1

Romantic Comedy Series 5192

SUARA itu lantang bukan sebagai amarah tapi satu ugutan halus yang sengaja menekan dada Tuah. Makanan yang sedang dikunyah terhenti apabila suara garau itu makin mendekat.

"Ada apa papa?"

"Papa nak abang kemas baju dan balik ke kampung hari ni."

Tuah terdiam. Nasi di dalam pinggan ditenung sekejap demi mengumpul sisa kekuatan dan sabar yang masih tertinggal.

"Papa suruh abang balik kampung... tapi kenapa?"

Tangannya mencapai mangkuk nasi di depan Tuah. "Opah sakit. Papa nak abang balik, jaga opah."

Tuah meneguk liur. Dadanya terasa sesak seketika. Alasan atau memang cara papa mahu buang dia jauh dari hidup papa.

"Papa nak abang jaga opah atau papa memang nak abang hilang dari depan mata papa?" Tanpa sedar soalan itu meluncur laju dari mulut Tuah.

Tuan Mukhriz tidak menjawab dan hanya memandangnya lama. Lagaknya seolah-olah sedang menimbang berapa banyak kekecewaan yang patut dilepaskan dalam satu nafas kepada anaknya.

"Abang dah gagal jaga semua amanah yang papa bagi," keluh Mukhriz dengan penuh rasa kecewa. Bahu anaknya disentuh lembut.

"Papa nak abang fikir balik semua yang abang dah buat."

"Jadi betul selama ni memang papa...."

"Ya. Lepas apa yang berlaku dengan mama, Aien dan adik... abang betul-betul mengecewakan papa."

"Papa ajal maut di tangan Tuhan."

"Menjawab. Habis tu, benda yang tak bernyawa pun abang tak boleh nak uruskan sampai lingkup tu apa?!"

"Sampai hati papa," gumam Tuah dengan suara hampir tenggelam.

"Tergamak juga abang buat papa macam ni. Papa harapkan abang boleh jaga orang tersayang, berdiri sendiri, sesuai dengan nama Tuah Arjuna tapi... apa yang papa dapat?" leter Mukhriz panjang lebar.

Sunyi. Tuah membasuh tangan, pinggan yang penuh dengan nasi ditolak ke tengah meja. Putus seleranya bila papa mula mengungkit. Hatinya bengkak dengan sindiran papa.

"Entah badi apa yang melekat dengan abang, papa sendiri pun tak tahu."

Tuah beredar tanpa berpaling. Bicara papa cukup membunuh semangatnya.

"Tengok tu, cakap je terus nak lari. Memang elok sangat abang balik kampung sana jaga opah," perli Tuan Mukhriz.

"Tadi suruh kemas baju," jawab Tuah, selamba. Dia meneruskan langkah dan tidak menoleh lagi ke arah papa. Suara papa tegas sebelum dia masuk ke ruang tamu.

"Papa bagi abang peluang terakhir jaga opah. Jadi apa-apa dengan opah, siap!"

Wajahnya diraup kasar dan menggeleng. Kampung bukanlah satu tempat yang menyusahkan hidupnya tapi sikap papa yang baran dan tuduhannya bagaikan langit runtuh menimpa tubuh.
..
..
Perjalanan pulang ke kampung hari ini terasa terlalu panjang dengan hujan masih belum berhenti. Terngiang cemuhan papa tadi di dalam kepalanya. Bunyi radio menemani hatinya yang terluka manakala jalan yang lurus di hadapannya seperti tidak berpenghujung.

Tiba-tiba tubuhnya terasa sejuk. Tuah perlahankan penghawa dingin tapi sayang sejuk itu bukan kerana itu. Kenangan lalu mula singgah ke memorinya satu demi satu.

"Ya Allah, kenapa kau hadirkan aku dengan peristiwa lama."

Beberapa minit kemudian rasa sejuk itu menyusup dari dada dan meresap ke tulangnya hingga dirinya menjadi susah untuk bernafas. Suara papa tidak pernah berhenti bergema di kepalanya.

"Jangan sekarang, Ya Allah."

Tangannya mengeras menggenggam stereng dan sebelah lagi menekan butang kecemasan. Tuah cuba ke tepi dan berhenti di bahu jalan.

Dadanya disentuh. Dia membaca sepotong dua doa seperti yang diajar opah sebelum tersandar di kerusi dan membuka cermin tingkap kereta sedekit demi keselamatan.

"Jangan fikir, tenangkan diri kau."

Hampir setengah jam dia di bahu jalan, akhirnya dia memilih untuk meneruskan perjalanan selepas hujan sudah berhenti.

"Semoga kau selamat sampai ke destinasi," gumamnya sendirian.

Dua jam, akhirnya dia selamat tiba di rumah opah dengan dada masih terasa sakit. Enjin kereta dimatikan tapi entah mengapa ada satu perasaan yang muncul dalam dirinya. "Macam ya, macam tak... biar betul orang tua ni."

"Siap ada van jenazah?"

Pandangannya tajam melihat perkarangan rumah opah yang nampak berbeza dari hari-hari sebelumnya ketika keluar dari kereta. "Papa kata opah sakit."

"Assalamualaikum, Nek Lijah. Dah nak balik dah?"

"Waalaikumsalam, ya balik dah. Lama sangat dah borak dengan opah dengan tokma kamu. Lama ke balik cutinya Tuah?"

"Tak tahu lagi nek."

"Hah, nanti singgah rumah. Bawa opah tu kalau segan. Nek balik dulu ya."

Rambutnya diraup ke belakang apabila nenek itu beredar. Pandangannya beralih semula ke arah pintu rumah yang terbuka luas.

"Tak boleh jadi ni. Ada sesuatu ke yang aku tak tahu."

Laju kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Berkerut seribu dahi Tuah apabila mendengar tawa opah bergema dari arah dapur. Makin tebal curiganya saat nafasnya terhidu bau serunding hingga menusuk hidungnya.

"Assalamualaikum, banyak ke kerja tu opah?"

Tuah terpaku sekejap melihat opah elok berdiri di dapur selepas menyapanya. "Siapa tipu siapa sekarang ni?"

"Opah... Tuah balik."

Opah dan tokma memanggung wajah dan tersenyum lebar ke arahnya.

"Eh, cucu opah dah balik!"

Tuah memeluk opah erat dengan dada terasa sesak. "Opah, papa bagitahu abang, opah tak sihat?"

"Mana ada. Opah sihat sangat, nampak tak opah tengah sibuk siapkan tempahan," jawab opah lembut.

"Nak putus jantung abang tengok van tengah laman."

"Van Apek rosak. Dah tiga hari tersadai bawah pokok. Bila entah nak repair."

Tuah mengeluh kasar. Sungguh dia dapat rasakan yang papa memang sengaja menghukumnya. Adakah ini noktah kehidupannya, jauh daripada papa.
..
..
Angin malam ini seperti membawa Tuah ke dunia yang tenang. Senyuman segaris terukir hingga selesai semua pelanggan opah pulang mengambil tempahan.

"Hati-hati bawa motor tu dik."

"Abang Tuah ada sini boleh join kami mancing. Saya balik dulu, jumpa lagi nanti."

"InsyaAllah, kirim salam abang kau."

Sunyi. Tuah melabuhkan punggung di anak tangga dengan perasaan kosong. Dia duduk termenung sambil memandang keretanya.

"Apa malang sangat nasib aku kena buang papa sendiri."

"Tak ada siapa pun yang buang abang."

Tuah mendongak melihat opah berdiri di sebelahnya. Malu pula rasanya bila opah dengar keluhannya.

"Papa sendiri yang...."

"Abang, opah yang sengaja suruh papa halau abang balik sini," ucap opah tanpa berselindung.

Tuah terdiam. Dia memusingkan tubuh menghadap opah. Mereka duduk bersama-sama diluar. Wajah uzur opah nampak menenangkan.

"Opah dah tahu, papa dah cerita semuanya. Sebelum abang lari lebih jauh, opah rasa elok abang balik sini," tutur opah, tenang dan teratur.

"Mana ada abang lari," tepis Tuah dengan senyum senget.

"Macamlah opah baru kenal abang. Abang, sejauh mana sekalipun manusia lari, dia tetap akan balik juga satu hari nanti."

Tuah tersenyum nipis. Senyum yang tidak sampai ke hati. Serba salah pula rasanya kerana dia kini jadi beban opah.

"Papa bising sebab restoran yang abang jaga makin rugi. Abang dah cuba tapi...." bicaranya terhenti apabila terbayang wajah-wajah yang khianat dengannya. Sekali lagi Tuah mengeluh kasar.

"Papa tu lupa, rezeki Tuhan yang bagi. Selama ni opah tak nampak pun abang lelaki yang gagal," sambung opah apabila cucunya sudah tenang.

"Opah rasa abang kena bangun semula di tempat abang pernah jatuh. Sama macam...."

"Solat," jawab Tuah yang sudah faham bicara opah walaupun belum habis bicara.

"Pandai. Pusing-pusing kena cari Tuhan juga sebab dengan Dia je kita boleh kuatkan balik semangat dan emosi kita."

"Terima kasih opah. Sayang opah."

Belakang badan cucunya ditepuk-tepuk manja. "Sekarang ni, opah nak abang sambung buat legasi opah. Lagi berapa bulan nak puasa. Opah tak larat nak buat sorang-sorang."

"Opah tak takut rugi ke ada abang? Abang gurau je."

"Tak ada abang pun opah pernah rugi.Tak usah fikir yang tu. Janji jangan lupa berdoa."

Tuah mengangguk perlahan. Dia bangun dan masuk ke dalam bersama opah. Langkahnya lemah menuju ke bilik.

Malam kian larut. Badannya rebah di atas katil lama yang masih berbau kampung dan kenangan. Mata dipejam namun fikirannya masih melayang entah ke mana.

Tiba-tiba, bunyi enjin motor memecah sunyi. Tuah membuka mata dan menjeling jam di telefon sudah hampir sebelas malam.

"Siapa pula malam-malam ni," bisik Tuah.

Dia hanya duduk di hujung katil dan memasang telinga untuk mendengar. Bunyi motor dimatikan, diikuti derapan kasut di atas tanah. Beberapa minit kemudian suara opah kedengaran di pintu menyapa dengan penuh ceria dan mesra.

"Sempena apa nak tidur rumah opah, saya balik dulu."

Ada suara lain dan cukup untuk Tuah dengar dengan jelas. Rahangnya bergerak dan entah mengapa suara itu buatkan dirinya makin ingin tahu. Sedetik, Tuah bangun dan daun tingkap kayu dibuka sedikit. Cukup untuk dia mengintai dari celah.

Tidak sampai beberapa minit, Tuah terpaku. Wajah perempuan itu dapat dilihat dengan jelas. Dia terus menutup tingkap perlahan-lahan dan dada mula berdegup laju. "Suara dia, ayat dia... dengan wajah tu."

"Kenapa dia ada sini?"

?❤️

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience