Series
13264
DUDUKNYA tegak di hadapan lelaki berusia lewat 70an. Wajah Ayien tenang namun hanya Tuhan sahaja mengetahui gelombang perasaannya. Berada di ruang pejabat yang nampak mewah dan elegan menjadikan dirinya terasa kerdil.
Syed Amani memandangnya terlalu lama hingga dia terpaksa menggerakkan jari kaki di dalam kasut demi menghilangkan rasa gugup.
"Nazreen Eryana binti Asyraf. I nak panggil you apa?"
"Semua boleh. Ikut selesa Encik Syed."
Lelaki itu berdehem. "Pak Cik Najmi panggil you dengan panggilan Ayien, betul?"
Ayien mengangguk. "Ya, betul Encik Syed."
"Bagus. Mulai hari ni... kita tak formal, you boleh panggil I atuk. I tak suka protokol berlebihan."
Nada Syed Amani lembut tetapi tetap tegas. Ayien mengangguk lagi tanda setuju. Tidak sampai sesaat untuk mencuri nafas, fail dan pen di atas meja ditolak ke arahnya.
"You tahu tak jawatan apa yang you dapat Ayien?" soal Syed Amani.
"Pembantu Peribadi Encik Syed," jawab Ayien, yakin.
Nafas Ayien terhenti apabila lelaki tua itu menggeleng dan ketawa sinis. Jauh di dasar hatinya mula mengomel "Salah ke, tadi pak cik kata dia yang suruh aku buat kerja ni."
"Pembantu peribadi tu dah betul tapi bukan untuk I. Ayien kerja dengan cucu I yang degil baru balik dari Jordan."
Riak wajah Ayien berubah sekejap tapi bibirnya menyulam secebis senyuman.
"I ada beberapa syarat kalau you nak kerja dengan cucu I."
"Syarat? Apa syaratnya?"
"Syarat pertama, bila kita berdua dan Ayien ada dalam family I, just call me atuk. I nak you selesa. Boleh Ayien?"
"Boleh… atuk, maaf."
Syed Amani mengangguk puas. "Good. Sedia nak dengar syarat seterusnya, Ayien?"
Ayien mengangguk tanpa bicara.
"Syarat kedua, atuk nak you kekalkan cara you berpakaian sekarang. Rambut tu pula, kalau boleh potong pendek terus."
Ayien terdiam. Adakah dia salah dengar atau dirinya sedang diuji. Mungkin juga dirinya sedang dipermainkan untuk jawatan ini. Perasaannya mula berperang antara setuju atau tidak.
"Boleh ke terima, Ayien?" soal Syed Amani dan pada masa sama matanya tajam menilai anak muda di depannya.
"Apa yang atuk dengar daripada Najmi, Ayien tak suka berpakaian perempuan."
"Saya boleh."
Jawapan itu meluncur laju sebaik dia mula tersedar yang dia bakal kehilangan peluang.
Bunyi pintu ditolak sedikit sebanyak membantu Ayien mencuri nafas, mengumpul semangat yang hilang. Syed Amani mengalihkan pandangannya ke arah lelaki yang baru masuk ke ruang ini.
"So, uncle... you berkenan jadikan dia PA Luth?"
"Uncle tengah tunggu jawapan dia, Najmi. Ayien, setuju ke syarat kedua?"
Encik Najmi yang berdiri di sisi memandangnya sekilas. "Awak pasti ke Ayien?"
Ayien mengangguk yakin. "Saya memang selesa rambut pendek. Nanti saya ubah gaya rambut."
Syed Amani ketawa sinis. "Bagus. Atuk tak suka dengan orang bermuka-muka dan tak jujur."
"Ayien, jangan takut untuk bersuara. Pak cik tak kisah awak tolak syarat tu," tegur Najmi.
"Pak cik jangan risau. Saya memang dari dulu rambut pendek. Baru beberapa tahun ni saya gatal simpan rambut."
Suasana sunyi seketika tanpa bicara.
"Bagus. Syarat ketiga... enam bulan pertama, you tak boleh tukar status. Tak boleh kahwin, tak boleh bertunang. Atuk tak nak you sibuk minta cuti sebab hal peribadi dan abaikan cucu atuk."
Nafasnya ditarik panjang. "Saya faham, atuk. Saya memang single dan belum rancang apa-apa."
Syed Amani senyum puas. "Semangat you, atuk suka. Mulai esok, you jadi pembantu peribadi atuk dulu sebelum atuk serahkan you ke cucu atuk."
"Terima kasih atuk, Pak Cik Najmi sebab bagi saya peluang."
"Sign kontrak ni."
Ayien tunduk hormat. Sungguh dia teruja dengan tawaran ini. Buat pertama kali dalam hidupnya, dia terasa ada arah tuju untuk hidup.
.
.
.
Luthfan duduk bersandar di kerusi dengan perasaan malas. Pandangannya kosong ke arah luar restoran. Ghani di depannya langsung tidak ditegur sebaik masuk ke sini. Tindakannya cukup menyakitkan hati Ghani yang mula kebosanan.
"Luth, termenung lagi? Kau nak termenung baik tak payah ajak aku keluar."
"Ghani, dulu aku fikir aku masih muda dan tak faham masalah family. Sayangnya aku dah habis belajar tetap juga aku kena...." Bicaranya terhenti ketika melihat atuk bersama pekerjanya.
"Wei, aku kena apa?"
Tangannya menolak kepala Ghani agar memandang ke arah yang sama.
"Kau tengok tu... atuk aku keluar seorang diri dengan budak tu. Tak ada Pak Cik Najmi."
Luthfan dan Ghani terpaku melihat atuk bersama dengan lelaki jauh lebih muda daripadanya. Mereka berbual terlalu santai dan sesekali ketawa kecil.
"Siapa tu Luth? Saudara kau?"
"Tak tahu."
Ghani memandang wajah rakannya dengan muka pelik. "Selalunya atuk mesti ada dengan uncle Najmi. Luth, aku rasa tu mungkin saudara sebelah wife uncle agaknya… cuma kau yang tak nampak."
Luthfan terdiam tapi matanya masih melekat memerhati. Dia tidak boleh jelaskan dengan kata-kata bila melihat mereka. Ada sesuatu pada lelaki muda itu yang buat dada Luthfan terasa mahu marah tanpa sebab yang jelas.
"Hmm… aku nak pergi tengok siapa dia tu."
Ghani memaut lengannya ketika dia berdiri dan mahu beredar.
"Jangan cari penyakit!"
Tangan Luthfan mengepal menjadi penumbuk. Matanya masih menatap mereka. Rahangnya mengetat dan dadanya mula terasa sesak.
.
.
.
Hampir seminggu Ayien menjadi PA Encik Syed Amani, hari ini dia akan dibawa bertemu majikannya yang sebenar. Sedaya upaya dirinya cuba menahan rasa takut untuk berdepan dengan lelaki bernama Luthfan.
"Atuk, saya rasa sayang pula nak berpisah dengan atuk," ucap Ayien sambil menarik kerusi duduk di meja yang sama dengan atuk.
"Jangan risau Ayien, cucu atuk masih bawah pengawasan atuk selagi dia belum kahwin," balas Syed Amani.
Lima belas minit kemudian, seorang lelaki menghampiri meja mereka dan menyapa Syed Amani sebagai atuk ketika dia sedang seronok berbual.
"Luthfan, sampai juga. Atuk sangka you sengaja nak mengelak."
Ayien bangun serentak dengan atuk ketika mereka bersalaman dan berpelukan. Sedetik, Ayien terkedu apabila lelaki itu merenungnya dengan muka ketat.
"Mana uncle?" tanya Luthfan, sinis.
"Duduklah dulu Luth," tegur Syed Amani tanpa menjawab pertanyaannya.
Ayien diam membisu. Senyumannya hilang, wajahnya membeku sesuai dengan jawatannya apabila mereka berbual. Dirinya hanya perlu mendengar dan melihat.
Pada masa sama Ayien mula mengimbas kembali biodata cucu atuk yang dibaca tempoh hari. "Luthfan bin Rafael. Anak kepada isteri kedua Encik Rafael. Umur 24 tahun, bujang, lulusan undang-undang dari Jordan. Seorang yang dingin dan hanya mesra dengan kakak dan adik perempuan sahaja."
Sesekali dia sedar lelaki yang duduk semeja dengannya ini sedang menjelingnya. "Jeling-jeling... cucuk mata baru tahu."
"Sejak bila atuk ambil pembantu muka macam budak sekolah?"
Ayien memerhatikan cara Luthfan duduk, cara dia bercakap yang angkuh tapi segak seperti seorang graduan undang-undang sebelum mengalihkan pandangan ke arah napkin di pahanya. "Ini ke majikan aku? Betul cakap atuk, tak hormat orang."
"Tak puas hati, boleh cakap elok-elok," balas Ayien, spontan.
Sunyi. Syed Amani meletakkan gelas dan memanggung wajah ke arah cucunya.
"Cukup."
Hanya satu perkataan, nada itu mampu untuk diamkan Ayien dan majikan barunya. Dia baru sedar yang dia sudah berbicara tanpa dipinta.
"Jadi betul dia baru habis sekolah? Berapa A dapat... oh, aku lupa... mesti gagal sebab tu tak sambung study."
Ayien memanggung wajah. Jarinya mengenggam napkin hingga tangannya menggigil halus.
"Apa istimewanya budak ni sampai boleh kerja dengan atuk. For your information, semua pekerja atuk paling rendah diploma."
"Belajar jauh-jauh sampai Jordan, balik-balik masih kena ikut aturan atuk. Lagi memalukan," perli Ayien, selamba. Dia sendiri tidak pasti dari mana datangnya keberanian itu.
"Diam semua."
Nafas Ayien sudah mula tidak teratur. Jika diturutkan hatinya yang membara ini, sudah lama lelaki ini mandi teh panas. Mujurlah dia masih hormat dengan atuk.
"Atuk suruh dia jadi PA sebab apa?" soal Luthfan kasar. Tangannya sudah mengepal menjadi penumbuk di atas meja menahan amarah.
"Saya tak setuju dia kahwin dengan....."
"Dengan siapa Luthfan?! Boleh tak you berhenti berprasangka buruk dengan semua orang," tegur Syed Amani dengan nada tegas sebelum sempat cucunya menghabiskan bicara.
"Fine. Atuk nak apa suruh Luth datang sini?"
"Ingat tak atuk bagitahu you, atuk akan cari PA untuk you."
"Hmm... ingat. So?"
Sekali lagi Ayien perasan Encik Luthfan menjelingnya hingga dahi berkerut.
"Bagus. Kenalkan, PA you Luth. Nama dia Nazreen Eryana binti Asyraf."
Ayien mengangguk perlahan tanda hormat tapi tidak mudah untuk Luthfan menerimanya.
"Luth boleh panggil dia… Ayien."
Nafasnya putus dan pandangannya terhenti ke arah lelaki muda yang baru dia hina di sebelah atuk. Wajahnya dipaling seketika sebelum memandang wajah atuk.
"Wait, perempuan?! Dia... perempuan?"
Sekali lagi meja ini sunyi tanpa bicara.
Ayien diam dan mula sedar, kerja ini tidak akan semudah yang dia bayangkan selepas bekerja dengan lelaki bernama Luthfan.
Luthfan pula mula meneliti wajah budak hingusan di sebelah atuk hingga kedua keningnya bercantum. "Rambut pendek, wajah bersih dan paling tak masuk akal perempuan. PA aku perempuan tapi luaran lelaki."
"I tak nak dia," tutur Luthfan, tegas.
"Nak ke tidak, Luth tetap kena terima juga," tegas Syed Amani.
Luthfan menggaru dahi dan meraup wajah seketika. Entah mengapa dia rasa catur hidupnya sedang digerakkan atuk tanpa izinnya.
Share this novel