Bab 1

Romance Series 169574

Nadira berdiri di hadapan cermin besar, memandang refleksinya sendiri dengan hati yang kosong. Rambutnya dibiarkan kusut tanpa sebarang dandanan, berbeza sekali dengan penampilan seorang pengantin. Tubuhnya hanya dibaluti jubah kapas kelabu yang lusuh.

Belum sempat dia menenangkan emosi, pintu bilik ditolak kasar.

“Nadira! Apa ni? Kenapa tak bersiap lagi? Rombongan keluarga Ilhan dah sampai!” Suara ibunya, Tengku Maria, kedengaran lantang memenuhi ruang bilik.

Nadira hanya menolak cermin mata bingkai hitamnya ke atas batang hidung. Dia memandang ibunya tanpa sebarang reaksi.

"Ma, tolonglah cakap yang semua ni tak betul. Betul ke Mama nak saya kahwin dengan tunang Maya? Puas saya fikir, tapi semua ni macam tak masuk akal, Ma."
Ada getaran pada suara Nadira. Sisa air mata yang bertakung menahan kelukaan yang mendalam, namun kesedihan itu seolah-olah diabaikan oleh orang di sekelilingnya.

"Apa yang tak masuk akalnya? Kau jangan nak memandai eh. Dengar sini... Maya tu layak dapat lelaki yang jauh lebih baik. Dia tu harapan dan masa depan keluarga kita. Kau kena faham benda tu!" balas ibunya tegas tanpa rasa bersalah.

Tengku Maria kelihatan begitu tekad untuk memastikan anak sulungnya, Maya, kekal menjadi kebanggaan keluarga, manakala Nadira pula terpaksa menanggung segala bebanan. Di dalam keluarga itu, Nadira bukanlah seorang bintang, dia hanyalah sebuah bayang-bayang.

“Maya… tak boleh kahwin dengan lelaki tu.” Tengku Maria bersuara perlahan namun penuh dengan tekanan.

"Mama dengar orang kata lelaki tu OKU? Cacat? Lebih kurang macam tu lah. Cuba kau bayangkan kalau Maya yang cantik jelita tu kahwin dengan dia... habis musnah masa depan dia! Padahal kakak kau tu boleh je kahwin dengan orang lain yang lagi sempurna, yang lagi terjamin masa depan dia."

Kata-kata itu membuatkan Nadira tersedar. Adakah kerana dia dianggap kurang cantik dan kurang sempurna, maka dia lebih layak dikorbankan sebagai kambing hitam?

Nadira mengetap bibirnya rapat.
"Jadi, disebabkan saya ni hodoh, saya yang patut dikahwinkan dengan dengan lelaki cacat tu? Sebab saya tak cantik macam Maya, maksudnya saya langsung tak boleh nak tolak?! Macam tu kan, Mama?"

Secara tiba-tiba, Tengku Maria melutut di hadapan Nadira. Ia merupakan satu situasi yang tidak pernah terlintas di fikiran Nadira sepanjang hidupnya.

"Nadira, dengar cakap Mama ni, sayang... Tolonglah, buat semua ni demi keluarga kita. Tinggal kau je satu-satunya harapan yang boleh selesaikan masalah ni. Janganlah hampakan Mama, ya? Kalau kau pun tak nak tolong... siapa lagi yang Mama ada kat dunia ni untuk tolong Mama?"

Hati Nadira hancur sepenuhnya. Kekecewaannya bukan sekadar kerana terpaksa melangkah ke alam perkahwinan paksa, tetapi kerana ibu kandungnya sendiri sanggup mengorbankan dirinya demi menyelamatkan maruah orang lain.

Ketukan pada pintu bilik mematikan perbualan mereka.

“Datin, rombongan keluarga Ilhan dah ada kat bawah.”

Tengku Maria segera bangkit, mengesat air matanya, dan memaksa sebuah senyuman tipis terukir di wajah.

"Bangun, Nadira. Tolonglah... malam ni, nasib dan masa depan keluarga kita ada dekat tangan kau. Kaulah penyelamat keluarga kita."

Penyelamat? Bagi Nadira, istilah yang lebih tepat untuk dirinya hanyalah kambing hitam.

Nadira menarik nafas panjang, cuba menelan segala kepahitan yang berselubung di dalam hatinya. Dia mencapai sebuah beg kecil, satu-satunya barangan peribadi yang menjadi miliknya. Tanpa menoleh ke belakang lagi, dia terus membuka pintu bilik.

Di luar bilik, kelihatan lima orang lelaki bertubuh sasa yang memakai sut hitam sedang berdiri sedia.

Lelaki-lelaki tersebut mempunyai fizikal yang tegap dan wajah yang langsung tidak mempamerkan sebarang emosi. Mereka merupakan kakitangan dari keluarga Ilhan, sebuah keluarga yang terkenal sebagai antara yang paling berpengaruh di negara ini kerana mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap dan ahli politik berprofil tinggi.

“Puan Nadira. Kami akan bawa puan sekarang,” ucap salah seorang daripada mereka.

Perkahwinan ini berlangsung tanpa pelamin, tanpa alunan muzik, mahupun doa restu. Nadira dibawa pergi tanpa sebarang keraian, seolah-olah dia hanyalah sebuah objek dan bukannya seorang manusia yang bernyawa.

Akhirnya, pintu kereta mewah itu tertutup rapat. Detik itu memisahkan Nadira daripada kehidupan lama yang pernah dikenalinya. Dia menyedari bahawa itu mungkin hari terakhir dia dapat menjalani sebuah kehidupan yang normal.

*****

Vila Andara, Kediaman Emir Ilhan

Malam semakin larut apabila mereka tiba di Vila Andara. Cahaya daripada lampu hiasan kristal yang mewah menerangi seluruh ruang tamu, memantulkan kilauan yang elegan pada lantai marmar.

Para pengawal hanya mengiringi Nadira sehingga ke sebuah bilik besar di tingkat atas, sebelum mereka segera beredar tanpa sebarang bicara.

Nadira berdiri kaku di tengah-tengah ruang tersebut. Suasana di situ terasa sangat asing, sunyi, dan menakutkan, sehingga membuatkan dia berasa seperti seorang tahanan yang diculik.

"Entahlah, mungkin aku je yang fikir bukan-bukan. Harap-harap... hidup aku lepas ni taklah seteruk yang aku bayangkan." Nadira cuba memujuk hatinya sendiri, walaupun dadanya masih berombak.

Namun, satu persoalan besar tetap mengganggu fikirannya… Siapakah sebenarnya lelaki yang telah menjadi suaminya?

Emir Ilhan, pewaris tunggal keluarga Ilhan. Melalui cerita orang ramai, dia pernah diculik sepuluh tahun lalu. Sejak kepulangannya, dia tidak lagi seperti dahulu.

Khabar angin menyatakan bahawa wajahnya kini dipenuhi parut, malah jiwanya dikatakan lebih terjejas berbanding keadaan fizikalnya. Lebih mengerikan, setiap wanita yang pernah dijodohkan dengannya sebelum ini dilaporkan hilang tanpa dikesan.

Nadira menelan air liur yang terasa kesat. Sekiranya cerita itu benar, dia kini sedang melangkah masuk ke dalam sebuah perkahwinan yang bakal mengheretnya ke kancah kegelapan.

“Aku tak kesahlah kalau dia raksasa sekalipun…” Nadira berbisik perlahan sambil menggenggam erat jari-jemarinya. “Sebab mulai hari ni, hati aku dah hancur lumat... hancur sebab perbuatan ibu kandung aku sendiri.”

Dia kemudian duduk di birai katil, menanti ketibaan suaminya dengan perasaan yang berbaur. Setiap saat yang berlalu dirasakan bagai satu penyiksaan yang panjang.

Seketika kemudian, bunyi kuakan pintu bilik memecah kesunyian. Pintu tersebut terbuka perlahan dari arah luar.

Nadira serta-merta bangun dari tempat duduknya.

Seorang lelaki melangkah masuk ke dalam bilik. Pergerakannya perlahan, namun kehadiran lelaki itu serta-merta memberikan satu tekanan aura yang kuat di dalam bilik tersebut. Tanpa berpaling, dia menutup rapat pintu di belakangnya.

Lelaki itu kelihatan tegap dalam persalinan sut hitam yang kemas. Setiap langkahnya diatur dengan penuh keyakinan. Nadira cuba untuk melihat wajah lelaki, namun silauan cahaya lampu yang terlalu terang memaksa dia mengangkat tangan bagi melindungi pandangan matanya.

Apabila pandangannya semakin jelas, Nadira terpaku.

Ternyata, tiada sebarang parut atau wajah mengerikan seperti yang kerap diceritakan oleh orang ramai. Sebaliknya, lelaki di hadapannya itu memiliki rupa paras yang terlalu sempurna. Rahangnya kelihatan keras, hidungnya mancung, dan sepasang matanya yang gelap sedang memerhati setiap inci diri Nadira.

Nadira berasa hairan. Jika lelaki sekacak ini dianggap mempunyai cela, bagaimana pula rupa paras lelaki yang sering dipuji sempurna oleh masyarakat?

Namun, suasana tenang itu tidak bertahan lama.

“Hmm.” Lelaki itu mengerutkan dahi sedikit. “Jadi... kaulah perempuan ganti tu?”

Nadira terkedu mendengar pertanyaan tersebut. Hatinya diserang rasa terhina kerana maruahnya sekali lagi dipijak-pijak di rumah itu. Namun, dia sedar bahawa dia tidak mempunyai sebarang pilihan lain.

“Ya, saya Nadira... isteri Emir Ilhan. Awak ni siapa pula?”

Lelaki itu melangkah mendekatinya. Jarak antara mereka semakin hampir, sehingga hembusan nafasnya yang tajam dapat dirasai oleh Nadira.

“Isteri?” Lelaki itu mengulang perkataan tersebut dengan nada sinis yang menikam kalbu.

Renungan matanya yang gelap bergerak turun dan naik, seolah-olah sedang menilai, mengukur, dan menghukum penampilan Nadira.

“Berani betul kau cakap besar depan aku?” bisiknya dengan nada rendah yang berbaur ugutan. “Sebab kalau ikut standard keluarga Ilhan... rupa macam kau ni, langsung tak sesuai untuk jadi ahli keluarga ni.”

Nadira mengetap giginya rapat. Dia sedar bahawa penampilannya tidak seindah kakaknya, Maya.

“Tahu... Tapi untuk pengetahuan awak, saya tak minta pun untuk masuk dalam keluarga ni,” balas Nadira perlahan namun kedengaran jelas.

Lelaki itu mengangkat keningnya. “Tak minta? Kau sedar tak dengan siapa kau kahwin ni?”

“Mestilah. Dengan Emir Ilhan. Waris keturunan keluarga Ilhan.”

Mendengar jawapan itu, pandangan tajam pada mata lelaki tersebut perlahan-lahan mereda. Sinar licik mula terpancar pada wajahnya, seolah-olah sebuah teka-teki telah berjaya diselesaikan. Dia menyedari bahawa Nadira mempercayai khabar angin yang tersebar sepenuhnya. Entah mengapa, ketenangan dan kepasrahan wanita itu mula menarik minatnya.

“Awak ni siapa sebenarnya? Jangan-jangan… awak… Emir?” tanya Nadira dengan nada berhati-hati.

Lelaki itu mencondongkan badannya ke hadapan bagi merapatkan lagi jarak antara mereka.

“Bukan.”

Dia tersenyum lebar, sebuah senyuman yang penuh muslihat dan menyimpan seribu makna.

“Emir tu abang sepupu aku.”

Dia kemudian menyandarkan badannya sedikit pada dinding bilik.

“Aku Luth. Orang yang akan tentukan nasib kau kat sini... sama ada kau layak tinggal dalam rumah ni, atau tak.”

Nadira merasakan dunianya seolah-olah berhenti berputar. Dia cuba mengundur selangkah ke belakang, namun pergerakannya pantas dikunci oleh Luth. Lidah Nadira terus menjadi kelu untuk berkata-kata.

“Jadi…” Luth menyambung.

Dua jarinya segera mencengkam dagu Nadira, memaksa wanita itu mendongak untuk bertentang mata dengannya.

“Kalau kau nak kekalkan status sebagai ahli keluarga Ilhan... kau kena buktikan sesuatu kat aku malam ni.”

“B-buktikan apa?” suara Nadira kedengaran pecah akibat ketakutan.

Kedudukan mereka kini hanya berjarak beberapa inci. Haruman maskulin yang mewah mula menusuk deria, namun kata-kata yang diucapkan oleh Luth seterusnya merupakan sebuah ancaman yang mendebarkan.

Ibu jari Luth bergerak perlahan, mengusap bibir bawah Nadira dengan tekanan yang intim namun membakar emosi. Senyuman muslihatnya semakin melebar, kelihatan sangat gelap dan berbahaya.

"Buktikan kat aku... yang kau bukan sekadar perempuan pengganti yang murah."

Malam itu, Nadira menyedari satu hakikat. Neraka tidak selamanya kelihatan hodoh. Kadangkala, ia hadir dalam rupa paras yang paling sempurna, dan sedia meragut nyawanya sekiranya dia gagal pada malam tersebut.

Share this novel

nedy
2026-07-27 23:01:35 

Next

ziey2394
2026-07-15 19:19:15 

next

Feeda S Feda
2026-07-15 15:36:25 

best


NovelPlus Premium

The best ads free experience