Bab 1 - Paksa Nikah

Romance Completed 56017

"MOMMY ada benda penting nak bincang, Aryan. Hal serius!" Datin Amira memandang tajam ke arah Aryan Khalis, anak lelakinya.

Aryan mengangguk perlahan tapi hatinya mula rasa tak sedap. Dia dah dapat agak, pasti Datin Amira akan berceramah panjang selain terus mendesaknya supaya segera berkahwin lagi.

Kini, mereka berdua duduk berdepan di ruang pejabat Aryan. Sementara Aisy pula sedang leka bermain dengan robot kesayangannya di penjuru bilik. Datin Amira menarik nafas panjang sebelum memulakan perbualan serius itu.

“Apa yang serius sangat tu, mommy?” Aryan memulakan bicara, cuba menenangkan dirinya sendiri.

“Mommy nak Aryan kahwin.” Mata Datin Amira tepat menikam pandangan Aryan.

Aryan meraup wajahnya perlahan kemudian mengurut batang hidungnya yang tiba-tiba terasa berdenyut. Dia dah agak Datin Amira akan timbulkan isu ini lagi.

"Macam mana Aryan nak kahwin, mommy? Mommy pun tahu kan Aryan tak ada calon." Tenang saja suara Aryan walau wajah Datin Amira sudah kurang senang mendengarnya. “Lagipun Aryan tak ada masa la nak cari menantu untuk mommy lagi.” Sambung Aryan lagi dengan cuba beri alasan lain.

Datin Amira menggeleng perlahan. “Tapi Aryan setuju kan kalau mommy nak Aryan kahwin lagi?” tekan Datin Amira. “Cuma Aryan tak ada calon je?”

Aryan terpaksa mengangguk walaupun sebenarnya dia keberatan. Namun demi anak tunggalnya, Aisy, dia terpaksa akur. "Ya, Aryan setuju."

"Bagus." Datin Amira terus mengeluarkan telefon pintarnya lalu menunjukkan gambar seorang gadis kepada Aryan.

Dahi Aryan berkerut dan wajahnya tertanya-tanya.

“Siapa budak ni, mommy?” soal Aryan sambil memerhatikan gambar tersebut. Gadis muda itu lebih nampak comel berbanding wajah cantik arwah isterinya dulu.

Datin Amira kembali menarik telefon pintarnya lalu menghantar nombor kontak kepada Aryan dengan nama "Mia Qaisara".

Makin Aryan bertambah keliru kerana nama itu seperti pernah didengar tetapi dia tak mampu mengingati sepenuhnya.

“Tu, mommy dah cari calon untuk Aryan. Baik budaknya. Kali pertama Aisy jumpa Mia pun, Aisy dah rapat. Mommy nak Aryan call Mia, cuba berkenalan. Tak pun terus ajak keluar jumpa je,” kata Datin Amira sambil bangkit daripada kerusi lalu memimpin tangan cucunya keluar dari pejabat Aryan.

Aryan termenung seketika, cuba menghadam apa yang baru berlaku tadi. Tak mungkin tiba-tiba dia terus telefon gadis itu dan ajak berkenalan untuk kahwin. Tentu saja Aryan tak mahu melakukan perkara yang boleh memalukannya. Aryan segera memikirkan cara lain, lalu dia hubungi Raykal, sahabat sekaligus setiausaha peribadinya.

Tak sampai lima minit, lelaki bertubuh atlet dengan wajah yang tak kalah tampan daripada Aryan muncul di depan pintu.

"Ada apa, bro?" soal Raykal dengan tenang.

"Duduklah!" Aryan menghulur telefonnya kepada Raykal lalu membuat sahabatnya itu meletus tawa kecil.

"Mommy kau suruh kau kahwin dengan gadis cantik ni ke?" teka Raykal yang dibalas anggukan oleh Aryan.

"Kau rasa macam mana, Ray?" soal Aryan serius.

“Kalau aku? Kahwin jelah! Dah ada calon, cantik pula tu, apa kurang lagi?" balas Raykal santai, sambil bersandar di kerusi.

Aryan rasa geram dengar jawapan Raykal. Laju dia lemparkan fail nipis ke arah Raykal. “Kau cakap memang la senang. Aku yang kena paksa kahwin!”

“Raykal tayang muka tak bersalah. “So, kau nak aku buat apa sekarang?”

Aryan diam sejenak lalu berfikir. “Aku nak kau tolong ganti tempat aku jumpa dia. Alang-alang tu aku nak kau korek pasal budak ni.”

Raykal terus mengangkat kedua-dua tangannya tanda protes. "Sorry bro! Bab ni aku tak nak tolong kau. Macam mana nanti kalau aku yang syok kat dia? Tak nak aku berebut dengan pilihan mommy kau! Tak pasal Datin Amira mengamuk kat aku nanti.”

“So, aku nak buat apa?” Aryan mula buntu.

“Benda senang, bro. Kalau kau nak kenal dengan dia tapi kau tak reti nak mulakan, kau suruh jelah mommy kau yang aturkan pertemuan korang. Tak pun, kau terus setuju nak kahwin je. Tak payah beria nak dating. Kau kan memang tak pandai bab-bab perempuan ni. Dulu pun, arwah wife kau yang try kau dulu.” Raykal bagi cadangan tapi sempat sindir Aryan yang tak pandai dalam hubungan.

Aryan tak mahu berfikir panjang dan terus sahaja menurut cadangan Raykal. Dia segera hubungi Datin Amira.

“Aryan dah fikir, mommy. Aryan setuju kahwin dengan calon mommy as soon as possible,” ujar Aryan tanpa lengah.

"Kamu salah makan ubat ke, Aryan?" soal Datin Amira hairan.

“Aryan tak sakit, buat apa nak makan ubat. Aryan serius ni. Mommy terus je aturkan pertemuan dengan keluarga dia," balas Aryan tenang.

“Ini soal kahwin Aryan. Bukan perkara main-main. Memanglah mommy nak Aryan kahwin tapi bukan sehari dua tau. Aryan tak nak kenal-kenal dulu ke? Orang kata tengok chemistry!”

“Tak payahlah buang masa, mommy. Aryan bukan budak muda lagi. Mommy pun tahu kan yang Aryan ni jenis kekok dengan perempuan. Lagipun mommy nak Aryan kahwin sebab tak nak Aisy rasa kurang kasih sayang seorang ibu, kan? Kalau calon mommy tu boleh terima Aisy, buat apa nak tunggu lama lagi? Mommy nak dia ubah fikiran ke kalau lambat-lambat? Mommy juga terlepas calon menantu pilihan mommy tu nanti,” balas Aryan tegas.

DATIN AMIRA segera bertemu dengan Puan Maisara setelah Aryan bersetuju untuk berkahwin dengan anak kawan baiknya itu. Sebenarnya, Datin Amira sudah menyampaikan hasrat untuk melamar Mia Qaisara seminggu yang lalu jadi sekarang dia hanya perlu menantikan persetujuan Puan Maisara.

“Macam mana Mai? Kau setuju tak nak berbesan dengan aku?” tanya Datin Amira kepada Puan Maisara.

Puan Maisara hanya mengeluh perlahan. “Aku tahu niat kau ikhlas, Mira. Tapi aku tak boleh nak paksa Mia.”

Datin Amira mengangguk perlahan. “Aku sanggup buat apa-apa asalkan Mia setuju kahwin dengan Aryan dan jadi ibu pada Aisy.”

Puan Maisara terdiam. Sebenarnya hati Puan Maisara berat mahu terima lamaran Datin Amira kerana kalau boleh dia mahu Mia Qaisara tamat belajar dan kahwin dengan pilihan hati sendiri. Bukannya kahwin dengan lelaki yang tak dicintai, malah duda anak seorang pula. Namun Puan Maisara tidak mahu menyinggung hati Datin Amira yang telah banyak berjasa dalam hidupnya.

“Aku bukan nak Mia kahwin dengan Aryan untuk kau balas jasa aku ke apa. Aku tak pernah minta pun kau balas jasa aku dan aku sanggup tolong kau sampai Qhaleed sembuh,” ujar Datin Amira yang tak nak Puan Maisara salah faham niatnya. “Aku memang ikhlas nak jadikan Mia sebagai menantu aku. Jadi aku harap kau boleh bincang elok-elok dengan anak kau ya, Mai.”

“Hmm, nanti aku bincang dengan Mia eh,” balas Puan Maisara yang rasa lebih baik dia mendengar keputusan anaknya sendiri.

DI ambang menamatkan pengajiannya, Mia Qaisara tidak pernah menyangka dia akan menukar jubah konvokesyen kepada baju pengantin terlebih dulu…

Tanpa paksaan Mia Qaisara setuju menerima lamaran Datin Amira dan sekarang dia berada di antara Puan Maisara dan keluarga bakal suaminya untuk bincangkan tarikh pernikahannya. Mia Qaisara terus tunduk wajahnya kerana langsung tak berani melihat wajah lelaki yang bakal bergelar suaminya yang betul-betul duduk bertentangannya.

Tarikh pernikahan telah pun ditetapkan. Lagi sebulan, Mia Qaisara dan Aryan Khalis akan bergelar suami isteri. Seperti yang dipersetujui bersama, majlis akad nikah bakal berlangsung secara sederhana di hospital memandangkan Encik Qhaleed masih menjalani rawatan di sana.

"Aryan," panggil Datin Amira sambil memberi isyarat mata, namun Aryan tetap tidak memahami maksud mommy dia yang membuatkan wanita itu sedikit geram.

"Aryan ni tak peka betullah!" rungut Datin Amira perlahan di sebelah anak lelakinya.

Aryan mengerutkan dahinya sambil memandang wajah Datin Amira yang penuh tanda tanya. "Apa dia, mommy?”

Dengan orang macam Aryan, tak guna berkias-kias jadi terus Datin Amira beri arahan pada anak lelakinya itu.

“Aryan hantarkan Mia balik eh,” ujar Datin Amira sambil tersenyum manis.

Aryan terdiam sejenak mendengar kata-kata Datin Amira yang berbaur arahan itu sementara Mia hanya menahan gelisah kerana kekok mahu pulang bersama Aryan.

Puan Maisara yang tahu gelisah hati anaknya terus mengusap lembut tangan Mia untuk menenangkan perasaan anak tunggalnya itu.

“Tak apa, sayang. Biar Aryan hantar Mia balik. Karang Aunty Mira dengan Uncle Karim boleh terus hantar mama ke hospital,” pujuk Puan Maisara agar Mia tidak terlalu risau tentang dirinya.

Mia mengangguk patuh. Dia kemudian segera mengikuti langkah Aryan tanpa berani mengangkat wajah mahupun bersuara. Aryan pula dengan cermat membuka pintu kereta, mempersilakan Mia masuk dengan penuh sopan kerana sedar dari jauh Datin Amira masih memerhatikannya.

"Masuklah," pelawa Aryan perlahan.

"Terima kasih, Abang Aryan." Degupan jantung Mia semakin laju tatkala menerima layanan lembut Aryan. Dia masuk lalu duduk di sebelah pemandu. Aryan pula segera menghidupkan enjin dan mula memandu menuju rumah Mia Qaisara yang rupa-rupanya jiran lamanya sewaktu remaja dahulu.

“You still duduk rumah yang sama lagi ke?” Aryan cuba memulakan perbualan ringkas.

“Ha’ah, Abang Aryan.” Mia menjawab perlahan sambil memberanikan diri menoleh sedikit ke arah lelaki itu.

"Okay," balas Aryan ringkas sambil menumpukan perhatian pada pemanduannya.

Suasana hening memenuhi ruang kereta membuat Aryan sedikit resah. Dia sudahlah tidak pandai berborak dengan perempuan dan sekarang perempuan yang berada di sebelahnya juga berat mulut.

‘Haih, takkan budak ni pun jenis pendiam?’ getus Aryan dalam hati sambil sesekali mengerling wajah Mia dari ekor matanya.

Aryan akhirnya menghentikan kereta tepat di depan sebuah rumah minimalis yang tidak banyak berubah. Seketika dia teringat nostalgia lalu, kenangan bermain dengan seorang gadis kecil yang merupakan jiran hadapannya ketika zaman remaja. Bibirnya tersenyum mengenangkan momen itu tetapi cepat-cepat disembunyikan.

“Abang Aryan, pintu still lock ke?” tegur Mia perlahan apabila pintu masih belum dibuka.

Aryan tidak segera membuka pintu, malah mula bertanyakan beberapa soalan yang ingin sangat diketahuinya. "Papa you sakit apa?”

“Papa sakit buah pinggang kronik,” balas Mia Qaisara dengan sayu.

Aryan mengangguk perlahan, faham keadaan yang sedang dialami Mia Qaisara. "Sorry, kalau soalan abang buat you rasa sedih.”

"Tak apa, Abang Aryan. Mia okey je," balas Mia yang cuba tersenyum.

Aryan menarik nafas sebelum bertanya soalan seterusnya. "Sekarang umur you berapa?”

"Dua puluh tiga tahun, Abang Aryan." Mia Qaisara mula memberanikan diri mengangkat wajah lalu memandang Aryan lebih dekat.

Sempat Aryan kira jarak umur mereka yang beza dua belas tahun itu manakala dalam diam Mia Qaisara memanjatkan rasa syukur kerana Aryan ternyata jauh lebih kacak dari apa yang dia bayangkannya sebelum ini walau lelaki itu bergelar seorang duda anak satu.

"You sekarang tengah buat apa?" Aryan terus bertanya lagi.

“Mia still study lagi. Dah final year pun.”

“Oh, baguslah. Hmm, pergilah masuk.” Aryan akhirnya membuka pintu secara automatik.

Mia mengangguk lalu tersenyum nipis. "Terima kasih Abang Aryan sebab hantarkan Mia. Mia masuk dulu ya," ujarnya lembut sebelum melangkah keluar dari kereta.

Setiba di dalam bilik, Mia Qaisara terus merebahkan badannya ke atas katil sambil memeluk bantal dengan rasa berbunga-bunga.

"Ya Allah... ini ke rupa duda anak satu?" bisik Mia, mata tak berkelip.

Terlalu kacak untuk dibiarkan berlalu.

Telefon bimbit Mia tiba-tiba bergetar, menandakan ada mesej masuk. Cepat-cepat Mia mencapainya, matanya membulat saat membaca pesanan yang tertera di skrin.

From:
Esok abang akan jemput you pukul 10 pagi.
Aryan Khalis

Mia cepat-cepat membalas mesej itu dengan hati berbunga kemudian segera menyimpan nombor Aryan sambil meletakkan emotikon hati di sebelah nama lelaki itu. Perasaannya sungguh bahagia, lebih-lebih lagi selepas perbualan pendek mereka tadi di dalam kereta.

Tak salah Mia Qaisara buat keputusan memilih Aryan Khalis sebagai suami walau niat asalnya mahu membalas budi keluarga lelaki itu yang sudah banyak berhabis duit bantu mereka beri rawatan untuk menyelamatkan nyawa ayahnya.

Layanan Aryan tadi umpama hembusan angin yang pertama kali menyentuh hati Mia Qaisara. Selama ini, pintu itu tak pernah terbuka untuk sesiapa pun.

Namun, entah kenapa hati Mia Qaisara tiba-tiba berbisik…

Mungkin dialah orangnya.

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience