Series
2044
Malam itu berlangsung dengan lancar seperti yang dirancang. Selepas selesai memperkenalkan Maya kepada Dato’ Rizman dan Datin Sofia, Ervin kembali sibuk dengan urusan tetamu dan perjalanan acara.
Pada mulanya, Maya agak kekok apabila terpaksa duduk semeja dengan keluarga Ervin serta beberapa tetamu penting yang lain. Namun, Datin Sofia yang cukup mesra dan merendah diri membuatkan rasa janggal itu perlahan-lahan hilang.
Mereka berbual setiap kali ada kesempatan, bermula dengan perkara-perkara ringan sebelum perbualan mereka berkembang kepada cerita tentang kehidupan dan minat masing-masing. Datin Sofia tidak pernah membuatkan Maya berasa seperti orang luar. Cara wanita itu melayan Maya begitu sederhana dan terbuka sehingga Maya sendiri tidak sedar berapa lama mereka sudah berbual.
“Maya kerja dengan Taufik dah lama?” tanya Datin Sofia sambil mengambil sedikit makanan di hadapannya.
Senyumannya cukup mesra, seolah-olah mereka sudah lama mengenali satu sama lain.
“Dah hampir lima tahun juga, Datin. Mula-mula dulu saya masuk sebagai junior, lama-lama dapat lebih banyak tanggungjawab,” jawab Maya sambil tersenyum kecil.
Rasa kekok yang tadi dirasainya semakin hilang apabila melihat Datin Sofia begitu mudah diajak berbual.
“Oh, patutlah Ervin cakap Maya antara orang penting dalam marketing,” ujar Datin Sofia sambil mengangguk perlahan.
Nada suaranya kedengaran penuh penghargaan, membuatkan Maya sedikit tersipu dengan pujian tersebut.
Maya ketawa kecil sebelum menggelengkan kepala.
“Ervin tu mungkin terlebih puji saya.”
“Dia bukan jenis suka puji orang kalau tak ada sebab,” balas Datin Sofia sambil menjeling sekilas ke arah anak lelakinya yang ketika itu sedang berbual dengan beberapa tetamu tidak jauh dari meja mereka.
Senyum kecil terukir di bibirnya sebelum dia kembali memandang Maya.
Maya hanya tersenyum mendengar kata-kata itu. Tanpa disedari, perbualan mereka berlarutan dan membuatkan dia semakin selesa berada di meja tersebut.
Di sebalik kemeriahan majlis, Ervin pula hampir tidak sempat duduk lama. Lelaki itu beberapa kali turun naik pentas untuk menyampaikan ucapan, menyambut tetamu kehormat dan memastikan acara berjalan seperti yang dirancang.
Setiap kali selesai menyampaikan ucapan, dia akan kembali ke ruang utama untuk bertemu dengan client dan rakan niaga, melayan mereka dengan mesra atas dasar hubungan profesional yang sudah lama dibina.
Sebagai tuan rumah, Ervin tahu bagaimana hendak membuatkan setiap tetamu berasa dihargai tanpa perlu terlalu mencuba.
Maya juga tidak kurang sibuknya.
Beberapa client yang mengenali dirinya datang menyapa dan berbual dengannya, malah ada antara mereka yang sengaja mencari Maya sebaik sahaja melihatnya berada di dalam ballroom. Taufik pula tidak pernah jauh daripadanya. Sesekali lelaki itu sendiri yang akan menarik perhatian Maya untuk memperkenalkan client baharu yang dianggap berpotensi untuk RayMoon.
“Maya, sini sekejap. I nak introduce you to someone,” panggil Taufik sambil melambai ke arahnya dari sisi ballroom.
Dia kelihatan cukup teruja seolah-olah sudah tidak sabar untuk memperkenalkan Maya kepada individu tersebut.
Maya segera menghampiri mereka sebelum Taufik memperkenalkan seorang lelaki yang merupakan wakil daripada salah sebuah syarikat yang hadir pada malam itu.
“This is Maya. She’s one of the people you should talk to kalau you nak tahu lebih banyak tentang project kita,” jelas Taufik sambil tersenyum bangga, kemudian memberikan ruang kepada Maya untuk mengambil alih perbualan.
Maya ketawa kecil sebelum menggelengkan kepala.
“Taufik ni kalau introduce orang, bukan main lagi.”
“You deserve it,” balas Taufik bersahaja sebelum menepuk ringan bahunya dan beredar untuk melayan tetamu lain.
Maya kemudiannya meneruskan perbualan dengan client tersebut dengan begitu mudah. Dia tidak kelihatan kekok, malah semakin lama mereka berbual, semakin jelas keyakinan yang ada pada dirinya. Sesekali dia ketawa apabila client itu melontarkan gurauan dan akan kembali serius apabila perbualan menyentuh tentang projek.
Dari kejauhan, Ervin sempat memandang ke arah mereka.
Dia sendiri tidak tahu kenapa matanya mudah tertarik kepada Maya setiap kali wanita itu berada dalam ruang pandangannya.
Mungkin kerana Maya memang menonjol dalam pekerjaannya. Mungkin juga kerana malam itu dia sedang melihat sendiri bagaimana Maya mengendalikan client dengan begitu bersahaja tanpa kelihatan terlalu mencuba.
Namun, setiap kali Maya ketawa mesra bersama client lelaki, ada sesuatu yang terasa kurang menyenangkan dalam dirinya.
Perasaan itu datang begitu halus sehingga Ervin sendiri cuba mengabaikannya.
Dia tidak mempunyai alasan untuk berasa begitu.
Maya bukan miliknya.
Lebih daripada itu, Maya ialah isteri orang.
Dan dia sepatutnya tahu batas.
******
Majlis berakhir agak lewat malam. Setelah sebahagian besar tetamu mula beredar dan suasana di dalam ballroom semakin lengang, Ervin memastikan segala urusan terakhir diselesaikan sebelum dia meninggalkan hotel.
Maya yang pada awalnya menyangka dia akan pulang sendiri sedikit terkejut apabila Ervin memberitahu bahawa lelaki itu akan menghantarnya pulang.
“Tak payahlah, Tuan. Saya boleh balik sendiri,” kata Maya sebaik sahaja mereka sampai di kawasan drop-off.
Ervin sempat menoleh ke kiri dan ke kanan.
“Awak tak payah nak formal sangat. Dah tak ada orang kat sini.” Kata Ervin bersama senyuman.
“Tapi tetap dalam kerja, kan?” balas Maya perlahan.
Ervin menjeling tajam.
Ketika mereka berdua jauh dari staf atau orang lain, panggilan mereka berubah.
“Dah lewat ni, saya hantar awak balik,” jawab Ervin ringkas sambil membuka pintu kereta untuknya.
Nada suaranya tenang, tetapi cukup tegas untuk membuatkan Maya tahu dia tidak akan menerima alasan.
Maya terdiam seketika sebelum akhirnya masuk ke dalam kereta.
“Awak memang suka buat keputusan sendiri, kan?” usiknya sambil tersenyum kecil selepas Ervin masuk ke tempat pemandu.
Ervin ketawa perlahan sebelum menghidupkan enjin.
“Baru tahu?”
“Dah lama tahu sebenarnya. Arahan awak, mandatori. Siapa yang bantah kena hukum pancung,” balas Maya sambil menyandarkan tubuh pada tempat duduk.
Nada suaranya kali ini lebih santai, tidak lagi seformal ketika mereka berada di dalam ballroom.
“Awak ingat saya ni ketua mafia ke nak pancung orang sesuka hati?” soal Ervin sambil menjongketkan keningnya. Senyuman merekah di bibirnya.
Sepanjang beberapa minit pertama perjalanan, mereka hanya berbual ringan tentang majlis yang baru sahaja selesai. Namun, semakin jauh kereta bergerak meninggalkan hotel, perbualan mereka mula berubah daripada urusan kerja kepada perkara-perkara yang lebih peribadi.
“You did well tonight,” puji Ervin akhirnya sambil memandang jalan di hadapan. Nada suaranya kedengaran lebih santai berbanding ketika dia bercakap sebagai seorang ketua di hadapan staf.
Maya menoleh kepadanya sebelum tersenyum.
“Serius?”
“Serius,” jawab Ervin sambil mengangguk kecil. Dia sempat menjeling sekilas ke arah Maya sebelum kembali menumpukan perhatian kepada jalan.
“Saya suka cara awak handle client. Awak tak nampak terlalu pushy, tapi dalam masa yang sama awak tahu macam mana nak buat mereka interested.”
Maya ketawa kecil sambil menggelengkan kepala.
“Itu pujian daripada boss atau daripada Ervin?”
“Ervin,” jawab lelaki itu tanpa teragak-agak, kemudian tersenyum nipis.
“Malam ni kita dah habis kerja.”
Maya terdiam seketika sebelum senyumannya melebar. Ada sesuatu pada cara Ervin menyebut ayat itu yang membuatkan suasana di dalam kereta terasa jauh lebih santai.
“Kalau macam tu, terima kasih, Ervin,” ucapnya perlahan sambil memandang ke luar tingkap.
Pujian itu jelas membuatkan hatinya senang, walaupun dia cuba menyembunyikannya.
Ervin kembali bersuara selepas beberapa ketika.
“Tapi awak memang macam ni ke dari dulu?”
“Macam mana?”
“Mesra dengan semua orang,” jawab Ervin sambil menjeling sekilas ke arahnya.
Nada suaranya kedengaran bersahaja, tetapi ada sesuatu pada soalan itu yang membuatkan Maya mengerutkan dahi.
Maya ketawa kecil.
“Saya kerja dengan orang. Mestilah kena mesra.”
“Tapi jangan terlalu mesra. Saya tak su…” Terhenti kata-kata Ervin.
“Tak apa?” soal Maya dengan kening berkerut.
“Tak ada apa,” balas Ervin cepat, namun jemarinya yang berada di stereng mengetat sedikit sebelum kembali mengendur.
Maya memandangnya beberapa saat sebelum tersenyum kecil.
“Awak ni peliklah malam ni.”
“Pelik macam mana?”
“Macam ada benda yang awak nak cakap, tapi tak jadi.”
Ervin ketawa perlahan, cuba mengelakkan pandangan Maya.
“Saya cuma nak pesan pada awak, Maya…”
Dia terhenti seketika.
Ada sesuatu yang ingin dikatakannya, tetapi dia sendiri tidak pasti bagaimana hendak menjelaskannya. Dia tidak boleh memberitahu Maya bahawa dia tidak suka melihat wanita itu terlalu mesra dengan client tertentu kerana alasan itu sendiri kedengaran tidak masuk akal.
Maya bukan miliknya.
Dia tidak mempunyai hak untuk mengawal siapa yang Maya mahu layan atau bagaimana Maya bergaul dengan orang lain.
“Nak pesan apa?” tanya Maya apabila Ervin tidak meneruskan ayatnya. Dia memandang lelaki itu dengan wajah ingin tahu.
Ervin menghela nafas perlahan sebelum tersenyum nipis.
“Jaga diri awak...”
Maya kelihatan sedikit hairan mendengar kata-kata itu.
“Jaga diri?”
“Ya,” jawab Ervin sambil mengangguk.
“Bukan semua orang yang datang dekat awak tu datang sebab business.”
Maya terdiam seketika sebelum akhirnya ketawa kecil.
“Apa yang kelakar?” soal Ervin, sedikit mengerutkan dahi.
“Tak ada apa,” jawab Maya sambil menggelengkan kepala.
“Cuma saya tak sangka awak akan cakap macam tu.”
Ervin tidak membalas. Pandangannya kekal pada jalan di hadapan, tetapi kata-kata Maya tadi membuatkan fikirannya kembali kepada satu perkara yang sejak tadi cuba dielakkannya.
Dia terlalu mengambil berat.
Sedangkan dia tahu keadaan Maya.
Dia tahu wanita itu sudah bersuami. Dia tahu ada batas yang tidak sepatutnya dilangkah dan dia sendiri tidak pernah berniat untuk melampaui batas tersebut.
Namun, semakin lama dia mengenali Maya, semakin mudah wanita itu menarik perhatiannya tanpa perlu berbuat apa-apa.
Dia mula menyedari bahawa rasa kurang senang yang muncul setiap kali melihat Maya terlalu mesra dengan lelaki lain bukan sekadar naluri seorang majikan yang mahu menjaga pekerjanya.
Perasaan itu sudah lama berputik di dalam hati, cuma dia sendiri yang enggan mengaku. Tetapi malam ini, melihat Maya berbual mesra dengan beberapa client lelaki membuatkan rasa cemburu itu semakin sukar disembunyikan. Dan mungkin, sudah tiba masanya dia meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Saya tahu, saya tak patut cakap hal ni...” Ervin bersuara perlahan sambil terus memandang jalan di hadapan.
“Tapi saya nak awak tahu, Maya... saya tak suka awak rapat atau mesra dengan client lelaki.”
Maya terkedu. Dia menoleh memandang Ervin yang sedang memandu, seolah-olah cuba memahami maksud di sebalik kata-kata lelaki itu. Ervin turut menoleh seketika dan pandangan mereka bertemu.
Mata mereka beradu agak lama sebelum Ervin perlahan-lahan menghulurkan tangannya lalu menyentuh tangan Maya yang berada di atas paha. Ervin mengenggam tangan Maya menyilangkan jari jemarinya.
Maya tersentak kecil, tetapi dia tidak menarik tangannya.
Ini bukan kali pertama Ervin menyentuhnya. Bukan juga kali pertama lelaki itu menunjukkan rasa cemburu apabila melihatnya rapat dengan lelaki lain.
Maya tahu... Ervin cemburu.
Dia membiarkan tangan Ervin mengenggam tangannya tanpa satu pun kata seperti dia telah membenarkan perasaan itu untuk bermula.
Rasa yang hadir tidak mampu di tepis lagi apabila hati terasa...
Share this novel