Completed
11100
ALIA memukul-mukul stereng keretanya berkali-kali apabila enjin Porsche kesayangannya tiba-tiba mengeluarkan bunyi seperti orang tersedak, sebelum terus mati total.
"Oi, masa-masa nilah kau nak buat hal. Aku bagi minyak mahal, bukan minyak masak. Manjakan kau dengan pergi bengkel setiap bulan, bahkan setiap minggu. Tapi ni balasan yang aku dapat?. Oi… streslah kalau macam ni.” Omel Alia, sambil keluar dari kereta.
Seketika matanya meliar memandang sekeliling. Hijau. Hanya pokok-pokok besar yang memerhatikannya.
"Oi… nilah akibatnya, ego sangat. Tak dengar cakap orang tua, pasal-pasal tersidai dekat sini.” Matanya terus meliar memandang sekeliling. “Hutan tebal, jalan berlubang... kalau ada perompak keluar sekarang, memang mati sia-sia aku dekat sini," omelnya lagi sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.
Kosong. Tiada bar signal langsung. Alia mengangkat telefonnya tinggi-tinggi ke udara, siap berjinjit kaki, namun tetap sama.
"Nasib malang apakah ini?. Tak guna punya dukun, belum jumpa lagi kereta aku dah kena jampi."
Tiba-tiba, kedengaran bunyi deruman enjin motosikal dari arah belakang. Alia tidak berfikir panjang, dia terus melompat ke tengah jalan dan melambaikan tangannya.
“STOP !!.”
Sreeeeeettttt!
Sebuah motosikal berhenti mengejut hanya beberapa inci dari lutut Alia. Debu tanah berterbangan.
"Hoi cik adik. Nak mati ke apa?.” Sergah penunggang itu. Dia mematikan enjin lalu membuka helmet full face miliknya.
Zup !
Jantung Alia terasa seperti berhenti berdegup sesaat. Apabila helmet itu dibuka, terserlah wajah seorang lelaki dengan rambut yang sedikit serabai, hidung mancung, dan sepasang mata yang indah.
'Gila... kacak nak mampus. Artis Korea sesat masuk hutan ke?.' Bisik hati kecil Alia. Dia terpaku di situ, matanya tidak berkedip memandang lelaki di atas motor itu.
Harit mengerutkan dahi apabila melihat gadis di depannya hanya membatu dengan mulut sedikit terbuka.
"Dah kenapa pandang saya macam tu?. Muka saya ada tulis menu kedai makan ke?."
Alia tersentak. Dia berdehem kuat, cuba mengawal semula keegoannya.
"Maaf encik... err, abang motor. Kereta saya rosak. Tiba-tiba mati. Telefon saya pula tak ada signal. Boleh tolong tengokkan?."
Harit turun dari motosikal. Dia berjalan mendekati Porsche milik Alia, matanya melirik sinis ke arah logo kereta itu.
"Ai, kereta harga ratusan ribu pun boleh mati dekat tengah hutan ni?. Ingatkan kereta mahal ni kalis rosak," sindir Harit pedas.
"Kereta pun ada perasaan, okey!. Dia penatlah tu," balas Alia, cuba membela diri. "Awak boleh betulkan tak?."
Harit membelek sekilas bahagian depan kereta.
“Maaf, saya tak pandai.”
“Kalau boleh saya tahu, dekat-dekat sini ada bengkel ke?.”
“Dekat sini tak ada mekanik. Signal pun takkan ada sampai hujung jalan sana."
Alia mula rasa cemas.
"Habis tu, saya nak buat macam mana?. Takkan saya nak tidur dalam kereta ni?."
Harit memandang sekeliling jalan yang semakin gelap kerana dilindungi rimbun pokok.
"Kalau saya jadi awak, saya takkan duduk sini lama-lama. Awak tahu tak jalan lama ni terkenal dengan apa?."
Alia menelan liur.
"Apa?."
"Tiga benda. Perompak yang suka sasarkan orang kaya macam awak, perogol yang suka sembunyi dalam semak, dan... 'penunggu' jalan ni yang suka tumpang duduk dekat tempat duduk belakang kalau kereta kosong," ujar Harit dengan nada yang sangat serius dan dingin.
"Awak saja nak takutkan sayakan. Saya tak percaya hantu tahu tak."
"Saya orang kampung sini. Saya tahu sejarah jalan ni. Terpulanglah kalau awak nak jadi hidangan malam ni. Saya nak balik, banyak kerja lagi," Harit kembali ke motosikalnya dan menghidupkan enjin.
"Eh, eh!. Tunggu!." Alia berlari anak mendapatkan Harit. "Okey, okey! Saya tumpang awak. Tapi kereta saya macam mana?."
"Nanti saya minta tolong orang kampung yang ada lori datang ambil. Tu pun kalau awak percayalah," balas Harit selamba.
Alia teragak-agak sejenak. Nak tumpang lelaki asing di tengah hutan?. Bahaya. Tapi nak tinggal sorang-sorang dengan penunggu semak?. Lagi bahaya.
"Okey, sekejap!." Alia pantas menyambar beg tangan berjenama dan barang berharganya dari dalam kereta. Dia mengunci pintu kereta dan dengan gaya kekok, dia memanjat naik ke belakang motosikal scrambler Harit.
Harit membetulkan kedudukannya.
"Pegang kuat-kuat. Jalan ni berlubang. Kalau jatuh, saya tak kutip."
"Yelah.” Alia memegang besi belakang motor, enggan menyentuh Harit.
"Nak ke mana ni?." Soal Harit sambil memulas minyak.
"Hantar saya ke rumah Dukun Harit. Awak tahu tak dekat mana?. Mama dan papa saya cakap dia hebat sangat, tapi saya rasa dia tu penipu je sebenarnya," jawab Alia dengan nada geram, tidak sedar siapa yang sedang membawanya.
Harit terdiam di bawah helmet. Bibirnya mengukir senyuman sinis yang tidak kelihatan oleh Alia.
'Oh, ini ke anak Dato' Miran yang degil tu?.'
"Tahu. Kebetulan kami kawan," balas Harit pendek sebelum memulas minyak dengan kuat, membuatkan Alia terjerit dan terpaksa memeluk pinggang Harit dengan erat.
"Woi!. Pelanlah sikit.”
Harit tidak membalas, dia hanya meluncur laju membelah kesunyian hutan, membawa jodoh yang paling tidak disangkanya pulang ke rumahnya sendiri.
•
DI ruang tamu kediaman mewah Dato' Miran, Ara kakak kepada Alia, sedang bersandar santai di atas sofa panjang dengan beberapa buah bantal menyokong belakangnya. Perutnya yang kini mencecah usia enam bulan diusap perlahan. Di tangannya, sepinggan buah potong menjadi teman setia.
"Mana Alia mama?. Dari tadi Ara sampai, tak nampak batang hidung pun. Kereta dia pun tak ada dekat porch," soal Ara sambil menyuap sepotong mangga ke mulut.
Datin Yasmin yang sedang sibuk membelek majalah, mengangkat muka.
"Oh ya… lupa nak bagitahu kamu. Alia dia dah gerak pagi tadi. Pergi jumpa Harit, dukun yang ubatkan kamu sampai lekat si kecil nilah," jawab Datin Yasmin dengan senyuman lebar.
Ara terhenti mengunyah. Matanya membulat.
"Hah?. Alia pergi sorang?. Mama biar betul?. Dia tu dahlah buta jalan. Kalau tak ada Waze, silap-silap dia boleh sampai ke sempadan Thailand."
“Alah, mama dah bagi alamat lengkap. Dia kata dia boleh pergi sendiri. Kamu tahu sendirilah perangai adik kamu tu macam mana, pantang dicabar. Lagipun, papa kamu dah janji nak bagi villa dengan modal kedai dessert. Terus laju macam pelesit dia gerak."
Ara menggelengkan kepala, tangannya memicit dahi.
"Ara risau la mama. Jalan ke kampung Harit tu bukan senang. Banyak simpang, signal pun kejap ada kejap tak ada. Silap haribulan, dia pergi maki dukun tu sebab sesat."
"Mama tak kisah dia nak maki ke, nak gaduh ke, janji dia sampai." Datin Yasmin menutup majalahnya. "Mama cuma nak dia kahwin sebelum umur 20. Tinggal tiga bulan saja lagi, Ara. Mama tak nak malapetaka tu menimpa dia."
"Sempat ke mama?. Tiga bulan tu kejap sangat. Nak cari calon lagi, nak tempah katering lagi. Ke mama memang dah ada calon?."
Datin Yasmin mendekati Ara, wajahnya berubah menjadi penuh harapan.
"Sebab tulah mama paksa Alia jumpa Harit. Mama harap sangat Harit tu dapat bantu fia. Mana tahu, dukun hebat macam dia boleh nampak siapa yang sesuai dengan Alia yang keras kepala tu. Mama dah tak sabar nak timbang cucu dari Alia pula."
Ara ketawa besar sehingga perutnya bergegar.
"Tak dapat Ara bayangkan kalau Alia mengandung. Ara yang tenang ni pun dah pening, inikan pula Alia yang pantang salah sikit nak melenting tu. Mesti budak dalam perut tu nanti hari-hari kena dengar ceramah percuma daripada mak dia."
"Betul juga," Datin Yasmin mula membayangkan. "Kalau Alia mengandung, agaknya satu rumah ni dia arahkan jadi macam kem tentera.”
Mereka tergelak.
“Tapi Ara peliklah, kenapa mama yakin sangat dengan Harit tu boleh tolong Alia?."
Datin Yasmin menyandarkan badan.
"Sebab Harit tu... ada sesuatu yang orang lain tak ada. Dan mama rasa, hanya ubat dari Harit saja yang boleh jinakkan 'harimau' macam adik kamu tu."
Ara sekadar mengangkat bahu.
"Harap-haraplah 'harimau' tu tak makan dukun tu hidup-hidup sebelum sempat diubatkan."
Share this novel