Series
5192
RUMAH opah pagi ini tidak lagi seperti rumah sebelumnya. Suasana di dalam rumah separuh batu separuh papan ini tidak ubah seperti balai raya bergerak. Orang kampung yang datang mahu ambil serunding bertukar menjadi saksi dan penambah cerita.
"Kenapa mesti dengan dia lagi?" gumam Tuah sambil memicit plastik bungkusan serunding sebiji demi sebiji menahan sabar.
Wajah Atie di sebelahnya masam mencuka. Perempuan ini berdiri dengan jarak hanya sedepa.
"Awak kalau nak balas dendam, cari cara lain. Jangan libatkan maruah orang," bisik Tuah.
"Awak rasa maruah saya masih ada ke lepas satu kampung berkumpul sebabkan awak lagi?" tanya Atie sambil menjelingnya.
Opah berdehem saat melintasi mereka. "Boleh diam sekejap tak cucu-cucu opah."
Tuah mengeluh panjang. Dia memandang wajah seorang demi seorang yang ada di dalam rumah. Tok ketua duduk tegak di kerusi rotan, songkok hitamnya kemas. Tok Siak pula duduk di sebelah dan asyik batuk-batuk perlahan. Entah benar lelaki tua itu gatal tekak atau sekadar mengisi senyap bila suasana ruang ini terlalu tegang.
"Semua salah orang tua ni, datang rumah awal sangat. Datanglah siang sikit," rungut Tuah, perlahan.
Opah duduk di kerusinya dengan tenang yang jauh berbeza dengan semua tetamunya yang nampak tertekan dan suka menyibuk.
"Budak sekarang ni, suka betul normalisasikan benda yang tak sepatutnya."
Riak wajah Tuah mengetat mendengar bicara Pak Utih. "Suasana ni buatkan aku rasa macam pesalah utama. Aku bukan berdua tapi bertiga. Ada opah sekali dalam rumah ni."
"Saya tak buat apa pun Pak Utih, tok dua orang tu je yang fikir bukan-bukan," omel Tuah dengan muka masam.
Suara orang kampung yang tidak diundang mula bertindih-tindih dan itu cukup mengusutkan Tuah.
"Orang bandar, dosa pun dia anggap biasa."
"Patutlah laki dia tinggalkan dia, perangai macam tu."
Tok Ketua mengangkat tangan sedikit tinggi. "Cukup semua. Sabar dulu ya, sabar."
Suasana senyap sepi tanpa bicara. Tuah dapat lihat riak wajah Atie sama seperti beberapa tahun dulu dan itu cukup menakutkan.
"Ini bukan soal kecil," sambung Tok Ketua dengan nada serius.
"Tok, kita dah nampak sendiri. Cerita dah mula," sampuk Tok Siak.
"Ya Mal, aku tahu. Rah, walaupun kau tu saudara aku tapi aku wajib tegur," ucap Tok Ketua.
Opah terus bangun dan hulurkan dulang air ke arah Tok Ketua dan semua tetamu.
"Minum dulu. Panas-panas ni senang kita jadi salah faham."
Tuah dan Atie saling berpandangan. Terjongket kening mereka melihat cara opah menenangkan semua orang. Mereka capai gelas serentak dan suasana sunyi seketika.
"Tok, sebenarnya benda ni...."
"Hayati," Tok Ketua memotong lembut bicara Atie tapi tegas.
"Memang betul ke kamu bermalam di sini?" soal Tok Ketua.
Atie memanggung wajah. "Betul tok. Motor saya rosak. Opah sendiri yang ajak. Malam tadi saya tidur dengan opah."
"Boleh percaya ke tu? Silap-silap opah tidur, dia curi-curi masuk bilik lelaki tu."
"Memalukan."
Tuah menjeling tajam ke arah suara yang menyampuk tadi. "Jahatnya mulut."
"Mak cik, saya tidur sekatil dengan opah. Subuh sama-sama. Cucu opah ni baru je balik pagi tadi," balas Atie, yakin.
Tuah merenung wajah Atie sekilas. Nada suara perempuan ini terlalu jujur. Sedikit pun tiada gentar melawan. Dia rasa lega dan pada masa sama muncul rasa geram kecil. "Kenapa ayat dia nampak yakin sangat?"
Dulu, kenapa awak tak melawan macam ni dengan papa?"
Belum sempat Atie menjawab, tiba-tiba bunyi motor berhenti di halaman rumah. Semua tersentak melihat seorang lelaki muncul dengan muka merah, rahang mengetap.
"Hayati!"
Hanya sebabkan terkejut, Atie spontan menyorok di belakang badan Tuah. Tubuh Tuah ditolak supaya melindunginya daripada orang tuanya. Kepalanya sudah terletak di badan Tuah tanpa sedar.
"Hayati!"
"Bapak."
Jari lelaki tua itu terus menuding ke arah Tuah dengan wajah bengis.
"Ini kerja kau! Berani ya, sebabkan jantan ni... kau tak balik rumah. Lupa anak?!"
Suasana rumah opah terasa makin sempit. Tidak ada seorang yang berani menyampuk. Tuah menegakkan tubuh demi menjaga perempuan di belakangnya.
"Pak cik, saya dengan anak pak cik...."
"Tak payah cakap!" bentak Pak Din dengan nada kasar. Dia tidak mahu dengar penjelasan anak muda ini.
"Patutlah sekarang rajin sangat ulang alik rumah opah, rupanya sebabkan ni. Apa yang kau dah bagi ke jantan ni!" tempik Pak Din, bapa Atie.
"Eh, pak cik! Melampau sangat tuduhan tu," jawab Tuah.
"Aku ke kau yang melampau. Dengar sini, anak aku tak pernah bermalam rumah jantan!"
"Bapak, dengar dulu. Saya suruh bapak ke sini bukan suruh maki dia." Dia cuba ke depan namun lengan Tuah menghalangnya dari mendekati orang tuanya.
"Depan mata aku dia pegang kau. Belakang aku, entah mana lagi dia pegang. Atie, apa nak jadi ni!"
Opah berdehem kuat apabila bapak Atie sudah mula hilang kawalan. Semua mata berpaling ke arah opah.
"Din, asyik marah-marah je, tak haus? Minum dulu. Kering tekak nanti salah cakap."
Semua yang ada di ruangan itu menahan senyum dan berpaling manakala bapa Atie terdiam sekejap. Tangannya mengambil juga gelas yang dihulur. Pada masa sama Atie sempat mencuri pandang ke arah Tuah. Pandangan mereka bertaut seketika.
"Semua salah awak."
"Awak pun sama juga."
..
..
Hampir setengah jam orang kampung bertekak dan berdebat hal mereka, akhirnya Atie dan Tuah dari tadi diam mula bersuara pertahankan diri.
"Saya tak nak!"
Tok ketua memandang mereka dengan wajah kesal. Bapa Atie pula menarik nafas kasar dan tangan meraup wajah menahan sabar. Bagi opah pula, dia memilih untuk tersenyum nipis.
"Tak apa," kata opah, lembut. Anak tudungnya dibetulkan tanpa memandang dua cucunya yang masih berkeras.
"Kita bincang elok-elok."
Tuah dan Atie berpandangan sambil menunding jari sesama mereka sedetik. Detik kedua mereka merengus dan berpaling memeluk tubuh.
"Tak payah bincang. Kahwinkan je!" tengking Pak Din.
"Saya tak usik pun dia pak cik," keluh Tuah dengan penuh emosi.
"Kau tahu tak maruah keluarga aku busuk sebabkan kau. Kau wajib bertanggungjawab," tegur Pak Din.
"Semua salah dia, dia yang gatal," jawab Tuah.
Atie ketawa sinis. "Elehh, ingat saya kisah!"
Tangan Pak Din naik mahu memukul Atie tapi sayang, terhenti di udara. "Kisah ke tidak kau tetap kena kahwin!"
"Bapak, saya lebih rela kahwin dengan Senin daripada kahwin dengan lelaki pengecut," sindir Atie sambil menarik muka ketat.
Terbit batuk kesat daripada Tok Siak. Tok ketua pula hampir bersembur air yang baru diteguk.
"Astaghfirullah. Atie!" jerit Pak Din.
Orang kampung mula berbisik sesama mereka. Tuah pula menggaru dahi mencari akal. Sungguh dia tidak menyangka, perempuan ini tolak dia hanya sebab kisah dulu. Sanggup pilih Senin daripada dirinya.
"Sekarang ni macam mana?" tanya Tok ketua. Pandangannya tajam ke arah Tuah.
"Sekejap tok, bagi saya settle dengan minah motor ni dulu," jawab Tuah. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Atie.
"Awak kata saya pengecut tapi kenapa... awak pilih menyorok belakang saya bila bapak awak datang tadi."
"Mana ada."
"Ohh, mana ada. Tadi, masa tok-tok ni sergah tu apa?"
"Kau!"
Kening Tuah terangkat sebelah. Senyuman sinis terbentuk. "Awak sebenarnya takut bapak dengan orang kampung tahu kisah kita ke Hayati?"
Atie menghentak kaki kuat dan menghalakan penumbuk ke wajah Tuah.
"Antara kita dulu, tak ada apa pun yang berlaku dan semua tu salah faham," bisik Atie.
"Siapa cakap? Masa tu kau pengsan," perli Tuah dengan riak wajah mengejek.
Atie mengetap gigi. Penumbuk yang hampir singgah di muka Tuah ditarik semula.
"Berani awak tambah cerita, aku sumpah...."
"Sabar, tenang," pintas Tuah sebelum Atie menyumpahnya. Dia makin mendekat apabila perempuan ini menjauh daripadanya.
"Saya cuma cakap awak pengsan dulu. Itu fakta."
"Fakta kepala otak kau!"
Beberapa orang kampung yang mendengar mereka bertekak mula memalingkan wajah dan berdehem. Ada juga yang pura-pura betulkan tudung dan ada yang senyum nipis macam baru dengar gosip panas.
"Zaman sekarang ni, pengsan pun boleh jadi bahan kahwin."
Tok Siak mengangguk kecil seperti menyimbah minyak tanah ke Atie. "Betul tu. Dulu-dulu zaman tok, jatuh depan rumah orang pun boleh jadi menantu."
Atie terdongak dan memejam mata seketika. "Ya Allah, tanam aku sekarang. Tanamlah."
Tuah mengunyah senyuman melihat gelagat Atie yang sudah tertekan. Jauh sudut hati berbisik "Sama je macam dulu bila panik."
"Nampak tak? Saya belum buat apa-apa pun, semua nak kita kahwin," usik Tuah. Memang niatnya mahu menyerang emosi Atie yang sedang dalam dilema. Dia perlu yakinkan perempuan ini supaya terima semua ini sebelum papa muncul buat keputusan.
"Awak jangan perasanlah! Hanya sebabkan awak berdiri depan saya tadi...."
"Awak dah kena soal siasat, maruah awak hilang," sindir Tuah dengan sinis.
Tok Ketua berdehem kuat. "Cukup! Jangan buat rumah opah ni macam gelanggang debat."
Seorang mak cik di penjuru bersuara perlahan tapi cukup jelas. "Siap dah sorok belakang lelaki, maknanya dah ada rasa tu."
Berdesing telinga Atie mendengar ayat itu. "Mak cik, saya sorok sebab bapak saya datang!"
Mak cik itu masih tersenyum. "Sudahlah nak. Sama je. Kawin terus, senang."
Tuah mengelap mulut dan mengetap bibir. Dia tunduk sedikit dan berbisik "Nampaknya, kita ni dah memang jodoh kuat. Awak suka sorok sebab takut… saya pula menyorok sebab kena tutup aib awak."
"Eee, diamlah. Awak jangan nak berlagak sangat. Saya tak minta pun kita jadi macam ni."
"Woww, lepas tu?! Awak nak kata saya ke yang minta?"
Pak Din menepuk dinding papan kuat. "Sudah! Aku tak nak dengar lagi. Opah, anak aku ni perempuan, bukan lauk kenduri cucu opah."
Tok Ketua bangun dengan muka penat gara-gara dua anak muda ini. "Eh, siapa kata lauk?"
Opah senyum nipis dan menyambung sebagai penyedap bicara. "Betul tu Din apa kata abang Long, sekadar ulam je."
Beberapa orang kampung menahan ketawa. Atie pula terduduk di kerusi rotan dengan muka merah padam.
"Tok, saya boleh pindah. Saya boleh balik rumah mak cik saya."
Tok Ketua menggeleng. Songkoknya dibuka. "Hayati, cerita ni dah keluar dari pintu rumah. Pindah pun orang ikut cerita."
Tuah menggosok kepalanya kasar. "Kiranya, sekarang ni pilihan kami… kahwin atau jadi cerita bersiri? Itu maksud tok?"
"Tuah, lelaki bila bersiri lagi laku daripada perempuan," sampuk seorang pak cik.
"Kena pula janda dengan lelaki bujang," sambung mak cik lain.
Terbit batuk kesat daripada opah. "Kalau nak kahwin, kita kena buat elok-elok. Jangan muka macam nak kena paksa gali kubur."
Atie menoleh ke arah Tuah dengan kening terjongket. "Saya bagi awak satu peluang... tarik diri."
Tuah tersenyum senget. Dia mula mengelilingi Atie dengan niat mengugut. "Saya nak tarik diri dari hidup ni pun susah awak. Saya rasa awak lupa dengan Tuan Mukhriz."
"Apa jadi bila dia tahu perempuan yang sama cuba rosakkan anak dia?"
Atie menghentak kedua kakinya sekali lagi disulami jeritan kecil. "Hisyhh, anak dengan bapak sama je."
"Atie, kalau dah bapak dengan anak sama, Atie nak kata opah sama susahkan Atie?"
Mulut Tuah melopong. Atie pula cemas sebaik tersedar salah bicara. Kalutnya makin jelas sekarang.
"Eh, bukan itu maksud saya opah... alahai, macam mana ya nak cakap."
"Tak payah cakap sebab hati tu dah hitam memang benci kami."
"Senyaplah Tuah!"
Suara Atie meninggi secara tiba-tiba hingga bergema satu rumah.
Tok Ketua menghampiri mereka berdua. "Baiklah, kita pendekkan cerita je Din, Rah."
Suasana sunyi sekejap seakan menghormati Tok Ketua.
"Demi jaga nama baik dua-dua keluarga, Tok cadangkan Tuah dengan Atie ni memang patut nikah je."
"Tak nak!"
Atie dan Tuah bersuara serentak lagi. Mereka berpaling dan saling jeling menjeling.
Pak Din menepuk dahi dan mengucap panjang. "Astaghfirullah, kenapa boleh dua-dua degil?"
Tok Ketua menarik nafas panjang. "Tuah, Hayati... sebabkan korang tak nak kawin. Cuba bagi tok cadangan bernas selesaikan masalah ni?"
Sunyi. Kedua-duanya diam membisu. Seminit kemudian Atie membuka mulut dan menukup mulut semula. Tuah pula memilih tunduk memandang lantai.
"Tak ada idea tok," balas Tuah minit kedua.
Tok Ketua mengangguk perlahan setelah nampak kata putus. "Jadi... kahwinlah. Papa kamu pun tak bising lagi kata kamu bawa bala ke dia."
"Sekejap! Atas dasar apa?" soal Atie dengan niat mahu mencabar keputusan Tok ketua.
"Atas dasar… tak ada pilihan," sahut Tok Siak dengan nada tegas.
Rumah itu sunyi sebelum disusuli bunyi ketawa kecil yang cuba disorok.
Atie menunjal bahu Tuah dengan kasar berulang kali kerana geram. "Sempena apa?"
Tuah mengangguk dan senyum senget. "Sempena tutup maruah kau dan aku. Tahu, jangan risau sebab aku memang nak awak dari dulu."
Atie menjeling Tuah manakala opah tersenyum puas melihat dua cucunya sudah makin tenang.
"Bagus. Rumah tangga yang bermula tanpa cinta ni biasanya… ada drama."
Tuah dan Atie berpaling serentak. "Opah!"
Share this novel