Series
169574
Di koridor Vila Andara, suasana kelihatan sunyi sehinggalah langkah kaki Emir menghampiri kawasan kawalan.
“Err… Tuan.”
Seorang pengawal peribadi yang bertugas di hujung koridor segera menegakkan badannya. Dia terkejut apabila mendapati ada kesan kemerahan yang sangat jelas pada pipi kiri lelaki itu.
“Kenapa muka Tuan… merah?” tanya pengawal itu, teragak-agak.
“Aku terlanggar pintu. Kau tak payah nak sibuk,” jawab Emir selamba.
Pengawal tersebut terkebil-kebil seketika. Dia memandang semula ke arah pipi kiri majikannya. Jelas kelihatan bekas lima jari tersusun rapi di situ. Berdasarkan saiznya yang kecil, ia pastinya bekas tamparan seorang wanita.
‘Pintu manalah yang ada jari?’ getus hatinya. Namun, naluri untuk menyelamatkan nyawa sendiri mematikan hasratnya untuk bertanya lebih lanjut.
Dia kembali meluruskan badan, mengangguk penuh hormat, dan berpura-pura mempercayai kata-kata tersebut sepenuhnya.
“Uish Tuan, bahaya pintu tu. Lepas ni Tuan kena lebih hati-hatilah ya, Tuan Emir,” katanya dengan nada paling profesional, walaupun sedang menahan rasa takut.
Emir, yang sebentar tadi menyamar sebagai ‘Luth’, memandang tajam pengawal peribadi yang dipanggil Bang Zul itu dari atas ke bawah.
“Amboi, perli nampak. Tak padan dengan badan sado, mulut kau boleh tahan juga ya, Bang Zul.”
“Mana ada Tuan. Saya cakap benda betul. Hati-hatilah dengan pintu, kawasan ni lampu agak malap. Mungkin sebab tu Tuan tak perasan. Saya cuma ingatkan sebab risau. Oh ya, ini fail yang Tuan minta tadi.”
Bang Zul menyerahkan sebuah fail tebal berwarna merah. “Maklumat penuh mengenai Puan Nadira.”
Emir melangkah masuk ke dalam ruang kerjanya. Dia menyandarkan tubuh pada kerusi, lalu membuka fail tersebut sehingga bunyi helaian kertas memecah kesunyian bilik. Matanya mengecil, meneliti setiap baris maklumat yang tertera dengan tekun.
"Alexander Clifford," sebut Emir dengan nada berat, seakan-akan sedang mengejek. "Ahli perniagaan yang cukup berpengaruh. Isteri, Tengku Maria. Anak, Maya dan Harris."
Dia berhenti seketika. Jarinya mengetuk-ngetuk bucu fail tersebut secara berirama.
“Menarik... pengaruh keluarga dia boleh tahan, tapi dilayan macam sampah. Kena serah bulat-bulat jadi kambing hitam... semata-mata nak selamatkan 'bintang' kesayangan Tan Sri Alexander dengan Tengku Maria.”
Emir menyelak helaian seterusnya. Tawanya pecah seketika, kedengaran pendek dan dingin sebaik sahaja membaca laporan mengenai Nadira.
"Rekod akademik? Sederhana. Tak ada yang luar biasa," Emir membaca nota itu dengan suara yang sengaja dikuatkan. "Tapi, tengoklah apa yang keluarga dia sendiri tulis pasal dia..."
Dia berdehem kecil, meniru nada sinis yang tertulis pada laporan tersebut.
"'Slow learner... lurus, tak pandai urus diri sendiri.' Penilaian akhir? Kurang cerdik. Lembap. Memang tak layak nak pegang tanggungjawab besar."
Emir menutup fail tersebut dengan dentuman kecil. Dia memandang kosong ke hadapan bersama sebuah senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.
"Jadi, Tengku Maria hantar budak 'cacat' mental ni... untuk berkahwin dengan aku, yang diorang sangka cacat fizikal? Fair enough," bisiknya sinis.
"Satu rumah penuh dengan barang rosak. Tapi aku tertanya-tanya... adakah kau betul-betul lembap, Nadira? Atau... kau sebenarnya pelakon yang jauh lebih hebat daripada kakak kau?"
Bang Zul yang berdiri tidak jauh dari situ menelan liurnya sebelum mencelah.
“Tuan… masa saya ambil fail ni daripada keluarga Puan Nadira, diorang ada pesan sesuatu. Diorang kata Puan Nadira ni… bukan jenis yang pandai. Dia naif, dan senang dipergunakan.”
Emir menyandarkan tubuhnya pada pintu yang baru ditutup. Mindanya kembali terbayang akan wajah wanita itu, wajah yang masih mampu bangkit melawan walaupun dihina, dan sepasang mata yang tidak pernah benar-benar tunduk kepadanya.
Naif?
Dia melepaskan tawa kecil, dan kali ini tawa itu kedengaran ikhlas.
Wanita itu bukan naif. Dia cuma dipaksa masuk ke dalam kandang serigala, namun masih mempunyai keberanian untuk menggigit semula. Situasi ini sememangnya amat menarik pada pandangan Emir.
Serta-merta, Emir menghentakkan fail merah itu ke dada pengawal peribadinya dengan agak kuat, sehingga membuatkan lelaki itu hampir terjatuh.
“Siasat balik,” arah Emir dengan nada yang dingin.
"Aku nak tahu cerita sebenar pasal dia. Bukan skrip rekaan keluarga dia yang sanggup buang anak kandung demi anak tiri. Anak tiri dimanjakan... anak sendiri pulak dipinggirkan. Ada benda yang tak kena dekat sini."
Emir menyambung lagi, memberikan amaran yang tegas, "Kali ni aku nak maklumat yang lebih terperinci. Cari dari sumber lain, selain daripada keluarga dia sendiri. Kalau kau tak boleh bagi apa yang aku nak... kau berenti kerja. Aku tak suka simpan orang yang lembap dekat sini. Ini amaran terakhir."
Bang Zul mengangguk dengan pantas.
“Ba… baik, Tuan. Saya pergi uruskan sekarang juga,” katanya dengan gagap sebelum segera beredar dari situ.
Emir berpaling dan memandang seketika ke arah pintu bilik yang menempatkan Nadira. Wanita itu hadir sebagai seorang pengantin pengganti yang sepatutnya menjadi boneka. Namun, dalam tempoh beberapa minit sahaja, dia telah berjaya meninggalkan kesan bukan sahaja pada pipi, malah dalam fikiran Emir.
“Menarik, Nadira Sofea…” gumam Emir perlahan.
Dia mengangkat tangan lalu mengetap rahangnya sedikit apabila jarinya menyentuh bahagian pipi yang masih terasa hangat.
“Tak ramai yang berani lawan aku,” gumamnya lagi bersama sebuah senyuman nipis yang mula terukir. Ada sedikit rasa teruja yang terbit dalam dirinya. “Kau sangat berani, Nadira. Tapi, kau dah salah pilih lawan.”
*****
Waktu subuh mula merangkak naik di ufuk timur. Cahaya samar yang menyelinap masuk melalui tirai tebal vila itu terasa begitu asing bagi Nadira. Dia berasa seolah-olah terbangun di dalam kehidupan orang lain, dan masih berharap agar segala yang berlaku hanyalah sebuah mimpi ngeri.
Nadira tidur-tidur ayam di hujung katil dengan masih menyarungkan pakaian yang sama sejak semalam. Matanya kelihatan kuyu, namun dadanya tetap berdebar kencang. Hubungan perkahwinan paksa ini benar-benar membebani fikirannya.
Sepanjang malam tadi, Emir Ilhan langsung tidak datang bilik.
Suasana sunyi di dalam vila mewah itu terasa begitu mencengkam, seakan-akan dia sedang menanti sebuah hukuman yang bakal tiba pada bila-bila masa sahaja.
“Aku masih hidup... maksudnya, hari ni bukan hari terakhir aku. Aku patut lebih bersyukur. Bertenang, Nadira... Ini baru hari pertama. Kau mesti boleh hadapi semua benda ni,” dia cuba berseloroh sendirian bagi mengurangkan rasa gundah.
Selepas membersihkan diri secara ringkas dan mengikat rambutnya dengan kemas, Nadira melangkah turun ke tingkat bawah. Belum sempat dia mencari arah ke dapur, seorang pengawal peribadi muncul lalu menunduk hormat dengan sopan.
“Puan, sarapan dah sedia. Sila ke ruang makan.”
Ruang makan tersebut kelihatan sangat luas umpama sebuah dewan majlis rasmi. Lampu hiasan kristal yang tergantung rendah memantulkan cahaya pagi yang indah. Walaupun kelihatan serba mewah, hiasan tersebut entah mengapa tetap memberikan satu tekanan yang berat di sudut hati Nadira.
Pada saat itu juga, seorang lelaki tinggi lampai muncul dari arah dapur sambil membawa sebuah dulang sarapan.
Nafas Nadira seakan-akan terhenti seketika. Lelaki itu ialah ‘Luth’.
Melihat kelibat lelaki yang telah mengganggunya malam tadi, Nadira segera berpaling dan bersedia untuk meninggalkan ruang makan tersebut. Namun, belum sempat dia melangkah, lelaki itu terlebih dahulu menyapanya.
“Hi cousin-in-law!” sapa Emir yang segak berpakaian sut hitam. Wajahnya kelihatan sangat tenang ketika melakonkan watak sebagai sepupu kepada suami Nadira. Dia tersenyum nipis dengan renungan mata yang sukar untuk ditafsirkan.
“Selamat pagi.”
Nada suaranya kedengaran mesra, namun tetap mendatangkan rasa gerun di hati Nadira.
Pengawal peribadi yang berdiri di belakang mereka hampir terbatuk kerana menahan rasa gugup. Matanya terkebil-kebil menyaksikan situasi spontan di hadapan matanya. Sungguh luar biasa melihat majikan mereka menyapa seorang wanita dengan senyuman yang begitu manis.
Nadira menelan air liur, cuba mengawal riak wajahnya agar kelihatan tenang. Kehadiran ‘Luth’ di rumah itu membuatkannya berasa sangat tidak selesa, terutama selepas insiden ‘malam pertama’ mereka.
‘Pelik betul... Apa yang dia buat kat rumah ni pagi-pagi buta macam ni? Takkanlah dia pun tinggal kat sini juga?’ bisik hati Nadira penuh curiga.
“Selamat… pagi…” balas Nadira perlahan, suaranya tenggelam dalam keraguan.
Dia kemudian berpaling ke arah pengawal peribadi di sebelahnya lalu bertanya, “Tuan awak tak balik ke semalam?”
Pengawal tersebut sempat mencuri pandang ke arah Emir. Namun, Emir hanya berlagak tenang sambil meletakkan dulang sarapan di atas meja makan.
“Err... Tuan Muda kurang sihat malam tadi, Puan. Sekarang ni... tengah dirawat dekat hospital.” jawab pengawal itu, teragak-agak.
Walaupun pada zahirnya Nadira kelihatan naif, lurus, dan seolah-olah mudah diperbodohkan, hakikatnya dia sudah lama melatih dirinya untuk berpewatakan sedemikian.
Seumur hidup dibesarkan di bawah bayang-bayang Maya, dia telah dididik secara halus untuk tidak terlalu menonjol. Dia dilarang untuk kelihatan lebih bijak, lebih cantik, atau lebih menyerlah daripada kakak tirinya itu. Oleh itu, wajah polos yang ditunjukkannya bukanlah satu kelemahan, melainkan sebuah topeng untuk melindungi diri.
Sebaik sahaja pengawal peribadi itu memberikan alasan tentang ketiadaan suaminya, Nadira tahu bahawa itu hanyalah sebuah pembohongan yang sangat rapuh. Dia langsung tidak mempercayai kata-kata tersebut.
Bibir Nadira mengukir sebuah senyuman kelat yang nipis.
“Oh… kalau macam tu, boleh saya lawat dia kat hospital? Lagipun, saya ni isteri dia, kan?”
Pertanyaan spontan itu serta-merta membuatkan pengawal peribadi tersebut panik. Peluh sejuk mula kelihatan membasahi dahi lelaki itu.
“N-nanti dulu Puan… Err, sebab…”
“Dia kena rehat,” potong ‘Luth dengan selamba, mematikan perbualan mereka.
Namun, alasan itu sudah terlambat. Nadira sudah dapat mengagak bahawa Emir sebenarnya tidak sakit, melainkan sengaja mengelak daripada bersemuka dengannya.
Apabila melihat ‘sepupu’ Emir itu mula melangkah menghampirinya, Nadira dengan pantas mengelak.
‘Luth’ kemudian menarik sebuah kerusi untuk Nadira. “Duduklah. Kita makan dulu,”
Nadira hampir sahaja menurut, kerana pelawaan itu kedengaran lebih kepada satu arahan yang tegas dan tidak boleh dibantah.
Sambil berdiri, Nadira memerhatikan keadaan sekeliling. Tiada kelihatan kelibat pembantu rumah mahupun tukang masak di situ. Seolah-olah seluruh Vila Andara yang tersergam indah ini hanya dihuni oleh mereka berdua dan beberapa orang pengawal keselamatan sahaja.
Situasi ini terasa sangat aneh. Untuk rumah sebesar ini, agak mustahil jika tiada seorang pun pembantu rumah yang diupah.
Pandangan Nadira kembali tertumpu pada hidangan yang tersusun elok di atas meja marmar putih itu. Makanan masih berasap hangat. Terdapat roti bakar, bihun goreng, sup cendawan, dan sandwic.
‘Takkanlah dia yang...’ desis hati Nadira, curiga.
“Awak… masak semua ni?” tanya Nadira untuk mendapatkan kepastian.
‘Luth’ mengangkat keningnya sedikit, bersama satu senyuman sinis yang terukir di hujung bibir.
“Kenapa? Takut aku letak racun?” Nada suaranya rendah, namun cukup untuk membuatkan jantung Nadira berdegup kencang.
Serta-merta, Nadira terasa bahang di bahagian tengkuknya. ‘Luth’ semakin melangkah mendekat, sehingga jarak wajah mereka kini hanya sejengkal sahaja.
Tatapan mata gelap lelaki itu kelihatan sangat menggerunkan, seolah-olah mampu merentap ketenteraman sesiapa sahaja yang memandangnya.
Tanpa sedar, Nadira mengundurkan langkahnya setapak.
“T-terima kasih. Susah-susah je awak siapkan sarapan ni, tapi saya belum lapar,” jawab Nadira pantas, cuba menyembunyikan rasa gugupnya.
Dia segera berpaling dan melangkah laju meninggalkan ruang makan tersebut. Dia perlu keluar dari situ dengan segera untuk menenangkan fikiran dan mencari udara segar kerana dadanya sudah terasa sangat sesak akibat panik.
Nadira menghela nafas lega sebaik sahaja tiba di ruang pintu utama vila. Akhirnya, dia dapat menghirup udara luar yang lebih tenang. Pandangannya kemudian tertumpu kepada seorang pengawal peribadi yang sedang bertugas di kawasan luar.
“Encik!” panggil Nadira kepada Bang Zul, pengawal yang mengiringinya ke vila ini semalam.
“Ada apa, Puan? Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya Bang Zul penuh sopan.
“Boleh tak tolong hantarkan saya balik ke rumah sekejap. Saya nak ambil barang yang tertinggal.”
Bang Zul tidak terus memberikan jawapan. Wajahnya serta-merta berubah menjadi serba salah dan ketakutan. Pandangan matanya tidak tertumpu kepada Nadira, sebaliknya melihat tepat ke arah seseorang di belakang wanita itu.
Apabila Nadira menoleh, kelihatan ‘Luth’ sedang berdiri tegak di ambang pintu.
Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar. Wajahnya kelihatan santai, namun pandangan matanya yang tajam sedang merenung tepat ke arah mereka berdua.
Share this novel
ayo
next
next