PPT BAB 2 : (SOFYIA CARMEN)

Romance Series 2780

MALAM selepas pertemuan pertama dengan Renzo, Gabriel pulang ke apartmen kecilnya dengan langkah longlai. Wang tunai tebal di dalam poketnya terasa lebih berat daripada emas—bukan kerana nilainya, tetapi kerana ia dibeli dengan harga kehormatannya.

Pintu apartmen dibuka perlahan, seperti cuba mengelak dari memecahkan kesunyian malam. Dia melihat Mia sedang lena di sofa, dengan buku rujukan tebal terbuka di dadanya. Lisa pula kelihatan tertidur di lantai dengan surat tawaran universiti di tangannya.

Gabriel berdiri sejenak, memerhatikan dua remaja itu. Mereka adalah sebab dia masih berjuang, walaupun hatinya telah lama hancur berkeping. Mereka bergantung pada aku, fikirnya. Tapi sampai bila aku boleh hidup begini?

Dia melangkah ke arah meja kecil di ruang tamu dan meletakkan sampul wang yang baru diperoleh. Nafasnya terasa berat, seperti ada beban yang menghimpit paru-parunya. Lalu dia duduk di lantai, di sebelah Lisa.


"Abang..." suara kecil Lisa tiba-tiba memecah keheningan. Gabriel tersentak.

Lisa membuka matanya perlahan-lahan, menatap abang sulungnya dengan keletihan. "Abang baru balik kerja?"

Gabriel mengangguk, cuba menyembunyikan kegelisahannya. "Ya. Tidur balik. Esok kau ada banyak kerja nak buat."

Namun Lisa tidak bergerak. Matanya yang penuh kasih sayang kini mengandungi sesuatu yang lain—kebimbangan. "Abang, jangan tipu kami. Saya tahu abang buat sesuatu yang abang tak suka demi kami."

Gabriel tergamam. Lisa terlalu bijak, terlalu tajam untuk dipujuk dengan alasan mudah. Namun dia tidak mahu adiknya tahu tentang dunia kelam yang sedang dia ceburi semula.


"Lisa, apa pun yang abang buat, semuanya untuk kau dan Mia. Untuk ibu. Jangan risaukan abang."

Lisa menggenggam tangan Gabriel, dan air mata mula mengalir dari matanya. "Tapi kami tak mahu abang terseksa. Kami tak perlukan semuanya kalau ia memakan jiwa abang."

Gabriel menarik tangan Lisa dan mendakapnya erat. "Jangan fikir macam tu. Abang sanggup buat apa saja untuk korang berdua. Jangan pernah rasa bersalah. Ini tanggungjawab abang."

Namun dalam pelukan itu, air mata Gabriel akhirnya jatuh juga. Dia menangis tanpa suara, agar Lisa tidak mendengar hatinya yang sedang pecah berderai.

***

Keesokan paginya, Gabriel membawa ibunya ke hospital untuk rawatan susulan. Gina Maria Nuveera yang dulunya wanita tegas dan penuh tenaga kini hanya bayangan dirinya yang dulu. Tubuhnya yang semakin lemah disokong oleh kerusi roda, dan suara batuknya kian sering menghiasi setiap detik perbualan.

"Ibu rasa abang tak cukup tidur," kata Gina perlahan ketika Gabriel sedang membantu jururawat menyediakan ubat.

Gabriel tersenyum, walau senyumnya tidak sampai ke mata.

"Abang okey, ibu. Jangan risau. Abang cuma fikir macam mana nak pastikan Lisa dan Mia dapat capai impian mereka."

Maria memandang anak sulungnya dengan mata redup.

"Gabriel, ibu tak pernah minta kau korban segalanya untuk kami."

Gabriel berpaling, tidak sanggup menatap wajah ibunya.

"Ibu, jangan cakap macam tu. Kalau bukan abang, siapa lagi? Abang dah janji dengan mendiang ayah untuk jaga semua orang."

Gina menghela nafas panjang.

"Tapi Sofia juga pernah minta abang janji sesuatu."

Gabriel terkedu. Nama Sofia seakan pedang yang menoreh hatinya. Dia berdiri terpaku, mengingati wajah ceria Sofia sebelum tragedi itu meragut nyawanya.

"Ibu tahu, abang tak mahu kecewakan sesiapa. Tapi jangan abaikan diri abang sendiri, Gabriel. Kesian sungguh anak bujang ibu ni. Ibu minta maaf, sayang..." Gina mengusap lembut kepala Gabriel dengan tangan yang sedikit menggeletar.

Gabriel mengetap gigi, menahan air mata yang ingin jatuh.

"Ibu rehatlah. Abang akan pastikan semua ini selesai. Abang janji."

Namun janji itu terasa hampa, seperti debu yang akan lenyap ditiup angin.

***

Gabriel duduk di bangku taman hospital selepas menghantar ibunya masuk ke bilik rawatan. Matahari senja melukis langit dengan warna jingga, tetapi di hatinya, semua terasa kelabu. Jari-jarinya menggenggam telefon dengan erat, cuba mengabaikan mesej-mesej dari Renzo yang bertanya tentang “kerja” seterusnya.


"Gabriel?"

Suara lembut itu memecahkan lamunannya. Gabriel berpaling, dan seketika itu juga nafasnya terhenti. Di hadapannya berdiri seorang wanita dengan wajah yang tidak pernah dia sangka akan dilihat semula.


"Sofyia Carmen?" suaranya hampir berbisik.

Sofyia Carmen, sahabat lama yang pernah menjadi cahaya dalam hidup Gabriel, kini berdiri di situ dengan senyuman kecil yang sama seperti bertahun-tahun dahulu. Rambut hitamnya yang panjang ditiup angin, dan matanya yang redup seolah-olah menyimpan seribu cerita.


"Ya, aku," balas Sofyia, suaranya penuh kerinduan. "Dah lama kita tak jumpa."

Gabriel berdiri, cuba mengawal emosinya.


"Apa yang kau buat di sini?"

Sofyia tersenyum pahit. "Ibu aku baru selesai rawatan untuk kanser paru-paru. Dah masuk fasa pemulihan. Kau pula? Apa yang bawa kau ke sini?"

Gabriel teragak-agak, tetapi akhirnya berkata, "Ibu aku... kanser payudara. Dah tahap akhir."

Mata Sofyia penuh simpati. Dia melangkah ke hadapan, mendekati Gabriel.

"Aku minta maaf, Gabe. Aku tahu kau pasti tengah lalui masa yang sukar."

Gabriel tersenyum hambar. "Sukar adalah understatement, Sofyia."

Mereka duduk di bangku, dan Sofyia memandang Gabriel dengan penuh perhatian.

"Apa yang berlaku sejak kali terakhir kita jumpa? Aku dengar kau berhenti dari kerja lama kau. Kau dah mulakan hidup baru, kan?"

Gabriel mengetap gigi. Nama Sofia muncul lagi di mindanya, seperti duri yang tak pernah tercabut.

"Aku cuba, Sofyia. Tapi hidup tak pernah semudah itu."

Sofyia memerhatikan wajah Gabriel, melihat bayangan lelaki yang pernah dia kenal. Namun, sesuatu yang lain kini terlukis di wajahnya—beban yang terlalu berat untuk ditanggung seorang diri.

"Kau tahu, Gabe," kata Sofyia lembut, "aku selalu percaya yang kau lebih kuat daripada apa yang kau fikir. Kalau kau perlukan bantuan, aku ada."

Gabriel memandang Sofyia dengan mata yang berkaca. Kata-kata itu seolah-olah menyentuh ruang kosong dalam hatinya, ruang yang telah lama sunyi.


"Tapi Sofyia," kata Gabriel akhirnya, suaranya serak, "kalau kau tahu apa yang aku buat sekarang untuk terus hidup... kau takkan pandang aku sama lagi."

Sofyia menggenggam tangan Gabriel, memberikannya kehangatan yang telah lama hilang.

"Kau manusia, Gabe. Semua orang buat silap. Yang penting, kau tak hilang diri kau sepenuhnya."

***

Sofyia Carmen mula muncul lebih kerap dalam hidup Gabriel selepas pertemuan itu. Dia menjadi telinga yang mendengar, bahu yang menyokong, dan perlahan-lahan, kehadirannya membawa sinar kecil ke dalam kegelapan Gabriel.

Suatu malam, ketika mereka berbual di sebuah kafe kecil berhampiran hospital, Sofyia akhirnya bertanya, "Gabriel, kenapa kau tak cari jalan lain? Kau pernah cerita yang kau pandai melukis. Kenapa kau tak guna bakat tu?"

Gabriel tertawa kecil, tetapi tanpa keceriaan.

"Melukis takkan bayar bil hospital ibu aku. Takkan cukup untuk hantar Lisa dan Mia ke universiti."

Sofyia memandang Gabriel dengan mata yang serius.

"Mungkin tak segera, tapi kalau kau teruskan jalan yang kau pilih sekarang, kau akan hilang lebih daripada apa yang kau cuba selamatkan."

Kata-kata itu menusuk ke dalam hati Gabriel. Dia tahu Sofyia betul, tetapi dunia yang dia ceburi sekarang adalah satu-satunya cara cepat untuk mendapatkan wang.

Namun, di celah-celah rasa putus asanya, Gabriel merasakan sesuatu yang dia fikir sudah hilang—harapan.

***

Satu malam, selepas pulang dari "kerja," Gabriel mendapati Sofyia sedang menunggu di luar apartmennya. Dia memegang sebuah beg kanvas besar.

"Apa ni?" tanya Gabriel, keletihan jelas di wajahnya.

Sofyia membuka beg itu dan mengeluarkan set lukisan—cat minyak, berus, dan kanvas kosong.

"Aku takkan biarkan kau terus terperangkap. Kita mulakan dengan apa yang kau ada."

Gabriel memandang Sofyia, matanya berkaca-kaca.

"Sofyia, aku tak tahu kalau aku boleh."

Sofyia tersenyum. "Kau tak perlu tahu. Kau cuma perlu percaya. Sama seperti aku percaya pada kau."

Gabriel akhirnya mengambil berus itu, dan malam itu, untuk pertama kalinya dalam bertahun-tahun, dia mula melukis semula. Setiap sapuan berus seolah-olah menarik keluar beban di dalam hatinya, sedikit demi sedikit.

***

Gabriel semakin sering meluangkan waktu dengan Sofyia. Dalam setiap pertemuan, dia merasakan kedamaian yang telah lama hilang, seolah-olah Sofyia adalah tali penyelamatnya dari kegelapan. Namun, dia tidak dapat mengelak perasaan bahawa Sofyia menyembunyikan sesuatu. Ada kesedihan di matanya yang kadang-kadang muncul, terutamanya ketika Gabriel berbicara tentang keluarga dan masa depan.

Suatu petang, selepas sesi lukisan di taman, Gabriel memberanikan diri bertanya.

"Sofyia, aku tahu kau cuba sembunyikan sesuatu dari aku. Apa sebenarnya yang kau tak mahu aku tahu dan ini alasan kau meninggalkan aku dahulu?"

Sofyia terdiam, memandang kanvas kosong di hadapannya. Tangannya yang memegang berus cat sedikit menggigil. Dia menarik nafas panjang sebelum berkata, "Gabriel, aku tak pasti kalau kau mahu tahu siapa aku sebenarnya."

Gabriel mengerutkan dahi. "Aku tak peduli siapa kau dulu. Yang aku tahu, kau adalah Sofyia yang ada untuk aku sekarang."

Namun Sofyia menggelengkan kepalanya, senyumannya pahit.

"Dulu, aku bukan seseorang yang kau akan banggakan. Kau ingat kau satu-satunya yang pernah masuk ke dunia kelam? Aku juga pernah terjerumus."

Gabriel menahan nafas, tidak mahu menyela.

Sofyia meneruskan, "Selepas ayah aku meninggal dunia, aku terpaksa tanggung hutang yang dia tinggalkan. Aku bekerja di tempat-tempat yang aku tak pernah sangka akan masuk. Menjadi 'penghibur' untuk lelaki kaya, menerima bayaran untuk... segalanya."

Gabriel tergamam. Dia tahu betapa gelapnya dunia itu, tetapi tidak pernah terfikir Sofyia pernah menjadi sebahagian daripadanya.


"Aku cuba keluar," sambung Sofyia, suaranya serak, "dan aku berjaya, tetapi bukan tanpa harga. Aku kehilangan kawan-kawan, keluarga... dan aku hampir kehilangan diri aku."

Gabriel memandang Sofyia dengan mata yang penuh rasa bersalah.

"Kenapa kau tak pernah cakap? Kau boleh cerita pada aku. Aku faham apa rasanya terperangkap."

Sofyia tersenyum kecil, air matanya mengalir perlahan.

"Aku takut kau akan pandang aku dengan cara yang berbeza. Kau dah cukup bergelut dengan beban sendiri. Aku tak mahu tambah lagi."

Gabriel menarik Sofyia ke dalam pelukannya, memberikan kehangatan yang Sofyia fikir sudah hilang selama-lamanya.

"Sofyia, aku tak kisah apa yang kau pernah buat. Kau ada di sini untuk aku, dan aku akan ada di sini untuk kau. Kita akan hadapi ini bersama."

***

Namun, masa lalu Sofyia tidak mahu melepaskannya begitu mudah. Seminggu selepas pengakuannya, Sofyia menerima panggilan dari seorang lelaki bernama Adrian, bekas majikannya di dunia kelam itu.

"Aku dengar kau ada di bandar, Sofyia" suara Adrian di hujung talian penuh sindiran. "Lama tak jumpa. Aku masih belum lupakan semua 'hutang' yang kau tinggalkan."

Sofyia menahan nafas, tubuhnya membeku.


"Aku dah keluar dari dunia itu, Adrian. Aku tak akan kembali."

Adrian tertawa kecil. "Oh, kau fikir kau boleh lari begitu saja? Jangan lupa, aku tahu segalanya tentang kau. Kalau kau tak mahu rahsia kau terbongkar, kau tahu apa yang perlu kau buat."

Panggilan itu mengganggu tidur Sofyia selama beberapa malam. Dia cuba merahsiakan ancaman itu dari Gabriel, tetapi Gabriel mula perasan perubahan dalam tingkah lakunya.

"Sofyia, kau nampak tak tenang," kata Gabriel suatu malam. "Ada sesuatu yang tak kena, kan?"

Sofyia cuba tersenyum, tetapi matanya tidak dapat menyembunyikan ketakutan.

"Gabriel, aku takut. Seseorang dari masa lalu aku... dia cuba tarik aku kembali."

Gabriel menggenggam tangan Sofyia dengan tegas.

"Kita takkan biarkan dia sentuh kau lagi. Aku akan pastikan kau selamat."

Namun Gabriel tahu, untuk melindungi Sofyia, dia mungkin perlu berhadapan dengan dunia yang cuba dia tinggalkan sendiri. Walaupun peluangnya sangat tipis. Ada sahaja yang menarik dirinya ke kancah penuh noda dan nista ini.

"Sofyia, untuk kau.... aku sanggup! Kau satu dalam sejuta dan takkan aku sia-sia dirimu lagi!" jerit batin Gabriel Nuveera. Senyuman terlukis di sudut bibirnya yang kemerahan penuh menggoda.

Tanpa sengaja, senyuman itu bisa membuatkan Sofyia Carmen jadi tidak keruan. Sofyia bertindak memeluk tubuh tinggi lampai Gabriel, memberikan sentuhan hangat kepada jejaka itu. Gabriel Nuveera pada mulanya agak terkejut dengan perubahan sikap Sofyia, hanya berdiam diri.

Setelah mindanya memproses segala data, dan setelah sel-sel otaknya telah berhubung dengan baik, perlahan-lahan Gabriel membalas pelukan daripada Sofyia. Senyuman mekar terlukis di bibir kedua-dua mereka yang sedang menikmati momen indah matahari terbenam di sebuah pantai yang luas terbentang. Bibir mereka bertemu, dan kucupan itu terlalu bermakna buat kedua-duanya.

"Aku sayang kau, Gabriel..." Sofyia tulus menyatakan isi hatinya.

Gabriel tersenyum mekar, terus mendakap tubuh kecil molek Sofyia ke dalam dakapannya. Seperti tidak mahu melepaskannya lagi, pelukan itu bertambah erat sehingga membuatkan Sofyia mengaduh kesakitan.

"Gabe, kalau kau peluk aku begini, patah tulang-temulangku, sayang...."

"Oh...maafkan aku, aku terlalu sayangkan kau, Sofyia. Aku takut, aku takut kau tinggalkan aku lagi..!"

"Arghh...Gabe...kau, suatu hari nanti kita pasti mati juga, Gabe...cepat atau lambat aje!"

"Sofyia...don't...Aku tak suka kau cakap macamni. Aku cium bibir kau tu nanti sampai kau berhenti bercakap!"

Sofyia hanya geleng kepala. Senyuman terukir tapi sedikit pahit.Riak Gabriel turut berubah, hatinya tidak senangmelihat senyuman Sofyia itu!

Sweetnya dua ketul ni...kita bagi suam² kuku dulu..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience