Bab 2

Romance Series 1571

AMZAR mengangkat wajah memandang semua staf yang ada di dalam bilik mesyuarat itu.

Namun, sebaik sahaja matanya menangkap sepasang mata yang sangat dikenalinya di barisan tengah, seluruh dunia seakan terhenti seketika.

Wafa Aylana.

Sepuluh tahun dia simpan nama itu dalam diam. Sepuluh tahun dia fikir dia sudah bersedia untuk apa sahaja. Tapi hari ini, bila takdir benar-benar membawanya bertentang mata dengan wanita itu, segala kekuatan yang dia bina runtuh dalam sekelip mata.

Dia menelan liur yang terasa pahit. Jantungnya berdegup laju, tetapi riak wajahnya cuba dikawal. Masih tenang, seperti dulu. Tapi hanya dia yang tahu dadanya sedang bergegar hebat.

Wafa pula terus terpaku. Seakan tidak percaya akan dipertemukan kembali dengan bekas penghuni hatinya. Dia tidak pernah terfikir dia akan bertemu kembali dengan Amzar. Tapi hari ini takdir mempertemukan mereka kembali.

Kenapa lelaki ini muncul semula sekarang?

Mata mereka bertaut. Satu pandangan panjang yang penuh seribu rasa.
Dan dalam diam, ada luka lama yang terbuka semula. Tanpa kata, hanya dengan pandangan... mereka tahu, mereka masih belum sembuh.

“Saya Amzar Elham.” Suara itu kedengaran sedikit bergetar.

“Dan saya harap, saya dapat bekerjasama dengan semua di sini dengan baik.”

Dia menoleh sedikit ke arah Wafa. Hanya sesaat, tapi cukup untuk menggoncang seluruh pertahanan wanita itu.

Wafa cepat-cepat tunduk, berlakon mencatat sesuatu di atas kertas. Tapi tangannya menggigil.

“Kau tulis apa tu?” soal Aina sambil menyiku perlahan lengan Wafa. Dia nampak macam ada yang tak kena dengan Wafa.

Wafa sekadar membalas dengan gelengan.

“Hensem kan director baru kita tu? Lepas ni memang aku cuci mata hari-hari.” Aina sudah tersengih-sengih pandang Amzar. Indahnya ciptaan ALLAH...

Wafa diam. Jantungnya masih berdegup kencang. Dia tak boleh nak fokus sekarang ni.

Selepas ini dia akan berhadapan dengan Amzar setiap hari. Ya ALLAH... Kenapa Amzar perlu muncul semula sekarang?

Patut ke dia berhenti kerja?

WAFA masuk ke pantri. Dia capai gelas kaca dari rak, lalu menekan butang pada mesin air untuk mengisi air sejuk. Tangannya masih menggigil sedikit, kesan daripada pertemuan semula yang tidak disangka tadi.

Air dalam gelas hampir penuh. Wafa sandarkan tubuhnya pada kaunter, memejamkan mata seketika. Cuba menenangkan debar yang belum surut sejak mesyuarat pagi tadi.

“Wafa.”

Wafa tersentak dengan teguran itu. Dia terus berdiri tegak. Setelah sekian lama, akhirnya dia mendengar lagi suara itu menyebut namanya.

“Lama kita tak jumpa,” ujar Amzar perlahan.

Wafa menarik nafas dalam-dalam cuba menenangkan dirinya. “Dan saya harap kita tak perlu jumpa pun,” balas Wafa dingin, walaupun degup jantungnya sudah tak terkira.

Amzar tersenyum perit. Ada kelukaan dalam pandangannya. Dia tahu Wafa akan melayaninya seperti ini. Lepas apa yang jadi di antara mereka dulu, dia tak berharap yang Wafa akan teruja berjumpa semula dengannya.

“Sihat?” soal Amzar lagi walaupun Wafa seperti tidak selesa berada dekat dengannya.

Amzar bangga melihat kejayaan Wafa sekarang. Sepuluh tahun dulu, Wafa ibarat burung dalam sangkar. Bersamanya, Wafa kehilangan banyak hal. Mimpinya, dirinya, kebebasannya. Tidak mampu terbang jauh, kerananya.

Tapi sekarang, tengoklah... Wafa dah capai apa yang dia impikan. Berdiri teguh sebagai wanita yang berkarier, yakin dan lebih matang.

Dan Amzar senang melihat perjalanan Wafa sudah sejauh ini. Tapi dalam senang itu, ada rasa pedih yang menggigit jiwanya. Dia kesal kerana tidak bersama Wafa sepanjang perjalanan itu.

Saat wanita itu jatuh dan bangun semula, dia tiada. Saat Wafa menangis dalam diam dan belajar berdiri sendiri, dia langsung tidak tahu.

Dan lebih menyakitkan, dialah punca segalanya.

“Kalau saya tak sihat, saya tak akan ada dekat sini.” Sekali lagi jawapan Wafa buatkan Amzar hilang diksi. Wafa dah jauh berubah dan dia tak salahkan Wafa.

Dia tunduk seketika. Mencari kekuatan untuk menatap wajah yang pernah dia cinta lebih daripada dirinya sendiri.

“Wafa...” Nada suaranya lebih perlahan kali ini. “Saya tahu saya dah banyak salah pada awak. Tapi saya tak datang hari ni untuk lukakan awak lagi.”

“Tapi takdir pertemukan kita sekali lagi,” ujar Amzar lagi. Dadanya berombak.

Wafa diam. Tubir mata terasa hangat. Dia tak salahkan takdir yang mempertemukan mereka kembali. Cuma... dia belum cukup kuat untuk hadap semula luka lama.

Wafa pejamkan mata seketika. Nafas ditarik perlahan-lahan, cuba menahan gelombang emosi yang mula menjalar ke dada. Dia tak mahu menangis. Bukan depan Amzar.

“Kalau tujuan awak datang ke sini untuk bekerja, tolong jangan ungkit kisah lama kita. Tak kira apa yang pernah jadi antara kita dulu, anggap saja tak pernah berlaku. Dan kalau awak masih ada rasa hormat… jangan cerita pada sesiapa pun pasal hubungan kita yang dulu.”

Amzar terdiam. Kata-kata Wafa bagaikan tembakan tepat ke dadanya. Dia tahu Wafa terluka. Tapi bila mendengar sendiri permintaan itu, seolah-olah sejarah mereka langsung tak layak dikenang. Peritnya sukar digambarkan.

“Saya tak akan cerita pada sesiapa. Awak ada hak sepenuhnya untuk tentukan sempadan,” balas Amzar perlahan. Matanya masih terpaku pada wajah Wafa yang dingin namun jelas menyimpan ribut emosi di balik tenangnya.

Wafa tak beri sebarang balasan lagi. Dia berpaling, melangkah keluar dari pantri tanpa menoleh lagi. Langkahnya kelihatan tenang di luar, tapi setiap jejak bagaikan mencarik luka lama yang baru saja dikambus semula.

Amzar hanya mampu melihat Wafa pergi. Apa yang pernah menjadi miliknya, kini sudah terlalu jauh dari genggaman. Terlalu jauh untuk digapai kembali.

Dia sandarkan tubuh ke dinding. Fikirannya melayang teringatkan memori lama.

“Am...” Meleret suara Wafa memangggil suaminya. Pinggang Amzar dipeluk dari belakang.

Amzar tersenyum nipis. Dia kenal benar isteri dia waktu itu. Kalau dah panggil meleret macam tu, mesti ada sesuatu yang Wafa mahukan.

“Nak apa sayang?” soalnya sambil tangannya menyentuh jari Wafa di pinggang.

“Boleh tak kalau saya nak kerja? Kalau saya kerja, saya boleh tolong awak.”

Amzar diam sejenak. Bukan kali pertama Wafa suarakan niatnya itu. Tapi dia lebih suka jika Wafa duduk di rumah sahaja. Tugas mencari rezeki, biarkan dia seorang saja yang pikul.

“Sayang nak beli apa-apa ke? Beritahu saya. Nak guna duit?” soal Amzar.

Wafa menggeleng. Riak wajahnya nampak sedikit kecewa. Mesti kali ni pun dia gagal lagi nak pujuk Amzar.

“Saya bukan apa, saya bosan sikit duduk dekat rumah. Kalau saya kerja...” Tak sempat Wafa habiskan ayatnya, Amzar sudah memotong.

“Sayang, saya bukan tak bagi awak kerja. Tapi saya lebih suka kalau awak duduk rumah. Insya-ALLAH saya boleh tanggung semua keperluan kita. Kalau awak nak beli apa-apa, beritahu je saya.”

Akhirnya Wafa akur. Sejak hari itu, dia tak pernah suarakan lagi niatnya mahu bekerja. Kerana Wafa tahu, jawapan Amzar pasti sama. Tapi dalam diam, itu adalah permulaan retak yang Amzar tak pernah nampak.

Dan kini, wanita yang pernah dia larang dari mengejar mimpi, sedang berdiri megah dengan kejayaannya sendiri. Tapi tiada lagi tempat untuknya dalam dunia wanita itu.

Amzar melurut wajahnya perlahan. Pandangan terakhir Wafa tadi terbayang-bayang dalam fikiran. Pandangan yang dulu pernah penuh cinta, kini hanya tinggal kosong dan dingin.

Dan pada saat itu, Amzar sedar...

Dia mungkin masih ada dalam kenangan Wafa. Tapi dia sudah tiada dalam masa depan wanita itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience