24 MOVE ON

Romance Completed 240711

Langkah Ayasha menjadi perlahan saat melihat Arash yang seakan-akan sedang menunggunya di luar biliknya. Sejak bila Arash menunggu? Sudah lama ke atau baru saja?

Dia berjalan dengan tenang ke arah Arash. Arash tersenyum manis saat melihat bayang Ayasha sudah muncul di depan matanya. Langkah Ayasha semakin perlahan saat tiba di hadapan Arash. Dia mendongak ke atas untuk memandang wajah Arash.

"Ada apa awak tunggu sini?" Soal Ayasha yang tidak mahu berbasa basi lagi.

Arash menarik tangan Ayasha kemudian dia masukkan Ayasha ke dalam pelukannya. Tubuh Ayasha dipeluk dengan begitu erat. Ayasha diam dan tidak memberontak. Dunianya seakan-akan terhenti seketika. Dia merasa tenang saat dipeluk oleh Arash.

Kedua matanya terpejam rapat. Selang beberapa saat, tangannya naik untuk membalas pelukan Arash itu. Fikirannya menjadi kosong seketika. Semua masalah yang terbeban di kepalanya turut hilang. Dia merasa tenang berada dalam pelukan Arash.

"Awak banyak fikir lagi ke?" Soal Arash kemudian Ayasha mengangguk kepala dalam keadaan matanya masih tertutup.

Rambut di bahagian belakang Ayasha dibelai dengan lembut. Dia mengucup dahi Ayasha dengan penuh rasa sayang yang mendalam. Dia tahu Ayasha tidak okay. Sebab itulah dia datang untuk menenangkannya.

"Tunggu saya selesaikan semuanya Ayasha. Saya janji akan bawa keluarga awak datang ke majlis kita nanti. Saya janji" kata Arash dengan berjanji hal itu pada Ayasha. Dia tahu Ayasha risau jika keluarganya enggan hadir ke majlis mereka nanti.

"Terima kasih Arash" ucap Ayasha sambil mengangguk kepala yang dia percaya pada kata-kata Arash itu tadi. Ucapan itu diberikan kerana Arash berjaya menenangkan fikirannya yang serabut itu tadi.

"Sama-sama" balas Arash lalu dia kucup dahi Ayasha lagi sekali. Dia menepuk-nepuk belakang Ayasha dengan perlahan.

Saadiq mengeluh panjang. Wajahnya berubah kecewa melihat kemesraan Ayasha dan Arash. Niatnya ke sini untuk memberikan sesuatu hadiah kepada Ayasha namun tidak berkesempatan lagi sekali.

Kata-kata Arash sebelum ini tidak boleh pakai sama sekali. Dia usaha bermacam cara pun, dia tetap akan kalah dengan Arash.

Saadiq berbalik badan. Dia tidak mampu menahan perasaan cemburu itu bila terus melihat mereka bermesra seperti itu. Saadiq mengangkat matanya ke hadapan saat menyedari ada seseorang di depannya.

"Permaisuri Laliya" Saadiq menundukkan kepalanya sebagai tanda hormat pada Permaisuri Laliya. Buat apa Laliya kemari?

Saat Saadiq menundukkan kepala, saat itu Permaisuri Laliya tidak sengaja ternampak Arash dan Ayasha saling berpeluk di depan halaman bilik Ayasha sendiri. Saadiq memandang wajah Permaisuri Laliya yang sangat terkejut melihat apa yang telah terjadi di depan itu.

Permaisuri Laliya mengundur langkahnya ke belakang. Tidak lama itu dia juga turut berbalik badan dan berlalu pergi tanpa kata. Saadiq langsung menundukkan kepalanya lagi sekali sehingga Permaisuri Laliya menghilang barulah dia angkat kepalanya semula.

Saadiq terdiam melihat kepergian permaisuri Laliya. Apa yang Permaisuri Laliya rasakan itu sama seperti yang dia sedang lalui sekarang. Sakit? Sudah tentu sakit apatahlagi melihat orang yang kita cinta dekat dengan orang lain.

Dia menoleh kepalanya ke belakang lagi sekali. Arash dan Ayasha masih berpeluk seperti tadi. Dia menoleh ke hadapan semula. Saadiq melangkah kaki lalu meninggalkan kawasan itu dengan hati yang hancur.

•

Rizal curi-curi melihat Saadiq yang dari tadi terdiam dan berkurung di bilik. Sepatutnya sudah tiba waktunya mereka makan tengahari sekarang. Dia sudah mengajak Saadiq keluar makan berulang kali namun Saadiq mengabaikannya.

Dia masih duduk di kerusi kerjanya sambil termenung jauh. Rizal menghampiri Saadiq di ruang kerjanya. Namun walaupun begitu Saadiq masih tidak menyedari sama sekali yang Rizal sedang memerhati dia dan sedang berada di hadapannya.

Dia mengeleng kepala sambil menarik kerusi di hadapannya. Rizal melabuhkan punggungnya di kerusi itu. Kedua tangannya diletakkan di atas meja. Rizal menatap Saadiq dengan tempoh yang lama. Selagi Saadiq tidak berinteraksi selagi itu juga dia akan tetap menatapnya lama.

"Aku rasa semangat aku dah hilang Zal" kata Saadiq yang tiba-tiba bersuara sedangkan matanya masih tidak berkedip dan dalam lamunan. Rizal berkerut dahi. Apa yang buat semangat Saadiq itu hilang?

"Asal ni? Ce citer" balas Rizal sambil menuang teh yang masih hangat di atas meja itu ke dalam cawan. Hujung telinga cawan itu dipegang dengan hati-hati. Telinganya sudah bersedia untuk mendengar cerita dari Saadiq.

"Orang yang aku suka. Dah nak kawin" luah Saadiq sambil tersenyum nipis. Rizal terdiam di depan. Dia tahu siapa yang Saadiq maksudkan itu. Dia sangat kenal diri Saadiq. Dengan siapa dia suka, Rizal turut mengetahuinya cuma dia hanya diam saja.

"Banyak lagi perempuan. Tinggal pilih je Saadiq. Lupakan jela orang tu"

"Tapi aku suka dia Zal. Cuma dia yang aku suka buat masa ni" bangkang Saadiq dengan tenang.

"Habistu kau nak buat apa? Rebut dia dari suami dia? Macam tu yang kau fikir?"

"Tapi dia tak kawin lagi. Maksudnya ada peluang lagi kan untuk aku dapatkan dia?" Rizal tersentak mendengar jawapan Saadiq. Wajah Saadiq seperti orang tidak siuman. Apa dia tidak sedar dengan ucapannya tadi?

Jawapan Saadiq sangat di luar jangkaannya. Saadiq tidak pernah melakukan kejahatan. Jika dia melakukan kejahatan hanya kerana cinta mungkin selama-lamanya Rizal tidak mahu berkhidmat untuk dia lagi.

"Saadiq sedar Diq. Sedar apa yang kau baru cakap tadi, kau gila ke nak rebut hak orang lain?"

"Dia yang rebut dulu dari aku Zal! Ini dah dua kali dia ambik orang yang aku cinta! Kau tak faham perasaan aku bahkan kau sendiri tak pernah tahu soal cinta jadi tak perlu bercakap seolah-olah semuanya mudah!" Rizal terkilan apabila Saadiq tiba-tiba meninggikan suara padanya.

Kedua mata Rizal membesar melihat Saadiq di depan. Meja itu dihentak kuat dengan kedua tangan Saadiq. Saadiq menatap Rizal dengan penuh amarah.

"Rileks lah. Orang hensem mana boleh marah-marah macam ni" kata Rizal sekaligus memuji dia.

Wajah Saadiq yang marah itu perlahan-lahan surut. Matanya terkebil-kebil seketika. Dia memegang rambut dan dagunya serentak. Tiba-tiba dia rasa handsome pula sekarang.

Rizal menahan senyum di depan. Belum apa-apa Saadiq sudah luluh kerana di puji. Pantang betul dipuji begitu. Segala kemarahan terus menghilang.

"Tula aku pun rasa yang aku ni hensem jugak" kata Saadiq sambil tersenyum bangga. Dia memegang dagunya dengan lembut sambil membayangkan Ayasha tergila-gilakan akan rupanya itu.

"Tulakan? Kau hensem kot. Asal kau singgah kedai kau je mesti staff-staff kau tak kira laki atau perempuan akan dekat dekat dengan kau" sambung Rizal lagi kemudian wajah Saadiq berubah serta merta. Nampak sangat Rizal tak ikhlas memuji dia tadi.

"Itu sebab dorang nak discuss pasal kerja bodoh" balas Saadiq dengan benggang. Nak je dia ketuk kepala Rizal kuat-kuat.

"Ohh yeke. Maaf maaf hehe" balas Rizal tanpa segan silu dia menunjukkan baris giginya yang putih itu di depan Saadiq.

"Macam mana? Bom tu dah selamat di kubur tak?"

"Syukur semuanya dah berjalan lancar. Kalau Ayasha takde mungkin kita semua akan mati"

"Pandai betul Ayasha tu. anak sapalah agaknya" puji Rizal sambil tersenyum senang.

Dia suka sikap Ayasha yang berani itu. Tidak hairanlah kenapa Arash boleh jatuh cinta dengan dia. Personaliti Ayasha tidak ada pada orang lain. Saat Permaisuri Laliya dan Permaisuri Nisya sibuk melarikan diri kerana takut mati, ada Ayasha yang berani untuk menyelesaikannya.

"Sebab tulah aku suka dia.." gumam Saadiq perlahan seperti orang yang sedang berbisik itu.

"Apa kau cakap tadi? Aku tak dengarlah" kata Rizal yang ingin Saadiq mengulangi perkataannya tadi kerana dia tidak dapat mendengarnya dengan jelas.

"Takde apalah" Saadiq pergi meninggalkan ruangan itu begitu saja. Dia tinggalkan Rizal tanpa sebarang kata. Rizal terkebil-kebil. Macam tu je Saadiq tinggalkan dia. Biar betul Saadiq tu.

•

Pengawal peribadi Qhairy bergegas masuk ke dalam ruangan kerja Qhairy. Qhairy berhenti bekerja. Helaian-helaian kertas penting disembunyikan ke bawah buku tebal.

"Macam mana?" Soal Qhairy tanpa berbasa-basi lagi. Wajah pengawal peribadinya berubah gelisah. Senyuman Qhairy memudar. Lihat dari riak wajah pengawal itu pun dia sudah tahu jawapannya. 

"Mereka tahu ada bom yang dibawa masuk tuan.."

"Kau bodoh ke? Macam mana dorang boleh tahu ha! Bukan aku dah arahkan letak bom tu sebelum perabot-perabot tu kena bawa masuk ke istana ke ha!"

"Ye kami semua dah buat semua yang diarahkan Tuan, tapi tetap gagal. Yunus dan beberapa bawahan kita telah ditangkap dan dikurung di penjara bawah tanah" wajah Qhairy berubah kesal dan terkejut.

"bakal isteri Raja Arash mengetahui keberadaan bom-bom tersebut" sambungnya lagi.

Qhairy menghentak meja kerjanya dengan kuat. Sudah dua orang suruhannya berjaya ditangkap di tangan Ayasha. Ada apa dengan gadis itu sebenar? Bagaimana dia boleh mengetahuinya? Bagaimana dia boleh sehebat itu?

"Apa nama dia?"

"Puan Ayasha" balas pengawal peribadinya dengan tergagap.

Sebut nama Ayasha buat seluruh tubuhnya mengigil. Walaupun dia tidak ditangkap. Namun dia turut merinding kerana saat dia telah keluar daripada istana itu. Dia telah terima berita bahawa seluruh pintu-pintu masuk di istana telah diketatkan.

Beberapa bawahannya yang membawa perabot-perabot itu masuk telah ditahan dan dikurung juga bagi siasatan selanjutnya.

Qhairy tersenyum sinis saat mendengar nama Ayasha.

"Arash pasti cemas bukan?"

"Ye Tuan..Raja Arash cemas waktu itu"

"Tak usah panggil dia Raja! Aku tak suka!"

"Ba-ik Tuan..ma-aff.."

"Cari maklumat tentang Ayasha. Dalam masa 2 hari aku nak semuanya ada" arah Qhairy lalu dia bangun dari kerusi kerjanya. Dia kelihatan seperti sedang bersiap untuk ke sesuatu tempat.

"Baik tuan" balas pengawal peribadinya dengan akur. Dia menghantar Qhairy dengan matanya saja. Setelah Qhairy keluar daripada ruangan itu. Dia juga bergegas untuk melaksanakan tugasan dia yang seterusnya.

Qhairy ke ruangan pengawal keselamatan yang telah dilatih itu. Mereka semua adalah pengawal keselamatan miliknya yang telah dilatih sejak 3 bulan di sini. Dia berdiri di hadapan mereka dengan tegak.

"Semua"

"Ye Tuan!"

"Saya perlukan 5 orang untuk misi ke istana Raja Muda" kata Qhairy hingga wajah mereka berubah cuak.

"Tugas kalian adalah membebaskan dua orang kita dan bawa kembali ke sini. Mereka dua sekarang berada di penjara bawah tanah. 5 orang yang nak laksanakan misi ini sila melangkah dua langkah ke hadapan" arah Qhairy namun tiada satu pun di antara mereka melangkah dari tempat mereka berdiri.

"Ada apa ini! Tugas kalian semua adalah akur dengan arahan aku! Kenapa tiada satu pun yang rela untuk ke misi ini?!" Dengan lantang Qhairy mempersoalkan hal tersebut pada mereka.

"Maaf Tuan tapi untuk masuk ke penjara bawah tanah di istana Raja Muda sangat banyak perangkap dan jebakan. Siapa saja orang luar yang masuk ke penjara tersebut kemungkinan besar tidak akan dapat keluar lagi" kata salah satu dari mereka hingga membuatkan Qhairy terdiam.

Kenapa dia tidak tahu soal itu? Sejak bila ada hal-hal seperti itu di penjara bawah tanah milik Arash tersebut? Qhairy mengenggam tangan dengan erat. Pasti Arash dapat membaca tindakan dia yang selanjutnya sebab itulah dia sediakan perangkap itu lebih awal.

"Kau betul-betul nak main api dengan aku Arashh..!" Wajah Qhairy berubah dingin. Kemarahan dan kebenciannya kepada Arash semakin menebal. Arash mengagalkan rancangannya lagi sekali.

Bahkan rancangan dia untuk menghancurkan majlis perkahwinan Arash dengan Ayasha juga gagal. Dia sangka dia akan terima berita baik bahawa separuh istana milik Arash itu telah hancur kerana bom yang dia beri.

Tapi rupanya tidak semudah itu. Rancangannya asyik gagal sejak ada Ayasha di samping Arash. Pasti Ayasha dan Arash saling bekerjasama dalam diam. Tindakan Ayasha sangat sukar untuk dibaca.

Siapa gadis itu sebenarnya? Bagaimana dia boleh elak dengan apa jua yang ancaman yang Qhairy cuba buat terhadap Arash.

•

"Saadiq!" Saadiq yang tertidur dalam keadaan kepalanya di atas meja itu tiba-tiba terbangun mendengar suatu suara menjerit namanya berulang kali.

"Ayasha? Tu suara dia kan tadi?" Saadiq berkerut dahi dengan tertanya-tanya seorang diri. Rasanya yang dia dengar tadi sama persis seperti suara Ayasha. Saadiq bangun dari kerusi kerjanya kemudian dia melangkah ke tengah ruang.

"Saadiq saya masuk!" Belum sempat Saadiq membalas tiba-tiba pintu biliknya telah dibuka oleh Ayasha. Kedua pintu dibuka dengan luas. Ayasha membatu seketika. Matanya membulat serta bibirnya tersenyum lebar melihat ke bahagian tubuh Saadiq.

Saadiq yang tidak mengerti itu langsung melihat badannya sendiri. Kenapa Ayasha senyum begitu? Kedua mata Saadiq terbutang luas saat melihat dirinya sendiri yang hanya memakai singlet dan seluar panjang.

"Eh!" Dia menutup badannya dengan kedua tangan. Dia terlalu penat hingga terlupa menukar pakaiannya sebelum tidur tadi. Tapi tak sangka pula Ayasha akan tunjuk ekspresi seperti itu. Dah macam bukan dia yang sebelum ini saja.

"Takdelah gurau je" kata Ayasha untuk menghilangkan sangkaan Saadiq terhadap kelakuannya tadi. Saja nak bergurau. Takkan nak serius saja sepanjang masa kan? Dia tidak suka hidup seperti itu.

"Ada apa?" Soal Saadiq sambil menyarung pakaian ke badannya. Gerak geri Ayasha diperhatikan.

"Saya nak pinjam Mimi, rindu nak main dengan dia. Mimi mana?" Soal Ayasha yang tercari-cari kucing milik Saadiq itu.

"Kejap lagi keluar lah tu" kata Saadiq dengan senyuman yang santai. Selalunya bila dengar suara Ayasha saja pasti kucingnya itu bergegas keluar dari tempat persembunyiannya yang dia jadikan sebagai tempat tidurnya.

"Mimiiii. Aya datang nii meowww mana meow meow" panggil Ayasha dengan nada suara yang kuat.

Saadiq dan Ayasha tertumpa pada botol kosong yang tiba-tiba terjatuh itu. Meja itu baru saja bergoncang tadi hingga menyebabkan botol kosong itu terjatuh. Mimi muncul dari bawah meja dengan suara mengiaw yang kuat.

Rupa-rupanya dia lah yang buat botol itu terjatuh dari meja tersebut. Mini berlari pantas ke arah Ayasha kemudian dia mengesel kepalanya ke kaki Ayasha.

"Alolo comelnya dia" Mimi diangkat kemudian didukung seperti bayi. Baginya layanan yang harus diberikan kepada kucing itu sama seperti layanan terhadap anak kecil. Kerana kedua-duanya makhluk kecil yang comel di dunia ini.

"Tapi takboleh main luar lagi. Kalau awak nak main. Main je bilik saya. Nanti saya keluar kejap"

"Kenapa tak boleh?"

"Mimi baru je kena suntik vaksin. Untuk elak jangkitan kuman. Doktor haiwan tak bagi dia bertembung dengan haiwan lain. Kucing kelabu milik Permaisuri Nisya tu selalu bawa Si Mimi ni bergaduh. Tu yang saya tak bagi bawa luar lagi"

"Kucing permaisuri Nisya tu jahat kan? Sama macam tuan dia" sindir Ayasha tanpa dia sedar yang dia telah mengatakan itu di depan Saadiq. Saadiq hampir tertawa namun dia menahannya dengan kuat.

"Tak bukan! Saya tak maksudkan apa apa pun. Jangan ambik hati!" Kata Ayasha yang sudah tidak tentu arah jika Saadiq berfikir macam-macam tentang dirinya.

"Betullah tu. Sama macam tuan dia jahat" balas Saadiq yang sebenarnya sangat setuju dengan ucapan Ayasha tadi.

Walaupun tidak ketara keburukkan Nisya itu namun orang yang sudah mengenalinya lama pasti akan mengetahuinya. Ayasha tak cakap pun, dia sudah nampak Permaisuri Nisya itu berhati busuk sejak awal masuk di sini lagi. Dia pernah cerita hal itu pada Rizal sendiri.

Saadiq terlihat senang melihat Ayasha tidak henti tersenyum saat mendukung kucingnya itu. Untunglah Si Mimi, dapat merasa bagaimana dipeluk oleh gadis itu. Saadiq merenung Ayasha dengan tempoh yang lama.

Hatinya semakin jatuh cinta terhadap Ayasha. Walaupun dia tahu dia tidak boleh cinta dengan Ayasha lagi namun dia tidak dapat menghalang perasaannya. Dia sudah berusaha keras untuk melupakannya namun dia tidak berjaya. 

"Saya harap orang yang saya cinta akan balas cinta saya suatu masa nanti" kata Saadiq tiba-tiba sambil tersengih hampa. Hal itu membuatkan Ayasha merasa ada sesuatu yang tak kena pada Saadiq.

Apa maksud dia? Dia pun nak dipeluk seperti itu ke? Tapi Si Mimi itu kucing. Pelukannya pasti akan berbeza dengan manusia. Takkan sebab itu pun dia nak cemburu?

"Awak layak untuk dapatkan itu. Awak akan jumpa orang yang lagi baik Saadiq" kata Ayasha sambil membelai bulu Mimi dengan lembut.

"Atas dasar apa saya layak" soal Saadiq semula. Walaupun dia sudah baik pada mereka namun mereka tetap tidak nampak kewujudan dia di sini. Mereka tetap tidak tahu betapa cintanya Saadiq kepada mereka.

"Awak baik dengan haiwan. Maka Tuhan pun akan luaskan rezeki awak dalam pelbagai bentuk. Lambat-laun awak akan tau juga" balas Ayasha hingga berjaya menaikkan semula semangat Saadiq yang telah patah berkali-kali sebelum ini. 

"Saya harap begitulah.."

"Okaylah saya keluar dulu. Awak mainlah dengan Mimi dulu" kata Saadiq dengan meminta diri untuk pamit terlebih dahulu. Ayasha mengangguk kepala sambil menghantar Saadiq dengan anak mata.

Hilang saja bayangan Saadiq dari situ. Ayasha kembali mengomel-gomel kucing itu dengan geram. Comel sangat! Rasa nak gigit aje! Fera yang menunggu di luar bilik itu tadi berlari masuk ke dalam untuk bermain dengan itu juga.

"Comelnya! Kenapa dia comel sangat ni! Ah kenapa comel!"

•

"Semuanya dah selesai?" Selesai Permaisuri Nisya sambil memerhati menu-menu makan malam yang telah siap di masak. Tania mendekati Permaisuri kemudian dia menundukkan kepalanya sedikit sebelum dia membalas pertanyaan Permaisuri Nisya tadi.

"Sudah hampir siap Permaisuri. Hanya tinggal sajian air saja" balas Tania dengan kepalanya yang masih tertunduk ke bawah.

Permaisuri Nisya mengangguk kepala tanda dia mengerti. Matanya masih melihat makanan yang telah siap dimasak itu. Sebentar lagi akan dihidangkan di dewan makan mereka.

Dayang Permaisuri Nisya bergegas mendekati dia setelah dia selesai melaksanakan tugasan yang diberikan oleh Permaisuri Nisya sebentar tadi. Tania curi-curi melihat dayang yang sedang berbisik sesuatu di telinga Permaisuri Nisya dengan nada suara yang perlahan.

"Raja Muda ada di ruang perpustakaan. Saya dah periksa tadi" bisiknya di telinga Nisya. Nisya mengangguk kepala tanda dia mengerti. Tanpa kata pamit dia langsung melangkah meninggalkan ruangan dapur masak itu.

Aulin mendekati Tania dengan pantas saat Permaisuri Nisya telah pergi.

"Kenapa permaisuri Nisya kerap nak ke dapur sekarang?" Soal Aulin pada Tania. Tania mengeleng kepala tanda dia juga tidak tahu kenapa.

"Aku tak tau kenapa. Dia datang untuk tengok dan tau apa menu makanan hari ini. Aku taknampak dia buat apa-apa" balas Tania namun wajahnya masih penuh dengan kekeliruan.

"Positif je. Tiada apa pun sebenarnya. Permaisuri Nisya bukan saja datang periksa dapur tapi tempat cucian dan kolam mandi juga dia periksa. Mungkin dia baru sibuk nak laksanakan tugasan dia untuk tarik perhatian Raja"

"Yela Raja kan dah mula beri perhatian yang banyak pada Ayasha sorang. Kalau dia rajin dan laksanakan tugasannya mengikut jawatan yang dia terima dulu mungkin dia fikir itu boleh tarik perhatian Raja Muda semula" jelas Tania yang sangat mengetahui tindak-tanduk permaisuri itu. Sangat mudah untuk dibaca.

Setiap gelaran permaisuri mempunyai tugasan mereka masing-masing. Permaisuri Nisya merupakan ketua pengurusan dapur, tempat cucian dan kolam mandi serta ketua perkembangan sara hidup masyarakat. Setiap hal yang berkaitan dengan pertanian, penternakan dan pekerjaan lain-lain masyarakat adalah tugasnya untuk mengetahuinya.

Permaisuri Laliya pula merupakan ketua pengurusan senjata, ketua pengurusan hal ehwal bilik dan ketua pengurusan gundik, dia yang bertanggungjawab menguruskan kelayakan seseorang sebelum menjadi gundik Arash. Namun hanya Ayasha yang diberi pengecualian dengan ujian kelayakan gundik yang sepatutnya dibuat.

"Dulu kau rapat dengan Ayasha kan?" Soal Aulin namun Tania tiba-tiba membisu di depan. Dia mengangguk kepala setelah lama mendiamkan diri.

"Sejak bila Raja suka dengan Ayasha?" Soal Aulin lagi.

"Entahlah. Setahu aku Ayasha dan Raja selalu bergaduh setiap kali jumpa dulu. Aku sendiri pun terkejut bila dia diangkat sebagai gundik" balas Tania dengan kecewa. Sejak Ayasha menjadi gundik, mereka sudah jarang bertemu.

Betul kata orang, orang yang telah senang tidak akan pandang kita walaupun dia sahabat baik kita sendiri.

Dia merasa Ayasha semakin lupakan dia. Padahal dialah yang sentiasa ada untuk Ayasha dulu, dia jugalah yang selalu mempertahankan Ayasha apabila Ayasha direndahkan.

Namun sekarang bila mereka terserempak, Ayasha sudah tidak memandang dia mahupun menyapa dia lagi. Gadis itu telah berubah banyak. Tania rindu Ayasha yang dulu.

•

Pintu bilik perpustakaan itu diketuk terlebih dahulu sebelum Permaisuri Nisya masuk ke dalamnya. Arash pasti tahu yang Nisya akan mencarinya di sini.

Arash kelihatannya sedang sibuk mencari sesuatu maklumat penting dari buku-buku yang telah dia kumpulkan itu. Permaisuri Nisya berjalan ke arahnya dengan tenang. Dayangnya menunggu di luar bilik perpustakaan.

"Awak ada kerja lagi?"

"Ye ada lagi. Kenapa?" Soal Arash tanpa memandang ke wajahnya. Matanya hanya fokus pada tulisan di buku itu. Hal itu membuatkan Nisya sedikit kesal.

Kalau Ayasha yang datang bukan main renung lagi. Tapi bila dia yang datang, Arash layan dia acuh tak acuh. Seperti dia tidak wujud di sini.

"Malam nanti awak free ke?"

"Malam free lah kot rasanya. Ada apa dengan malam?" Soal Arash balik kemudian dia pandang wajah Nisya sekilas saja sebelum dia kembali melihat buku itu dengan teliti.

"Malam ni ada festival lampu. Saya nak ajak awak keluar sekali" Arash terdiam seketika. Tangannya berhenti menyelak muka surat buku itu.

Selepas Nisya sebut tentang festival lampu, baru dia teringat sekarang. Bagaimana dia boleh lupa tentang festival itu? Jika dia terlepas festival itu, keberuntungan seumur hidup mereka akan berkurang. Itulah kepercayaan istana tersebut sejak turun temurun lagi.

"Kalau bawa Ayas-"

"Saya nak berdua saja" potong Nisya dengan laju hingga Arash tidak sempat mengakhiri ucapannya sebentar tadi. Arash terdiam di depan. Jika Ayasha tahu pasti dia akan cemburu, namun dia juga tidak boleh tolak kehendak Nisya itu.

Nisya tersenyum tanpa rasa bersalah sedangkan wajah Arash terlihat muram saja. Dia tahu Arash berniat untuk bawa Ayasha bersama dengan mereka nanti. Sebab itulah dia cepat-cepat memotong perbicaraan Arash tadi.

"Hm yela malam nanti kita pergi" balas Arash yang terpaksa akur itu. Jika dia menolak mungkin Nisya akan menganggap dia tidak adil kerana dia lebih memilih untuk pergi bersama Ayasha.

Arash kembali fokus ke buku yang tadi. Nama senarai di list itu dibaca dengan penuh hati-hati. Nisya mengambil tempat duduk di samping Arash. Dia perhatikan gerak geri Arash di sebelah.

"Tadi saya tengok Ayasha berdua-duaan dengan Saadiq dekat bilik Saadiq" kata Nisya hingga berjaya membuatkan Arash berpaling kepala ke arah dia. Wajahnya berubah terkejut.

"Apa?!" Nisya terkilan melihat perubahan Arash. Ini kali pertamanya dia lihat Arash cemburu namun bukan kerana dia tetapi kerana orang lain. Dia sangka Arash akan berekspresi seperti biasa.

Buku ditutup serta-merta. Arash meninggalkan ruangan itu tanpa kata. Dia melangkah dengan langkah yang besar. Lelaki itu tampak cemas mendengar kata-kata Nisya tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience