Prolog

Mystery Series 1272

ANGIN malam di tanah perkuburan lama pedalaman Yala berhembus rendah dan panjang bukan seperti angin biasa tetapi seperti nafas sesuatu yang bersembunyi di bawah tanah. Lembap. Berat. Berbau tanah basah bercampur hanyir darah lama yang tidak pernah benar-benar hilang.

Langit hitam tanpa bulan. Tanpa bintang. Seolah-olah seluruh alam menutup mata. Cahaya pelita minyak berayun perlahan di tangan seorang lelaki tua yang berdiri di hadapan sebuah kubur terpencil di hujung kawasan perkuburan.

Ajarn Preecha.Tubuhnya kurus melampau, jubah hitamnya longgar menyelubungi rangka yang tegap oleh usia.Tangkal-tangkal tergantung di lehernya.

Ada yang berupa kuku, gigi, kepingan logam, tulang kecil selain rambut yang diikat benang merah pudar. Setiap helaian bergerak perlahan, menghasilkan bunyi geseran halus yang aneh di tengah sunyi.

Di belakangnya, Rahim menelan liur yang terasa pahit. Di tangannya tergenggam beg kain lusuh berisi barang-barang ritual seperti arak murah, rokok, telur, kain kuning, colok, wang dan sebotol minyak kelapa kosong.

“Ajarn…” suaranya pecah. Ajarn Preecha tidak menoleh.

"Betul ke boleh tundukkan perempuan itu?" Rahim masih curiga.

“Bukan setakat tunduk malah kalau menderhaka padanya boleh jadi gila," jawab ajarn tua itu. Dan pelita diangkat tinggi, menyuluh nisan kayu yang condong dan reput. Tulisan Siam di permukaannya hampir hilang dimakan masa.

“Perempuan lahir tanggal Selasa. Mati beranak sulung merupakan roh paling hitam. Minyak dagunya lah yang terpaling ampuh," tokok Ajarn Preecha dan tersenyum nipis.

“Naman Phrai kalau di sini," ujarnya dan tanpa berlengah, kain hitam dihampar di atas tanah lembut yang mendap. Mangkuk tembaga, lilin hitam, jarum panjang, sudu logam dan benang merah disusun satu persatu dengan gerakan tenang.

Sembilan batang lilin dinyalakan.Tujuh batang colok ditancap mengelilingi kubur.Api yang menyala bukan kuning tetapi hijau kebiruan dan ia tidak bergoyangan disentuh angin.

Ajarn Preecha terus duduk bersila. Mantera mula mengalir dari bibirnya. Perlahan namun berulang-ulang.

" Om Namo Phutthaya. Mae phrai tai thang klang khuen. Kha sang! Kha riak! Poed ngaao hai nam man lai! Ya khuen! Ya hong!Yu tai amnat kha. Doi khatha ajarn boran. Lai ok… lai ok… lai ok! Om Phiang!"

Tanah bergetar sedikit ketika sebutan ayat terakhir dan cukup membuat dada Rahim makin bergendang.

“Gali!"

"Hah? Se...sekarang?" Rahim bersuara menggeletar. Ajarn Preecha tak berbunyi tetapi orang suruhannya.

"Hang kena cangkul sekarang kalau dak nanti tak menjadi ilmu yang hang nak pakai sat-sat ni!" ujar Somchai. Rahim terangguk-angguk lantas mencapai cangkul dan menggali kubur tersebut.

Beberapa minit kemudian, Rahim terdengar bunyi lembut dan dia terus melutut setelah cangkul diletakkan sebelah tepi. Dia menggali tanah tersebut pakai tangan pula. Angin makin nak jadi ribut. Salakan anjing semakin meresahkan.

"Somchai!"

"Hang gali saja, no..."jawab Somchai juga sudah nampak muka berkulit pucat kebiruan itu, dari kegelapan.

"Hang suruh dia pangku mayat itu!" arah Ajarn Preecha pada Somchai dalam bahasa ibunda mereka.

"Angkat. Pangku!"

"Hah? Pa...pa...pangku mayat?!"

"Hang ikut sajalah!" Marah Somchai pada Rahim yang juga bermuka pucat itu.

"Yelah. Yelah..!" Rahim terpaksa akur. Turun ke dalam liang lahad untuk mengangkat mayat wanita siam berikat benang putih di kepala, tangan dan kakinya.

Menggeletar juga Rahim ketika tertunduk menatap muka yang masih terbaring itu saat dia mahu mengangkatnya untuk naik ke atas.

'Kau janganlah pandang aku macam tu, mayat oi!!!' gumam Rahim dalam hati. Bunyi geseran daun-daun ketika angin bertiup menambahkan lagi rencah keseraman.

Somchai membantu Rahim menaikkan mayat Mae Nak. Setelah itu, Rahim pula naik ke atas dan diminta memangku mayat yang masih jelita walau bergelar mayat.

Wajah mayat dibersihkan dengan tangan kosong. Tanah yang melekat pada mata dan bibir disapu seperti sedang merias wajah pengantin.

Perempuan itu kelihatan seperti sedang tidur.Jika tidak kerana bibirnya yang hitam dan perutnya yang masih membonjol.

“Masih lengkap,” ujar Ajarn Preecha perlahan.

Minyak kelapa dituangkan ke dalam mangkuk tembaga. Sudu logam dipanaskan di atas api lilin. Bau hangit memenuhi udara.

Kepala mayat disengetkan, dagu terdedah.

“Jangan alih mata,” pesan Ajarn Preecha tanpa memandang Rahim.

"Na-mo ka-la a-su-ra-ga-ya. Win-yaan ma-ra-daa phuu tai thang klom. Poed khaang poed paak poed lo-hit. Nam-man win-yaan jong lai ok ma. Duai kha-thaa aa-jaan riek laeo jong..."

Jarum panjang dicucuk tepat di bawah dagu.Kulit itu menahan sesaat sebelum tembus.Cecair kehitaman mula merembes keluar.Api lilin menyentuh kulit.

Bunyi mendesis memecah sunyi.

Cecair berminyak kekuningan menitis ke dalam sudu bercampur darah hitam dan lemak yang mencair.

Dan kemudian, rahang mayat terketar. Mulutnya terbuka sedikit dan dari dalam rongga gelap itu, terdengar bunyi seakan tangis bayi. Tubuhnya turut sama bergerak-gerak.

Ajarn Preecha tidak terkejut.

Sebaliknya, dia tersenyum. Api menyentuh lagi dagu itu. Rahim serasa mahu menangis akibat dihambat ketakutan.

Cecair semakin banyak mengalir. Mata mayat terbuka, cukup untuk menampakkan putih keruh yang bergerak liar sebelum terhenti tepat pada muka Rahim.

Lagilah pemuda itu rasa nak mencampakkan saja tubuh itu dan cabut lari.

Ajarn Preecha melafazkan mantera terakhir dengan suara yang kini hampir tidak menyerupai manusia.Sudu yang hampir penuh dituangkan ke dalam botol kecil.

Cecair itu berkilau aneh dalam cahaya hijau kebiruan.Mayat itu tiba-tiba menghembus nafas panjang.Udara panas keluar dari mulutnya. Bibirnya bergerak-gerak.

“…khon… khong… chan…”

Ajarn Preecha menutup botol dengan pantas. Kain kuning membalutnya. Benang merah diikat ketat.

“Sudah.”

Tangisan bayi terhenti serta-merta.

"Masukkan kembali tubuh ni ke dalam lubang sebelum embun kering!" Ajarn Preecha mengarah.

Rahim dan Somchai mengangguk lantas mengambus semula sehingga wajah itu tertutup sepenuhnya.

Rahim ternampak yang mata mayat itu masih terbuka saat tanah menelannya masih merenungnya. Cepat-cepat dia lepaskan tanah ke dalam lubang agar muka itu tertutup tanah.

Apabila kubur kembali rata, angin bertiup seperti biasa. Cengkerik menyambung bunyi mereka.

Seolah-olah tiada apa berlaku.

"Minyak ini harus diperam..." ujar Ajarn Preecha sambil merenung bayangan sosok Mae Nak di sebelah belakang Rahim.

slow update

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience