“3 bulan lagi harijadi Bonda, Tok. Bunga teringin nak beri Bonda hadiah.”
“Apa hadiah yang kamu nak beli sampai kena kerja ni?” soal Tok Rahmat lagi.
Bunga mengetip bibirnya. Dia memandang Tok Rahmat.
“Bunga…Bunga nak hadiahkan Bonda kain telekung. Bunga teringin nak sembahyang berjemaah dengan Bonda, Tok. Siapa tahu dengan hadiah tu nanti Bonda akan berubah dan tak akan lagi kerja di kelab dangdut itu. Bunga sayangkan Bonda. Bunga tak nak Allah murkapada Bonda,” ujar Bunga. Dia harap dia mampu untuk menghadiahkan Bonda sepasang telekung baru yang cantik.
‘’Sucinya niat anak ini,’’ bisik hati Tok Rahmat.
“Bunga boleh kerja kat sini ke Tok?” tanya Bunga lagi
Pertanyaan Bunga mengejutkan Tok Rahmat yang mengelamun. Tok Rahmat mengangguk. Suaranya tak terkeluar kerana terharu dengan niat anak kecil ini. Bunga senyum lebar. Dia berharap agar dia mampu untuk membelikan Bondanya sehelai telekung baru supaya mereka dapat menunaikan ibadah bersama-sama nanti, itu adalah impiannya.
Pulang dari sekolah Bunga seperti biasa selepas solat Zohor, dia akan terus begegas ke kedai runcit Tok Rahmat. Dia membantu Tok Rahmat di sana. Tanpa di suruh Bunga tahu apa yang harus dia lakukan sebaik tiba di kedai. Pertama-tamanya dia akan menyapu keseluruhan kedai. Kemudian dilap semua rak dan menyusun barang-barang di atas rak agar nampak kemas dan menarik.
Bunga melemparkan senyuman bila bertembung dengan beberapa orang pelanggan yang masuk ke dalam kedai runcit Tok Rahmat.
“Bunga dah makan?” Opah Husna, isteri Tok Rahmat menegur Bunga.
“Dah, Opah.” Sopan Bunga menjawab. Tangannya masih lagi menyusun sayur-sayur di atas rak di luar kedai. Dijiruskan juga sayur-sayur ini supaya nampak segar.
Share this novel