Series
5192
TANGAN Atie menggenggam kayu penyepit kemas di belakang tubuh. Hari ini merupakan hari kedua dia bekerja dan dirinya masih belum kenal siapa yang baik, siapa yang suka ambil kesempatan.
"Hayati! Dengar ke tidak?"
Atie mengangguk tanpa suara.
"Pergi ambil semua yang ada dalam list di bilik sejuk beku. Cepat sikit."
"Baik, chef."
Atie beredar pergi dan cuba bersikap selamba demi menidakkan kecemasan di hatinya. Troli kosong diambil dan berjalan menuju ke arah bilik sejuk beku di hujung stor.
"Eh, sekejap! Atie, awak nak masuk cold room?"
Suara rakan sekerja yang baru dia kenal menyapanya.
"Ya, chef suruh."
"Saya nak ingatkan, nanti jangan tutup rapat. Pintu tu gila sikit, takut awak terkunci pula."
Tubuh Atie sedikit tunduk dan senyum lebar ke rakannya tanda terima kasih.
"Terima kasih sebab bagitahu. Saya gerak dulu ya, nanti lambat."
"Letak troli depan pintu Atie!"
Tangan diangkat tanpa berpaling. Pintu bilik sejuk beku dibuka dengan lafaz bismillah. "Cari barang... jangan tutup rapat. Baik, simple je."
Udara dingin terus menyambar wajahnya. Nafasnya perlahan-lahan bertukar menjadi wap putih. "Macam pergi oversea pula bila masuk sini."
Matanya meliar ke arah rak besi dan barang-barang tersusun kemas. Semuanya penuh dengan stok pelbagai jenis daging dan makanan laut yang sudah berbungkus plastik.
"Misi mengutip barang."
Atie mencangkung, menyelongkar bungkusan ayam, daging, makanan laut dan beberapa barang lain seperti diarahkan. Sesekali dia menggosok tapak tangan. Beberapa minit dia berada di dalam, tiba-tiba gegendang telinganya menangkap satu bunyi.
"Siapa?"
Seorang lelaki muncul di hujung susunan bakul. Tinggi, memakai kemeja kelabu, lengan baju digulung hingga ke paras siku. Wajahnya pula sempurna sekali dengan gaya rambut beralun dan sedikit berselerak.
"Siapa awak? Awak buat apa masuk sini?"
"Maaf, saya masuk nak check barang-barang yang ada dalam ni," balasnya, sopan.
Atie mengangguk. Lega tapi dia rasa sedikit canggung berada dalam bilik sejuk dengan lelaki asing.
"Dia lagi tenang daripada aku. Dah biasa agaknya. Barang aku dah siap, baik aku keluar sebelum jadi cerita," gumam Atie sedikit berbisik.
Klik.
Bunyi itu kecil tapi cukup untuk dia tiba-tiba berlari laju ke arah pintu. Tangannya pantas cuba menekan pemegang pintu tapi sayang, sia-sia. Pintu tidak bergerak langsung.
"Hah, sudah! Alahai pintu, elok sikit," bebel Atie. Tangan dan tubuhnya menolak pintu sekuat tenaga berulang kali. Mulutnya tidak henti merungut.
"Matilah kau... pintu dah tak boleh buka!"
Lelaki tadi berpaling dan menghampiri Atie.
"Biar saya cuba."
Giliran dia mencuba buka pintu. Hampir lima minit tapi tetap tidak menampakkan hasil.
"Rosak."
"Memanglah. Sekarang macam mana?"
Atie mula mundar-mandir sambil menggosok tubuh. Sakit pula hati dengan apa yang telah berlaku sekarang.
"Kenapa awak pandai sangat pergi tutup rapat?"
Suaranya tinggi dari sebelumnya. Dingin mula terasa hingga ke dalam dada. Tubuhnya sudah mula menggigil kecil. Rahangnya pula mula bergetar.
"Awak tahu ke tak, ini bilik sejuk beku... bukannya bilik air, bilik tidur," bebel Atie dengan nada kecewa.
"Saya tak tahu pintu tu ada masalah," balasnya, tenang.
Atie mencekak pinggang. Dia tunduk sekejap supaya darah turun ke kepala dalam kiraan sepatutnya. Tiga minit kemudian tubuhnya berdiri tegak dengan wajah ketat.
"Senanglah awak cakap." Atie memeluk tubuh. Kakinya sudah tidak dapat berdiri dengan elok.
"Nanti jadi apa-apa dengan kita macam mana?"
"Sabar, tak ada apa yang akan berlaku. Saya yakin, mereka akan perasan saya tak ada. Mereka akan cari bila saya lambat naik."
"Sempena apa mereka cari awak?"
Bibirnya digigit apabila lelaki di depannya makin mendekat. Dia terkedu saat tangan kasar lelaki asing ini naik menyentuh kedua bahunya.
"Saya anak Tuan Mukhriz."
Atie selangkah ke belakang. Pandangan mereka bertaut seketika tanpa sengaja.
"Saya haraplah mereka cari awak sebab awak anak kepada orang ada nama. Saya ni, pekerja baru. Baru dua hari!" Sekali lagi Atie mula tidak duduk diam. Tangannya digosok-gosok menghilangkan rasa tidak selesa.
"Nama orang yang pesan suruh letak troli dekat pintu tadi pun saya tak ingat."
"Nama saya Tuah. Tolong duduk awak. Jangan banyak bergerak boleh tak sebab kita kena jimat tenaga."
"Atas alasan apa saya nak dengar cakap awak? Awak tu... at least boleh tak cuba panik sikit."
"Panik tak panaskan badan."
Atie menjerit melepaskan tekanan. Pada masa sama suhu ruang ini terasa makin mencengkam tubuh.
"Hach... chumm!"
"Awak sejuk sangat dah tu."
"Bukanlah. Alahan dengan lelaki menyusahkan orang."
Sunyi. Hanya nafas dan wap putih keluar dari mulut mereka. Beberapa minit berlalu menjadi sejam lebih. Atie awalnya tidak duduk diam gelisah kini sudah mula terduduk.
"Sejuklah," omel Atie, lemah.
Entah mengapa matanya terasa berat. Wajah lelaki di sebelahnya juga sudah pucat dan muncul kerut-kerut khuatir di wajahnya.
"Saya letih."
"Awak, jangan tidur. Nanti awak beku."
Tanpa sedar mereka duduk makin dekat. Atie yang awalnya jaga jarak sudah mula meletakkan kepala di bahunya. Dia rasa selamat dan perlukan sedikit kekuatan meneruskan hidup.
"Saya mati nanti...."
"Jangan merepek! Tak ada siapa akan mati."
Atie terasa tubuhnya dipeluk dengan lelaki asing tapi entah mengapa dia tidak melawan. Matanya mula terpejam perlahan-lahan dan mulutnya mengomel lemah.
"Siapa nak jaga Hatt bila saya mati?"
"Hei, jangan tidur! Buka mata tu. Pandang saya."
Suara lelaki ini makin sayup kedengaran. Sejuk makin menggigit tubuhnya hingga tulang. Pandangan Atie mula kabur melihat wajahnya. Dia berbisik perlahan sambil menggenggam kedua tangan lelaki ini "Cakap dengan Hatt, saya sayang dia. Saya minta maaf tak dapat jadi mak yang baik."
"Mengarut. Hey!"
..
..
Dunia seakan berpusing sebaik Atie tersedar. Dia bingkas bangun dan terkejut semua mata memandang ke arahnya seperti dia punca semua yang berlaku.
"Dah bangun? Siapa suruh awak masuk sana?"
"Saya ikut arahan…."
"Arahan saya ambil barang, bukan buat kacau anak bos!"
Atie tergumam dengar tuduhan Cik Puteri. Di hujung kakinya ada seorang lelaki lewat 50an berdiri dengan wajah masam mencuka. Dia dapat rasakan ombak dah mula cium kakinya tapi atas sebab apa dia sendiri tidak pasti.
"Saya... buat benda tak senonoh dengan dia? Bila masa?"
Atie memandang lelaki tadi tidak berkelip. Baju lamanya sudah diganti tapi aura tenangnya masih sama. Dia tunduk memandang tubuhnya. Masih sama dan tiada yang mencurigakan.
"Papa, memang betul pekerja ni masuk tapi...."
Belum sempat lelaki tadi habiskan bicara Atie tersentak apabila lelaki tua itu meninggikan suara.
"Diam, Tuah! Tak payah bela dia. Mulai hari ini, awak tak perlu kerja sini lagi."
New baby daripada win untuk semua. Semoga terhibur dan happy reading.❤️?
Share this novel