BAB 1

Romance Series 6945

ADARA SOFEA membiarkan wajahnya ditata rias oleh MUA yang telah dilantik oleh mommynya, Datin Azian. Haruman levender memenuhi ruang bilik yang luas itu. Namun, sedikit pun tidak mampu menenangkan gelora di dalam dadanya. Adara memandang pantulan dirinya di cermin besar. Cantik. Baju kurung moden berwarna putih suci dengan perincian lace Perancis itu melekap sempurna di tubuh langsingnya, namun bagi Adara, ia terasa seperti kain kafan yang bakal membunuh masa depannya.

?"Lama lagi ker nak kena solek? Saya rasa sesak nafaslah Kak Zarina," tanyanya rimas. Kakinya tidak henti-henti digerakkan di bawah meja solek, satu tanda kegelisahan yang tidak dapat disembunyikan lagi.

?"Sabar Cik Dara, lagi sikit. Saya baru nak kemaskan bahagian mata ni. Nanti kalau tak kena di mata Datin, saya juga yang kena marah. Cik Dara tahu sajalah Datin tu macam mana," balas Kak Zarina yang sudah lali dengan kerenah - karenah pelanggan VVIP. Dia tahu Datin Azian bukan calang-calang orangnya apabila melibatkan soal kesempurnaan. Setiap inci solekan mesti nampak natural tapi mewah.

?Mendengar itu, Adara terdiam. Rasa kesian pula pada Kak Zarina yang sudah berkampung di biliknya sejak subuh tadi. Adara tahu mommynya seorang yang terlalu cerewet. Bukan sekadar cerewet biasa, tetapi terrrrrsangat cerewet. Pening kepala nak melayan. Segala - galanya harus mengikut piawaian "Datin".

?"Ok, done. Cukup sempurna. Saya keluar sekejap nak tengok keadaan di luar dan nak panggil Datin. Mana tahu masih ada yang tak kena di mata Datin," pohon Kak Zarina sambil bergerak ke arah pintu.

?Adara hanya mengangguk kecil dan melemparkan senyuman tawar. Sebaik sahaja pintu bilik tertutup rapat dan bunyi tapak kaki Kak Zarina menghilang, nafas yang ditahan sejak tadi dilepaskan sekuat hati. Dia memandang pintu balkoni yang tertutup langsir jarang itu. Otaknya ligat berputar. Dia sudah nekad. Biarlah seluruh dunia menggelarnya anak derhaka, dia tetap dengan keputusannya. Mental health sendiri lagi penting dan perlu dijaga. Jika perkahwinan tanpa rela ini hanya akan membuatkan hidupnya murung dan tertekan, untuk apa dia teruskan? Dia baru 26 tahun, masih panjang perjalanan hidupnya untuk dihabiskan dengan lelaki yang dia bayangkan sebagai "Dato' Tua".

?"Aku tak nak jadi isteri kepada lelaki tua yang aku tak kenal. Titik! Kau gila ke Dara? Nak kahwin dengan orang yang kau tak pernah jumpa? No way!" bisiknya sendirian.

Adara menyingsing kain baju kurungnya. Langkah diatur pantas ke arah balkoni. Rasa tidak selesa dan sarat dengan pakaian itu mula mengganggu perasaannya. Di balkoni itu, sebuah gulungan tali lembu yang disembunyikan di bawah pasu bunga besar ditarik keluar dengan rakus. Semalam, dia sanggup menyelinap keluar semata-mata untuk mendapatkan tali ini dari kedai hardware di hujung taman. Jangan ditanya di mana dia dapat idea, yang penting, misinya harus berjaya.

?Dengan segala kudrat yang ada, Adara mengikat tali itu pada jeriji balkoni dengan simpulan mati yang paling kukuh dia pernah belajar semasa zaman pengakap sekolah dulu. Hujung tali dicampak ke bawah, terjuntai tepat ke arah taman belakang rumah yang terlindung daripada pandangan tetamu yang mula memenuhi ruang khemah di hadapan.

?"Bismillah... Adara Sofea, kau boleh buat!"

?Adara memanjat pagar balkoni. Dadanya berdegup kencang, bagaikan mahu pecah keluar dari rusuk. Tangannya yang halus mula mencengkam tali kasar itu. Perlahan-lahan dia turun. Geseran tali pada telapak tangannya yang lembut terasa sangat pedih, panas membakar kulit, namun rasa takut tertangkap jauh lebih menyakitkan. Dia sempat menoleh ke atas, melihat biliknya yang kian jauh. 'Maafkan Dara, mommy, daddy.'

?GEDEBUKKKK!

?"Aduh! Sakitnya!" Adara mengerang kecil. Dia jatuh seperti buah nangka busuk di atas rumput. Punggungnya terasa berdenyut-denyut. Cepat-cepat dia bangun, menepuk - nepuk tanah dan rumput yang melekat pada baju putih mahalnya. Bajunya sudah sedikit berantakan, tapi dia tidak peduli. Jiwa merdekanya lebih penting sekarang.

?Tiba-tiba, telefon bimbitnya yang diselitkan di pinggang kain mengeluarkan bunyi nada. Segera dia swap pada butang hijau dengan tangan yang sedikit menggigil.

?"Kau kat mana ni? Cepatlah, aku risau ni. Jantung aku dah nak tercabut tunggu kau dekat lorong belakang ni! Kau tahu tak berapa banyak kereta mewah dah lalu depan aku?" Suara Intan di hujung talian kedengaran sangat cemas.

?"Aku datang. Kau tunggu kat tempat yang kita dah bincang dua hari lepaskan? Jangan berganjak!" Adara membalas dengan nafas yang tercungap-cungap. Dia memandang sekeliling, memastikan tiada pengawal keselamatan atau orang gaji yang perasan akan kelibatnya yang sedang merangkak-rangkak di sebalik rimbunan pokok bunga raya.

?"Yer-yer, cepatlah! Sebelum aku sendiri yang kena serangan jantung kat sini!"

?Adara menghayun langkah seribu menghala ke arah pintu pagar belakang rumah. Sebaik sahaja pintu itu terbuka, dia melihat kereta Honda putih milik Intan sudah sedia menanti dengan enjin yang masih hidup.

?Klekkk! Pintu kereta dibuka dan Adara meloloskan diri ke dalam dengan kasar.

?"Sorry, buat kau tertunggu-tunggu. Jom cepat sebelum diaorang perasan kita kat sini! Jalan, Intan! Jalan!" Adara memulakan bicara sebaik sahaja memakai tali pinggang keledar dengan tangan yang masih bergetar.

?Intan memandang sahabatnya dengan mata yang membulat besar. "Ya Allah, Adara! Kau betul-betul buat? Kau tengok baju kau, dah kotor! Tangan kau merah-merah ni! Kau terjun ke apa?"

?"Dah, jangan membebel macam mommy. Jalan dulu, nanti aku cerita!"

?Intan mengeluh panjang namun tangannya tetap cekatan menukar gear ke posisi D. Kereta itu meluncur keluar dari lorong tersebut. "Aku nak tanya kau untuk kali yang terakhir, Adara. Kau ni betul-betul nekad ke nak lari? Ini bukan main-main, Dara. Ini majlis nikah! Seluruh keluarga kau ada kat situ!" Pertanyaan wajib sebelum dia memulakan tugasnya secara rasmi sebagai "pemandu pelarian".

?"Dah... Aku dah fikir masak-masak, Intan. Aku tak nak teruskan hidup dalam kepura-puraan. Siapa yang nak menanggung beban berkahwin dengan lelaki tua? Dato' Irfan... dengar nama pun aku dah tahu dia tu mesti jenis lelaki korporat yang gila kerja, perut buncit, dan mungkin dah uban penuh kepala. Memang taklah aku nak korbankan seluruh masa muda aku!" Adara menggeliat kegelian, membayangkan dirinya terpaksa melayan kerenah lelaki tua setiap hari.

?"Ehhh, yang kau tiba-tiba menggeliat macam sotong kurita ni kenapa?" Intan menempelak sambil membelok keluar dari kawasan elit tersebut.

?"Aku rasa geli-geleman tahu tak? Nanti tak pasal-pasal aku jadi janda muda kalau dia 'jalan' dulu. Aku baru 26 tahun, Intan! Aku baru habis study, aku nak kerja, aku nak tengok dunia! Bukan nak terperangkap dalam rumah besar dengan 'sugar daddy' yang daddy aku pilih!"

?"Aku ni bukan apa, Dara. Dah berbuih mulut aku bagi nasihat sejak dua hari lepas. Tak salahkan kalau kau cuba dulu? Mana tahu dia baik? Orang tua ni biasanya lebih penyabar, lebih kaya, lebih menghargai isteri," ujar Intan lagi, cuba memberi sedikit ruang logik walaupun dia tahu ia sia-sia.

?"Andaikata kau kat tempat aku pun, kalau kau kena kahwin dengan lelaki yang umur dia mungkin sebaya dengan daddy kau, mesti kau akan buat benda yang sama, kan?," Adara membalas dan melepaskan keluh yang sangat berat. Dia menyandarkan kepalanya ke cermin tingkap.

?"Hmmm, memanglah aku tak suka kau kahwin dengan orang tua. Tapi kau yakin ke yang tunang kau itu 'orang tua'? Sekarang ni dah ramai tahu, golongan muda yang dapat title Dato'. Mana tahu dia tu hot? Macam dalam drama TV tu?"

?Adara mencebik, langsung tidak termakan dengan kata-kata Intan. "Mereka nak "jual" aku untuk bisnes daddy, itu je aku tahu dan agak." Adara memejamkan mata, cuba mengusir rasa kecewa terhadap ibu bapanya.

*******

?DI KEDIAMAN DATO' FARID

?Suasana di rumah banglo mewah itu mula berubah daripada tenang menjadi kacau-bilau.

?"Abang... Dara dah lari! Dia takde kat bilik!" Jeritan kuat Datin Azian bergema dari tingkat atas.

?Dato' Farid yang sedang menyambut beberapa rakan perniagaan tergamam. "Apa awak cakap ni, Azie? Jangan main-main! Ramai orang kat bawah ni!"

?"Adara dah lari?" Suara bisikan tetamu mula kedengaran seperti dengungan lebah. Masing-masing mula berbisik sesama sendiri dengan riak wajah yang terkejut.


?"Tadi Zarina keluar bilik panggil Azie. Bila Azie masuk nak tengok Dara untuk kali terakhir, bilik tu kosong! Pintu balkoni terbuka luas!" Datin Azian sudah mula menangis teresak-esak. Wajahnya yang cantik disolek itu mula comot dengan air mata yang mengalir laju.

?Dato' Farid bergegas naik ke tingkat atas. Dia menerjah masuk ke dalam bilik anaknya. Dia memeriksa segenap ruang. Bilik air, di bawah katil, malah di dalam almari pakaian yang besar itu turut dibuka. Kosong. Langkahnya terhenti apabila melihat langsir balkoni yang berkibar ditiup angin kencang. Dia melangkah ke balkoni dan matanya membulat melihat tali lembu yang masih terikat kemas di jeriji.

?"Bertuah punya anak! Macam mana dia boleh terfikir nak turun dari sini? Bukan dia gayat tempat tinggi ke? Ya Allah, Adara!" Dato' Farid menggelengkan kepala.

?"Kenapa buat mommy dengan daddy macam ni, Dara? Mana mommy nak letak muka ni? Malunya mommy..." Datin Azian bermonolog sendiri sambil terduduk lemah di birai katil yang sepatutnya menjadi tempat Adara bersiap.

?"Ini semua sebab awak terlalu manjakan dia dari kecil! Sekarang tengok apa dia buat! Dia malukan kita depan semua orang!" Dato' Farid melepaskan kemarahan yang tertahan. "Abang tak nak disebabkan perangai tak semenggah anak awak ni, hubungan kita dengan keluarga Irfan musnah. Abang dah janji dengan arwah bapa dia!"

?Tiba-tiba, kedengaran bunyi deruman kereta yang banyak dan suara riuh di tingkat bawah.

?"Rombongan pengantin lelaki dah sampai! Dato' Irfan dah sampai!" Suara Abang Long Jamil, abang sulung Dato' Farid, kedengaran melaung dari arah pintu utama.

?Dato' Farid menelan liur yang terasa amat kelat. Wajahnya pucat lesi, bagaikan darah sudah hilang dari tubuh. Bagaimana dia mahu menghadapi pemuda itu? Bagaimana dia mahu memberitahu seorang lelaki yang mempunyai pengaruh besar bahawa pengantin perempuannya telah melarikan diri menggunakan tali lembu?.

*******

?RUMAH SEWA INTAN

Kereta Honda putih itu akhirnya membelok masuk ke sebuah rumah teres dua tingkat yang terletak agak jauh dari kawasan perumahan Adara. Adara segera melangkah keluar, menarik kainnya yang labuh dan masuk ke dalam rumah dengan tergesa-gesa. Sebaik sahaja punggungnya mencecah sofa lama di ruang tamu itu, dia melepaskan keluhan yang sangat panjang.

?"Rasa macam baru lepas habis misi mustahil," gumam Adara. Dia merentangkan kedua-dua tangannya lebar-lebar pada atas sofa. Seolah-olah beban yang menghimpit kepalanya tadi beransur-ansur hilang.

?"Kau rehatlah dulu. Aku ke dapur jap, buatkan air kopi. Mesti kau haus, kan?" Intan menghela nafas. Walaupun dia rasa berdosa kerana bersekongkol menggagalkan majlis yang sepatutnya menjadi hari bahagia, tapi dia lebih tidak sanggup melihat Adara menderita seumur hidup.

? Beberapa minit kemudian, Intan kembali dengan dua cawan kopi panas yang mengepulkan wap.

"Kau nak mandi dulu ke? Rimas aku tengok kau pakai baju pengantin sarat manik ni," tanya Intan cuba bergurau untuk menceriakan suasana.

?"Boleh juga. Tapi... aku pakai baju kau je lah ya? Aku tak bawa apa-apa beg tadi. Aku cuma bawa badan dengan phone ni je," Adara tersenyum simpul.

?"Hmmm, faham. Pakai baju aku je. Tapi jangan harapkan baju sutera atau satin. Rumah aku ni rumah marhaen je. Bilik ni pun mungkin tidak seselesa dan tidak sebesar walk-in closet kau yang kat rumah tu," usik Intan lagi sambil menghulurkan cawan kopi kepada Adara.

?Adara menghirup kopi itu perlahan. Rasa pahit dan manis bersatu, meneroboh ke seluruh kerongkongnya. "Aku tak kisah, Intan. Malah aku rasa lebih tenang kat sini daripada duduk dalam istana tapi rasa macam penjara. Thanks tau sebab sudi tolong aku."

?"Tak ada apalah. Kau kan kawan baik aku. Susah senang kita sama-sama," Intan membalas ikhlas. Dia kemudian menunjukkan bilik tetamu yang ringkas. "Ni bilik kau. Kalau ada apa-apa kau jerit je. Aku ada kat bilik sebelah. Esok kita pergi mall, beli baju dan barang keperluan kau."

?Adara masuk ke dalam bilik tersebut. Sebaik sahaja pintu ditutup rapat, dia merebahkan badannya ke atas katil. Matanya tegak memandang syiling putih. Fikirannya dikosongkan seketika.

Dia baru sahaja kembali ke Malaysia empat bulan lepas selepas bertahun-tahun menuntut ilmu di luar negara, dan dia tidak menyangka akan menyambut kepulangannya dengan drama pelarian begini.

?"Aku kena cari kerja. Aku kena buktikan pada daddy yang aku boleh hidup tanpa duit dia," bisiknya sendiri dengan tekad yang membara.
?Matanya perlahan-lahan terpejam.

Dia tidak sedar, bahawa di satu sudut kota yang lain, seorang lelaki bernama Dato' Irfan Khairi sedang merenung tajam ke arah pelamin yang kosong di rumah Dato' Farid. Lelaki itu tidak marah, tetapi matanya memancarkan satu azam yang menakutkan. Dia tahu siapa Adara Sofea...

Happy reading ♥️ ES LILIN.

Share this novel

alia76
2026-05-17 11:04:26 

Permulaan yg suspen...menarik


NovelPlus Premium

The best ads free experience