1

Romance Series 13264

SEORANG gadis melangkah masuk ke lobi Farhbell Studio dengan berpakaian ringkas seperti lelaki. Niatnya berpakaian seperti ini bukan untuk kelihatan kuat tetapi supaya dirinya boleh bernafas dan teruskan kehidupan. Dia menjadi kasar bukan kerana keinginan tetapi kerana hidup pernah terlalu kejam ketika dia lembut.

"Assalamualaikum, pak cik. Saya nak hantar makanan yang Cik Farhana pesan."

Troli makanan ditolak berhenti di tepi pagar besi pintu keselamatan. Wajah pengawal keselamatan itu ditenung seketika.

"Dik, bawa makanan tu naik. Bos dah pesan suruh pak cik beritahu awak."

Riak wajah Ayien berubah tegang seketika. "Tingkat atas? Saya kena naik tingkat atas? Biar betul ni. Pak cik bergurau ya dengan saya."

Pengawal itu menggeleng. "Tak. Adik pergi naik lif, tingkat lima. Keluar dari lif ke kiri. Masuk ke bilik Memori."

Ayien merenung wajah pak cik sekejap. "Nanti, pak cik. Bagi saya ulang. Naik lif... tingkat lima. Lif terbuka, di sebelah kiri. Kemudian cari bilik yang ada nama Memori. Betul?"

"Bijak pun. Lalu ikut sini senang."

Ayien mengeluh panjang. Arahan tetap arahan. Dia menolak troli masuk, berjalan melalui ruang yang sejuk dan tidak dikenali itu. Mulutnya mengomel sendirian tanpa henti. "Biasanya hantar bawah. Hari ni kena naik. Mengada betul."

Tubuhnya menegak sementara menunggu pintu lif terbuka. "Santai Ayien. Kau cuma perlu hantar, susun. Dah siap susun apa lagi... balik."

Kakinya melangkah mengikut arah hingga tiba tempat yang dituju. Pintu studio terbuka luas. Pandangannya meliar ke arah beberapa orang kru di dalam bilik ini sibuk menguruskan kamera, peralatan dan ada yang sedang memberi arahan kepada rakan sekerja yang lain.

"Makanan dah sampai, nak letak mana ya?" tanya Ayien dengan bisikan perlahan tapi masih profesional. Dia menghormati mereka yang sedang bekerja dan tidak mahu mengganggu mereka.

"Ayien, sini," sahut Nira sambil memberi arahan kepada rakan sekerjanya.

Ayien mengangguk. Dia menolak troli ke sudut yang ditunjukkan tanpa banyak bunyi. Tangannya menyusun makanan yang dipesan satu demi satu di atas meja panjang. Mulutnya pula ringan menyanyi mengikut rentak lagu yang dipasang di telinga perlahan-lahan.

Sebaik sahaja selesai tugasnya, Ayien terkejut apabila seorang perempuan cantik lewat 30an yang bertocang satu, memakai blaus putih ringkas bercorak bunga sulam berdiri di sebelahnya.

"Hi Cik... semuanya saya dah siapkan macam yang Cik pesan."

Senyuman Cik Farhana kepadanya tiba-tiba melebar. Makin seram Ayien apabila melihat keningnya terangkat berulang kali.

"Cik Farhana, rasa nak tambah order lagi?" tanya Ayien sambil membetulkan bajunya. Secara jujur dia takut bila perempuan di hadapannya merenungnya.

"Saya boleh telefon Wahid untuk sediakan lagi. Nanti dah siap saya sendiri hantarkan terus ke sini."

Cik Farhana tersenyum nipis. "Awak, boleh tolong saya tak?"

Ayien mengangguk tanpa berfikir. "Sudah tentu, Cik Farhana. Apa yang nak saya tolong? Cakap aje, saya boleh buat semua arahan cik."

"Yes! Terima kasih banyak-banyak Ayien sudi bantu saya." Farhana mencium pipi Ayien secara spontan dan menoleh ke belakang mencari seseorang.

"Izza, bawa Ayien tukar baju."

Ayien tergamam. Matanya mula terkebil-kebil sambil memandang Cik Farhana yang sedang tersenyum riang.

"Nanti! Apa tadi? Tukar apa... baju?"

Pantas Farhana mengangguk. Bahu Ayien diusap lembut seketika. "Jadi model saya sekejap. Saya bayar awak. Jangan bimbang, orang tak akan kenal pun awak bila iklan dah siap. Muka awak tak nampak langsung."

"Hah! Apa?"

Matanya meliar ke seluruh ruang. Semua orang di sini nampak yakin dengannya. Lagak mereka seperti sudah merancang lebih awal mahukan dia menjadi model hari ini.

"Ini ke sebabnya Cik Farhana meminta saya naik," gumam Ayien sambil di bawa ke bilik persalinan.

"Anggaplah rezeki awak Ayien. Cik tu dah berkenan dengan awak lama," sambung Izza dengan wajah tenang.

Beberapa minit kemudian, suasana di studio berubah. Ayien berdiri di set penggambaran dan di hadapan kamera. Dia memakai gaun labuh berwarna putih tanpa lengan manakala rambut yang selama ini tersembunyi di bawah topi kini dilepaskan. Di tangannya pula ada sejambak bunga segar yang baru diberi salah seorang kru.

"Okey Ayien... tarik nafas perlahan-lahan, lepas. Santai, jangan panik," tegur jurugambar.

Ayien hanya senyum tanpa bicara. Dia mengganguk faham dengan arahan yang diberikan.

"Sekarang ni, saya nak awak pandang ke tepi sikit. Lagi sana... yes macam tu. Angkat bunga... perfect."

Ayien akur dan dia cuba buat yang terbaik walaupun dia sendiri gugup. "Sabar Ayien, senang je kerja kau."

Pada masa sama, pintu studio terbuka dan Ayien masih menutup wajahnya dengan jambangan bunga segar.

"Nira."

"Hi, Encik Luthfan. Cari Cik Farhana ya... tunggu lagi 10 minit boleh?"

Luthfan mengganguk. "Tak apa. Biar dia buat kerja dulu."

Pada masa sama pandangannya terhenti ke arah model yang sedang memegang bunga di dalam set. Kedua tangannya menyeluk poket dan berdiri tegak melihat model itu. "Menarik. Dia nampak sangat tenang. Tak macam orang baru."

Luthfan dapat rasakan sesuatu daripada model itu. Bukan kerana gaunnya dan juga bukan kerana postur tubuhnya di depan kamera tapi lebih kepada hatinya terasa mahu melihat wajah disebalik bunga segar itu.

"Excuse me, Nira. Model baru?" soal Luthfan.

"Hah, siapa?" tanya Nira.

Nira menoleh ke arah Encik Luthfan laju. Tangannya memeluk jadual model-model untuk hari ini di tangan.

"Siapa budak baru Encik Luth?" soal Nira, selamba.

"Model tu. Dia baru lagi ya, saya tak pernah nampak pun sebelum ni. Cantik," tegur Luthfan.

Nira tersengeh apabila Encik Luthfan memuji Ayien. "Encik Luth yang belum nampak muka kata dia cantik. Apa lagi kami selalu jumpa dia."

Telefon Luthfan bergetar. Dia meninggalkan Nira dan menjawab panggilan itu. Langkahnya terhenti di tepi studio.

Beberapa minit kemudian, panggilan itu dimatikan. Dia berpaling kembali ke arah set penggambaran. Nafasnya terhenti melihat model tadi sudah tiada di set penggambaran.

"Habis dah. Siapa model tadi? Kenapa aura dia buat aku rasa lain?"

Perasaan pelik belum sempat dia faham, muncul pula satu suara yang amat dikenali menyapa.

"Apa yang lain tu... sama je studio ni dari dulu sampai sekarang."

Luthfan terdiam. Dia menoleh dan senyum nakal. "Akhirnya, dapat juga jumpa dengan my soul."

Pantas dia memeluk perempuan cantik ini dengan erat. Pipi gebu kakaknya dicubit melepaskan rindu. Tangannya naik merapikan anak rambut kakaknya.

"Kak Ben sihat? Tak sangka makin cantik sejak dah ada tunang."

"Tak payah nak puji lebih, kakak tak ada duit nak bagi. Cuti lama atau balik terus?"

"Balik terus kak. Nanti kena potong semua benda. Saya belum balik rumah lagi sebab nak jumpa akak."

Suasana berbeza di laluan bilik persalinan yang semakin sempit. Ayien menyelit berjalan di antara beberapa orang model yang sudah siap untuk ambil gambar sebentar lagi. "Kerdilnya rasa bila dengan semua orang cantik."

Hoi, Ayien! Kau hari-hari pakai macam ni, tambah senyum sikit... perghh, tak mati pun," tegur Wahid sambil tersandar di dinding.

Ayien menjeling tajam. "Aku senyum bila perlu bukan untuk puaskan mata orang."

Wahid ketawa mengekek. Dia sudah lali dengan sikap Ayien yang kasar di mulut, jujur di hati. Mereka sudah berkawan sejak sekolah lagi. Saat Ayien baru belajar cara hidup seorang diri.

"Aku hantar kau balik nanti," tegur Wahid perlahan.

"Tak payah. Aku boleh jalan kaki ke foodtruck buruk tu," balas Ayien sebelum masuk ke bilik persalinan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience