bab 3 ( bab lama 2)

Mystery Series 1272

"Aku... aku cintakan dia!"

​Suara Zakuan pecah. Parau dan dalam.

Di bawah lampu kalimantang yang berkelip-kelip, tubuhnya yang terbungkus straitjacket mengerekot hebat di atas lantai simen.

​Dr. Ruhaila memberi isyarat agar Pak Mat kekal di belakang.

"Zakuan, pandang saya. Siapa yang awak cinta? Intan?"

​Zakuan tidak menjawab. Dia mendongak perlahan. Matanya terbeliak luas, urat merah berselirat namun dia bukan memandang Ruhaila. Dia memandang siling yang kosong.

​"Dia tak menangis sebab sedih, doktor..." Zakuan berbisik.

"Dia menangis sebab dia lapar. Hutan tu... dia tak bagi Intan keluar selagi tak ada 'ganti'."

​"Siapa yang hantar dia ke sana, Zakuan? Awak?" tanya doktor muda itu lagi. Di tangan masih tersedia pen, buku nota selain perakam. Sudah menjadi rutin pakar psikoterapi seperti dia untuk menyediakan tiga barang ini ketika melakukan psikoanalisis.

​Rahang Zakuan terkunci rapat. Giginya berlaga, mengeluarkan bunyi krik-krik yang menyakitkan telinga.

​"Johan?" Zakuan ketawa kecil.

"Johan tu penghalang. Dia fikir dia hero. Dia fikir boleh bawa Intan lari dari 'perjanjian' tu. Doktor tahu apa jadi pada orang yang lari dari janji."

​Zakuan kembali ke pejabat malam itu. Bayangan dia berdiri di hadapan dinding kaca.

​"Aku tahu apa mahu mu. Hanya aku yang boleh membantu," suara itu bukan dari luar tapi dari dalam kepalanya sendiri.

​Zakuan berpaling. Di sudut pejabat yang gelap, berdiri susuk tubuh bongkok. Wajahnya lumat, dagingnya digantikan tanah hitam dan akar kayu yang berselirat.

​"Kau nak Intan? Aku boleh bagi," orang tua itu bersuara. Bau busuk bangkai menyeruak.

"Tapi kau kena buang 'sampah' di sebelah dia. Johan."

​"Aku tak nak bunuh dia," Zakuan menggigil.

​"Siapa kata kau perlu bunuh? Kau cuma perlu bawa mereka masuk ke dalam kawasan aku. Biar hutan yang buat kerja. Kau cuma perlu... melihat.

​"Zakuan! Berhenti!" jerit Dr. Ruhaila.

​Zakuan mula menghantukkan kepalanya ke dinding.

Bukk! Bukk! Bukk!

Darah merembes keluar, mengalir masuk ke mata yang tidak berkedip.

​"Aku tak salah! Aku cuma hantar mereka ke sana! Tapi Intan... Intan dah jadi sebahagian daripada pokok-pokok tu!" Zakuan memekik.

​"Pak Mat, buka kunci! Dia akan bunuh diri!" Ruhaila tidak peduli lagi pada protokol.

​Pintu jeruji terbuka sedikit. Dr. Ruhaila melangkah masuk. Sebaik kakinya memijak lantai, suhu jatuh mendadak. Udara tebal dan berbau hamis daun reput.

​Zakuan tiba-tiba berhenti. Kaku. Darah di wajah dibiarkan mengalir.

​"Kenapa awak berhenti?" Ruhaila mencapai picagari sedatif.

​Zakuan memusingkan kepala ke arah Ruhaila. Senyumannya melebar hingga nampak gusi yang hitam.

"Sebab dia dah sampai, doktor."

​"Siapa?"

​"Perempuan yang doktor ikut tadi," Zakuan berbisik, matanya tepat ke arah belakang telinga Ruhaila.

"Dia berdiri rapat sangat dengan doktor sekarang. Dia kata... doktor wangi. Jauh lebih wangi daripada Intan."

​Jantung Ruhaila seakan terhenti.

Dia merasakan sentuhan teramat sejuk seperti ranting kayu tajam merayap di bahunya.

​"Pak Mat... ada sesiapa di belakang saya?" Ruhaila bertanya, suaranya hampir hilang.

​Tiada jawapan. Di pintu, Pak Mat sudah tiada. Pintu jeruji tertutup rapat sendiri.

Kreeeeek... Dum!

​"Jangan takut, doktor," Zakuan merangkak mendekat.

"Dia cuma nak masuk. Dia dah penat tinggal dalam hutan. Dia nak tinggal dalam badan doktor pula. Boleh kan?"

"Hahaha!!!"

​Zakuan mula ketawa mengekek sementara bayangan hitam di siling mula merayap turun tepat ke arah Dr. Ruhaila.

​"Doktor nak tahu satu rahsia?" Zakuan tiba-tiba berhenti ketawa. Wajahnya rapat ke kaki Dr. Ruhaila.

"Intan suka bau saya. Walaupun dia tak pernah pandang saya tapi hidung dia tak boleh tipu."

​Dr. Ruhaila cuba mengundur, tapi belakangnya sudah mencecah jeruji yang terkunci.

"Apa maksud awak, Zakuan?"

​

"Calit sedikit," Zakuan melalut dengan mata yang berpusing ke atas.

"Minyak tu pekat. Hitam. Bau dia macam... tapi bagi Intan, itu bau syurga. Dia akan cari saya. Dia akan tinggalkan Johan."

​Ruhaila tersentak.

​"Tapi Johan tahu!" Zakuan menjerit tiba-tiba.

"Johan yang buat semua tu! Dia yang guna minyak tu untuk goda Intan! Dia tuduh aku gila! Dia yang bawa Intan jumpa orang tua tu! Johan pembunuh! Johan punca semuanya!"

​Zakuan meracau sambil meludah ke lantai.

"Minyak? Goda?" Dr Ruhaila mencatat. Tiba-tiba, dia terdongak semula lalu memandang lagi ulah pesakit baharunya itu.

"Minyak apa yang awak maksud?"

Dr Ruhaila bukan saja terperanjat bila dengan tiba-tiba muka Zakuan berpaling dan diam memandang. Dr Ruhaila juga terpana dengan ketajaman renungan itu.

"Minyak dagu..." Zakuan menjawab. Dahi Dr Ruhaila semakin berkedutan.

'Minyak ni kan ke... tapi betul ke?' desis Dr Ruhaila semula memandangkan Zakuan di diagnosis seringkali suka berhalusinasi. Dan agak sukar mahu mempercayai kata-kata seeorang pesakit mental.

"Minyak dagu yang diambil dari mayat perempuan mati dibunuh," sambung Zakuan dengan nada yang tiba-tiba mendatar.

"Tapi Johan bodoh. Dia ingat dia boleh kawal 'benda' tu. Dia tak tahu minyak tu ada tuannya."

​Dr. Ruhaila cuba menstabilkan nafasnya. Logik akalnya berperang hebat dengan suasana bilik yang semakin menghimpit.

"Jadi awak nak katakan, Johan yang buat perjanjian dengan orang tua di pejabat awak tu? Bukan awak?"

​Zakuan tidak menjawab. Sebaliknya, dia mula menghidu udara dengan rakus. Hidungnya kembang kempis.

​"Doktor... bau tu dah makin kuat," bisik Zakuan.

Matanya yang merah kini tertancap tepat pada poket kot putih Ruhaila.

"Doktor bawa 'barang' dia, kan?"

​Ruhaila tersentak. Tangannya secara spontan meraba poket kanan. Di dalamnya, terdapat satu sampul surat berisi surat biasa bukan seperti yang pemuda itu katakan.

​"Macam mana awak tahu..."soal Dr Ruhaila, menduga semata.

​"Sebab dia dah ada di bahu doktor!" Zakuan berkata dengan tenang.

"Hah!" Dr Ruhaila juga percaya menyebabkan dia bingkas bangun. Pak Mat guard kian bersiaga.

"Hahahaha! Takutkan? Takutkan!" Zakuan mengekek mengejek. Terhenjut-henjut bahu berstraightjacketnya, ketawa.

Dr Ruhaila terus memandang ke arah Pak Mat. Guard itu pun mengangguk dan berjalan ke belakang tubuh masih ketawa itu.

"Hei! Apa ni? Lepaskan aku. Lepaskan! Bukan aku punca Intan macamtulah! Johan! Pergi tangkap Johan! Bukan aku! Bukan...a...ku..." tengking Zakuan tatkala tubuh dipegang dari belakang.

Dari bersuara lantang. Pandangan juga kian samar-saamar serentak dengan perlahannya nada suara. Dr .Ruhaila terpaksa memberi suntikan penenang kepada Zakuan. Sudah tiba masa untuk dia rehatkan minda dan jiwa.

"Cantik..." Puji Dr Ruhaila ketika melihat gambar arwah Intan yang memang ada dalam fail Zakuan.

"Minyak dagu..." Getusnya lantas menaip di keyboard komputer. Suasana bilik Dr. Ruhaila yang tadinya hanya diisi bunyi pendingin hawa, kini dicemari bunyi ketukan papan kekunci yang rancak.

Di skrin komputer, perkataan "Minyak Dagu" terpampang jelas, dikelilingi oleh pelbagai nota kajian paranormal dan kriminologi.

"​Bagi mereka yang hanya mendengar khabar angin, ia mungkin sekadar mitos urban."

"Ia diperolehi daripada cecair yang menitis dari dagu mayat manusia. Kebiasaannya wanita yang mati dibunuh atau mati ketika bersalin (anak sulung). Proses "penuaian" ini dilakukan dengan membakar dagu mayat menggunakan lilin ketika upacara pemujaan. Berbeza dengan minyak wangi komersial, minyak dagu yang asli biasanya berwarna kekuningan keruh atau sedikit kemerahan, dengan kepekatan yang agak melekit. Mempunyai bau hanyir yang cuba disorokkan dengan campuran minyak mawar atau minyak cendana namun bagi mereka yang "tahu", bau busuk bangkai tetap akan menusuk deria dalam frekuensi yang berbeza."

​Dr. Ruhaila berhenti menaip seketika. Matanya kembali tertumpu pada gambar Intan yang tersenyum manis.

"Jika benar Zakuan menggunakan "benda" ini, Kesannya mangsa akan merasa rindu yang tidak masuk akal (angau) kepada si pemakai, seolah-olah dunia hanya berputar di sekitar individu tersebut.

"Mangsa menjadi seperti pak turut. Hilang pertimbangan logik, menjauhkan diri daripada keluarga dan hanya mahu berada di sisi si pelaku.Lama-kelamaan, mangsa akan kelihatan cengkung, tidak bermaya dan mempunyai lingkaran gelap di bawah mata kerana semangat mereka sedang ditarik perlahan-lahan."

"Ianya bukan cinta, Intan. Ianya penjara halus," bisik Dr. Ruhaila sendirian.

​Dia tahu, minyak dagu bukan sekadar cecair. Ia adalah perjanjian. Sesiapa yang memilikinya perlu 'memberi makan' kepada jin yang menjaga minyak tersebut dan harganya sering kali dibayar dengan nyawa atau kewarasan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience