Bab 4

Romance Series 22547

"TUNANG awak?! Awak dah gila ke?!"

Soalan itu terus terkeluar dari mulut Elyra sebaik sahaja soalan Ezra tadi menyapa telinganya. Reaksi Elyra membuatkan Ezra berkerut dan memandang dia dengan pandangan yang dingin.

"Macam yang awak janjikan tadi, awak dah terhutang budi sebab saya dah selamatkan nyawa awak. Sekarang nilah masanya untuk awak balas balik pertolongan saya tadi," balas Ezra. "Kenapa? Awak nak patahkan janji yang awak sendiri dah buat tadi? Patut ke saya pulangkan awak dekat lelaki-lelaki tadi?"

"Awak…" Elyra menyengetkan kepalanya sedikit sambil memandang Ezra, "…nak ugut saya ke ni?"

Ezra hanya menatap Elyra dengan pandangan kosong dan membalas, "Ikutlah awak nak label apa pun, tapi yang penting… saya nak awak penuhi janji awak tadi.”

"Tapi bukan dengan bertunang!" balas Elyra dengan nada yang agak kesal. Dia tak tahu macam mana lelaki di depannya ini berfikir.

Pertunangan adalah kunci kepada pernikahan. Macam mana lelaki ni boleh menyuarakan permintaan yang semberono macam ni?!

Melihat wajah Elyra yang menunjukkan reaksi yang penuh kerisauan, Ezra menambah lagi, "Jangan nak beratkan kepala awak. Ini cuma pertunangan palsu je."

Mendengar penjelasan Ezra, mata Elyra terus bersinar. "Palsu?" ulangnya, sedikit bersemangat.

Ezra berkerut, entah kenapa dia rasa kecewa bila tengok perempuan depan dia ni tak nak sangat bertunang dengan dia. Tapi dia terus membalas, "Mestilah. Saya takkan bertunang sesuka hati dengan mana-mana perempuan yang asal-usulnya entah dari mana, Elyra."

Sekarang, tiba giliran Elyra untuk berkerut. Patut ke lelaki ni layan orang yang akan bantu dia dengan layanan yang macam ni?!

Menepis perasaan kesalnya, Elyra terus fokus dengan tugasan yang dia kena laksanakan. “Hmm… Kalau olok-olok je, saya tak kisah. Tapi, apa tujuan awak nak buat semua ni?"

Elyra dapat tengok mata Ezra dipejam, mungkin memikirkan kenapa Elyra nak tahu sebab disebalik tindakannya untuk ada tunang palsu. Elyra terus melambai kecil tangannya.

"Untuk pengetahuan awak, saya tanya untuk dapatkan gambaran yang jelas kenapa saya kena palsukan hubungan antara kita dan supaya saya boleh buat kerja dengan baik," jelas wanita itu secepat yang mungkin.

Penjelasan Elyra membuatkan Ezra merenung nombor tingkat yang terus berubah, menandakan yang mereka semakin hampir dengan destinasi mereka. "Batalkan pertunangan." Lelaki itu menoleh ke arah Elyra dan merenungnya sejenak. "Awak kena tolong saya batalkan pertunangan yang saya tak nak.”

Lepas tu, Ezra jelaskan macam-macam benda yang Elyra kena ingat, dan… dia tak dapat nak mengelak. Jadi, dia terpaksa dengar.

"Dekat restoran tu nanti ada ramai orang. Papa dengan mama saya, pak cik dengan mak cik saya, datuk dan nenek saya, dan seorang perempuan yang bernama Jane."

Pada saat Ezra menyebut nama 'Jane', wajahnya berubah gelap.

"Itu ke nama perempuan yang sepatutnya dijodohkan dengan awak?" soal Elyra, dan Ezra terus mengangguk.

Ezra menatap wajah Elyra dengan lebih lama, membuatkan wanita itu terpana memandang mata hitam lelaki itu yang memukau. "You have two jobs, Elyra. Yang pertama, awak kena buat Jane jealous supaya dia kuburkan je niat dia nak bertunang dengan saya. Yang kedua, yakinkan semua orang yang kita dah lama bercinta dan dah siap sedia nak bertunang."

TING!

Bunyi detingan elevator menarik perhatian mereka, dan pintu elevator pun terbuka, membentangkan pemandangan rooftop hotel yang cukup cantik untuk dipandang. Tapi, entah kenapa, tempat yang cantik dan sepatutnya dipuji itu membuatkan perut Elyra rasa seolah dicengkam kuat.

"Kita dah sampai," ujar Ezra sambile menoleh ke arah Elyra dan menghulurkan tangannya. “Awak ikut je apa yang saya cakap. Insyallah takkan ada masalah."

Elyra berkerut sedikit, jelas sangat risau dengan apa yang akan terjadi. Dia baru je buat kecoh dekat majlis perkahwinan bekas kekasihnya, dan sekarang, dia kena tolong lelaki yang tak dikenalinya untuk membatalkan pertunangannya pula? Apa dia ni dah nampak macam Oizys ke? Atau dewi kehancuran?

Memejamkan matanya sejenak untuk memadamkan apa-apa lamunan, Elyra menghela nafas yang berat dan menatap Ezra. "Saya akan tolong awak sebaik mungkin, Tuan Ezra." Dia letakkan tangannya pada telapak tangan besar jejaka tersebut.

"Ezra," ujar Ezra sambil serentak menggenggam tangan Elyra dan memimpin wanita itu keluar dari elevator.

"Huh?" Elyra kehairanan dengan kenapa lelaki itu menyebut namanya sendiri.

Dengan wajah yang dilembutkan, Ezra berkata, "Panggil saya Ezra." Dia menambah sambil tersenyum kecil. "Awak cakap dengan saya sekarang, siapa je yang panggil tunang dia dengan panggilan formal macam ‘Tuan Ezra’?"

Pada saat itu juga, Elyra rasa kewarasannya hancur lebur. Tak guna betul! Lelaki ini terlalu kacak sepuluh- TAK! Berjuta kali ganda daripada Kyle!

Elyra cepat-cepat menggigit lidahnya sendiri supaya dia sedar semula, dan mengingatkan dirinya semula, 'Ingat, Elyra! Jangan percaya mana-mana lelaki kacak! And…' dia menatap ke arah mata Ezra yang sedang memerhatikannya dengan kebingungan, ‘…kau kena balas balik pertolongan lelaki ni je! Tak lebih daripada tu!'

Lepas tersedar dari tatapan mata Ezra, Elyra mula tersenyum lebar. "Okay, Tu… Ezra."

Usai perbincangan mereka, Ezra memimpin Elyra masuk ke dalam restoran dan bawa dia ke kawasan khas, tempat terbaik untuk melihat pemandangan ibu kota dari puncak hotel.

Berjalan menuju ke arah sebuah meja yang diduduki dengan tujuh orang, dan satu kerusi kosong di antara mereka, Elyra berbisik dalam hati, ‘Tu mesti family Ezra.'

Seorang wanita yang cantik rupawan dilihat sedang duduk bersebelahan dengan seorang lelaki yang menghirup secawan kopi dengan tenang. Wajah mereka berdua yang memiliki bayang pada wajah Ezra membuatkan Elyra terus dapat meneka identiti mereka.

"Itu parents awak ke?" bisik Elyra dengan suara yang rendah.

Ezra menganggukkan kepala. "Yang duduk berseberang dengan mereka adalah pak cik dan mak cik saya, then, yang duduk di antara dua pasangan tu adalah datuk dan nenek saya, orang yang paling dihormati dalam keluarga saya," jelasnya singkat, jelas, padat.

Duduk membelakangi Ezra dan Elyra pula adalah seorang wanita berambut hitam lurus dengan gaun merah ketat yang mewah dan mencolok. Sebaik sahaja mendengar derapan kaki mereka berdua, pandangan semua orang di meja itu beralih ke arah Ezra dan Elyra. Wanita yang membelakangi mereka berpaling dan menampakkan wajahnya yang pada pendapat Elyra, sangat cantik.

"Ezra!" sapa wanita itu dengan mata yang bersinar. Jelas gembira ternampak tubuh tegap Ezra.

Tapi, pada saat dia terpandang bayangan Elyra yang lengannya berlilit dengan lengan Ezra, ekspresi wanita itu berubah seratus lapan puluh darjah daripada yang dipaparkan tadi.

"Siapa perempuan ni?"

Tanpa perlu diterangkan oleh Ezra, Elyra terus dapat teka identiti wanita yang menyoal itu.

"Jane," sapa Ezra sebelum akhirnya menatap satu per satu wajah penduduk di meja itu, "Semuanya, Ezra perkenalkan… ini Elyra, girlfriend Ezra yang baru Ezra propose hari ni.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience