Series
169574
“Kau nak tahu satu rahsia keluarga kami?”
Luth bersuara rendah. Nada suaranya yang tenang itu terasa lebih tajam daripada sebaris jeritan. Dia melangkah setapak lagi ke hadapan, seolah-olah mahu memastikan setiap patah perkataannya menusuk tepat ke dalam hati Nadira.
“Dalam keluarga Ilhan ni...” Setitis senyuman sinis muncul di bibirnya. “Lelaki macam Emir cuma dianggap sebagai beban. Macam sampah yang perlu disorokkan jauh-jauh supaya tak membusukkan nama baik keluarga.”
Luth sengaja menekankan perkataan tersebut. Alunan suaranya yang mendatar kedengaran seperti satu gurauan, namun hakikatnya ia sarat dengan penghinaan.
Jarak antara mereka semakin rapat. Wangian maskulin yang tajam dan mewah mula memenuhi ruang udara, membuatkan ruang di dalam bilik itu terasa semakin sempit. Nadira mula berasa sesak dan lemas dengan tekanan aura lelaki di hadapannya.
Nadira cuba menginjak ke tepi dengan gelisah demi menjarakkan diri, walaupun kakinya terasa begitu berat. Di sebalik kekeliruan yang melanda, tindakan dan pengaruh yang dipamerkan oleh Luth membuatkan Nadira mula percaya bahawa lelaki ini sememangnya sebahagian daripada keluarga Ilhan yang digeruni itu.
“Tak baik awak cakap macam tu. Walau apa pun keadaan dia, dia tetap abang sepupu awak, kan? Darah daging awak sendiri,” celah Nadira, cuba memberanikan diri untuk bersuara. “Janganlah panggil dia ‘sampah’.”
Luth menghentikan langkahnya. Keningnya terangkat sedikit, seolah-olah terkejut mendengar ayat tersebut.
“Abang sepupu konon,” Luth ketawa kecil, namun kedengaran hambar. “Dalam dunia perniagaan, sesiapa yang tak mampu berdiri atas kaki sendiri, tak layak dipanggil lelaki.”
Kata-katanya cukup sinis dan menggambarkan kekejaman yang nyata.
Nadira menggenggam erat jari-jemarinya. Dia memberanikan diri memandang tepat ke dalam anak mata Luth, menentang pandangan tajam lelaki itu.
“Kalau dia sakit, cacat, atau trauma, itu bukan alasan untuk kita pijak maruah dia. Tak kira lah betapa hebat pun kita rasa diri kita ni.”
Serta-merta, riak wajah Luth berubah. Ada sesuatu yang bergetar di dasar pandangannya.
Luth sama sekali tidak menyangka bahawa wanita yang dianggap tidak menarik ini mampu melontarkan kata-kata sedemikian, sesuatu yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pengantin ganti yang baru sahaja dibuang oleh keluarga sendiri.
Luth sekali lagi meneliti penampilan Nadira dari atas ke bawah. Bermula daripada rambut kusut yang hampir menutup sebahagian wajah, cermin mata tebal yang menenggelamkan pandangan mata, sehinggalah ke gaun usang yang menyembunyikan bentuk tubuhnya.
Semakin dipandang, semakin dia berasa jelik dengan penampilan wanita itu.
‘Hodoh,’ detik hatinya ringkas.
Namun, dalam masa yang sama, ada sesuatu yang mula menarik perhatiannya. Di sebalik penampilan yang hanya layak disembunyikan di sebalik tirai, wanita ini masih mempunyai ruang di hatinya untuk bersimpati kepada orang lain.
Satu kualiti yang amat jarang ditemuinya.
Pandangan mata Nadira kelihatan sangat jujur, namun tetap tegas dengan pendiriannya.
“Kau kesian kat dia?” Luth menguji lagi.
Nadira hanya mengangkat bahunya sedikit.
“Kalau betul apa yang orang ceritakan pasal dia, hidup dia mesti terseksa selama ni. Semua orang mengata dan menghina dia. Tak cukup lagi ke penderitaan macam tu untuk dia hadap?”
Luth terdiam. Katup bibirnya rapat.
Di dalam sudut hatinya yang paling dalam, ada sesuatu perasaan yang mula terusik. Selama ini, kebanyakan wanita yang cuba mendekati keluarga Ilhan hanya mengejar harta, pangkat, dan kemewahan. Namun, Nadira yang hadir sebagai mangsa keadaan, sebaliknya memilih untuk mempertahankan maruah seorang lelaki yang belum pernah ditemuinya, yang telah dilabel cacat oleh dunia.
“Menarik,” bisik Luth tanpa sedar.
Namun, seolah-olah enggan melayan sisi lembut yang mula timbul dalam dirinya, dia kembali mempamerkan watak serigalanya yang kejam.
“Kalau kau rasa dia patut dikasihani…” Luth menyandarkan sebelah tangannya pada dinding berhampiran kepala Nadira, sekaligus memerangkap wanita itu di antara tubuhnya dan almari. “Apa kata kau fikirkan diri kau dulu? Cuba tengok keadaan kau sendiri yang lebih patut dikasihani tu.”
“Apa maksud awak?” Nadira cuba mengundur, namun bahagian belakang badannya sudah pun rapat pada bucu katil.
“Maksud aku, Nadira Sofea Alexander…” Luth menyebut nama penuh itu dengan perlahan, membuatkan bulu roma Nadira meremang serta-merta.
“It doesn't make any sense. Perempuan yang dihantar sebagai pengantin pengganti, selalunya bukan orang yang dihargai dalam keluarga. Bahasa kasarnya, anak buang. Itu… kau, kan?”
Kata-kata itu terlalu tajam dan tepat.
Hati Nadira terasa bagai dihiris. Dia sedar akan hakikat bahawa dia bukanlah anak kesayangan sesiapa. Namun, apabila kebenaran yang pahit itu diucapkan oleh orang asing dengan begitu selamba, luka di hatinya menjadi semakin berdarah.
“Ya, betul. Saya memang bukan pilihan dan tak disayangi oleh sesiapa pun,” Nadira mengangkat dagunya sedikit, cuba melawan menggunakan sisa maruah yang ada. “Tapi itu tak bermakna awak berhak untuk pijak harga diri saya macam ni. Awak langsung tak ada hak nak label atau fikir bukan-bukan pasal saya, sebab awak tak kenal saya pun.”
Luth tersenyum nipis.
“Harga diri?” Dia merendahkan suaranya, merapatkan lagi wajah mereka. “Perempuan yang keluarga sendiri sanggup ‘jual’ demi menyelamatkan saham, dipaksa berkahwin sebagai pengganti sebab kakak dia terlalu bernilai untuk dikahwinkan dengan lelaki yang mereka anggap ‘cacat’ dan memalukan.”
Luth berbisik lagi, nadanya rendah namun menikam rapat ke tangkai hati. “Kalau ada hierarki pembuangan manusia macam bentuk piramid, kau tahu kau kat mana? Kau di tangga yang paling bawah sekali.”
Dia menjeling Nadira dari atas ke bawah dengan pandangan yang penuh penghinaan. “Jadi, kau masih yakin yang kau ada harga diri?”
Sepasang mata Nadira mula kelihatan membara menahan marah.
“Dengar sini, Luth. Saya mungkin tak ada banyak pilihan. Tapi saya tak datang ke sini untuk jadi permainan awak, atau untuk tadah telinga dengar awak menghina saya sesuka hati. Saya tak peduli pasal piramid atau hierarki yang awak cakapkan tu, dan saya langsung tak kisah tentang pandangan buruk awak terhadap saya!”
Nadira cuba menolak dada Luth dengan kuat, namun usahanya sia-sia. Luth yang memiliki tubuh yang jauh lebih tegap dan tinggi langsung tidak berganjak walau seinci pun. Sebaliknya, bibir lelaki itu mengukir sebuah senyuman sinis.
“Tahu tak, bila aku tengok kau, aku nampak sesuatu.”
“Apa?” Nadira mencabar, berani.
“Perempuan suci belum pernah disentuh oleh sesiapa,” Luth merendahkan suaranya sehingga hampir menjadi bisikan yang rapat di telinga. “Dengan rupa dan penampilan macam ni, aku berani jamin yang kau masih dara, kan?”
Serta-merta, wajah Nadira berubah menjadi merah padam.
“Saya takkan jawab soalan bodoh macam tu!”
“Tak payah jawab,” balas Luth tenang. “Sebab aku dah tahu jawapannya.”
Dalam sekelip mata, Luth menolak bahu Nadira sehingga tubuh gadis itu terundur dan tersandar di atas katil. Jantung Nadira berdegup kencang, seakan-akan mahu tercabut dari dadanya.
“Hey!” Nadira cuba bingkas bangun, namun Luth dengan pantas menunduk dan menekan kedua-dua belah bahu Nadira ke tilam, mengunci pergerakannya.
“Tak ada orang lain kat sini,” bisik Luth rapat di telinga Nadira. “Kau tak payahlah nak berlakon lag. Kau berkahwin dengan keluarga Ilhan, mesti kau dah tahu apa yang orang fikir pasal kau, kan?”
“Lepaskan saya!” Nadira bergelut cuba menepis tangan Luth. Perasaan panik mula menjalar ke seluruh tubuhnya.
Luth tidak memedulikan amaran itu. Dia semakin mendekatkan wajahnya, meneliti setiap inci riak wajah Nadira yang ketakutan.
“Janganlah malu. Apa kata… aku yang jadi lelaki ‘pertama’ kau…”
PLAAK!
Satu tamparan padu hinggap di pipi Luth, memecah kesunyian bilik dan merentap keangkuhan lelaki itu. Tapak tangan Nadira mendarat kemas pada pipi kiri Luth.
Luth terkaku.
Untuk pertama kali sejak dia melangkah masuk ke dalam bilik tersebut, Nadira berjaya membuatkannya terdiam seribu bahasa.
“Jangan sentuh saya sesuka hati!” Suara Nadira bergetar menahan marah, namun kedengaran cukup lantang.
“Saya mungkin bukan perempuan yang disayangi keluarga saya... tapi saya bukan barang kotor yang awak boleh buat sesuka hati! Baik awak keluar dari sini sekarang sebelum sepupu awak datang! Saya akan lupakan benda ni dan anggap semua ni tak pernah jadi. Tolonglah... jangan muncul lagi depan saya!”
Nadira menolak dada Luth dengan sisa tenaga yang ada. Luth melangkah setapak ke belakang, bukan kerana tewas, tetapi kerana terkejut dengan tindakan drastik wanita itu.
Matanya membulat kecil memandang Nadira. Pipinya langsung tidak terasa sakit, namun keberanian Nadira benar-benar membuatkannya terkesima.
Dalam pergelutan sebentar tadi, cermin mata bingkai hitam Nadira telah terpelanting ke lantai. Buat pertama kali, Luth dapat melihat wajah wanita itu tanpa sebarang penghalang.
Pandangan matanya yang besar, dihiasi bulu mata hitam yang melentik, sedang bergetar hebat menahan perasaan takut. Wajah itu mungkin tidak sejelita kakaknya, namun ia cukup untuk mengganggu fokus Luth yang terbiasa mengawal keadaan.
Luth terpaku seketika. Sesuatu seperti menyentak sudut hatinya, bukan rasa simpati mahupun kasihan, melainkan satu kesedaran yang menampar egonya dengan lebih kuat.
Wanita di hadapannya ini bukanlah boneka murah yang boleh dipermainkan, dan bukan juga mangsa pasrah yang akan mendiamkan diri apabila ditindas. Dia bukan sekadar 'isteri ganti' yang dibuang oleh keluarganya sendiri.
“Tak ada perempuan yang pernah berani buat aku macam ni,” ujar Luth perlahan, menukar nadanya.
“Tahniah,” balas Nadira menjeling tajam, cuba menyembunyikan tangannya yang sedang menggigil hebat. “Anggaplah saya perempuan ‘pertama’ awak, dan saya harap saya yang terakhir.”
Lelaki lain mungkin akan mengamuk, namun Luth sebaliknya melepaskan tawa kecil yang kedengaran dingin. Dia menarik nafas panjang sambil membetulkan kolar sut hitamnya yang sedikit renyuk.
“Bagus,” Luth memandang Nadira buat kali terakhir sebelum berpaling ke arah pintu.
“Teruskanlah pertahankan maruah perkahwinan kau tu. Kalau betul Emir tu seorang lelaki... kita tengok nanti, sama ada dia akan datang cari kau, atau tak.”
Luth melangkah keluar lalu menutup pintu bilik dengan hentaman yang kuat.
BAMM!
Sebaik sahaja kelibat Luth hilang di sebalik pintu, Nadira menghela nafas panjang yang panjang. Dadanya yang terasa sempit sejak tadi kembali mendapat ruang untuk bernafas.
Lututnya serta-merta terasa lemah, seolah-olah hanya kekuatan maruah yang membuatkannya mampu bertahan sebentar tadi. Dia menggenggam hujung lengan bajunya erat-erat, cuba menahan tubuhnya daripada terus menggeletar.
Ini baru malam pertama dia bergelar seorang isteri di rumah asing ini, namun dia sudah terpaksa berhadapan dengan ujian yang begitu hebat.
“Gila,” rungut Nadira dengan nafas yang masih tercungap-cungap. “Seluruh keluarga ni memang gila.”
Share this novel
best sangat
semakin menarik
best