah pandangan mereka bertemu dari seberang ballroom.

Maya tersenyum kecil apabila menyedari Ervin sedang memandang ke arahnya, dan lelaki itu sekadar membalas dengan anggukan ringkas sebelum kembali melayan tetamu di sisinya.

Tiada kata-kata yang bertukar antara mereka. Tiada gerak-geri yang boleh dianggap melampaui batas, apatah lagi sesuatu yang boleh menimbulkan persoalan kepada sesiapa yang melihat. Namun, ada satu perkara yang mungkin belum mereka sedari, di tengah-tengah lautan manusia yang memenuhi ballroom malam itu, mata mereka mula mencari satu sama lain tanpa sengaja.

Malam itu, Ervin masih seorang majikan dan Maya masih seorang pekerja. Mereka masih tahu batas yang perlu dijaga dan masing-masing masih berdiri pada sisi yang sepatutnya.

Namun, tanpa mereka sedari, sesuatu yang kecil sudah mula tumbuh di antara mereka.

Sesuatu yang belum mempunyai nama, belum pernah diakui dan mungkin juga belum mereka berani untuk fahami.

Cinta hadir tanpa dipinta...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience