Series
169574
“Cousin-in-law. Nak balik rumah ambil barang? Biar aku yang hantarkan. Kenapa nak susahkan orang lain?” Emir yang masih menyamar sebagai ‘Luth’ bersuara sambil melangkah menghampiri mereka dengan senyuman selamba.
Belum sempat Nadira memberikan sebarang jawapan, lengan ‘Luth’ sudah melingkari bahunya, berlagak seolah-olah mereka adalah sepupu yang sangat rapat.
Nadira segera menepis tangan lelaki itu dengan kasar.
“Apa awak buat ni? Tak payah. Saya boleh pergi sendiri,” bidas Nadira sambil menjeling tajam, jelas menunjukkan rasa tidak puas hatinya.
Nadira benar-benar tidak faham. Bukankah lelaki ini yang bermati-matian menghina penampilannya malam tadi? Namun, mengapa pagi ini dia tiba-tiba berubah sikap, berpura-pura prihatin, dan mengganggunya?
Nadira berasa rimas. Dia tertanya-tanya apakah sebenarnya permainan yang cuba direncanakan oleh lelaki ini.
“Jom,” ajak ‘Luth’ lagi.
Nadira sekali lagi menepis.
“Awak dengar tak ni? Saya tak minta awak hantarkan pun. Biar encik ni yang bawa saya.”
‘Luth’ sekadar memandang tanpa menunjukkan rasa tersinggung sedikit pun. Sebaliknya, dia berasa semakin tertarik untuk menguji Nadira.
“Err… Puan,” Bang Zul berdehem kecil sambil menjeling sekilas ke arah Emir. “Saya rasa lebih baik Tuan ‘Luth’ yang hantarkan puan.”
Bang Zul sengaja menekankan nama 'Luth' sambil memberikan anggukan kecil yang penuh makna.
“Saya… kena standby kat sini. Manalah tahu kalau Tuan Muda Emir panggil saya bila-bila masa nanti.”
Mata Bang Zul membulat sedikit, memberi isyarat. Emir pula hanya tersenyum nipis, berpuas hati kerana pengawal peribadinya itu memahami arahan tersirat yang diberikan.
Wajah Nadira kelihatan hampa dan bengang. Sikit pun dia tidak menyangka tindakannya akan tersekat begini. Akhirnya, dia tidak mempunyai pilihan selain akur dengan keputusan itu.
Kereta mewah berwarna hitam itu meluncur keluar dari perkarangan Bukit Andara. Nadira duduk kaku di sebelah ‘Luth’ dalam keadaan tubuh yang tegang. Dia langsung tidak mahu memberikan sebarang perhatian kepada lelaki di sisinya.
Pandangan mata Nadira terpaku sepenuhnya ke luar tingkap. Dia memerhati apa sahaja objek yang lalu-lalang, kenderaan lain, deretan pokok yang ditinggalkan di belakang, hinggalah ke papan tanda jalan yang membosankan. Apa sahaja, asalkan dia tidak perlu memandang wajah lelaki bernama ‘Luth’ itu.
Bibirnya terkatup rapat, manakala tangannya menggenggam kemas tali pinggang keledar. Baginya, itu adalah benteng terakhir untuk mengelakkan sebarang interaksi yang tidak diperlukan. Dia tidak mahu bersuara, tidak mahu menoleh, dan tidak mahu memberi ruang sekecil apa pun yang boleh menunjukkan bahawa dia selesa dengan kehadiran lelaki itu.
‘Luth’ yang sedang memandu hanya memerhati gelagat itu melalui ekor matanya. Sebuah senyuman nakal terukir di bibir.
“Semalam kita ada chemistry. Kau ingat?” bisik ‘Luth’ tiba-tiba, sengaja merapatkan sedikit suaranya ke arah Nadira.
Nadira hampir tersentak dari tempat duduknya.
“Saya… tak ingat apa-apa,” balas Nadira pantas sambil menelan air liur yang terasa kelat.
Hakikatnya, dia masih ingat akan kehangatan sentuhan lelaki itu malam tadi, haruman maskulin yang melekat pada derianya, serta ancaman berbahaya yang disaluti dengan godaan.
‘Luth’ melepaskan tawa perlahan.
“Oh. Buat-buat tak ingat. Baiklah. Kalau itu cara awak.”
Nadira segera memeluk tubuhnya sendiri, cuba mengumpul kekuatan untuk mempertahankan diri.
“Apa sebenarnya tujuan awak? Kenapa awak layan saya macam… barang mainan?” tanya Nadira, menuntut penjelasan.
‘Luth’ bagaimanapun hanya mendiamkan diri, membiarkan soalan itu sepi tanpa jawapan. Dalam diam, satu senyuman nipis terukir di bibirnya.
‘Mulai hari ini, aku nak tahu sejauh mana kau boleh lawan aku, Nadira,’ detik hatinya.
*****
Kereta mewah itu akhirnya berhenti tepat di hadapan pagar sebuah banglo dua tingkat yang pernah dipanggil 'rumah' oleh Nadira. Walaupun belum sampai 24 jam dia meninggalkan kediaman itu, suasananya terasa begitu asing, seolah-olah tiada lagi ruang untuknya di situ.
Nadira enggan mengakui bahawa dia sebenarnya berkecil hati dan terluka. Namun, dia tahu tiada guna melayani perasaan itu kerana dia sudah terbiasa berdikari. Tiada sesiapa yang akan datang memujuk atau mendengar rintihannya.
Bangunan besar itu menyimpan seribu satu memori, namun tiada satu pun kenangan yang meraikan kewujudannya. Di sinilah dia membesar sebagai bayang-bayang kepada Maya. Rumah ini sentiasa dipenuhi dengan kasih sayang dan gelak tawa, tetapi ruang itu bukan untuknya.
Nadira berdehem kecil, cuba mengusir kesedihan yang mula bertandang. Dia tidak mahu lelaki di sebelahnya dapat menghidu kelemahan dirinya.
Nadira baru sahaja mahu menekan butang untuk membuka tali pinggang keledar apabila ‘Luth’ tiba-tiba membongkok ke arahnya. Tubuh lelaki itu condong terlalu dekat, sehingga hembusan nafasnya menyentuh lembut pipi Nadira.
Klik.
Jari-jemari ‘Luth’ yang panjang dengan tangkas menekan klip tersebut, membebaskan tubuh Nadira. Bunyi kecil itu sudah cukup untuk membuatkan jantung Nadira berdegup kencang semula.
Wajah ‘Luth’ kini hanya sejengkal daripada mukanya. Wajah yang sempurna, tegas, dan mampu menggoda mana-mana wanita, tetapi bukan Nadira. Mengingatkan kembali gangguan lelaki itu malam tadi sudah cukup untuk membuatkan Nadira berasa rimas dan kurang selesa.
Nadira segera menegakkan badan dan bersandar rapat pada kerusi, cuba menjauhkan diri daripada aura berbahaya lelaki itu.
“Saya… nak turun,” ujar Nadira perlahan sambil menolak bingkai cermin matanya. Suaranya hampir tidak terkeluar.
‘Luth’ hanya memerhati gelagat itu dengan mata yang mengecil. Aura gelap yang menandakan bahaya kembali menyelubungi dirinya. Sebelum sempat tangan Nadira mencapai tombol pintu, ‘Luth’ terlebih dahulu menghalangnya, menahan pintu kereta daripada terbuka.
Dia membongkok lagi, mengunci pergerakan Nadira di tempat duduknya.
“Kau tak belajar adab ke? Sepatutnya ucaplah terima kasih dulu,” tegur Emir, bernada sinis.
Nadira mula berasa gugup. Pandangan matanya ditundukkan ke bawah.
“T… terima kasih,” balas Nadira perlahan, hampir tidak kedengaran.
‘Luth’ memerhatikan bibir Nadira yang sedikit menguncup. Bibir mungil berwarna merah jambu semula jadi itu kelihatan terlalu manis untuk seorang wanita yang sering dipandang rendah oleh orang sekeliling. Renungan mata Emir menjadi semakin dalam.
“Apa tu? Tak ikhlas betul ucapan,” gumam ‘Luth’ dengan suara yang sengaja direndahkan, penuh dengan maksud tersirat. “Biar aku tunjuk cara ucap terima kasih yang ikhlas dan betul.”
Bagi lelaki lain, wajah polos Nadira mungkin kelihatan hambar. Namun bagi Emir, keaslian wanita itu mula mencabar naluri lelakinya, apatah lagi selepas mengetahui bahawa Nadira belum pernah ‘disentuh’ oleh sesiapa.
Emir bukanlah seorang lelaki yang penyabar. Lagipun, dia adalah suami yang sah kepada Nadira. Dia tidak melihat sebarang alasan untuk dia terus menunggu dan berlembut.
Tanpa memberikan ruang untuk Nadira berfikir, ‘Luth’ merapatkan wajahnya lalu mencium bibir wanita itu secara paksa. Nadira tersentak dan terus terkaku.
Rasa hangat, terkejut, dan marah bercampur-baur di dalam hatinya. Dia cuba menolak dada ‘Luth’ dengan sekuat tenaga, namun pergelangan tangannya dengan pantas ditangkap dan dikunci erat oleh lelaki itu.
Suasana di sekeliling seolah-olah terhenti seketika. Apa yang tinggal hanyalah bunyi degupan jantung dan kehangatan amarah yang kian membakar. Nadira tidak percaya dengan apa yang sedang berlaku. Sudahlah dia dipaksa berkahwin, kini dia terpaksa berhadapan dengan tindakan melampau daripada seorang lelaki yang belum pun sampai 24 jam dikenalinya.
‘Luth’ menarik kembali wajahnya beberapa inci, melepaskan ciuman tersebut. Namun, jarak mereka tetap dekat, seolah-olah dia sengaja mahu terus menguji ketenteraman Nadira yang masih terkesima dengan mata yang membulat.
Reaksi Nadira yang terpinga-pinga itu memberikan kepuasan kepada ‘Luth’. Dengan menggunakan sebelah tangan, dia menanggalkan cermin mata Nadira, sekaligus mendedahkan sepasang mata jernih yang selama ini tersembunyi di sebalik bingkai hitam yang kusam.
“Mulai sekarang… jangan pakai cermin mata ni lagi. Menyakitkan mata aku tengok,” ujar ‘Luth’ perlahan sambil menyimpan cermin mata tersebut ke dalam laci kereta.
“Aku tak nak tengok kau pakai benda ni lagi. Kalau aku nampak…” ‘Luth’ sengaja menghentikan kata-katanya seketika. Matanya merenung tajam wajah Nadira, umpama seekor pemangsa yang sedang menanda mangsanya. “…aku akan cium kau setiap kali kau pakai. Not a bad kiss untuk cubaan kali pertama, kan? Rasanya manis… macam ceri.”
Darah Nadira terasa mendidih mendengarkan kata-kata itu. Keberanian lelaki ini sudah melampaui batas. Mahu sahaja dia menerajang ‘Luth’ keluar dari kereta sekarang juga.
Apakah lelaki ini sudah lupa bahawa dia merupakan isteri kepada sepupunya sendiri, Emir?
Jelas sekali tindakannya itu sangat tidak menghormati status Nadira, apatah lagi perbuatan tersebut dilakukan betul-betul di hadapan rumah keluarganya.
Belum sempat Nadira membuka mulut untuk membalas, satu suara wanita yang sangat dikenalinya tiba-tiba menyapa dari luar.
“Eh?! Nadira?! Kamu buat apa kat sini?”
Nadira segera berpaling ke arah luar kereta. Kelihatan Tengku Maria sedang berdiri di hadapan pintu pagar rumah. Mata wanita itu terbeliak besar apabila melihat anak perempuannya berada di dalam sebuah kereta mewah bersama seorang lelaki asing. Wajahnya berkerut seribu tanda tidak berpuas hati.
“Apa kamu buat kat situ? Turun sekarang!” arah ibunya tegas.
Nadira menelan air liur. Dia berasa sangat panik sehingga tangannya mula terketar-ketar. Ini baru hari pertama dia bergelar isteri, namun dia sudah disergah dalam keadaan yang cukup memalukan.
Dia bergegas membuka pintu kereta untuk keluar. Namun, belum sempat tubuhnya melangkah keluar sepenuhnya, Tengku Maria sudah pun menarik tangannya dengan kasar masuk ke dalam halaman rumah. Pintu pagar besi itu dihempas kuat sehingga mengeluarkan bunyi yang membingitkan.
Emir hanya memerhatikan sahaja tindak-tanduk Nadira yang serta-merta berubah menjadi pasrah di hadapan ibunya. Di hadapannya tadi, bukan main tajam lagi taring wanita itu melawan, namun sebaik sahaja berhadapan dengan Tengku Maria, dia terus membisu dan menurut perintah.
Sempat juga Emir mengerling ke arah Tengku Maria yang sedang memandangnya dengan pandangan mata yang sangat tajam dan penuh kebencian.
“Cousin! Aku tunggu kat sini tau. Jangan lama sangat!” jerit ‘Luth’ sengaja menguatkan suara. Dia mengesat bibirnya menggunakan ibu jari sambil melemparkan senyuman sinis kepada Tengku Maria.
Nadira sempat menoleh ke belakang seketika.
‘Lelaki tak guna! Memang nak aku mati!’ bentak hati Nadira penuh geram.
PLAKK!
Belum sempat Nadira menarik nafas, tiba-tiba satu tamparan kuat singgah di pipinya.
Tengku Maria mendengus kasar lalu memandang Nadira dengan wajah yang menyingat merah.
“Kau memang sengaja nak cari pasal ke, Nadira? Kamu ingat Mama tak nampak apa kamu buat dengan lelaki tu tadi!?” bentak Tengku Maria dengan nada yang tertahan namun penuh amarah.
Perlahan-lahan, Nadira merasakan seolah-olah dunianya gelap gulita. Untuk kesekian kalinya, dia berasa lemah dan tidak berdaya setiap kali terpaksa berhadapan dengan ibu kandungnya sendiri. Dia tiada jalan lain selain berserah dan merelakan sahaja dirinya diperlakukan seperti tiada harga diri.
Share this novel
ya mcm mana nak terus baca
sis bt la x lalu nk bli coin mhl sngt nk hbs bc x mampu
aiyo