Bab 3 – Lafaz Yang Mengikat

Romance Series 2189

TAK terasa, sebulan berlalu dengan pantas dan hari ini adalah hari pernikahan Mia Qaisara dan Aryan Khalis. Bukan di dewan mewah, bukan juga dalam suasana gah, tapi di bilik wad hospital yang dihias sederhana demi memenuhi permintaan Encik Qhaleed yang masih terlantar sakit.

Mia Qaisara berdiri di hadapan cermin kecil, berkurung putih polos berpotongan moden. Rambutnya dibiar terurai lembut, wajahnya berseri tanpa solekan berlebihan. Jemarinya saling menggenggam, cuba meredakan debar yang menari hebat di dada.

“Aduh, kenapa berdebar lain macam sangat ni…” bisik Mia Qaisara sendiri sambil menarik nafas perlahan.

Ketukan di pintu menyentak lamunannya.

“Mia, jom. Kita kena gerak sekarang!” seru Puan Maisara dari luar.

“Ya, ma! Mia dah siap,” balasnya sambil segera membuka pintu. Wajah Puan Maisara dan beberapa ahli keluarga lain menyambutnya dengan senyuman dan mata berkaca.

Dalam masa yang sama, Aryan Khalis berdiri di koridor, merenung kosong ke luar jendela. Baju melayu putihnya tampak kemas tapi hatinya bercelaru. Dalam fikirannya, terlintas bayangan wajah arwah isterinya, Humaira. Lafaznya tenang, senyuman Humaira malu-malu. Tapi tiga tahun selepas itu, kemalangan meragut nyawa wanita itu dan sebahagian daripada dirinya.

Hari ini Aryan bakal lafaz lagi. Tapi pengantinnya bukan Humaira. Bukan juga cinta lama. Hanya wanita yang kini telah diberi kepercayaan untuk menjadi isteri… dan ibu kepada Aisy.

Aryan menarik nafas panjang dan menutup semula kenangan itu, lalu melangkah masuk ke dalam bilik wad.

Mia Qaisara sudah duduk tenang di sisi Puan Maisara. Dia angkat wajah apabila melihat Aryan masuk. Pandangan mereka bertemu seketika. Mia Qaisara senyum tapi Aryan hanya menjeling sepintas lalu sebelum melabuhkan duduk di hadapan jurunikah.

Majlis dimulakan. Jurunikah membacakan taklik, kemudian bertanya persetujuan Mia Qaisara. Wali menggantikan tugas Encik Qhaleed yang masih lemah.

“Saya, Aryan Khalis bin Dato’ Karim, terima nikah Mia Qaisara binti Qhaleed…” lafaznya jelas, lancar.

“Sah!” balas saksi.

Mata Mia Qaisara berkaca. Dia menunduk, tangan digenggam rapat. Encik Qhaleed di atas katil sempat mengangkat ibu jari, bibirnya mengukir senyum walau tertutup alat bantuan pernafasan.

Selesai lafaz, Aryan bergerak menghampiri Mia Qaisara. Dengan sedikit kekok, dia menyarungkan cincin ke jari manis Mia Qaisara. Jemari mereka bersentuhan, namun dingin Aryan terasa nyata. Mia Qaisara tetap tersenyum, lalu tunduk mencium tangan suaminya. Aryan balas dengan kucupan perlahan di dahinya.

Namun dalam hati, Aryan bergelut. Rasa bersalah menyelinap bila bayang arwah isterinya masih melekat pada setiap detik bahagia ini?

Seusai menandatangani surat nikah, Mia Qaisara terus mendekati katil papanya. Dia merapat dan menggenggam tangan tua itu.

“Papa… Mia dah sah jadi isteri Abang Aryan. Terima kasih atas restu papa. Papa kena cepat sembuh, ya?” bisiknya dengan suara yang bergetar.

Encik Qhaleed hanya mampu mengangguk perlahan. Air mata di sudut matanya menjawab lebih dari cukup.

Melihat itu, Aryan akhirnya bangkit menghampiri. Mengambil tempat di sisi Mia Qaisara, dia membongkok perlahan.

“Terima kasih, papa. Doakan kami,” katanya pendek. Nadanya seperti biasa, dingin dan lurus. Namun nadanya lebih berat daripada sebelumnya.

Setelah majlis selesai, mereka beransur pulang ke rumah Aryan. Setibanya di rumah, Mia Qaisara baru sahaja hendak melangkah masuk apabila terdengar suara kecil menjerit girang.

“Mama Mia!”

Aisy berlari laju dari arah ruang tamu, terus melompat memeluk pinggang Mia Qaisara.

Mia Qaisara tertawa kecil, lalu mencangkung agar wajah mereka setara. “Hai, hero. Aisy tunggu Mama Mia ke?”

Aisy angguk bersungguh. Wajahnya ceria tidak terkira.

Datin Amira menghampiri lalu mendukung cucunya. “Aisy sayang, mama dan papa penat tu. Bagi mama dengan papa rehat dulu, ya? Nanti karang baru boleh main dengan mama.”

Aisy berpaling ke arah Mia Qaisara seakan minta kebenaran. Mia Qaisara mengangguk perlahan sambil mengusap kepala budak itu. Aisy akhirnya mengikut nenek dan datuknya masuk ke bilik.

Baru Mia hendak melangkah ke dalam, tiba-tiba pergelangan tangannya digenggam erat.

“Ikut,” kata Aryan pendek tanpa berpaling. Wajahnya masih tenang tapi tangannya sedikit kuat menarik.

Mia Qaisara terkedu, namun hanya menurut. Langkah mereka menaiki tangga sunyi, tiada siapa menegur. Sampai di tingkat atas, Aryan tiba-tiba melepaskan genggaman setelah tiada siapa melihat mereka dan terus berjalan laju ke bilik tidur utama.

Mia Qaisara masih terpinga-pinga. Tangannya digosok perlahan dan perasaannya bercampur. “Kenapa dengan suami aku ni? Pelik pulak,” gumam Mia Qaisara perlahan sambi mengekori langkah Aryan dari belakang.

“Abang Aryan?” panggil Mia Qaisara perlahan sebaik sampai di depan bilik.

Lelaki itu tidak menoleh. Aryan hanya membuka pintu dan terus melangkah masuk. Pintu dibiarkan terbuka tanpa kata, seolah isyarat diam untuk Mia Qaisara masuk sebagai penghuni baru bilik itu.

‘Ini ke rasa selepas lafaz? Sunyi… kosong.’

Sedangkan hati Mia Qaisara dah mula jatuh sayang pada Aryan…

“PERGILAH mandi dulu. Baju you ada atas katil tu,” arah Aryan dingin sambil menuding ke arah sebuah kotak berwarna putih sebelum berlalu keluar dari bilik, tanpa sedikit pun memandang wajah isterinya.

“Baik… abang,” balas Mia Qaisara perlahan. Nada suaranya gugup tapi masih cuba kekal tenang walaupun jelas terasa kekok dengan perubahan sikap Aryan sejak selesai akad tadi.

Sebaik pintu tertutup, Mia Qaisara melepaskan keluhan pendek. Dia membuka aksesori rambut, kemudian membersihkan solekan wajah dengan produk yang tersedia di meja solek. Jemarinya menggeletar sedikit, entah kerana gugup… atau kerana dia dapat rasa sesuatu yang tak kena.

Usai mandi, Mia Qaisara membuka kotak yang dikatakan Aryan tadi. Belum sempat jari menyelak sepenuhnya isi dalam, matanya sudah membulat.

“Ya Allah…” Mia Qaisara tergamam, menelan liur.

Di dalam kotak itu terlipat kemas sehelai pakaian tidur satin nipis, sangat nipis. Warna champagne, halus berkilat tapi terlalu menggoda untuk gadis sepertinya.

“Macam tak pakai baju je kalau pakai benda alah ni…” rungut Mia Qaisara perlahan sambil menggigit bibir.

Dia sempat menoleh ke arah cermin. “Aku nak pakai ke tak nak ni? Tapi... kalau tak ikut, nanti dia fikir apa pulak…”

Akhirnya, dengan penuh rasa segan dan malu, Mia Qaisara mengenakan juga pakaian itu. Dia berdiri di depan cermin, wajahnya serta-merta merona.

“Mak aii… seksi betul. Segan gila aku!” gumamnya sambil menarik hujung gaun itu ke bawah, walaupun tahu ia memang direka begitu.

Mia Qaisara menarik nafas dalam-dalam, cuba kuatkan diri sebelum keluar dari bilik mandi. Langkahnya perlahan, kaki sejuk, dada berombak.

Mia Qaisara duduk di birai katil yang sudah ditabur kelopak mawar. Katil itu cantik, tapi kini terasa seperti pentas untuk drama yang dia belum tahu jalan ceritanya.

Tak lama kemudian, pintu bilik terbuka.

Aryan masuk, hanya bertuala dengan rambutnya masih basah dan disisir jari. Mia Qaisara tergamam. Dia cepat-cepat tunduk, mata meliar ke arah lantai. Tangan mencengkam cadar, cuba sembunyikan gelodak malu.

Namun Aryan langsung tidak menoleh ke arahnya. Lelaki itu terus masuk ke bilik persalinan tanpa sepatah kata. Dingin. Kaku.

Beberapa minit kemudian, Aryan keluar semula, sudah lengkap berpakaian ringkas tapi bukan seperti suami yang bakal meluangkan malam pertamanya. Dia kelihatan lebih seperti lelaki yang bersedia ke pejabat.

Aryan membuka laci meja sisi, mengeluarkan sampul bersaiz A4, dan menghampiri Mia Qaisara dengan langkah berat.

Tanpa sepatah kata, Aryan campakkan sampul itu ke atas katil, betul-betul di sebelah Mia Qaisara.

“Baca dan sign surat ni. Sekarang,” arah Aryan, nadanya datar tapi tegas.

Mia Qaisara tersentak. Matanya merenung sampul itu sebelum memandang Aryan.

“Apa ni, bang?”

Aryan tidak duduk. Dia berdiri dengan tangan silang di dada. “Perjanjian. You baca semua syarat dalam tu. Jangan langgar mana-mana selagi I jadi suami you.”

Mia Qaisara perlahan-lahan membuka sampul dan mengeluarkan kertas yang tersusun kemas. Dia mula baca. Semakin lama, hatinya semakin berat. Setiap ayat yang tercetak terasa seperti tikaman. Ini… bukan perkahwinan. Ini perjanjian. Seolah dia sedang menandatangani kontrak kerja, bukan ikatan perkahwinan.

“Apa semua ni, abang?” soal Mia Qaisara lagi, cuba kekalkan tenang walau nadanya sedikit bergetar.

Aryan bersandar pada dinding. Senyum sinis terbit di bibirnya. “I rasa you tak terlalu bodoh nak faham isi kandungan tu. Atau… you memang pilih kahwin awal sebelum habis belajar sebab rasa you tak boleh graduate cemerlang, sebab kebodohan you?”

Mia Qaisara terdiam. Jantungnya seperti berhenti berdetak. Kata-kata itu… terlalu kejam.

Mia Qaisara cuba kawal suara. “Tapi kenapa tak bincang awal-awal? Kenapa lepas nikah baru abang serahkan semua ni?”

“Kalau I bagitahu awal, you setuju ke? Tak, kan?” Aryan menyilang tangan, pandangan sinis.

Mia Qaisara mengangkat wajah. “Jadi maksudnya… abang sengaja perangkap Mia?”

Aryan ketawa kecil. Satu tawa yang langsung tidak menyenangkan. “Buat apa I nak perangkap you? Kalau sekadar nak cari mama baru Aisy, bukan susah pun. You tu… taklah istimewa sangat pun.”

Kata-kata itu bagai tamparan ke muka Mia Qaisara. Dia memandang kertas di tangan dengan hati mula berkecai.

“Dah. Tak payah banyak soal. Baca dan sign,” ulang Aryan yang kini lebih keras.

Dengan tangan terketar, Mia Qaisara menyelak halaman terakhir.

Matanya membulat.

Syarat terakhir yang berhuruf tebal.

“Wajib ‘layan’ suami.”

Mia Qaisara ternganga kecil. Bibirnya bergetar.

“Wajib layan suami?” ulang Mia Qaisara dengan suara terketar-ketar.

Wajahnya pucat. Hatinya hancur.

Mia Qaisara mula sedar yang dia cuma seorang perempuan yang 'dipilih' kerana praktikal. Bukan kerana cinta. Bukan kerana sayang.

Dan bayangan tentang Aryan yang sempurna… berkecai begitu sahaja.

Hai semua, selamat berkenalan dengan Mia Qaisara sebagai isteri muda dan Aryan Khalis, ceo duda kita yang guna perjanjian sebagai alasan? Perisai? Jadilah kena baca. Budak mentah bakal tawan hati duda dingin!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience