BAB 1

Romantic Comedy Completed 11100

SUASANA di ruang tamu tenang seperti biasa, sehinggalah Datin Yasmin mula berdehem. Alia yang sedang bersandar malas di sofa, langsung tidak beralih pandang daripada skrin telefonnya. Kakinya digoyangkan mengikut rentak lagu yang di putarkan.

"Alia... dengar tak mama cakap ni?." Datin Yasmin memulakan mukadimah. Mukanya nampak risau, macam esok dunia nak kiamat.

Alia memandang ibunya, dengan wajah yang sama sekali tidak tertarik.

"Dengar, mama. Alia tak pekak lagi. Pasal 'sumpahan 20 tahun' tu, kan?. Harini je, dah masuk kali ke 44 mama dok ulang berkataan yang sama. Sampai Alia hafal tau. Tak bosan ke?.”

Dato’ Miran yang datang dari arah dapur, lantas duduk di sebelah isterinya. Dia meletakkan cawan teh di atas meja, sambil-sambil mencari celah untuk memujuk anak bongsunya yang sorang ini.

"Alia, jangan main-main. Sumpahan tu benar-benar wujud. Kalau di langgar, kamu binasa. Papa tak nak kamu kenapa-kenapa."

Alia melepaskan keluhan berat. Dia meletakkan telefonnya ke tepi dan membetulkan duduknya.

"Papa, mama... sekarang tahun 2026. Bukan zaman batu belah batu bertangkup. Mana ada orang kena sumpah sebab tak kahwin sebelum umur 20 tahun. Lagipun, Alia baru nak masuk 20 tahun, bukannya 200 tahun. Alia masih muda, buat apa terburu-buru kahwin. Buang masa lah.”

"Masalahnya, tinggal tiga bulan lagi, Alia. Tiga bulan!. Mama just tak nak kamu jadi macam makcik Leha kamu dulu. Degil tak nak kahwin sebelum umur 20 tahun, akhirnya rumah dia kena sambar petir waktu tengah hari tegak. Terus hilang tanpa kabar. Kamu nak macam tu?."

Alia memutar bola matanya ke atas.

"Mama, itu mungkin dah takdir, bukan sebab dia tak ada suami. Logik, please?."

"Papa dah tak nak dengar alasan lagi, dan papa dah buat keputusan," Dato' Miran memotong perdebatan itu. "Papa dah jumpa dukun pandai telik. Dia boleh tengok masa depan kamu. Dia boleh tahu siapa jodoh kamu supaya kita boleh percepatkan perkahwinan kamu."

Alia ketawa mengejek.

"Dukun?. Seriuslah, papa?. Papa CEO di kagumi, tapi nak bawa anak pergi jumpa bomoh. Habis tu, dia nak telik guna apa?. iPad ke?. Atau guna air liur basi?. Tak masuk akallah semua tu."

"Alia!. Jaga mulut tu," tegur Datin Yasmin.

“Dah faktakan.” Balas Alia.

"Dia ni terkenal. Ramai orang kenamaan pergi jumpa dia. Nama dia Harit. Muda lagi, tapi ilmu dia... fuh, berkesan.”

"Alia tetap tak nak pergi. Alia lebih rela kena sambar petir daripada pergi jumpa dukun kampung tu," Alia berpeluk tubuh, menunjukkan wajah paling keras kepalanya. Matanya dikecilkan, tanda dia tidak akan berganjak walaupun seinci.

Dato’ Miran dan Datin Yasmin berpandangan. Mereka sudah masak dengan perangai Alia. Kalau guna paksaan, memang tak jalan. Kena guna umpan.

Dato’ Miran berdehem.

Dia menyandarkan badan, gaya tenang seorang ahli perniagaan.

"Okey, papa faham. Alia memang tak percaya benda-benda macam ni. Tapi, macam mana kalau papa buat satu tawaran?."

Telinga Alia seakan-akan bergerak sedikit. Dia masih tidak memandang papanya, tapi badannya sedikit condong ke depan.

"Tawaran apa?."

"Kalau Alia setuju pergi jumpa Harit tu sekali saja... Papa akan belikan villa yang Alia nak sangat tu atas nama Alia sepenuhnya."

Mata Alia membulat.

"Villa yang dekat tepi pantai tu?.”

"Ya," Dato' Miran tersenyum senget apabila melihat umpan sudah mengena. "Bukan itu saja. Papa tahu Alia tengah pening nak cari modal buka cawangan dessert cafe Alia, kan?. Kalau Alia pergi, papa akan tanggung kos pembukaan tiga cawangan baru. Sekaligus. Tak perlu bayar balik, anggap hadiah dari papa."

Alia terdiam. Villa mewah?. Tiga cawangan kedai dessert?. Dalam kepalanya, kalkulator sedang menghitung laju.

"Alia... fikirkanlah. Pergi telik saja. Kalau dia cakap jodoh Alia itu abang lori ke, pak cik jual sate ke, kita abaikan. Janji syarat pergi tu lepas," pujuk Datin Yasmin pula, nadanya kini lebih lembut dan penuh harapan.

Alia memandang mama dan papanya silih berganti. Dia tahu mereka buat semua ni sebab sayang, walaupun cara mereka agak... luar biasa.

Tapi hey, villa dan tiga cawangan kedai?. Itu peluang keemasan!.

"Betul eh?. Lepas pergi ni, papa jangan nak paksa Alia kahwin dengan sesiapa yang dukun tu sebut kalau Alia tak suka?." Soal Alia mahukan kepastian.

"Janji. Papa cuma nak tahu siapa 'orangnya' saja," balas Dato' Miran pantas.

Alia menarik nafas panjang, kemudian menghembuskannya dengan gaya pasrah yang dibuat-buat.

"Okey, fine!. Alia pergi. Tapi ingat, Alia pergi sebab villa dengan kedai tu, bukan sebab percaya cakap dukun tu. Dan kalau dukun tu nampak macam penipu, Alia balik terus!."

Datin Yasmin dan Dato' Miran terus tersenyum lebar. Mereka berdua hampir sahaja mahu bersorak 'high-five' di situ juga.

"Macam nilah anak kesayangan mama.” Lalu melabuhkan ciuman hangat pada pipi anak kesayangannya. “So… kamu rehat je. Biar mama yang kemaskan baju kamu.” Datin Yasmin bangun dengan ceria, hilang terus sakit kepalanya tadi.

Alia kembali menyandar, hatinya berbisik sendiri.

'Dukun Harit, eh?. Kita tengoklah sejauh mana kau boleh 'telik' aku. Kalau setakat nak tipu duit papa aku, siaplah kau aku kerjakan.'

SEMENTARA di sebuah kampung, yang di beri nama Kampung Indah. Terlihat seorang pemuda berdiri tepat di hadapan sebuah pasu besar yang diperbuat daripada tanah liat. Di dalamnya, sepohon pokok bunga ros berdiri megah. Batangnya sihat, daunnya menghijau segar dan berkilat, seolah-olah dijaga dengan penuh kasih sayang.

Namun, ada satu masalah besar, pokok itu tidak mempunyai walaupun satu kuntum bunga. Kosong. Hanya duri-duri tajam yang seolah-olah mengejek tuannya.

Dahi pemuda itu berkerut seribu. Dia membongkok sedikit, merenung celah-celah daun itu dengan pandangan yang cukup tajam.

“Kenapa tak berbunga ya?. Apa kurang baja?.”

"Lagi kamu tenung macam tu, makin takut bunga tu nak keluar," satu suara garau dan ceria memecah kesunyian.

Harit tidak berpaling. Dia hanya mengeluh berat. Pak Karim, pembantu setianya yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri, menghampiri sambil membawa pencakar tanah. Senyuman lebar Pak Karim sentiasa menghiasi wajahnya yang berkedut dimakan usia.

"Dah dekat setahun, Pak Karim. Baja mahal saya bagi, dapat air secukupnya, lagu klasik pun saya pasangkan. Tapi sehelai kelopak pun dia tak sudi nak tunjuk. Dia nak apa sebenarnya?." Tanya Harit, nadanya kedengaran sangat kecewa untuk seorang lelaki yang biasanya tenang.

Pak Karim ketawa besar sehingga bahunya bergegar hebat. Dia meletakkan pencakar tanah, lalu berpeluk tubuh, memandang pokok ros itu kemudian memandang wajah Harit silih berganti.

"Harit, Harit... pokok ni bukan macam pesakit kamu yang bila kamu bagi herba terus baik. Ros ni istimewa sikit. Dia merajuk dengan tuan dia agaknya," usik Pak Karim sambil mengenyitkan mata.

Harit akhirnya berpaling. Dia berdiri tegak, serta-merta keningnya terangkat tinggi.

"Merajuk?. Pak Karim, ini tumbuhan. Sejak bila sel tumbuhan ada perasaan sampai nak merajuk bagai."

"Sebab tulah kamu tak laku-laku. Semua benda kamu nak sainskan. Pak Karim dengar cerita orang tua-tua dulu, pokok ros ni dia ada 'deria' sendiri. Dia hanya akan berbunga mekar kalau tuannya... sedang dilamun cinta."

Harit mendengus sinis. Dia memusingkan badan dan kembali memandang pokok itu.

"Mengarut. Saya yakin, Ini semua sebab masalah tanah tak cukup mineral. Atau mungkin kualiti anak benih ni memang jenis mandul."

Pak Karim melangkah setapak lagi, menepuk-nepuk bahu Harit dengan kuat, sengaja mahu mengusik ketenangan lelaki muda itu.

"Mineral tu nombor dua, Harit. Cinta tu nombor satu. Kalau tak percaya. Trylah cari seseorang. Biar ada taman dalam hati tu, baru taman dekat luar ni berseri. Muka kamu ni, Harit... kalau kamu berdiri sebelah dinding batu, orang tak boleh beza mana satu manusia, mana satu batu. 24 jam masam je.”

Harit menepis tangan Pak Karim, wajahnya tetap beku tanpa senyuman.

"Kerja saya banyak, Pak Karim. Pesakit dari bandar nak datang, orang kampung nak minta tolong ubatkan anak, macam-macam lagi. Tak ada masa nak bazirkan untuk drama cinta-cinta ni. Saya lebih rela urus orang sakit daripada sakit kepala sebab perempuan."

Pak Karim mencebik, bibirnya sengaja dimuncungkan menunjukkan rasa tidak puas hati.

"Selesa konon. Belum kena dengan panah cinta bolehlah cakap macam tu. Nanti kalau dah kena. Tak pasal-pasal, kamu susah nak tidur malam.”

“Pak Karim…”

“Oh ya lagi satu, sesekali tu senyumlah sikit. Nanti ros ni lagi takut nak berbunga sebab dia ingat kamu nak jampi dia bagi mati."

Pak Karim cuba mencuit pinggang Harit, mahu melihat kalau-kalau dukun muda itu ada perasaan 'geli', tapi Harit mengelak dengan pantas, badannya meliuk ke tepi dengan tangkas.

"Pak Karim, cukup. Saya sibuk.”

"Yelah, yelah. Tapi ingat pesan Pak Karim ni. Cari cinta!. Baru hidup tu ada makna. Kalau tak, kamu jadilah macam ros tu... hidup segan, berbunga tak mahu. Kempunan sampai ke tua." Pesannya, lalu melangkah pergi sambil menggeleng-geleng kepala.

“Anak muda zaman sekarang, kurang zat romantik.”

Harit masih memandang pokok ros yang "mandul" itu.

"Cinta konon. Mengarut. Kau jangan nak dengar cakap orang tua tu. Kau tu pokok, bukan manusia."

Tiba-tiba, telefonnya mendering nyaring.

“Siapa pulak yang call pagi-pagi ni.” Harit pantas menarik keluar telefon bimbitnya dari poket seluarnya. Nama 'Dato' Miran' tertera di skrin.

Harit menarik nafas panjang, membetulkan suaranya menjadi profesional.

"Ya, Harit bercakap. ...Ya, Dato'. Saya faham. ...Pukul berapa sampai?. Baik, saya akan bersedia."

Harit mematikan talian. Dia meraup mukanya perlahan sebelum mencapai jaket kulit hitam yang tersangkut di pagar kayu.

"Nilah masalahnya. Tak sempat nak fikir pasal cinta, masalah orang lagi penting."

Harit melangkah pergi meninggalkan pokok ros itu di bawah sinar matahari pagi. Pokok itu tetap kaku, seolah-olah benar-benar sedang menunggu detik bila hati tuannya akan mula "mencair" barulah ia sudi menunjukkan keindahannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience