Series
5192
PAGI menyelak langsir cuaca di Kampung Sungai Jeram. Seperti hari-hari sebelum keluar berniaga, Atie akan pergi ke rumah opah mengambil serunding yang akan dijual. Dia meletakkan motor di bawah pokok jambu yang redup tidak jauh dari pintu.
"Assalamualaikum, opah. Ada rumah ke tidak? Atie datang."
"Waalaikumsalam. Awal pula hari ni cucu opah."
Atie masuk tanpa disuruh. Bungkusan plastik berisi kuih diserahkan ke tangan opah. Dia terus menuju ke dapur bersama opah sambil tersenyum riang.
"Awal, tadi ingatkan nak bawa Hatt pergi klinik. Bapak cakap dia boleh bawakan. Saya pun apa lagi, siap-siap nak pergi niaga terus."
Atie mengutip semua bungkusan plastik berisi serunding yang sudah siap tersedia ke muka pintu. Opah pula sudah hilang menyambung rutinnya yang tertangguh.
"Dua empat, lapan, sepuluh... dua, tiga eh!" Atie berhenti mengira. Dia termenung, menggaru pipi sekejap.
"Satu lagi plastik mana?"
Spontan dia berpaling dan memandang ke arah sekeliling rumah. Belum sempat dia membuka mulut, telinganya menangkap satu bunyi dari arah ruang atas rumah. "Eh⦠opah ada tetamu."
Langkahnya laju mengambil bungkusan plastik yang tertinggal. Pada masa sama matanya melirik ke arah tetamu opah yang berdiri dari atas tangga. Tinggi, bahu bidang, rambut sedikit kusut, tubuh⦠agak berisi. "Kenapa nampak lain?"
Atie memandangnya lama. Tanpa sedar dia mula menilai susuk tubuh itu dari atas ke bawah. Wajahnya yang awal ceria perlahan-lahan berubah kelat.
"Muka ni macam muka someone," omel Atie, perlahan.
Wajahnya diraup. Dia membetulkan selendang yang senget entah bila. Tanpa menunggu jawapan, Atie terus keluar rumah dengan rasa curiga yang menebal. "Tak mungkin... muka je sama agaknya."
Serunding yang disusun di tangga dibawa ke motor dengan tawa kecil. "Bukan lelaki tu. Salah orang kau ni Atie."
"Dulu kurus. Mamat ni... versi kenyang sikit."
Atie ketawa mengekek sendirian tanpa sedar dirinya sedang diperhatikan.
"Dia gelakkan aku, dia tahu ke aku siapa?" soal Tuah, sendirian.
Kenangan lalu menerjah fikirannya tanpa dipinta. Salah faham yang dia tidak dapat jelaskan dulu masih terbenam kemas di dalam hatinya kini muncul semula.
"Macam mana dia tahu aku ada sini?"
Entah mengapa Tuah leka mengintai perempuan tadi sibuk menyusun serunding di motor roda tiga miliknya.
"Macam mana dia kenal opah?"
Beberapa minit kemudian opah keluar dari dapur sambil tersenyum lebar. Suara opah mematikan lamunan dua insan tanpa sedar ketika kakinya melangkah keluar mendapatkan cucu angkatnya di motor.
"Cukup ke semuanya, Atie?" tanya opah, lembut.
"Cukup opah," balas Atie dengan senyum manis.
Tangan opah ditarik dan dicium sebelum pergi. Tidak sampai sesaat, dia senyum senget selepas menghidupkan enjin motor.
"Opah," tegur Atie sedikit berbisik.
"Hmm, kenapa? Nak pinjam duit?" tanya opah.
"Duit buat apa, saya pun ada. Siapa lelaki tu, opah?"
Opah menoleh mengikut muncung Atie. Mata opah hanya dapat menangkap belakang badan Tuah yang sudah beredar.
"Oh, itu! Cucu opah dari bandar."
Atie mengangguk lambat. Sayangnya fikirannya melayang memikirkan susuk tubuh yang baru dilihat tadi.
"Betul ke dia... atau aku yang salah tengok?"
..
..
Malam makin lewat dan seperti biasa Atie akan singgah ke rumah opah terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Tangannya meraba beg pinggang dan menghulurkan sampul kecil berisi duit hasil jualan serunding.
"Alhamdulillah, ini duit hari ni."
"Eh, banyaknya! Syukurlah, rezeki. Terima kasih banyak Atie."
"Sama-sama opah. Saya balik dulu ya. Mimpi indah. Jumpa hari ahad."
Atie berjalan ke arah motor. Enjin motor dihidupkan tapi sayangnya tidak berjaya. Sesaat, dia cuba lagi tapi nasib seakan tidak menyebelahinya. Dia mendongak lenguh.
"Ewahh...jangan main-main." Dia menekan starter sekali lagi. Motor itu hanya mengeluarkan bunyi yang sumbang.
"Adoi... ini bukan masa sesuai kau nak buat hal," omel Atie, perlahan.
Opah yang dari tadi berdiri di muka pintu bersuara. "Kenapa tu, Atie?"
Atie menoleh dan senyum senget. "Motor tak hidup opah."
Opah hanya ketawa kecil dan melambai ke arahnya. Riak wajahnya lembut.
"Tidur sini je cu, malam ni."
"Seganlah saya. Ada cucu opah. Lelaki pula tu."
"Budak bertuah tu tak ada. Keluar dengan kawan. Dia tu bila dah jumpa kawan dekat kolam ikan, subuh nanti baru balik."
Atie terdiam sekejap sebelum mengangguk perlahan. Mana mungkin dia mahu jalan kaki balik ke rumahnya lewat malam.
"Oh, macam tu⦠saya tidur satu malam je ya, opah."
"Ya, ya. Masuklah."
..
..
Keesokan harinya, Tuah terjaga di ruang tamu dengan mata masih melekat. Dia mengeluh perlahan sambil duduk. Suara orang memberi salam berulang kali mengganggu tidurnya yang baru beberapa minit.
"Ini mesti opah tak ada rumah," keluh Tuah, separuh sedar.
Tuah menjeling jam di dinding. "Awal betul orang kampung ambil tempahan."
"Assalamualaikum. Rah... ooo, Rah."
"Waalaikumsalam. Opah tak ada tok."
Pintu dibuka luas. Tubuhnya tersandar di pintu dengan perasaan malas.
"Kami datang nak ambil serunding. Opah kau kata datang pagi."
Tuah menggaru kepala yang tidak gatal. "Opah tak ada pesan, ke saya yang lupa. Masuk dulu tok, saya tengokkan."
Tanpa berfikir panjang, dia berjalan ke arah dapur manakala Tok siak dengan Tok ketua melangkah masuk ke ruang tamu.
"Sekejap ya tok!" jerit Tuah sambil memandang meja yang penuh bungkusan plastik.
Tanpa Tuah sedar, pada masa itu juga pintu bilik air terbuka. Atie melangkah keluar sambil mengelap rambut yang masih basah. Wajahnya tertutup dengan tuala dan berjalan dengan selamba.
"Eh, maaf," ucap Atie, lembut.
Atie terasa seperti melanggar seseorang. Tubuhnya hanya berkain batik opah, rambut pula masih basah dan dada yang terdedah ditutup dengan tuala nipis.
"Upss, maaf. Abang tak sengaja," balas Tuah, spontan.
Tuah pada awalnya menyangka adik susuannya pulang seperti yang mereka janjikan. Sesaat, mereka terbungkam. Saat kedua, Atie dengan pantas menutup rambut dan dadanya menggunakan tuala.
"Kau!" jerit mereka serentak.
"Tuah, kenapa tu?" Suara Tok siak meninggi dan itu cukup buatkan mereka terkena serangan panik.
"Kenapa awak ada sini?" soal Tuah dengan nada berbisik.
"Awak tu, buat apa dekat sini?" tanya Atie yang tidak dapat berfikir dengan waras. Perasaannya separuh marah dan separuh malu.
Tuah mengeluh kasar. Kepalanya digosok mencari akal sihat.
"Tak, tak... sekarang ni baik awak masuk bilik air semula sebelum mereka nampak," pujuk Tuah. Dia selamba menolak tubuh Atie ke muka pintu bilik air.
"Eh, kejap... sekarang ni, awak suruh saya masuk bilik air sebab apa?" tanya Atie dengan nada marah dan bingung. Dia merasakan dirinya seperti pesalah tanpa sempat membela diri.
"Jangan cakap banyaklah. Masuk je."
Sayangnya ketika mereka sedang bergelut dan Tuah berusaha menjaga aib perempuan ini, langkah Tok siak semakin dekat masuk ke dapur. Tuah tidak sempat menutup pintu bilik air.
"Astaghfirullahalazim!"
"Apa semua ni Tuah?!"
Mereka tersentak. Jeritan kedua lelaki itu menyebabkan tubuh Atie hilang keseimbangan dan Tuah cuba membantunya secara spontan.
"Ini rupanya kerja kamu bila opah tak ada rumah!"
Atie terus menyorok di belakang badan Tuah demi menjaga auratnya yang terdedah. Tangannya membetulkan ikatan kain yang terbuka. Nafasnya laju seperti baru lepas tolak motor.
"Bukan macam tu tok. Tok dah salah faham," tepis Tuah dengan suara bergetar.
"Depan mata kami Tuah, korang berdua-duan... dengan pakaian macam ni. Kau pun tak berbaju. Salah faham apanya?!" tengking Tok siak.
Sunyi. Buat pertama kali dalam hidupnya, Tuah berdiri di depan seorang perempuan asing bukan untuk melindungi diri sendiri tapi untuk menahan dunia daripada menghukum mereka berdua. Bagi Atie, dirinya tidak pernah rasa semalu ini.
"Tuah Arjuna, siapa perempuan tu?"
Share this novel