"TANGKAP perempuan jalang tu!"
Arahan yang diberikan oleh Farida membuatkan beberapa orang pengawal keselamatan menoleh ke arah Elyra. Mereka tak membuang masa untuk bergegas ke arah Elyra untuk menangkap dia.
Elyra tahu benda macam ni akan terjadi, jadi, dia terus membuka langkah besar meninggalkan dewan tersebut. Mata Elyra melilau sambil dia berlari, mencari tempat yang dia dah rancang untuk dijadikan sebagai tempat persembunyiannya.
Tapi, lepas dah berlari untuk sekian lamanya, dia tersedar sesuatu.
Dia keluar dari pintu yang salah!
"Ah, bodohnya! Aku nak menyorok dekat mana pulak ni?! " gumam Elyra pada dirinya sendiri sambil mencari-cari tempat untuk bersembunyi.
Bila dia ternampak papan tanda ke tandas, Elyra cepat-cepat membelok. Dalam fikirannya, tempat yang paling selamat untuk menyorok bila dikejar dengan sekumpulan lelaki adalah tandas. Mana-mana tetamu wanita yang ada dalam tandas nanti mesti akan menjerit bila mereka cuba masuk ke dalam tandas nanti!
Akhirnye, Elyra pun masuk ke dalam tandas dan-
"AAHH!" Elyra menjerit sambil menutup mulutnya dengan kedua tangannya. “Apa yang awak buat dekat sini?!” dia menjerit halus bila ternampak seorang lelaki berpakaian sut mewah sedang menyelesaikan ‘urusannya’ di tempat buang air kecil.
Lelaki yang dilihatnya cepat-cepat mengemaskan zip seluarnya sebelum melontarkan pandangan yang dingin dan tajam ke arah Elyra. "Cik, mata cik tertinggal dekat luar ke? Ni tandas lelaki!"
Suara lelaki itu yang ditinggikan membuatkan Elyra bengang, tapi ayatnya yang terakhir membuatkan Elyra tercengang. Tandas ni ada tempat buang air kecil, jadi mestilah ni tandas lelaki!
"Saya… Saya…"
"Keluar!" gertak lelaki itu dengan dingin.
Dengan wajah yang merona merah, Elyra pun terus memalingkan badannya. "I… I’m so sorry!" ujarnya dengan perasaan malu yang membuak-buak.
Baru sahaja dia nak buka pintu tandas, Elyra ternampak beberapa lelaki berbadan besar yang mengejar dia tadi. Darah Elyra bertukar sejuk. Mereka adalah orang yang diarahkan Farida untuk kejar dia tadi.
Tanpa berfikir panjang, Elyra terus tutup semula pintu tandas, membuatkan lelaki yang ada dalam tandas tadi mengeluh panjang.
"Cik, apa yang cik tengah buat apa ni?!" soal lelaki tadi dengan mata yang membulat.
Panik dengan suara lantang lelaki tadi, Elyra terus menghampiri lelaki tadi dan menekup mulutnya dengan kedua tangannya, membuatkan lelaki itu terkejut. “Encik, tolong saya kali ni je!" Elyra merayu sambil matanya menjeling-jeling kerisauan ke arah pintu utama tandas lelaki itu.
Mendengar langkah kaki dari luar, Elyra semakin panik dan terus tarik lelaki tadi ke dalam sebuah cubicle tandas dengannya.
Bila Elyra kunci pintu tandas, lelaki tadi semakin kegeraman. "Awak-" Tapi sekali lagi mulutnya ditutup dengan tangan Elyra.
"Encik, saya merayu. Saya tengah kena kejar dengan orang dan saya kena menyorok. Kalau awak tolong saya, saya janji yang saya akan ikut cakap awak!" rayu Elyra, terdesak. Butir-butir peluh dah membasahi dahinya, sama ada kesan daripada berlari tadi atau takut ditangkap dengan orang-orang suruhan Elyra.
Sementara tu, mendengar kata-kata Elyra, lelaki tu terus terdiam. Dia sentuh tangan Elyra, menjauhkan tangannya dari bibirnya supaya dia boleh bercakap. "Apa-apa yang saya nak?" ulangnya dengan kening kanannya diangkat, menunjukkan yang dia ada sesuatu yang difikirkan dalam benaknya.
Sambil menggigit jarinya, Elyra mengangguk. "Anything," tegasnya. "Selagi saya mampu buat, saya buat." Tersedar yang ada kemungkinan yang akan memakan diri, Elyra menambah lagi, "Tapi bukan apa-apa yang berkaitan dengan jual badan saya!"
Lelaki tadi terus mendengus, dan berkata sambil memandang Elyra dari atas ke bawah dan ke atas semula, "Saya tak minat dengan perempuan yang tak ada dada, so don’t get ahead of yourself, thanks."
Nak je dia siram lelaki tu dengan paip air di dinding tandas, tapi dia terpaksa menahan diri dan memaksa sebuah senyuman. “So, awak boleh tolong saya?"
Belum sempat lelaki tu nak cakapkan sesuatu, pintu utama tandas itu dah pun ditendang buka. Derapan tapak kaki sekumpulan lelaki berbadan sasa memenuhi ruang tandas.
"Dia mesti ada dekat sini!" ujar salah seorang orang suruhan Farida. "Check semua tempat!"
Arahan yang lantang tu membuatkan seluruh badan Elyra mengeras. Sumpahlah diorang nak rempuh semua tandas?!
Dari dalam bilik tandas yang dia bersembunyi, Elyra dapat mendengar satu per satu pintu tandas lain ditendang buka. Semakin lama, suara lelaki-lelaki itu semakin dekat, dan akhirnya sampailah giliran pintu bilik tempat Elyra bersembunyi.
KRAK! KRAK!
Pintu tandas digoncang kuat!
"Yang ni terkunci dari dalam!" jerkah orang suruhan Farida yang menggoncangkan pintu tandas.
"Boleh jadi perempuan tu ada dekat dalam!" balas pengawal yang lain.
"Hoi! Buka pintu ni!"
Jantung Elyra hampir gugur. Adakah dia akan tertangkap nanti?
Melihat badan Elyra yang bergetar, lelaki di depan Elyra mengalihkan pandangan ke arah bilik pintu yang sedang digoncang kuat. Dia mendengus dingin dan berkata, "Hoi! Hoi! Dah penat hidup ke?!"
Semua orang terus terkejut, termasuk Elyra sendiri. Yakin bukan main jantan ni!
Tapi, keterkejutan Elyra tak berakhir di situ. Sebab lepas tu, lelaki tu terus melonggarkan tali lehernya dan membuka beberapa butang bajunya dengan rakus.
"Awak buat apa ni?!" Elyra menjerit tanpa suara, matanya bergetar sebab lelaki ni sekarang menatap terus ke dalam matanya.
"Awak nak saya tolong awak, kan?" bisik lelaki tu dekat ke telinga Elyra, membuatkan dia terdiam. "Kalau awak nak saya tolong awak, awak ikut je apa yang saya buat."
Kemudian, tanpa sebarang amaran, lelaki tu terus tarik kepala Elyra dan membenamkan wajah Elyra ke dada bidangnya. Wajah Elyra terus berubah kemerahan. Dalam seumur hidupnya, dia tak pernah sedekat ni dengan mana-mana lelaki!
Tepat pada masanya Elyra tengah cuba untuk menenangkan diri dan nak mempersoalkan tindakan lelaki ini, lelaki ini pula terus buka pintu tandas dengan ganasnya.
KRAK!
Pada saat pintu dibuka, orang-orang di luar bilik tandas terkejut melihat keadaan dua orang yang berada di dalam.
Dengan sinar matanya yang dingin dan intimidasi, lelaki yang ada dengan Elyra pun berkata, "Kacau betullah. Korang nak apa?!"
Sebaik sahaja mereka terpandang wajah lelaki ini, salah seorang daripada orang bawahan Farida terus membeku. "T... Tuan Ezra Valkyr?!"
Mendengar nama tu, jantung Elyra rasa macam terus berhenti mengepam darah ke seluruh badannya. Dia tahu nama tu.
Ezra Valkyr. Itu adalah nama kepada CEO yang dingin dari Vortex Tech Group dan juga pewaris keluarga Valkyr yang cukup terkenal!
Sekejap… Lelaki yang dia minta tolong ni… rupanya CEO kepada kumpulan perniagaan teknologi yang paling menakutkan di Asia Tenggara?!
Ah sudah!
Share this novel