Bab 3

Romance Series 1571

SELEPAS solat subuh, Wafa duduk di birai katil sambil termenung panjang. Selalunya dia dah kalut bersiap nak ke ofis tapi hari ni rasa macam tak ada semangat nak masuk ofis. Rasa macam nak ambil cuti pun ada. Semuanya disebabkan Amzar.

Nama itu kembali menghantui ruang hatinya yang sudah lama dia tutup rapat. Sepuluh tahun dia bina semula dirinya. Tapi semalam… hanya dengan satu pandangan mata, semuanya retak semula.

Dia pegang hujung telekungnya erat-erat, seolah-olah mahu menahan gelora di dada.

“Aku dah kuat. Aku dah okey,” bisiknya perlahan. Tapi bila nama itu disebut semula dalam hati, air mata menitis juga.

Amzar Elham.

Lelaki yang pernah menjadi suami. Pernah menjadi segalanya untuk Wafa. Lelaki yang dia cintai sepenuh hati. Tapi lelaki itu juga yang paling banyak meninggalkan luka.

Wafa mengeluh berat. Dia pandang telefon yang terletak di sisi katil. Tangan dihulur, membuka aplikasi syarikat. Jari-jarinya terhenti di butang Apply Leave.

Tapi belum sempat dia tekan, satu notifikasi masuk. Dari HR di group Whatsapp jabatan mereka.

> Assalamualaikum team. Reminder untuk meeting pagi ni jam 10.00 pagi di bilik mesyuarat utama. Please be on time. Terima kasih.

Keluhan terbit dari bibir Wafa. Dia batalkan niat untuk mengambil cuti hari ini. Dia bangun, menuju ke almari pakaian. Kalau dia lari hari ni, dia akan terus lemah esok. Dan Wafa tak mahu jadi wanita yang lemah lagi.

Hari ini dia akan masuk pejabat. Dia akan hadap segalanya. Biar hatinya hancur sekalipun, dia tetap akan berdiri.
Sebab Wafa Aylana bukan lagi wanita yang sama sepuluh tahun lalu.

Dia wanita yang sedang belajar berdiri dalam hujan tanpa payung.

LANGKAH Wafa berhenti di depan bilik mesyuarat utama. Dari balik kaca, dia nampak beberapa rakan sekerja sudah mengambil tempat. Dia tarik nafas panjang. Cuba menenangkan debar di dada yang sejak pagi tadi tak mahu reda.

Jari jemarinya menggenggam fail dalam tangan sekuat mungkin. Bagai berpaut pada kekuatan palsu yang dia cipta sendiri.

Dia tolak pintu perlahan dan melangkah masuk. Beberapa pasang mata menoleh padanya. Ada yang mengangguk, ada yang senyum mesra. Dia membalas seadanya. Duduk di kerusi hujung sekali, jauh dari kerusi utama di hadapan.

Baru dia nak buka fail, pintu bilik mesyuarat terbuka sekali lagi. Lelaki itu masuk dengan tenang. Tangan di sisi, langkahnya segak seperti dulu. Kemeja biru gelap yang membaluti tubuhnya menampakkan dia kelihatan lebih kacak.

Dan waktu itu, dunia seakan berhenti berputar. Pandangan mereka bersatu.

Hanya sekejap. Mungkin dua saat. Tapi cukup untuk menghancurkan semua pertahanan yang Wafa bina. Siapa sangka, dua pasang mata yang saling menghindar hari ini, dulunya saling menatap penuh cinta.

Amzar membalas pandangan itu dengan wajah tanpa riak. Seolah-olah tiada apa yang pernah berlaku antara mereka. Seolah-olah Wafa hanyalah staf biasa yang baru dikenalinya.

Dia berjalan terus ke hadapan, berdiri di sisi skrin besar yang sudah sedia terpasang. Suasana dalam bilik mesyuarat menjadi senyap serta-merta. Semua fokus beralih padanya.

“Assalamualaikum dan selamat pagi,” suara Amzar bergema tenang.

“Sebelum kita teruskan dengan pelan kerja baru, saya nak dengar sedikit sebanyak tentang cabaran di department ini daripada kamu semua,” ujar Amzar lagi.

Semua orang saling berpandangan, suasana agak tegang.

“Siapa nak mula?” soal Amzar, memandang sekitar.

Encik Zaidi, Manager Sales, segera bangun, memperincikan beberapa masalah berkaitan target jualan yang tidak konsisten.

Kemudian Cik Hanisah pula bercakap tentang kesukaran branding syarikat di media sosial.

Wafa diam saja. Dia tunduk pura-pura sibuk menyemak nota mesyuarat, padahal hatinya kacau. Tak berani nak angkat muka memandang Amzar.

Tiba-tiba...

“Awak marketing executive kan? Siapa nama awak, saya lupa.” tanya Amzar sambil memandang ke arah Wafa.

Wafa mendongak perlahan. Jantungnya hampir tercabut.

“Saya, encik?” suara Wafa seakan tersekat.

Amzar sekadar mengangguk kecil.

Wafa telan liur perlahan. Tangannya di bawah meja menggenggam erat pen. “Nama saya Wafa.” Menyakitkan apabila Amzar berpura-pura tak mengenalinya. Tapi Wafa tahu, dia yang minta begitu.

“Oh ya… Wafa,” balas Amzar sambil mengangguk kecil, kemudian pandangannya kembali terarah ke skrin. “Wafa, boleh awak kongsikan sedikit tentang cabaran dari sudut marketing execution sekarang?”

Kini semua mata yang berada di dalam bilik mesyuarat itu tertumpu kepada Wafa.

“Erm, untuk marketing execution, masalah utama kami ialah... kekangan bajet untuk buat promosi berskala besar. Jadi, kami terpaksa bergantung kepada digital marketing sahaja, encik,” jawab Wafa perlahan, namun cukup jelas.

Amzar mengangguk. “Wafa, saya nak awak siapkan satu cadangan untuk satu kempen marketing baru. Sesuatu yang kreatif tapi masih realistik dengan bajet syarikat. Saya nak tengok dalam masa dua hari ni.”

Wafa hanya mampu mengangguk. “Baik, encik.”

Aina di sebelahnya, menyiku Wafa perlahan, sambil berbisik, “Bos baru dah aim kau dulu.”

Wafa hanya mampu mengeluh dalam hati. Aim untuk ‘seksa’ aku agaknya…

Ah, macam manalah dia nak berhadapan dengan Amzar setiap hari lepas ni? Dah lah Amzar tu ketua jabatan dia.

TENGAH hari itu Wafa keluar makan sendirian di restoran berhampiran dengan ofis. Selalunya dia akan keluar berdua dengan Aina tapi hari ni Aina keluar berjumpa dengan klien di luar.

Bukannya Wafa tak biasa makan sendirian. Selepas dia berpisah dengan Amzar, dia belajar untuk tidak bergantung kepada sesiapa. Kerana di akhirnya nanti, dia tetap akan sendirian. Orang tak akan selamanya ada dengan kita.

Wafa memesan sirap ais dan nasi goreng cili padi. Makanan kegemarannya. Makan hari-hari pun Wafa tak jemu. Dari dulu seleranya tidak pernah berubah.

Sedang enak Wafa menikmati makanannya, tiba-tiba ada suara menegur.

“Wafa.”

Wafa mengangkat wajahnya perlahan. Suara itu terlalu dikenal. Suara yang pernah mengisi hari-harinya suatu ketika dahulu.

Amzar berdiri di sisi mejanya, tangan menyeluk poket seluar slack hitamnya. Senyum nipis terukir di bibir lelaki itu.

“Masih sama,” ujar Amzar perlahan, matanya jatuh pada pinggan Wafa. “Nasi goreng cili padi dan sirap ais. Selera tak berubah pun.”

Wafa terkedu. Sudu di tangannya tak jadi disua ke dalam mulut.

“Sini kosong lagi tak?” tanya Amzar, menjeling sekeliling. “Meja lain dah penuh. Saya tumpang duduk boleh?”

Wafa telan air liur. Jantungnya berdetak laju, tapi dia cuba berpura-pura tenang. Tak cukup dekat ofis, dekat sini pun Amzar nak kacau dia?

“Kalau meja lain penuh, duduklah,” balasnya perlahan, tanpa memandang wajah lelaki itu. Nak makan cepat-cepat, lepas tu nak pergi dari sini. Tak betah dia duduk berdua-duaan dengan Amzar di sini.

Amzar menarik kerusi di hadapannya dan duduk. Suasana jadi sedikit janggal. Wafa tunduk, menyambung makan dengan perlahan walaupun seleranya dah hilang entah ke mana.

“Dah sepuluh tahun berlalu... tapi awak masih suka benda yang sama,” ujar Amzar, lebih kepada bercakap dengan dirinya sendiri.

Wafa mendongak. Nampaknya Amzar masih ingat makanan kegemarannya. Dan dia juga masih ingat makanan kegemaran Amzar.

Semua tentang lelaki itu. Masih dia ingat.

“Wafa,” panggil Amzar lembut. Matanya tak lepas dari memandang Wafa. Amzar tertanya-tanya, sudah adakah penggantinya di hati Wafa?

Atau, Wafa masih seperti dirinya,
yang diam-diam berharap takdir akan menulis semula kisah mereka yang tergantung.

Wafa angkat wajah. Tak betah terus direnung sepasang mata itu sebenarnya. Dalam banyak-banyak restoran, kenapalah Amzar datang ke sini juga?

“Awak dah ada pengganti?” soal Amzar berani walaupun dia berdebar menanti jawapan Wafa. Boleh ke dia terima andai Wafa benar-benar sudah menemui penggantinya?

Wafa angkat wajah, pandangannya menikam terus ke mata Amzar. Sejenak dia diam, sebelum bibirnya bergerak perlahan.

“Soal hati saya… itu bukan urusan awak lagi.”

Jawapan Wafa cukup buatkan Amzar sedar yang dia sudah hilang tempat di hati itu. Dirinya kini hanyalah satu bab lama dalam hidup Wafa. Bab yang mungkin dah ditutup, mungkin juga dah dikunci rapat-rapat, tak mungkin dibuka lagi.

Amzar telan liur. Tenggorokannya rasa perit, seolah-olah kata-kata Wafa tadi menikam lebih tajam daripada apa pun yang pernah dia dengar sebelum ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience