3 MATA BERHARGA

Romance Completed 249896

"Penilik nasib Mahmud tidak mahu kerjasama lagi Puan Bonda. Tawaran wang pun dia tolak"

"Katanya mustahil untuk menilik nasib yang sudah tentu tidak akan berubah sama sekali" kata-kata Dayang daripada Mahmud penilik nasib itu menguris perasaan Puan Bonda. Benar-benar hina orang memandang pada mereka hanya kerana sumpahan terkutuk itu.

Namun apa pun yang dikatanya itu pasti benar. Mereka tilik nasib bagaimana pun jawapannya akan tetap sama. Takdir Raja akan tetap sama seperti tahun lepas, dua tahun lepas, tiga tahun lepas ataupun beberapa tahun yang lepas.

"Tidak mengapa jika begitu"

"Minta Rizal ke bilik saya ye" minta Puan Bonda pada dayang itu. Dayang itu menundukkan kepala sebagai tanda akur sebelum dia meninggalkan ruangan itu untuk membawa Rizal ke ruangan Puan Bonda.

Beberapa minit kemudian, dayang itu kembali membawa Rizal di belakangnya. Perintah Puan Bonda ditunaikan sesuai arahan.

Dayang itu bergerak ke hujung dinding kemudian dia berdiri di samping pintu sementara Rizal dan Puan Bonda sedang berbincang sesuatu. Dia tiada hak untuk mendengar perbualan mereka jadi dia harus pura-pura tidak mendengarnya walaupun sebenarnya dia dengar.

"Ada apa bonda?" Soal Rizal kemudian dia duduk bersila di hadapan Puan Bonda.

"Rizal ingat tak pakcik tua yang rambut putih dulu?" Rizal berkerut dahi dia cuba untuk mengimbas ingatannya semula. Dia sudah lupa soal pakcik berambut putih yang dimaksudkan oleh Puan Bonda itu.

"Dia orang pertama yang tau sumpahan yang ada dalam diri Arash 15 tahun yang lepas. Rizal ingat tak?"

"Ohh tu. Kenapa bonda? Rizal masih ingat" kata Rizal kerana dia dan Arash yang menemui pakcik itu terlebih dahulu.

Saat pakcik itu mengatakan tentang sumpahan yang ada pada Arash. Tiada semua yang mempercayai dia dan menganggap dia hanya menuduh Arash untuk menjatuhkan Raja Muda itu.

Namun bila Arash sudah berkahwin. Semuanya sudah terbukti bahawa apa yang pakcik itu katakan adalah benar.

Mereka enggan mempercayai dia kerana pakcik itu tiba-tiba muncul ke istana dan datang menghampiri Arash dan waktu itu ditemani oleh Rizal sendiri. Rizal dengar semua yang dibicarakan oleh pakcik itu. Dan Rizal sendiri satu-satunya orang yang percaya pada lelaki itu.

Alasan mengapa dia percaya adalah kerana Raja sebelum ini juga mengalami sumpahan namun sumpahan yang berbeda dari Arash. Raja sebelum ini juga telah berjaya mengatasi sumpahannya itu.

"Bonda nak Rizal cari semula pakcik tu" Rizal tersentak mendengar permintaan itu. Mana mungkin dia boleh cari semula orang yang kali terakhir mereka jumpa 15 tahun yang lepas. Itu sangat mustahil baginya.

Lagipula pakcik itu sendiri yang datang menjumpai mereka bukannya mereka yang datang bertemu dengan pakcik itu. Asal usul dan latar belakang pakcik itu pun dia tidak tahu.

Setelah dihalau oleh orang istana. Pakcik itu tidak pernah muncul lagi. Bahkan Rizal juga tidak tahu dari mana pakcik itu berasal.

"Tapi mustahil nak cari bonda. Pakcik tu dah menghilang lepas orang istana halau dia dulu. Mana mungkin dia nak beri kerjasama lagi" kata Rizal hingga hampir yang membuatkan Puan Bonda putus asa.

"Bonda yakin. Dia tahu penawarnya Rizal. Penawar pasti ada pada dia" balas Puan Bonda dengan penuh yakin. Jika lelaki itu tahu anaknya terkena sumpahan pasti dia juga tahu penawar dan punca semua itu bermula.

"Bagi Rizal masa 2 bulan untuk cari dia. Tapi kalau Rizal tak jumpa dia dalam masa 2 bulan. Rizal memang takboleh nak tolong lagi" balas Rizal yang agak was-was itu. Dari mana dia harus cari dan bagaimana dia harus menjumpai lelaki itu semula?

"Hidangkan makanan dekat bilik Raja Muda" Ayasha berbalik badan mendengar arahan itu. Kenapa tiba-tiba Raja tidak mahu makan bersama permaisuri dan gundik yang lain?

Apa mereka sedang bertengkar? Atau hubungan mereka sedang tidak baik-baik saja?

Patutlah saat dia menghidangkan makanan untuk permaisuri dan gundik tadi. Suasana terlihat muram dan agak janggal. Tidak meriah seperti sebelum ini. Wajah mereka juga terlihat muram semacam.

Bahkan Puan Bonda pun tidak keluar untuk menjamah hidangannya di ruang makan bersama mereka yang lain.

Ayasha bergegas menyediakan memasukkan makanan yang telah dimasak itu ke dalam piring, mangkuk dan beberapa alat untuk makan ke atas dulang.

"Jangan buat Raja Muda marah. Ingat tu" pesan wanita yang berusia 40-an itu.

Ayasha mengangguk kepala tanda dia mengerti. Dia faham pasti suasana Raja Muda sedang tidak baik sekarang. Jadi dia harus berhati-hati agar dia tidak marah.

Dulang dibawa dengan penuh hati-hati sepanjang melangkah ke bilik Raja Muda. Perjalanan dia itu dijaga rapi oleh pengawal Raja Muda dari arah belakang.

Pintu dibuka oleh pengawal itu. Dia memberikan keizinan kepada Ayasha untuk masuk ke dalam.

Nafas ditarik panjang kemudian kaki melangkah satu langkah besar ke dalam bilik itu. Arash sedang berbaring santai di atas katil.

Pintu itu ditutup semula daripada luar. Ayasha melangkah ke meja makan yang telah disediakan di tengah ruang bilik itu.

Ayasha berdehem perlahan untuk mengejutkan dia. Arash tidak menyedari dia masuk tadi sebab itulah dia buat begitu.
Arash dengan cuak bangun dari terus berbaring seperti itu saat melihat Ayasha di sudah berada di tengah biliknya itu.

Ayasha duduk di hadapan meja itu sambil menghidangkan satu persatu makanan di atas meja. Arash mengikat tali bajunya yang terbuka tadi sebelum dia ke meja makan.

Selesai menghidangkan makanan. Ayasha terus berbalik badan untuk kembali melaksanakan tugasan yang seterusnya sementara Arash baru saja duduk di hadapan meja makan itu untuk menikmati makanan yang telah dihidangkan oleh Ayasha tadi.

"Teman aku kejap" permintaan Arash membuatkan Ayasha membatu seketika. Seluruh tubuhnya mengeras sementara jantungnya masih aktif berdetak kencang.

"Tapi saya ada kerja lagi" kata Ayasha sambil berbalik badan ke arah Arash. Dia berdiri di depan pintu sambil menundukkan kepalanya ke bawah.

Arash menatap dia dengan dingin. Sayur sawi yang telah dimasak itu dikunyah tanpa menggunakan nasi. Dia terus menikam Ayasha dengan tatapannya yang tajam.

"Kau tau aku siapa bukan?"

"Ye saya tahu.."

"Sebelum ini tiada siapa lagi yang berani menolak apa pun permintaan aku" kata Arash kemudian dia menaikkan kakinya ke atas kerusi yang dia duduk.

Ayasha terdiam. Dia menahan getaran di tangannya. Dia takut untuk mengangkat kepala setelah mendengar nada suara Arash yang marah pada dia. Padahal dia sudah tekad untuk tidak buat Arash marah tadi.

"Kau masih tiada jawapan untuk soalan aku tadi?" Soal Arash apabila Ayasha masih terdiam membisu di hadapan. Ayasha menghembus nafas dengan gementar saat Arash menyoalnya lagi.

"Baiklah saya teman" kata Ayasha kemudian dia mendekati Arash di meja makan itu. Ayasha berdiri di hadapan dia yang sedang makan itu.

"Duduk" arah Arash namun Ayasha enggan melakukannya. Dia takut jika dia membuat kesalahan lagi. Lagipula dia tidak layak untuk duduk dengan orang penting seperti Arash. Tidak sesuai untuknya.

"Apa kau akan tolak lagi permintaan aku?" Mendengar soalan Arash itu, Ayasha bergegas menarik kerusi kemudian dia duduk di kerusi hadapan Arash untuk memenuhi kehendaknya.

Sudu diserahkan kepada Ayasha. Ayasha berkerut dahi. Kenapa tiba-tiba Arash bagi pada dia? Kening kanan lelaki itu diangkat dengan memberi isyarat agar Ayasha mengambil sudu itu sekarang juga.

Walaupun Ayasha tidak mengerti apa-apa namun dia tetap mengambil sudu itu daripada Arash. Sudu itu diperiksa dengan teliti. Ada yang tidak kena ke? Atau sudu itu tidak bersih?

"Suap aku" mata Ayasha membesar mendengar permintaan Arash yang sudah melampaui batas itu. Tugasnya hanya pelayan hidangan makanan bukannya menyuap Raja.

"Tak. Saya tak boleh" tolak dia kemudian sudu itu diletakkan di atas mangkuk kuah semula.

"Hm" Ayasha curi-curi melihat Arash yang mengeluh setelah dia menolak permintaannya itu.

"Aku tak makan dengan yang lain sebab tangan aku luka. Sakit bila nak angkat tangan ataupun bila aku gerakkan bahagian siku"

"Aku takut dorang tahu yang tangan aku sakit sebab tu aku buat keputusan untuk makan dekat sini"

"Maksud awak?" Soal Ayasha yang tidak mengerti apa-apa itu. Dia tidak percaya alasan seperti itu kecuali ada buktinya.

Boleh jadi Arash ingin mencari salahnya. Dengar dari cara Arash berbicara dengan dia pun, Ayasha sudah tahu yang Arash itu tidak berapa menyukai kehadirannya di situ.

Lengan baju ditarik sehingga di bahagian ketiak. Arash menoleh badannya sedikit ke tepi untuk menunjukkan luka besar yang terdapat di bahagian siku kanannya itu.

Mata Ayasha tidak berkedip. Dia terkejut melihat luka yang masih berdarah merah itu. Tapi sejak bila luka itu ada? Semalam elok saja Arash makan dengan yang lain. Sepertinya luka itu baru saja terjadi tadi.

Lengan baju diturunkan semula. Arash memandang makanannya di hadapan. Dia tidak mampu menggerakkan tangannya untuk makan kerana luka di sikunya ketika itu.

Sudu yang Ayasha letak diatas mangkuk itu diambil semula olehnya. Arash terdiam melihat gerak-geri Ayasha. Kuah dan cebisan ayam diletakkan di atas nasi.

Ayasha tiada pilihan lagi. Jika dia tolak mungkin Arash tidak dapat makan. Dia mahu sorok luka itu dari keluarganya. Arash pasti takut jika keluarganya bimbang soal itu sebab itulah dia rahsiakanlah.

Sudu yang berisi makanan diatasnya itu dihalakan ke mulut Arash. Arash membuka mulut besar sebelum sudu itu dimasukkan ke dalam mulutnya. Dia makan dengan penuh nikmat.

Nikmat makan sendiri dengan nikmat makan disuap itu berbeza. Bila disuap, makanan yang masuk ke dalam mulutnya jadi jauh lebih sedap daripada makan sendiri.

Sejak kecil Arash tidak pernah disuap oleh ibunya. Yang menguruskan dia hanya dayang-dayang istana. Setelah umur 5 tahun. Dia dipaksa untuk makan sendiri tanpa bantuan sesiapa pun.

Walhal ketika itu. Arash selalu inginkan jika Puan Bonda akan menyuap dia saat makan namun itu semua tidak akan pernah berlaku dalam hidupnya. Itu hanya berlaku pada masyarakat biasa bukan orang sepertinya.

Sejak kecil dia diajar untuk jadi seperti orang dewasa. Segala yang dia mahukan, dia harus usahanya sendiri. Dia harus akur dan patuh dengan perintah ibu dan ayah. Dia juga tidak punya waktu bermain semasa kecil seperti anak-anak yang lain.

Ibu dan ayahnya melakukan itu kerana dialah penerus takhta bila sudah besar nanti dan ianya sudah terbukti hari ini. Tapi menjadi seorang Raja bukanlah keinginannya. Dia hanya mahu jadi seperti orang biasa.

"Awak boleh minta dayang awakkan yang suapkan awak?" Kata Ayasha sambil menyuap lelaki itu. Arash tidak membalas, dia sibuk menikmati makanannya tanpa suara.

"Dayang aku pun bersubahat dengan bonda" kata Arash setelah dia habis mengunyah. Ayasha terdiam mendengar jawapan Arash. Kenapa tidak dibuang jika dia tahu mereka bersubahat?

"Kenapa tak buang?"

"Buang? Kalau ada dayang baru sekalipun. Mereka akan tetap sama seperti dayang yang sebelumnya"

"Dan dayang yang sekarang pun. Dayang yang ke-15"

"Kenapa boleh sampai 15?" Soal Ayasha lagi. Setelah selesai meminum teh hangat, cawan itu diletakkan di atas meja makan semula.

"Seorang dayang tidak boleh mempunyai sebarang perasaan atau niat untuk menggoda majikannya" penjelasan Arash membuatkan Ayasha mengerti walaupun kata-katanya itu bukan jawapan untuk soalannya tadi.

"Kena buat apa yang disuruh. Kena patuh apa yang diarahkan. Kena belajar berdikari sejak kecik sampai takde waktu kecil yang indah untuk aku selama hidup ini" kata Arash dengan nada suara yang lemah.

"Perit juga hidup macam ni" kata Ayasha perlahan sambil menundukkan pandangan ke bawah ribanya. Tiba-tiba dia rindukan suasana di rumah.

Dia rindu semua orang di dalam rumah terutamanya ibu. Hubungan dia dengan ibu terlalu rapat hingga jika mereka dipisahkan seperti ini, Ayasha merasa kurang semangat untuk hidup. Ibu juga pasti mengalami hal yang sama seperti yang dia rasa sekarang.

"Aku rasa terpenjara..terikat kat sini" luah Arash dengan nada suara yang sayu. Kedua mereka terdiam murung. Masing-masing mereka sedang memikirkan nasib mereka sendiri.

"Jom minum" ajak Arash tiba-tiba. Ayasha langsung mengeleng kepala untuk menolak. Tidak pernah seumur hidupnya mengambil minuman keras ataupun benda yang memudaratkan kesihatan.

"Kau tak pandai minum?"

"Bukan tu..saya memang tak biasa minum" balas Ayasha dengan segan silu. Wajahnya memerah seketika kerana malu dengan Arash.

"Kalau macam tu teman aku"

"Tapi saya kena kerja-"

"Arahan dan perintah Raja adalah satu pekerjaan. Kau lupa itu?" Celah Arash saat Ayasha hendak menolak permintaannya itu.

"Tapi nanti kepala pelayan cari saya macam mana?"

"Aku dah bagitau dia, kau kena teman aku" kata Arash sambil mengeluarkan telefon yang memudahkan dia untuk menyampaikan sesuatu mesej tanpa perlu berteriak.

Mata Ayasha membesar. Seumur hidupnya tidak pernah dia lihat alat canggih itu. Telefon hanya mampu dibeli oleh orang yang berkemampuan saja. Tidak semua orang menggunakannya.

Telefon itu dihulurkan kepada Ayasha. Dia ingin Ayasha melihat buktinya sendiri di dalam telefon itu.

"Takpelah saya percaya. Saya tak boleh pegang barang milik Raja" kata Ayasha dengan menolak secara baik.

Arash tersengih kecil, dia sangka Ayasha lupa soal itu. Baguslah jika dia ingat. Lama kelamaan gadis itu akan biasa dengan hidup di dalam istana itu.

Telefon diletakkan di dalam kotak penyimpan barang. Dia takut lupa jadi dia selalu letak di situ.

Minuman keras dituangkan ke cawan Arash. Arash melirik gerak-geri Ayasha yang sopan santun itu.

"Aku minum 3 cawan saja. Kau jangan risau" kata Arash. Lihat dari wajah Ayasha, dia tahu yang Ayasha bimbang jika Arash minum secara berlebih-lebihan.

"Okay" balas Ayasha perlahan. Dia tidak berani membisu nanti dimarahi lagi seperti tempoh lalu.

Sebelum dia mendekati kepala pelayan itu. Saadiq melihat ke kiri dan kanannya terlebih dahulu. Untuk memastikan tiada orang lain yang nampak dia saat dia hendak bertemu dengan kepala pelayan itu.

Saadiq berjalan ke arah kepala pelayan itu daripada arah belakang. Kepala pelayan itu menoleh ke belakang saat dia menyedari ada seseorang yang mendekati dia.

Wajah Saadiq berubah cuak. Terkejut dia bila tiba-tiba wanita itu menyedari dia berada berdekatannya.

"Ada apa Tuan Saadiq?" Soalnya sambil menundukkan kepala sedikit ke bawah sebagai tanda hormatnya pada Saadiq. Saadiq meninggikan kepala untuk mencari orang yang dia ingin jumpa.

"Pelayan baru tu mana?" Soal Saadiq hingga wanita itu terlihat binggung dengan soalannya. Ada apa dengan Ayasha? Kenapa semua orang mencarinya hari ini?

"Raja Arash minta Ayasha ke bilik dia tadi" Saadiq terkejut mendengar jawapan yang keluar daripada mulut wanita itu. Kenapa Arash memanggil Ayasha ke biliknya?

"Untuk apa?" Soal Saadiq seterusnya.

"Katanya ada benda nak di bincangkan" jelas wanita itu sambil menatap ke wajah Saadiq yang terlihat gelisah itu. Kenapa dia risau sangat jika Ayasha dipanggil oleh Arash. Bukankah itu hal yang normal?

Saadiq pergi meninggalkan dia begitu saja. Dia berjalan pantas ke arah bilik Arash Arkawi.

"Tuan Saadiq ada apa-" pengawal cuba menahan Saadiq yang ingin memecah masuk ke dalam bilik Arash tanpa izinnya.

"Aku ada hal. Tepi sikit" pengawal itu ditolak ke tepi kemudian pintu bilik dibuka luas.

Ayasha dan Arash memandang ke arah dia. Mata Ayasha membesar melihat Saadiq yang tiba-tiba masuk tanpa izin itu. Ada apa dengan dia? Kenapa dia ada di sini juga?

Arash menaikkan kedua tangannya ke atas meja. Dia terlihat tenang saat menatap Saadiq. Dia sama sekali tidak menyoalkan tindakan Saadiq yang agak tidak sopan itu namun dia hanya biarkan saja.

Pintu dihempas hingga ianya tertutup sendiri. Saadiq berjalan ke arah mereka berdua yang berada di meja makan itu.

Kerusi disebelah Ayasha ditarik kemudian Saadiq duduk di sebelah dia. Mata Ayasha tidak berkedip untuk beberapa saat. Apa yang telah terjadi sekarang?

"Tuangkan aku" arah Saadiq namun Ayasha masih membatu di sebelah. Saadiq sedang arahkan dia ke? Atau arahkan Arash? Cawan baru diambil kemudian Saadiq letak di tengah meja itu untuk menunggu mereka menuangkan untuknya.

"You can't be like that. You know that right?" Kata Arash kemudian dia bantu menuangkan minuman keras ke cawan Saadiq.

Ayasha terbungkam mendengar Arash menggunakan bahasa Inggeris pada Saadiq. Wajah Saadiq tampak dingin semacam. Dia fikir di istana itu tidak dibenarkan menggunakan bahasa luar.

"Kalau macam tu, kau tak sepatutnya minum sendiri. Did you forget our promise?" Balas Saadiq dengan menggunakan dua bahasa dalam satu ayat yang sama terhadap Arash. Hal itu membuatkan Ayasha semakin terkejut. Begitu pun boleh ke?

Arash membalas dengan senyuman sinis melihat Saadiq meneguk air itu sehingga habis.

"Saya keluar dulu boleh-?" Minta Ayasha yang takut untuk duduk di situ. Dia tidak pernah duduk dengan orang yang sedang minum. Dia takut jika mereka itu hilang kawalan dan mula melakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya.

"Keluarlah. Nanti aku panggil lagi" balas Arash dengan memberi keizinan pada dia untuk keluar daripada biliknya. Ayasha hanya mengangguk kepala. Tanpa suara dia terus bergegas meninggalkan bilik itu.

Keluar saja dari bilik itu Ayasha terus menghela nafas lega. Ayasha memandang ke hadapan sambil melangkah untuk meninggalkan tempat itu. Baru saja dia hendak melangkah tiba-tiba dia terhenti semula.

Wajah Ayasha berubah serta-merta saat melihat Permaisuri Laliya sedang berdiri di tepi tiang istana sambil melirik dia dengan senyuman yang lebar. Namun senyuman itu aneh dan menakutkan. Dia seolah-olah seperti ingin memakan Ayasha.

Ayasha mendekati Permaisuri Laliya. Pasti permaisuri isteri pertama dari Arash itu ingin bertemu dengan dia. Kalau tidak mustahil permaisuri berdiri di tepi tiang itu seperti menunggu sesuatu.

"Awak sibuk?" Soal Permaisuri Laliya dengan nada suara yang lemah lembut. Ayasha yang mendengar suaranya itu pun terpesona walaupun dia sendiri perempuan.

"Kepala pelayan minta saya kemaskan alat makan lepas selesai semua kerja" kata Ayasha sambil menundukkan kepalanya ke bawah. Dia takut bertatapan mata kerana sedar akan posisinya ketika itu.

"Saya dah kosongkan jadual kerja awak hari ni. Jadi teman saya beli belanja boleh" minta Permaisuri Laliya dengan senyuman yang manis. Ayasha terdiam kerana rasa was-was.

Itu bukan perangkap untuk kenakan dia bukan? Dia takut jika Permaisuri Laliya buat begitu kerana dia menemani Raja Arash tadi. Itu yang dia fikirkan saat melihat Permaisuri Laliya di luar bilik Arash Arkawi.

"Saya ke?" Soal Ayasha yang kurang yakin dengan apa yang dia dengar. Kenapa tiba-tiba Permaisuri Laliya mengajak dia keluar untuk teman dia berbelanja? Kenapa harus dia? Padahal mereka berdua tidak rapat.

"Ye awak"

"Saya rasa mata awak dapat bezakan sesuatu yang menarik" kata Laliya namun itu membuatkan Ayasha binggung.

Maksudnya apa? Kenapa mata dia pula? Bagaimana permaisuri Laliya mengetahui semua tentangnya padahal mereka tidak kenal lama.

"Jom" ajaknya lagi sekali. Tanpa menunggu jawapan Ayasha. Permaisuri Laliya terus berjalan terlebih dahulu ke hadapan. Tidak perlu tunggu jawapan Ayasha, mahu atau tidak mahu dia pasti akan turuti juga.

Ayasha mengikut jejak Permaisuri Laliya dengan langkah yang perlahan dari belakang.

Rizal yang baru saja melewati kawasan itu turut binggung melihat kedua mereka yang baru saja keluar daripada bangunan yang dikhaskan untuk Raja sahaja itu.

Ada apa yang terjadi tadi? Dia ketinggalan bas ke? Tidak mungkin mereka boleh masuk di kawasan itu kecuali Arash sendiri yang mengarahkannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience