“ Hidup kau ini, memang suka menyusahkan aku ke!” Jerit Puan Alina.
Jeritan yang kuat di dalam rumah, hampir didengari oleh jiran-jiran tetangga yang berada di sekeliling kawasan itu.
“ Ibu…maafkan Sofia ibu…” Sofia menangis dengan teresak-esak.
Puan Alina tidak mendengarkan rayuan dari anaknya itu, malah memukulnya berkali-kali.
Sofia menangis sambil menahan kesakitan.
“ Kau dengar sini! Kejap lagi ayah kau balik, kau jangan sesekali beritahu apa yang aku lakukan pada kau!”
“ Faham ke tak?” Marah Puan Alina.
Sofia yang masih lagi berada di dalam bilik,sedang duduk dan menangis sambil tangannya menyentuh luka pada bahagian belakang badannya.
Nurul Sofia yang baru sahaja berusia 10 tahun, tetapi sudah diuji mempunyai seorang ibu yang bersikap panas baran terhadapnya, tetapi tidak pada dua orang adiknya itu.
Sofia berasa dirinya seperti anak yang tidak diinginkan oleh ibunya, mungkin ibu dan ayahnya berkahwin pada usia yang muda dan masih belum bersedia mempunyai seorang anak, lantas dirinya diperlakukan seperti itu oleh ibunya sendiri.
Vroom! Vroom!
Kedengaran enjin motosikal milik ayahnya memasuki perkarangan rumah.
“ Ayah…” Panggil Sofia dengan perasaan gembira.
Ibunya Puan Alina hanya memberikan pandangan yang serius kepada Sofia.
Ayahnya Encik Idris gembira melihat wajah anak sulungnya itu yang sedang berada di hadapan pintu rumah mereka.
“ Assalamualaikum Sofia…”
Sofia tersenyum setelah melihat ayahnya memasuki rumah.
Puan Alina menyambut kepulangan suaminya itu.
“ Sofia, macam mana hari ini, main apa?” Tanya ayahnya Encik Idris.
“ Tak main apa-apa pun ayah.” Jawab Sofia sambil senyum.
Di dalam hatinya, mahu sahaja dia beritahu bahawa ibunya telah memukulnya dengan begitu teruk sekali tanpa dia ketahui apa kesalahannya.
Encik Idris tersenyum mendengarkan jawapan daripada anak sulungnya, bagi Encik Idris, dia menganggap anak-anaknya gembira dan tidak ada apa-apa yang berlaku.
Sofia yang berada di atas tilam, lalu membaringkan badannya dengan perlahan-lahan supaya tidak terkena pada kesan luka yang ada pada bahagian belakangnya.
“ Kenapa ibu buat Sofia begini?”
“ Kenapa ibu selalu memukul Sofia, sedangkan Sofia anak sulung ibu.”
Air mata Sofia mengalir dan jatuh di atas bantalnya sehingga dirinya tertidur dalam tangisan dan kesakitan.
“ Ibu, Sofia mahu berangkat ke sekolah.” Ujar Sofia sambil menghulurkan kedua belah tangannya untuk mencium tangan ibunya.
Puan Alina tidak mengendahkan Sofia, malah dia tidak menghulurkan tangannya untuk dicium oleh anaknya itu.
Sofia yang melihat reaksi ibunya yang tidak mempedulikan dirinya, lantas dia mengambil beg sekolahnya dan berlalu pergi.
Encik Idris yang berada di luar rumah tersenyum melihat Sofia sudah bersedia untuk berangkat ke sekolah.
“ Sofia sudah salam dengan ibu?” Tanya Encik Idris.
Sofia hanya menganggukkan kepalanya sambil memberikan senyuman kepada ayahnya.
Hatinya berkata " biarlah ini menjadi rahsia, tidak perlu beritahu ayah."
*******
Sekolah Sofia berada tidak jauh dari rumah mereka.
Ayah Sofia menghentikan motosikalnya dan menghulurkan tangannya, setelah itu memeluk dan mencium pipi dan dahi Sofia.
“ Bye bye ayah…” Lambai Sofia kepada ayahnya.
Sofia bergerak memasuki kawasan sekolah setelah melihat ayahnya berlalu pergi.
“ Aduhh! Sakitnya belakang aku ni.” Rungut Sofia sendirian sambil duduk di dataran perhimpunan sekolahnya.
Sofia hanya duduk bersendirian sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, dirinya tidak mempunyai kawan kerana sejak dari kecil, ibunya tidak membenarkan dirinya berkawan dengan sesiapa pun.
Rakan-rakan sekelas yang berada di situ hanya memandang ke arah Sofia tanpa memberikan apa-apa reaksi.
“ Tidak apa lah, tak ada kawan pun okay juga.” Kata Sofia sambil membuka buku teksnya.
Setelah beberapa minit kemudian, perhimpunan bermula. Sofia hanya duduk mendiamkan dirinya, pada ketika itu rakan-rakan sekelasnya yang lain sedang rancak berbual antara satu sama lain.
Sofia hanya mendengarkan guru besar sekolahnya memberikan taklimat ringkas.
“ Baiklah semua pelajar, perhimpunan pada pagi ini sudah selesai. Semua pelajar boleh menuju ke kelas masing-masing.” Kata pengacara majlis.
Sofia lantas bangun dari tempat dudukya dan menuju ke kelas.
“ Aikkk! Di mana meja aku?” Soal Sofia kepada dirinya sendiri sambil melihat sekeliling.
Dia melihat mejanya itu sudah pun di tolak berada di bahagian belakang kelasnya. Sofia hanya mampu menghela nafas panjang sahaja, dia sudah terbiasa kerana sejak dia berpindah ke sekolah itu, dia sering menjadi mangsa buli di dalam kelasnya sendiri.
Kringgg! Bunyi loceng bergema di seluruh kawasan dalam sekolah menandakan sudah tamat waktu persekolahan.
Sofia berjalan menuruni anak tangga lantas menuju ke sebuah van sekolah dan menaikinya.
“ Agak-agak ibu masih marahkan aku lagi ke tidak?” Sofia mengeluh sambil memandang ke luar tingkap van sekolahnya itu.
Van sekolahnya memberhentikan kenderaannya di hadapan rumah Sofia, lalu Sofia keluar dari van tersebut.
Sofia membuka pagar dengan perlahan dan mahu menuju ke pintu hadapan rumahnya.
“ Kenapa tak boleh buka pintu ni?” Soal Sofia.
“ Ibu…Sofia sudah balik ni, kenapa pintu tak boleh buka ibu?”
Puan Alina yang mendengarkan suara Sofia di pintu hadapan, lantas dia pergi untuk melihatnya.
“ Ibu, kenapa ibu kunci pintu dari dalam?” Tanya Sofia sambil memandang ke arah ibunya.
Puan Alina tidak mempedulikan anaknya itu.
“ Kau duduk di luar rumah ni, jangan bising sehingga aku bukakan pintu!” Kata ibunya.
Dia berasa semakin keliru apabila mendengarkan apa yang ibunya katakan.
Sofia yang masih berpakaian sekolah duduk di luar rumah sambil mendongak ke langit, mengenangkan nasibnya yang malang itu.
Hidupnya tidak seperti kanak-kanak yang lain, mampu bahagia bersama ibu mereka, boleh merasakan masakan dari seorang ibu, tetapi tidak baginya.
Waktu menunjukkan hampir jam 5 petang. Sofia yang masih lagi duduk di tangga hadapan pintu rumahnya, menyedari pintu sudah di buka.
“ Sofia! Kejap lagi ayah akan balik, kau jangan beritahu ayah bahawa aku tak benarkan kau masuk ke rumah!”
Sofia hanya menganggukkan kepalanya dan menuju ke bilik air untuk membersihkan dirinya.
“ Abang!” Panggil Puan Alina.
Sofia yang berada di dalam tandas mendengar suara ayahnya itu, hatinya berasa tenang.
“ Awak, anak-anak sudah makan?” Soal Encik Idris kepada isterinya.
“ Sudah bang.” Ujar Puan Alina.
Sofia yang masih berada di dalam tandas, mendengarkan penipuan ibunya itu, dia berasa sedih.
Tuk! Tuk!
Encik Idris mengetuk pintu bilik Sofia dan membukanya, lalu duduk di sebelah anaknya yang sedang nyenyak tidur.
“ Selamat malam anak-anak ayah.” Ujar Encik Idris sambil mencium dahi tiga orang anaknya itu.
Share this novel