WAFA merenung almari pakaiannya, tangan terayun perlahan memilih baju. Hari ini ada mesyuarat besar bersama orang atasan. Dengar khabar, director baru akan masuk ke department dia. Menggantikan Encik Daud yang baru saja menamatkankan perkhidmatannya minggu lepas. Sebab itu Wafa perlu bersiap lebih rapi daripada biasa, hari ini.
Akhirnya, dia mencapai blaus biru muda yang simple, dipadankan dengan seluar slack hitam. Tudung bawal berwarna senada menjadi pilihannya.
Sambil mengenakan solekan ringan di depan cermin, Wafa tersenyum nipis. Sudah lima tahun dia bekerja di syarikat itu. Sejak dia bangkit perlahan-lahan daripada episod gelap dalam hidupnya.
Awalnya, susah. Dia hampir berputus asa. Tapi sokongan mama, papa dan abangnya, Wafi buat dia kuat semula. Mereka tak pernah berhenti percayakan dia, walaupun dia sendiri pernah rasa dirinya tak berharga.
Telefon di atas meja berbunyi menandakan mesej masuk. Wafa menjeling sekilas. Mesej peringatan dari HR tentang mesyuarat pagi ini. Dia segera mencapai beg tangan, menyarung kasut, dan melangkah keluar dari biliknya.
“Wafa, sarapan dulu,” panggil Puan Anita saat melihat Wafa turun dari tingkat atas.
Wafa berpaling sejenak, melihat wajah mamanya yang tersenyum sambil menuang air teh ke dalam cawan. Rasa bersalah menjentik hatinya. Sejak bercerai, dia kembali duduk di rumah mama dan papa. Pada usia 32 tahun, sepatutnya dia sudah punya kehidupan sendiri, bukan kembali bergantung begini.
“Nanti Wafa alas perut dekat ofis, mama. Dah lambat ni,” katanya lembut.
Encik Osman yang sedang membaca surat khabar di ruang tamu hanya menjeling sekilas, kemudian kembali fokus pada berita. Encik Osman bukan jenis yang banyak cakap, tapi Wafa tahu dalam diam papanya itu kecewa dengan apa yang berlaku dalam hidupnya. Kecewa kerana anak perempuannya yang disangkakan akan hidup bahagia... akhirnya kembali ke rumah ini dengan hati yang luka.
“Awak tu jangan asyik kerja, kerja, kerja aje. Muka pun dah makin cengkung,” tegur Puan Anita.
Wafa tersenyum hambar. “Kerja je lah yang tinggal, mama...”
Puan Anita hanya menggeleng perlahan. Ada simpati dalam matanya, tapi Wafa lebih suka begini. Sibukkan diri, lupakan kisah silam.
Jam di dinding berdetik laju. Wafa mencium tangan mama dan papa sebelum bergegas keluar. Takut kalau dia terlewat nanti.
WAFA menyusuri jalan ke pejabat sambil menyanyi perlahan mengikut irama lagu di radio. Cuaca pagi ini agak redup, sejuk-sejuk nyaman. Membuatkan moodnya sedikit ceria. Dia sempat berdoa dalam hati semoga segala urusan hari ini dipermudahkan.
Sebaik saja tiba di kawasan parkir pejabat, Wafa perlahankan kereta. Matanya melilau mencari petak kosong. Dia tersenyum lega apabila terlihat satu ruang kosong tidak jauh dari pintu masuk.
“Ha, rezeki aku pagi ni!” katanya teruja, sambil memutar stereng untuk masuk.
Tapi belum sempat dia membelok, sebuah SUV hitam dengan cermin gelap entah dari mana menyelit laju dan ‘menyambar’ tempat parkir itu.
Wafa menekan brek mengejut. Matanya terbeliak. Mulutnya melopong.
“Apa ni?! Tak nampak ke aku nak masuk tadi?” bebelnya bengang.
Dengan geram, dia membunyikan hon pendek tanda protes. Tapi tiada respon. Lelaki di dalam SUV itu buat tak tahu saja. Cermin gelap buat Wafa tak dapat nak cam siapa. Yang dia tahu, pemandu itu kurang ajar betul!
Wafa mengetap gigi, marah membuak-buak. Dia terpaksa pusing satu pusingan lagi untuk cari parkir lain. Sepanjang jalan ke lif, dia masih membebel dalam hati.
“Kalau jumpa lelaki tak bertamadun tu dalam ofis, siaplah! Mentang-mentang pakai kereta besar, rasa jalan ni mak bapak dia punya!” omel Wafa sambil menghentak kasut tumitnya sedikit. Pagi-pagi dia dah hilang mood!
“MORNING, Wafa!” sapa Aina ceria saat melihat Wafa masuk ke dalam pejabat.
“Morning,” balas Wafa sepatah. Gara-gara lelaki tadi tu rebut parking dia, terus hilang mood!
“Kenapa muka macam tertelan biji durian je ni?” soal Aina. Jarang-jarang nampak muka Wafa kelat macam ni. Ni pagi-pagi lagi dah moody. Mesti ada benda tak kena yang jadi.
Wafa menggeleng malas. “Tak ada apalah,” jawabnya acuh tak acuh. Dia malas nak buka cerita. Kalau diungkit-ungkit, makin membuak sakit hati.
“Lagi lima minit kita kena masuk bilik meeting,” Aina mengingatkan sambil memandang jam di pergelangan tangan.
Wafa hanya mengangguk kecil.
“Eh, Wafa. Kau tahu tak siapa director baru kita?”
Sekali lagi Wafa menggeleng. Belum jumpa lagi, manalah dia tahu siapa yang bakal menggantikan tempat Encik Daud.
Aina tersenyum penuh makna kemudian dia menarik lengan Wafa. “Dengar cerita, duda hot,” bisiknya perlahan. Bimbang rakan sekerja yang lain dengar perbualan mereka.
Pap! Wafa menepuk perlahan lengan Aina. Benda-benda macam ni memang laju je Aina cari maklumat. Cuba kalau fasal kerja, hmm...
Aina tergelak besar. “Dapatlah kita cuci mata lepas ni. Elok juga Encik Daud tu dah berhenti. Bagi chance kita cuci mata dengan keindahan ciptaan ALLAH.”
“Kalau duda tu perut boroi, kepala botak... Masih nak cuci mata lagi ke, Cik Aina? Jangan buat-buat pejam mata pula nanti.”
Aina menampar perlahan bahu Wafa. Ish, Wafa ni. Merosakkan imaginasi orang je!
WAFA dan Aina beriringan masuk ke dalam bilik mesyuarat yang sudah hampir penuh. Semua staf dari department dia, termasuklah orang atasan, sudah mengambil tempat masing-masing.
Di hujung meja, seorang lelaki pertengahan umur yang kelihatan berwibawa berdiri. CEO syarikat, Dato’ Ghazali.
Wafa duduk di tempatnya, mendengar sambil menunduk sedikit. Di sebelah dia, Aina asyik membisik, “Mana director baru tu?”
Wafa mencubit perlahan lengan Aina, menyuruhnya diam. Pandangan Wafa sempat singgah pada seorang lelaki yang duduk di sebelah Puan Syeren, COO syarikat. Namun, wajah lelaki itu tidak begitu jelas dari tempatnya kerana tubuh sasa itu membelakanginya.
“Yang duduk sebelah Puan Syeren tu kit…” bisik Aina lagi, kali ini dengan nada lebih perlahan. Takut kena cubit lagi dengan Wafa.
Dato’ Ghazali membuka mesyuarat dengan sedikit ucapan alu-aluan sebelum memberi ruang kepada Puan Syeren memperkenalkan individu penting yang bakal menyertai mereka.
“Baik, saya pasti semua sudah mendengar khabar angin tentang pengarah baru kita,” ujar Puan Syeren sambil tersenyum, menoleh ke arah lelaki di sebelahnya. “Hari ini, saya ingin memperkenalkan Encik Amzar Elham, Pengarah Jabatan Pemasaran yang baharu.”
Jantung Wafa terasa seolah terhenti. Sebaris nama itu mengingatkannya kepada seseorang.
Lelaki itu bangun perlahan, membetulkan kot hitamnya sebelum melangkah ke hadapan meja untuk memperkenalkan diri. Saat wajah itu berpaling ke arah mereka semua...
Wafa terkedu.
Amzar.
Amzar Elham, lelaki yang pernah dia cinta sepenuh hati sepuluh tahun lalu. Lelaki yang hilang tanpa jejak, membawa sekali luka yang masih berbekas hingga ke hari ini.
Mata mereka bertembung.
Dan waktu seolah membeku.
Share this novel