BAB 3

Romantic Comedy Completed 11100

SETELAH mengambil masa hampir tiga puluh minit dalam perjalanan, akhirnya sampai juga di sebuah rumah kayu yang tersergam indah. Alia turun dari motor dengan kaki yang sedikit menggigil, maklumlah, cara Harit bawa motor tadi macam nak ajak dia pergi litar lumba.

Alia terpaku seketika.

"Wah... ni rumah dukun ke resort?. Cantiknya."

Seorang lelaki tua yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman segera menyandarkan penyapunya dan meluru ke arah mereka dengan senyuman lebar.

"Cik Alia ke ni?. Sampai pun akhirnya." Tegur Pak Karim ceria.

Alia mengerutkan dahi, tangannya masih membetulkan rambutnya yang dah rupa sarang burung.

"Eh, pakcik kenal saya ke?."

"Kenallah. Papa kamu, kawan baik pakcik. Dia dah pesan awal-awal suruh tengok-tengokkan anak bongsu dia yang paling manja ni," usik Pak Karim.

"Alah pakcik ni... janganlah panggil Cik. Panggil Alia je. Segan saya."

"Baiklah, Alia. Eh, tapi macam mana Alia boleh ada dengan Harit ni?. Bukan ke Alia bawa kereta sendirikan?." Pak Karim memandang Harit yang sedang membuka sarung tangan kulitnya dengan wajah bersahaja.

Dahi Alia berlipat seribu.

"Harit?. Siapa Harit?."

Pak Karim ketawa besar, tangannya menunjuk ke arah lelaki kacak di sebelah Alia.

"Nilah Harit!. Dukun muda yang akan bantu kamu nanti.”

Alia rasa jantungnya macam terjatuh ke dalam perut. Dia menutup mulut dengan kedua-dua belah tangannya. Matanya membulat besar memandang Harit yang sedang memandangnya dengan pandangan 'aku-dah-cakap-dah'.

"Seriously?!. Oh my god!. Awak ni... awak ni dukun tu?." Suara Alia naik satu oktav.

Harit melangkah setapak mendekati Alia, membuatkan Alia spontan berundur ke belakang.

"Kenapa terkejut?. Mesti awak fikir dukun yang awak nak jumpa ni jenis pakai serban, gigi rongak, duduk dalam bilik gelap dengan berasap kemenyankan?. Maaf ya, Cik Alia. Sekarang dah tahun 2026. Dukun pun dah pandai pakai skincare."

Alia hanya mampu terdiam. Dia teringat segala makian dan kutukan yang dia lemparkan sepanjang jalan tadi tentang dukun penipu.

‘Alamak, mati aku.’

"Oh, lagi satu."

Harit mendekatkan wajahnya ke telinga Alia.

"Jaga sikit mulut laser awak tu. Kalau saya dengar awak maki saya lagi, saya tak teragak-agak jahit mulut awak guna benang azimat.”

Harit terus berpaling dan melangkah naik ke tangga rumah tanpa menunggu jawapan.

Alia terdiam kaku, hanya matanya yang mengekor langkah Harit. Pak Karim di sebelah sudah menahan tawa sampai bergegar bahu.

"Jangan dilayan sangat Harit tu, Alia. Dia memang ais batu sikit, tapi hati dia baik.”

"Salah saya juga, Pak Karim... Sepanjang jalan tadi saya kutuk dia habis-habisan. Saya ingat dia cuma abang motor sesat," Alia meraup mukanya, rasa nak sorok muka dalam longkang pun ada.

“Faham. Oh ya, lepas kamu jumpa Harit. Kamu terus balik ke?.”

"Rasanya tak kot. Kereta saya rosak. Dekat-dekat sini ada hotel atau homestay tak?. Untuk sementara waktu, sampai kereta saya siap."

"Oh, itu..."

"Awak boleh bermalam dekat sini. Lepas dah bersihkan diri, jumpa saya dekat ruang tamu." Harit mencelah, lantas melangkah masuk ke dalam rumah.

Pak Karim terpinga-pinga, mulutnya sedikit ternganga tidak percaya dengan apa yang ia dengar tadi.

"Kenapa Pak Karim?."

"Tak... tak ada apa. Cuma, jarang sangat Harit bagi orang luar, apatah lagi perempuan, tidur dekat rumah dia. Alia ni kira tetamu istimewa sangat ni," jawab Pak Karim.

"Istimewa sebab saya sumber duit dia.”

“Tepat sekali.”

“See. Ni Pak Karim... baju saya semua tinggal dalam kereta. Takkan saya nak pakai baju ni sampai esok. Ada mall tak dekat-dekat sini?."

Ketawa Pak Karim meletus.

"Mall tak ada, Alia. Yang ada cuma kedai runcit Ah Chong dekat simpang depan tu. Tapi Alia jangan risau, nanti Pak Karim sediakan baju yang sesuai. Alia pergilah rehat dulu. Mari, Pak Karim tunjukkan bilik."

Alia mengeluh pasrah, mengikut langkah Pak Karim naik ke rumah kayu itu. Dalam hati, dia mula rasa berdebar. Jumpa dekat ruang tamu?. Nak bincang apa?. Takkan Harit nak suruh dia kahwin dengan hantu raya kot.

 •

SEMENTARA di padang golf, Dato’ Miran sedang bersedia untuk melakukan pukulan tee-off. Dia menarik nafas panjang, membetulkan kedudukan kakinya, dan menghayun kayu golfnya dengan penuh tumpuan.

Pukk!

Bola golf meluncur laju, namun sedikit tersasar ke arah semak.

"Adoi, melencong pula!." Dato’ Miran mengeluh sambil mencekak pinggang.

Mizan, adik lelakinya yang sedang bersandar pada troli golf sambil menghirup air mineral, ketawa mengejek.

"Fikiran melayang ke tempat lainlah tu. Ni mesti pasal si Alia, kan?. Apa perkembangan terbaru anak bongsu kesayangan abang tu?."

Dato' Miran mengelap peluh di dahi dengan tuala kecil.

"Aku dah hantar dia pergi kampung semalam. Biar dia jumpa Harit. Aku harap sangat Harit dapat bantu dia secepat mungkin."

"Baguslah abang bertindak cepat. Sumpahan keluarga kita ni bukan perkara main-main. Silap-silap kalau terlepas tarikh, Alia tu boleh ditimpa nasib malang seumur hidup. Entah-entah jadi anak dara tua sampai ke tua, atau lebih teruk lagi, semua bisnes dia muflis."

"Itulah yang aku takutkan," Dato’ Miran mengeluh lagi, kali ini lebih berat. "Aku bukan apa, aku nak dia selamat. Aku nak dia ada pelindung sebelum umur dia masuk 20 tahun. Tapi kau tahulah anak buah kau tu... degilnya macam batu."

Mizan ketawa besar.

"Alia tu, kalau cakap pasal degil, dia memang juaranya. Dahlah manja, mulut pula laser. Aku kadang-kadang terfikir, ada ke lelaki yang sanggup nak tadah telinga dengar bebelan dia hari-hari."

"Sebab tu aku hantar dia jumpa Harit. Mana tahu, Harit boleh lembutkan hati dia.”

"Aku tak dapat bayangkan kalau Alia ada suami nanti. Tak pasal-pasal, baru hari pertama kahwin, suami dia dah minta cerai sebab tak tahan kena arah macam-macam. 'Abang, tolong ambilkan beg saya!', 'Abang, kenapa air ni tak cukup sejuk?!'. Mahu pengsan menantu kau nanti."

Dato’ Miran tersenyum kelat.

"Sebab itulah aku tawarkan dia Villa dengan tiga cawangan kedai dessert. Itu saja umpan yang dia makan. Kalau tak, jangan harap dia nak jejak kaki pergi rumah dukun tu."

"Bijak, bijak. Tapi kau kena ingat, Harit tu pun bukan calang-calang orang. Dia tu dingin. Kalau Alia buat perangai depan dia, entah-entah Harit jampi Alia jadi patung cendana dekat tengah laman rumah dia."

“Kalau itu boleh buat Alia diam sekejap, aku okey je. Yang penting, Alia cepat kahwin.”

Mizan menggeleng-gelengkan kepala.

"Doa yang baik-baik jelah. Mana tahu ada keajaiban.”

“Amin paling serius.”

ALIA melangkah masuk ke ruang tamu dengan wajah yang berkerut seribu. Perasaan kesal membuak-buak di dada. Mana tidaknya, dia terpaksa menyarung baju kurung kapas berbunga kecil milik arwah nenek Harit yang dipinjamkan oleh Pak Karim. Kainnya pula sedikit singkat, menampakkan buku lalinya yang putih melepak, setiap kali dia melangkah.
Harit yang sedang duduk bersila di atas lantai, hanya memandang sekilas.

"Dah puas belek cermin tu?. Kalau dah rasa cukup cantik, duduk," arah Harit tanpa nada, wajahnya dingin seperti ais di kutub utara.
Alia parah. Dia menghentak punggungnya, duduk bersila tepat di hadapan Harit.

"Kain ni pendek sangat tahu tak?. Kalau saya kena gigit nyamuk, awak nak bertanggungjawab?."
"Tangan kanan. Hulur," potong Harit, malas mahu melayan rungutan 'tuan putri' kota itu.
Alia menjulingkan matanya ke atas sebelum meletakkan telapak tangannya di atas telapak tangan Harit. Saat kulit mereka bersentuhan, satu renjatan elektrik yang pelik menjalar pantas dari hujung jari terus ke tangkai jantung. Alia tersentak, nafasnya terhenti seketika. Harit juga kelihatan sedikit kaku, namun dia lebih cekap berlagak tenang.
Harit mula meneliti setiap inci garisan di telapak tangan Alia. Matanya yang tajam bergerak-gerak mengikut lekuk garisan hayat dan garisan hati gadis itu. Tiba-tiba, pandangan Harit berpinar. Di matanya, garisan itu seolah-olah bercahaya keemasan, membentuk satu visi yang sangat jelas dan terang.
Dia melihat dirinya sendiri memakai baju Melayu putih sedondon dengan Alia di atas pelamin. Dia melihat mereka berkejaran di halaman rumah ini bersama seorang kanak-kanak kecil yang mempunyai mata galak seperti Alia.
'Apa?!. Tak mungkin!.” Harit menjerit dalam hati. Jantungnya berdegup kencang mengalahkan rentak gendang perang. Dengan drastik, dia melepaskan tangan Alia seolah-olah kulit gadis itu diperbuat daripada api yang membara.
"Eh, kenapa?. Tangan saya ada kuman ke?. Ke awak nampak saya ni bakal kahwin dengan putera raja sampai awak terkejut macam tu?." Soal Alia ingin tahu, sambil membelek tangannya sendiri.
Harit berdehem berkali-kali, cuba mengawal riak wajahnya yang mula berubah cemas. Peluh jantan mula merecik di dahi. Dia meraup mukanya perlahan, cuba mengusir bayangan 'ngeri' tadi.
'Jodoh dia... aku?. Gadis mulut puaka yang tak tahu beza lengkuas dengan halia ni?. Ya Allah, takdir apakah ni?.'
"Macam mana?. Siapa jodoh saya?. Anak menteri mana?. Ke pelakon kacak?." Desak Alia. Dia merapatkan mukanya ke wajah Harit sehingga Harit dapat menghidu bau haruman strawberi dari rambut Alia.
Harit yang rimas terus menolak dahi Alia dengan hujung jari telunjuknya supaya menjauh.

"Jauhkan muka awak tu. Karang saya jampi jadi katak, baru tahu."
"Sakitlah!. Kasarlah awak ni." Alia menggosok dahinya yang memerah, bibirnya memuncung sedepa.
"Salah awak sendiri. Gatal sangat nak tahu kenapa?."
"Mestilah!. Itu tujuan saya datang sini. So... siapa jodoh saya?. Ceritalah cepat."

"Jodoh awak... jauh. Sangat jauh. Dekat hujung dunia agaknya. Mungkin dekat kutub utara tengah peluk beruang."
Alia terus mengeluh hampa. Bahunya jatuh.

"Hujung dunia?. Aduh, alamatnya saya terpaksa hadap nasib malang seumur hidup la sebab tak kahwin-kahwin.”
"Sumpahan keluarga awak tu bukan main-main, Alia. Garisan hayat awak ni tersimpul mati. Kalau tak diuraikan sekarang, memang malanglah nasib awak sampai ke tua."
"Habis tu?. Tak ada shortcut ke?. Bakarlah kemenyan ke, bagi saya minum air jampi ke, atau awak buatlah tarian pemujaan ke apa." Ujar Alia sambil menggoyang-goyangkan kakinya, menampakkan buku lalinya yang putih itu.
Harit memandang kaki Alia, kemudian cepat-cepat mengalihkan mata.

"Tak semudah tu Alia. Kalau awak nak hilangkan sial tu, awak kena tinggal dekat sini. Bawah pengawasan saya. Sekurang-kurangnya sampai saya jumpa jalan untuk uraikan simpulan tu."
Alia melompat bangun sehingga kain kurungnya terselak sedikit.

"Tinggal sini?!. Awak dah gila ke?!. Saya ada kerja. Bukan penganggur macam awak.”
Harit turut bangun. Dia berdiri tegak, menjulang tinggi di depan Alia sehingga gadis itu terpaksa mendongak habis untuk menentang matanya.
"Terpulang," Harit membalas pendek, suaranya dingin. "Kalau awak rasa kedai kek awak tu lebih penting daripada nyawa awak, silakan balik esok pagi. Tapi jangan cari saya kalau tiba-tiba kedai awak terbakar tanpa sebab atau awak bangun pagi esok muka penuh kudis gatal."
Alia terdiam.

“Kalau nak selamat, ikut cakap saya. Kalau tak nak... bye-bye. Selamat maju jaya dengan nasib malang awak, Cik Cerewet."
Alia ternganga.

"Eh!. Awak ugut saya ke?. Awak tahu tak papa saya bayar awak mahal-mahal untuk ubatkan saya, bukan untuk culik saya dekat kampung ni.”
"Duit papa awak tak boleh beli keselamatan awak, Alia. Hanya saya yang boleh tolong. Pilih sekarang, stay sini atau jadi anak dara tua yang berpenyakit?."
Alia mengetap bibir sehingga memutih. Dia memandang sekeliling rumah kayu itu. Tak ada Wi-Fi laju, tak ada aircond, dan paling tragis... dia kena pakai baju macam orang tua. Tapi membayangkan wajahnya penuh kudis... dia lagi rela mati.
"Okey, fine. Saya duduk sini. Tapi jangan harap saya nak buat kerja rumah, basuh baju awak atau masak untuk awak, faham?!."
Harit hanya tersenyum puas tanpa menoleh. Dia masuk ke dalam bilik dan menutup pintu, lalu menyandarkan badan ke pintu.

"Hujung dunia konon... padahal jodoh dia depan mata je," bisiknya sendirian sambil menggeleng kepala.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience