PPT : PROLOG (WARNA KELAM)

Romance Series 2780

DI sebalik tirai malam yang sunyi, Gabriel Nuveera termenung di sisi tingkap bilik sempit yang menjadi tempat berlindungnya bersama keluarga. Kipas siling yang berputar perlahan seakan turut bersimpati dengan beban berat yang menghimpit remaja itu. Usianya baru menginjak lima belas tahun, tetapi dunia seolah-olah telah menghempapkan tanggungjawab dewasa di bahunya.

Sejak kematian bapanya setahun lalu akibat kemalangan tragis di tapak pembinaan, kehidupan Gabriel berubah menjadi mimpi ngeri yang tidak berkesudahan. Ibunya yang sebelum ini seorang wanita ceria dan penyayang kini hanya mampu terlantar di atas katil, melawan penyakit yang semakin meragut sisa kekuatannya. Doktor memberikan diagnosis suram; kanser payudara tahap akhir. Setiap detik berlalu bagaikan tikaman perlahan ke hati Gabriel.

Adik-adiknya, Lisa, Mia, dan Sofia, yang masing-masing masih berusia sepuluh, lapan, dan lima tahun, bergantung hidup sepenuhnya pada Gabriel. Mata mereka yang polos selalu penuh dengan harapan yang menggunung, seolah-olah Gabriel adalah pahlawan yang mampu melindungi mereka dari segala kesulitan dunia. Namun, hakikatnya, Gabriel hanyalah seorang remaja yang bergelut untuk terus berdiri di dunia yang semakin hari semakin menindas dirinya.

Sejak pemergian bapanya, Gabriel bekerja apa sahaja pekerjaan yang mampu dilakukan. Siang hari dia mengangkat kotak di pasar, malam pula dia menjadi pencuci di sebuah restoran kecil. Kadangkala dia menjadi penghantar barang di lorong-lorong gelap kota, tempat di mana bayang-bayang dosa manusia sering bersarang. Walaupun dia sering dibayangi rasa takut, dia tidak punya pilihan. Perut yang lapar dan wajah pucat ibunya memaksanya untuk menelan segala rasa gentar itu.

Hari itu, Gabriel pulang ke rumah membawa sebungkus nasi putih dan ikan goreng. Wajah letihnya bersinar sedikit melihat senyuman kecil yang terukir di bibir ibunya, walaupun nafas wanita itu kedengaran berat.

"Terima kasih, Gabriel," ucap ibunya dengan suara serak. Gabriel hanya mampu mengangguk, menahan air mata yang mahu tumpah. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan mereka.

***

Ketika malam menjelang, Gabriel sempat mengerling sekilas ke arah adik-adiknya yang tidur di atas tilam lusuh, hatinya dirundum pilu dengan rasa bersalah yang menebal. Untuk menghilangkan rasa itu terus mengusik jiwa hatinya yang kelam, Gabriel duduk memandang bintang. Sesekali perutnya berdendang minta diisi. Namun, Gabriel hanya mampu mengukir senyuman. Hatinya terpujuk apabila melihat sinar bulan. Di bawah cahaya samar bulan, dia teringat bagaimana dia dulu mengimpikan masa depan yang cerah. Namun kini, mimpi-mimpi itu terasa begitu jauh. Apa yang tinggal hanyalah realiti yang keras dan tidak berperasaan.

Tetapi di sudut hatinya, Gabriel menyimpan satu tekad. Dia berjanji, walau apa pun yang terjadi, dia tidak akan membiarkan keluarganya terus hidup dalam kegelapan. Walaupun bermakna dia perlu mengorbankan segalanya – masa mudanya, mimpinya, malah dirinya sendiri.

Namun, satu peristiwa kecil mengusik mindanya malam itu. Di atas meja kecil di sudut bilik, sehelai majalah hiburan yang ditemuinya di tempat kerja tergeletak terbuka. Mata Gabriel terpaku pada gambar seorang model lelaki yang tersenyum di atas pentas dengan pakaian mewah. Di sekelilingnya, cahaya kamera menyinari wajah peragawan yang tampan, sementara pakaian yang diperagakan dari sentuhan pereka terkenal dunia.

Hati Gabriel bergetar. Bayangan dirinya berdiri megah di atas pentas seperti lelaki itu mula menguasai fikirannya. Dia membayangkan dirinya memakai pakaian mahal, dikelilingi sorakan peminat, dan hidup dalam kemewahan. Angan-angan itu seketika melarikan dirinya dari beban hidup yang menghimpit.

"Aku juga boleh jadi seperti dia," bisiknya perlahan, hampir tidak sedar dirinya berbicara.

Cita-cita itu tumbuh seperti bunga liar di tengah padang gersang. Gabriel tahu ia mungkin tidak realistik, tetapi sekurang-kurangnya ia memberikan sedikit harapan untuk terus melangkah. Di bawah kegelapan malam yang sunyi, dia memejamkan mata dan berjanji kepada dirinya sendiri bahawa suatu hari, dia akan keluar dari belenggu kemiskinan ini. Dia akan menjadi seseorang yang dikenali, dihormati, dan mampu memberikan kehidupan yang lebih baik kepada keluarganya.

***

Keesokan harinya di kampus, Gabriel tidak dapat menahan dirinya untuk berkongsi cita-citanya itu dengan rakan karibnya, Andres.

"Andres, aku rasa... aku nak jadi model," ucap Gabriel dengan nada separuh berbisik ketika mereka duduk di bangku taman sekolah tinggi itu. Andres, yang selama ini mengenali kesungguhan dan ketekunan Gabriel, tidak mentertawakannya. Sebaliknya, dia mengangguk perlahan.

"Kalau kau betul-betul nak, aku akan tolong," jawab Andres dengan keyakinan yang membakar semangat Gabriel.

Beberapa minggu kemudian, peluang yang tidak disangka-sangka muncul. Ibu Andres, seorang pemilik butik terkenal di kota, sedang berhadapan masalah apabila seorang model lelaki yang dijadualkan membuat sesi penggambaran menarik diri pada saat akhir. Andres segera teringat akan Gabriel dan memujuk ibunya untuk memberi peluang kepada rakannya itu.

"Mummy, percayalah, Gabriel ada potensi," kata Andres penuh keyakinan.

Ketika Gabriel melangkah masuk ke butik itu dengan rasa gugup, mata ibu Andres segera menangkap susuk tubuhnya yang tinggi lampai dan wajahnya yang unik.

"Kamu pernah jadi model sebelum ini?" tanya wanita elegan berumur lingkungan umur awal empat puluhan itu dengan senyuman kecil.

Gabriel menggeleng malu.

"Belum, puan." Namun, aura dan penampilan Gabriel sudah cukup meyakinkan. Tanpa ragu-ragu, ibu Andres memberinya peluang.

Itulah permulaan perjalanan Gabriel sebagai model sambilan. Dia belajar dengan cepat, menyerap segala arahan dan tunjuk ajar seperti span. Dalam masa beberapa bulan, wajahnya mula dikenali di beberapa majalah kecil. Wang hasil kerjanya perlahan-lahan membantu kehidupan keluarganya. Ibunya sudah mampu mendapatkan rawatan yang lebih baik, dan adik-adiknya tidak lagi perlu menahan lapar.

Namun, kegembiraan itu tidak bertahan lama. Kesihatan ibunya kembali merosot setelah beberapa bulan, dan tubuhnya yang semakin lemah membuatkan doktor memberikan prognosis yang lebih suram. Seolah-olah itu tidak cukup, adik bongsunya, Sofia, tiba-tiba jatuh sakit. Gejalanya semakin parah dengan setiap hari berlalu, dan doktor bingung menentukan rawatan yang tepat.

Gabriel hampir menemui jalan buntu. Wang simpanannya sebagai model sambilan tidak mencukupi untuk menampung rawatan intensif Sofia. Malam-malamnya kembali diisi dengan kegelisahan dan doa yang tidak putus.

"Tuhan, jangan ambil mereka," bisiknya setiap malam, merayu dalam sunyi. Beban di bahunya semakin berat, dan sekali lagi, dia terpaksa mencari jalan untuk melawan keputusasaan.

Tetapi semakin hari, hatinya mula dipenuhi dengan pertanyaan dan amarah. Mengapa Tuhan seolah-olah menghukum dirinya sebegini rupa? Apa dosa yang telah dia lakukan hingga ditakdirkan menanggung penderitaan yang tidak berkesudahan?

Dalam keputusasaan itu, Andres menjadi satu-satunya tempat Gabriel meluahkan rasa. Sahabat karibnya itu mendengar tanpa menghakimi, dan pada suatu malam, Andres menyuarakan satu cadangan yang mengejutkan.

"Gabriel, aku tahu ini bukan sesuatu yang kau akan pertimbangkan, tapi... ada jalan lain untuk dapatkan duit dengan lebih cepat."

Gabriel memandangnya dengan kerutan di dahi.

"Apa maksud kau, Andres? Ada jalan lain ke? Tolong aku Andres, aku betul-betul perlukan wang segera...Ibu...Sofia..Aku buntu, Andres..."

Andres menghela nafas, seolah-olah mencari kata-kata yang tepat.

"Aku ada kenal orang dalam dunia... gigolo. Kerjanya mudah, duitnya lumayan. Kau tak perlu susah payah lagi."

"Kau gila, Andres!" Gabriel menolak keras. Dia merasa jijik hanya dengan memikirkan cadangan itu. Tetapi minggu-minggu berlalu, dan keadaan semakin mendesak. Sofia memerlukan rawatan segera, dan wang yang dia miliki hampir habis. Beban tanggungjawab itu menghimpitnya sehingga dia tidak lagi mampu melihat jalan keluar.

Akhirnya, dalam satu malam yang penuh dengan air mata dan rasa putus asa, Gabriel menyerah kepada desakan Andres. Dengan hati yang berat, dia melangkah masuk ke dunia gelap yang penuh noda dan kehinaan. Kehidupan yang baru itu memberikan wang yang dia perlukan, tetapi pada masa yang sama, merampas sisa-sisa harga dirinya yang pernah dia banggakan. Gabriel tahu dia telah terjerumus ke dalam jurang yang dalam, tetapi untuk keluarganya, dia rela mengorbankan segala-galanya.

***

Dunia gigolo bukan hanya tentang kemewahan dan wanita cantik. Di sebaliknya, ada bahaya yang mengintai. Ada pelanggan yang obsesif, ada pesaing yang penuh iri hati, dan ada pihak berkuasa yang ingin menghapuskan 'bisnes' ini.

Gabriel telah bertemu dengan segala jenis manusia — dari wanita muda yang sekadar ingin berseronok hingga si isteri dari ahli politik yang ingin melupakan perkahwinan tanpa cinta. Tetapi tidak semua hubungan itu berakhir dengan baik.

Suatu malam, Gabriel menerima ancaman dari seorang suami yang marah akan kegiatannya bersama si isteri yang dapat dihidu. Dia dengan sewenang-wenangnya menuduh Gabriel menghancurkan rumah tangganya. Lelaki itu mengikutinya, membuat Gabriel tidak lagi merasa selamat di kotanya sendiri. Sekali lagi Andres muncul sebagai penyelamat kepada Gabriel. Namun, adakah selamanya Andres akan turut serta dalam perjalanan kehidupan Gabriel yang penuh pancaroba? Sampai bila Gabriel mahu menyeret Andres bersamanya. Gabriel sedar, dia perlu berdiri di kakinya sendiri. Lambat atau cepat pasti Andres juga akan pergi dari sisinya.

***

"Sofia, Sofia... SOFIA..!!!" tidur Gabriel terganggu lagi.

Gabriel merengus kasar, meraup wajahnya yang dibasahi manik-manik kasar. Bayangan dua wanita yang sering menghantui malam harinya. Seorang adik bongsunya, dan seorang lagi buah hati pengarang jantungnya. Kedua-dua gadis manis ini memiliki sebaris nama yang sama. Dan kedua-dua pergi meninggalkan Gabriel tanpa sekelumit bicara.

"Tuhan, Kau terlalu kejam...!" Gabriel terisak sendirian. Lencun wajahnya dibasahi air mata yang seakan tidak mahu berhenti mengalir. Rindunya pada kedua-dua gadis ini tidak dapat digambarkan melalui kata-kata. Semangat Gabriel seakan semakin pudar untuk meneruskan kehidupannya. Namun, dia sedar, tanggungjawabnya masih besar. Masih ada ibu yang perlukan kos perubatan yang besar, masih tinggal dua orang lagi adik perempuannya yang memerlukan wang perbelanjaan yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat paling cemerlang di luar negara.

Jika difikir-fikirkan, buat masa sekarang Gabriel tidak mempunyai masalah terhadap wang lagi. Kehidupannya juga agak mewah tanpa perlu bersusah payah. Cuma jaga diri dan asetnya sahaja, jangan sampai biarkan diri jatuh sakit. Kondisi ibu Gabriel, Puan Gina Maria Nuveera juga semakin hari makin membaik. Pusat perubatan yang paling terkenal Gabriel sediakan untuk ibu tercintanya. Paling penting saat ini, Gabriel mahu ibunya mendapatkan rawatan yang terbaik bagi kesembuhan penyakit kronik yang dihidapi oleh ibunya itu.

Lisa dan Mia pula ditanggung kesemua perbelanjaannya di negara luar oleh Gabriel sendiri. Gabriel mahukan adik-adiknya mendapatkan pelajaran yang secukupnya yang pernah dia impikan dulu. Sehinggakan segala keperluan mereka berdua tidak sedikit pun pernah culas. Segala kehendak dan keperluan Lisa bersama Mia dipenuhi sebaik mungkin oleh Gabriel. Tapi apalah maknanya, jika hidup terus "ber'Tuhan'kan" wang semata-mata, tetapi jiwa dan raga terseksa setiap masa. Tiada rasa secebis kebahagian dalam diri Gabriel membuatkan Gabriel merasakan hidupnya terlalu kosong.

Hanya....hanya senyuman Puan Gina membuatkan Gabriel terus merasakan dunianya sedikit berbunga. Walaupun terkadang bunga yang berkembang itu seakan layu dan perlahan-lahan mahu menyembah bumi.

Gabriel termenung lagi. Asap berkepul-kepul di udara. Hampir sekotak rokok habis dihisap rakus oleh Gabriel pada malam itu. Botol-botol kaca berselerakan.

"Sampai bila aku harus begini...Tuhan, Kau terlalu kejam pada diriku. Apa salah aku, Tuhan?! A..pa sa...lah a...ku?!" Omel Gabriel yang hanya dia sahaja yang mendengarkannya segala ocehannya itu. Dia sudah mabuk teruk pada malam itu.

Akhirnya, Gabriel terlena dalam malam yang penuh kesedihan dan sangat kelam di ruang tamu rumah kondominium mewah atas pemberian seorang 'Sugar Mommy' yang sangat taksubkan layanan Gabriel.

Langit malam yang dahulu seolah-olah membawa harapan kini kembali kelam. Tetapi dalam kelam itu, Gabriel tahu dia tidak boleh menyerah. Dia harus terus berjuang, walau dengan nyawa sekalipun, untuk menyelamatkan keluarganya.
Langit malam seolah-olah turut bersedih, mengiringi perjalanan seorang remaja yang memikul beban yang terlalu berat untuk usianya. Di bawah kegelapan ini, Gabriel Nuveera memulakan perjalanan yang akan membentuk dirinya– perjalanan menuju kegelapan yang lebih pekat, dan mungkin, ada sebuah cahaya yang tersembunyi di penghujungnya.

Alhamdulillah..done publish baby baru...jemput ya gaiss..kali ini kita beralih ke genre yg lebih matang. Harap diterima baik. Jangan lupa follow and tinggalkan comment..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience