KEESOKAN paginya, Mia Qaisara bersiap lebih awal dari biasa. Rambutnya yang selalu digulung kemas hari ini dibiarkan terurai lembut di bahu, dihias dengan jepit berkilau kecil di tepi. Dia menyarungkan blaus putih bersih dipadankan dengan skirt labuh berwarna pastel. Solekannya minimal hanya sekadar bedak ringan, maskara, dan sedikit lip gloss. Cukup untuk menyerlahkan seri wajahnya yang bersahaja.
Entah kenapa, hari ini Mia Qaisara terasa mahu kelihatan sedikit lebih cantik. Bukan untuk sesiapa… tapi mungkin, untuk seorang lelaki bernama Aryan.
Pukul 9.55 pagi, bunyi hon memecah sunyi hadapan rumah. Mia Qaisara menarik nafas panjang sebelum keluar dengan langkah yang yakin.
"Morning, Abang Aryan," tegurnya ceria, melangkah masuk ke dalam kereta dengan senyum manis.
"Morning," balas Aryan sepatah. Pandang pun hanya sekejap. Tangan pantas menukar gear, mata fokus ke jalan.
Mia senyum kecil. Dia masih tidak perasan perangai dingin Aryan yang satu itu.
“Kita nak pergi mana ni?” soal Mia Qaisara yang mencuba berbual.
“Pergi butik pengantin,” balas Aryan ringkas. Nada tenang tapi langsung tak menunjukkan sebarang minat nak berbual panjang.
“Oh… okay.” Mia angguk perlahan. Soalan seterusnya yang bersusun dalam kepala terpaksa dia simpan. Lelaki di sebelah nampaknya bukan jenis layan small talk dalam kereta.
Setibanya di butik, Aryan terus keluar dari kereta tanpa tunggu. Mia cepat-cepat mengekori, menyesuaikan langkah dengan langkah lelaki itu yang laju dan yakin.
"Jom masuk," kata Aryan tanpa menoleh.
Mereka masuk ke butik. Seorang staf wanita menyambut mesra.
“Tolong pilihkan baju nikah untuk dia,” kata Aryan yang menunjuk ke arah Mia di sebelahnya.
Mia Qaisara sempat mengangkat kening sedikit. Tak nak pilih sendiri ke?
Tapi belum sempat Mia Qaisara bersuara, Aryan menambah, “Pilih je yang mana you suka. Ikutlah citarasa you.” Aryan terus duduk di sofa, membuka telefon dan kelihatan seperti dah hilang dari dunia sekeliling.
Mia Qaisara hanya mengangguk perlahan. Dalam hati dia fikir itu mungkin cara Aryan beri ruang. Bukan sebab tak peduli, tapi lelaki itu memang jenis tak tahu nak tunjuk minat depan-depan.
Staf butik membawa Mia Qaisara ke ruangan pameran. Deretan pelbagai jenis design baju tergantung, semuanya cantik, elegan… tapi terlalu sarat dengan hiasan. Mia Qaisara lebih tertarik pada sesuatu yang sederhana tapi menawan.
Beberapa minit kemudian, Mia Qaisara keluar dari bilik persalinan mengenakan sehelai baju kurung moden putih polos dengan sulaman halus di bahagian lengan dan pinggang. Potongannya klasik tapi kemas. Dia berdiri di depan Aryan dengan sedikit debar di dada.
“Abang… okay tak yang ni?” soal Mia Qaisara perlahan.
Aryan yang tengah menatal skrin telefon tiba-tiba mendongak. Pandangannya terhenti seketika. Dia renung Mia Qaisara dari atas sampai bawah.
Rambutnya yang terurai kemas. Baju kurung moden yang terletak sempurna di badan. Aura yang ringkas tapi memikat.
“Cantik.” Jawapan keluar begitu saja. Lembut, tapi cukup untuk buat Mia Qaisara terpaku seketika.
Pipi Mia Qaisara memerah. Jantung dia berdetak laju. Tak sangka, satu perkataan daripada Aryan mampu beri impak besar begitu.
“Okay,” sambung Aryan, cepat-cepat alih pandang ke telefon semula. Tangan dia naik gosok belakang leher. Tempat yang langsung tak gatal pun, tapi jadi refleks bila dia kekok.
“Okay je? Tak nak tengok pilihan lain?” Mia Qaisara cuba bergurau, jari telunjuknya menunjuk beberapa baju lain yang masih belum dicuba.
Aryan angkat kening sedikit. “Tak payah. Yang tu dah cukup.”
Mia Qaisara hanya senyum kecil. Dia angguk perlahan, lalu berpatah semula ke bilik persalinan.
Usai menukar baju asal, Mia Qaisara keluar dan menyerahkan baju kurung moden tadi kepada staf butik.
“Yang ni saya ambil. Bakal suami saya setuju,” kata Mia Qaisara sambil senyum nipis.
Staf itu tersenyum manis. “Baik, cik.”
Mia Qaisara membetulkan rambutnya yang sedikit serabai sambil menjeling cermin. Wajahnya sendiri pun dia rasa lain hari ni. Mungkin sebab ada pujian ringkas tadi.
Aryan sudah berdiri di kaunter, selesai buat bayaran. Dia capai beg kertas dan berjalan ke arah Mia Qaisara.
“Jom. Kita terus ke kedai cincin pula,” kata Aryan dan kali ini sempat dia tarik perlahan lengan Mia Qaisara untuk ajak keluar.
Tersentak, Mia Qaisara cepat-cepat tarik balik tangannya. Bukan tak selesa, tapi... dia segan. Masih belum biasa.
"Abang Aryan dah pilih baju sendiri ke?” soal Mia Qaisara hairan. Sepanjang tadi dia tak nampak pun Aryan cuba apa-apa.
“Dah. Abang ambil je yang sepadan dengan baju kurung moden tu.” Aryan berjalan keluar seperti biasa, santai tapi tak menoleh langsung.
Mia Qaisara terhenti di situ. Mata terkebil-kebil.
‘Eh, bila masa dia pilih? Aku dalam fitting room tu tak lama pun. Takkan dia ikut je pilihan aku?’
Mia Qaisara masih berdiri diam. Kepala masih ligat berfikir.
Aryan yang dah sampai di depan pintu menoleh ke belakang. Mia Qaisara masih tercegat di tempat asal.
Aryan mengeluh perlahan, lalu berpatah balik.
“Mia, kenapa berdiri kat situ lagi?” tegur Aryan. Suaranya tak keras, tapi cukup buat Mia Qaisara tersentak.
“Eh! Sorry abang… Boleh pula Mia termenung kejap,” jawab Mia Qaiara laju. Dia berjalan pantas sambil menunduk malu.
Masuk saja ke dalam kereta, Aryan campak beg kertas ke kerusi belakang. Mia Qaisara hanya duduk diam. Tapi dari sudut mata, Aryan perasan Mia senyum-senyum sendiri.
‘Apahal budak ni senyum-senyum pulak macam tu? Ada benda ke yang aku buat tadi? Jangan dia fikir lain pula...’
Aryan menghela nafas. Dia cuba padamkan bayangan Mia Qaisara dalam persalinan kurung moden putih tadi, tapi makin cuba… makin jelas dalam kepala.
Beberapa minit kemudian, kereta berhenti depan sebuah kedai barang kemas. Aryan buka mulut.
“Cepat turun. Mommy dah tunggu dalam tu.”
“Mommy?” Mata Mia Qaisara membulat. Dia segera capai cermin kecil dari dalam tas tangan, betulkan rambut dan sapu sedikit lip gloss semula.
“SELAMAT DATANG, Encik Aryan,” sapa pekerja butik dengan senyuman lebar, seakan sudah biasa melihat wajah tenang itu.
Aryan hanya angguk sedikit. Pandangan mata masih tajam dan fokus.
“Mommy mana?” soalnya, terus kepada tujuan.
“Datin ada dalam bilik VIP,” balas pekerja itu, menunjuk ke arah bilik berkaca di hujung butik.
Aryan berpaling ke arah Mia Qaisara yang berdiri di sebelahnya. “Masuklah. Mommy dah tunggu kat dalam tu.”
Mia Qaisara menjeling ke arah bilik, kemudian kembali pandang Aryan. “Abang Aryan tak masuk sekali?”
Aryan menggeleng perlahan. “Tak payahlah. Abang tak reti nak pilih-pilih ni. Nanti buat you pening je. Lagi elok you pilih sendiri.” Suara Aryan tetap tenang tapi sedikit hambar. Seolah dia sengaja meletakkan jarak, walaupun sebenarnya dia hanya kekok.
Selesai cakap, Aryan terus melangkah ke ruang rehat, duduk dan capai majalah di atas meja. Tak dibuka pun, cuma diletak di riba, gaya konon sibuk.
Mia Qaisara menarik nafas perlahan lalu menyusun langkah ke bilik yang ditunjukkan tadi.
“Masuk!” Suara dari dalam kedengaran tegas tapi tak garang.
Mia Qaisara tolak pintu perlahan. Di dalam, kelihatan Datin Amira duduk penuh gaya bersama seorang pembantu butik. Mia Qaisara tersenyum manis, terus menunduk dan mencium tangan kedua-duanya.
“Aunty dah lama sampai?” sapa Mia Qaisara lembut.
“Eh, kenapa panggil aunty pulak? Mommy lah, sayang,” tegur Datin Amira sambil ketawa kecil, ekspresi manja dan penuh selamba.
Mia Qaisara tersipu-sipu. “Sorry, Mia belum biasa lagi… mommy,” balasnya perlahan.
Datin Amira hanya ketawa. “Tak apa, lama-lama biasa. Ni mana Aryan? Tak ikut sekali?” tanya Datin Amira.
“Abang Aryan yang hantar Mia ke sini… tapi dia tunggu kat luar. Katanya tak pandai pilih cincin.” Mia Qaisara tersenyum, beri alasan yang dikatakan oleh bakal suaminya itu.
“Hmm, tipikal Aryan. Memang perangai dia macam tu!” Datin Amira menjeling manja. “Dah, mari pilih cincin. Mia tengok mana satu yang berkenan?”
Datin Amira hulurkan tablet kepada Mia Qaisara, memaparkan deretan gambar cincin dari yang klasik hingga yang mewah berkilauan.
Mia Qaisara memilih sepasang cincin platinum, ringkas dengan rekaan dan moden.
“Yang ni… Mia suka yang simple macam ni,” katanya sambil tunjuk skrin tablet.
“Are you sure? Bukan nak yang ada batu besar sikit ke?” usik Datin Amira. “Aryan boleh je beli yang mahal-mahal ni.”
Mia Qaisara menggeleng. “Tak naklah. Cincin tu lambang janji, bukan harga.”
Datin Amira tersenyum puas.
Tiba-tiba pintu bilik terkuak. Seorang budak lelaki berumur lebih kurang empat tahun berlari masuk dan terus memeluk Mia Qaisara.
“Mama Mia!” jerit Aisy, gembira. Dia masih berpakaian sekolah, beg kecilnya tersandang senget di belakang.
Mia Qaisara terkedu sekejap, tapi segera memeluk tubuh kecil itu erat. “Aisy! Baru balik sekolah ya, sayang?”
Aisy angguk laju sambil tersenyum lebar. “Aisy lukis gambar Mama Mia hari ni!”
“Oh ya?” Mia Qaisara tersenyum lebih lebar. Dia cium ubun-ubun anak kecil itu penuh kasih sayang.
Datin Amira hanya memerhati senyuman Mia Qaisara dan cara dia melayan Aisy. Senyap-senyap, dia puas hati. ‘Anak aku mungkin dingin, tapi cucu aku ni tahu siapa yang dia nak sayang.’
Urusan cincin selesai, dan mereka keluar semula ke ruang utama.
Aryan masih di tempat duduk tadi. Wajah selamba seperti biasa. Tapi bila nampak Aisy genggam erat tangan Mia Qaisara sambil tersenyum lebar, dia rasa ada sesuatu dalam dada yang bergerak.
“Lunch?” ajak Datin Amira sambil menyarung cermin mata hitam.
Aryan hanya angguk.
Mereka bertiga berjalan seiringan ke restoran berdekatan. Aisy di tengah-tengah memegang erat tangan Mia Qaisara dan Aryan. Budak itu asyik bercerita pasal cikgu, pasal kawan, pasal lukisan.
Di restoran, Aisy duduk atas riba Mia Qaisara tanpa malu. Dia buka bekas kecil dalam beg dan tunjuk hasil lukisannya iaitu gambar Mia Qaisara, Aryan dan dirinya. Mia Qaisara senyum, mata bergenang.
Aryan berpaling sekejap, pura-pura tak nampak. Tapi dalam diam, hatinya mula goyah. Imej Mia Qaisara… dan Aisy bersama…
Macam dah perfect tapi tak sanggup nak mengakui kesempurnaan itu dalam hati…
Share this novel