Prolog

Romance Series 1571

BUNYI motor di luar rumah menyentakkan lamunan panjang Wafa. Dia segera bangun menuju ke muka pintu. Ada perhitungan yang ingin dibuat.

Pintu dibuka dengan kasar. Wafa berdiri di depan Amzar yang baru saja turun dari motor, suaminya itu basah kuyup akibat hujan lebat yang turun sejak petang tadi.

Amzar menanggalkan helmetnya dan memandang Wafa. Dia cuba tersenyum, namun senyuman itu langsung tidak menenangkan hati Wafa.

“Kenapa tak jawab call saya?” Wafa melontarkan soalan pertama.

Belum sempat Amzar menjawab, Wafa menyerang lagi.

“Dah lupa ke ada isteri dekat rumah? Awak ingat saya ni tunggul kayu ke?”

Amzar terkejut dengan serangan mendadak Wafa. Selalunya isterinya itu tidak begini.

“Sayang, kenapa ni?” soalnya lembut.

“Kita masuk dulu, bincang dekat dalam,” pujuk Amzar. Dia cuba menarik tangan Wafa masuk ke dalam rumah tapi isterinya itu pantas menepis tangannya. Wafa berlalu masuk ke dalam rumah terlebih dahulu.

Dahi Amzar berkerut halus. Dia tidak mengerti mengapa tiba-tiba isterinya itu marah. Bukannya ini kali pertama dia pulang lewat. Lagipun dia pulang lewat kerana mencari rezeki bukannya berfoya-foya.

Langkah Amzar sedikit terhincut-hincut. Dalam perjalanan pulang tadi dia dilanggar sebuah kereta. Mujurlah dia masih boleh bangun. Cuma telefon bimbitnya hancur. Nampaknya dia terpaksa gunakan duit simpanan untuk membeli telefon bimbit yang baru. Maklumlah dia bekerja menggunakan telefon bimbit. Kalau tiada telefon bimbit, bagaimana dia ingin bekerja?

“Hari-hari awak balik lambat. Bila saya telefon, awak tak jawab. Kenapa dengan awak ni, Amzar?” soal Wafa geram.

Amzar mengerutkan kening, terasa darahnya naik ke kepala. Tapi dia menahan. Ini bukan masa untuk membalas amarah isterinya itu.

“Sayang, kenapa awak fikir macam tu? Saya kerja untuk kita, Wafa. Saya buat semua ni untuk kita.”

“Untuk kita?” Wafa mendengus kecil. Matanya berkaca. “Untuk kita apa kalau saya yang kena duduk rumah sorang-sorang, tunggu awak macam orang bodoh setiap malam?”

Amzar menunduk. Dia tahu, Wafa sepi. Tapi dia juga tidak punya pilihan lain. Dia mahu Wafa hidup selesa, tak perlu bersusah payah. Dia mahu jadi lelaki yang mampu menyara keluarganya sendiri.

“Saya cuma nak awak rehat di rumah. Saya nak jadi suami yang awak boleh banggakan...” Amzar bersuara perlahan.

“Tapi saya tak nak hidup macam ni, Amzar!” bentak Wafa, air matanya jatuh tanpa dapat ditahan lagi. “Saya tak perlukan semua duit tu kalau akhirnya saya rasa macam tunggul dalam rumah ni!”

Kata-kata itu menampar Amzar. Dia membuka mulut untuk bersuara, tapi Wafa sudah terlebih dahulu berkata, suaranya bergetar.

“Saya dah muak hidup macam ni! Kalau saya tahu hidup saya akan terseksa macam ni, saya tak akan kahwin dengan awak!” Berombak kasar dada Wafa meluahkan rasa. Dia betul-betul dah tak tahan lagi.

Dada Amzar berombak. Sakit di tubuhnya terasa kecil dibandingkan dengan rasa sakit di hatinya sekarang.

“Wafa, jangan cakap macam tu...” Suaranya tenggelam bersama deraian hujan yang semakin lebat di luar rumah.

“Kenapa? Saya tak boleh luahkan apa yang saya rasa?”

Amzar menarik nafas dalam-dalam. Kecewa di wajahnya tak dapat disembunyikan lagi.

“Sepatutnya saya dengar nasihat orang tua kita. Jangan kahwin dulu. Tengoklah sekarang, awak...” Amzar meraup perlahan wajahnya.

“Awak menyesal kahwin dengan saya? Saya ni cuma beban dalam hidup awak kan? Kalau macam tu, ceraikanlah saya! Saya pun menyesal kahwin dengan awak! Saya menyesal sangat-sangat!” hambur Wafa.

Amzar tergamam. Bibirnya terketar-ketar, cuba mencari kata, namun tiada satu pun yang mampu keluar. Dunia seakan terhenti sesaat. Pandangannya hanya tertumpu pada wajah Wafa yang penuh kecewa, penuh luka.

“Wafa...” suara Amzar serak, hampir berbisik.

Dia melangkah perlahan mendekati isterinya, langkah yang berat, penuh rasa bersalah. Tangannya cuba mencapai tangan Wafa, namun isterinya itu mengundurkan diri, seolah-olah sentuhannya kini sesuatu yang jijik.

“Sayang, jangan minta macam tu...” Amzar merayu. Matanya turut berkaca. “Saya tak pernah... tak pernah terfikir nak lepaskan awak...”

Tapi Wafa hanya menggeleng, tubuhnya menggigil menahan emosi. “Awak sendiri yang cakap awak menyesal, Amzar. Saya ni cuma beban dalam hidup awak. Kalau macam tu, lepaskan saya. Biar saya cari bahagia saya sendiri.”

“Tak, Wafa...” Amzar meraup wajahnya, rasa putus asa menjerut leher. “Saya cuma... saya cuma tertekan, sayang. Saya penat. Saya kerja siang malam, badan saya sakit, saya hampir hilang nyawa tadi... tapi satu-satunya orang yang saya nak jumpa, yang saya nak peluk bila saya balik rumah buat saya macam ni...”

Air mata Amzar akhirnya jatuh tanpa dapat ditahan. Ego lelakinya runtuh sekelip mata.

“Hidup saya lebih bahagia sebelum berkahwin dengan awak.”

Dum! Hati Amzar bagai dipanah petir mendengar sebaris ayat itu.

“Saya buat semua ni untuk awak, Wafa. Saya buat semua ni sebab saya nak awak bahagia. Tapi kalau saya gagal buat awak bahagia... saya... saya rela lepaskan awak.”

Wafa teresak kuat. Dia menekup mulutnya, tubuhnya terhenjut-henjut menahan tangisan yang pecah.

Amzar mendekati Wafa sekali lagi, kali ini lebih dekat, meskipun hatinya bagai disiat-siat.

“Kalau awak rasa lebih bahagia tanpa saya... saya akan pulangkan awak semula pada keluarga awak.” Suara Amzar hampir hilang.

“Tapi saya nak awak tahu... tak ada satu saat pun dalam hidup saya, saya menyesal pilih awak.”

Wafa menunduk, jari-jemarinya mengepal baju di dadanya sendiri, sakit yang tidak terluah.

Di luar, hujan terus mencurah tanpa belas kasihan, sama seperti hati mereka yang kini basah oleh luka yang tiada siapa mampu sembuhkan.

Malam itu, dua hati yang pernah bersatu, mula retak... hanya kerana cinta yang tak pernah cukup untuk menampung semua luka di antara mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience