bab 4

Romantic Comedy Series 4122

Lantai marmar Itali di ruang tamu utama itu berkilat sehingga boleh menampakkan bayang songkok tinggi Berahim yang senget. Di sekelilingnya, kemewahan tujuh keturunan Syed Al Kuntum terpampang tanpa segan silu.

Candelier kristal sebesar kawah kenduri tergantung megah, membiaskan cahaya pada deretan pasu antik Dinasti Ming yang disusun mengikut saiz di rak kayu jati berukir. Permaidani Parsi tebal berwarna merah hati menenggelamkan setiap derap kaki, manakala bau haruman gaharu asli yang mahal semerbak memenuhi ruang, seolah memberi amaran bahawa rumah ini bukan tempat untuk orang sembarangan.

Di dinding, potret moyang Sharifah Aina yang berpakaian kebesaran istana memandang tajam, seakan memerhati gerak-geri menantu 'celup' mereka itu.

OKB ​Berahim membetulkan kain pelikatnya, menarik nafas panjang sebelum memulas tombol pintu bilik utama yang diperbuat daripada kayu cendana.

​"Sayang... Oh, Sharifah Aina Syed Al Kuntum bunga pujaan abang..." OKB Berahim memulakan mukadimah dengan suara yang ditala paling lembut.

​Sharifah Aina yang sedang bersandar pada bantal sutera, nampak menggerunkan dengan mask arang hitam pekat yang menutup seluruh wajah kecuali mata dan bibir.

Dia sedang membelek kikir kuku emasnya dengan penuh tumpuan.

​"Abang nak apa masuk bilik ni? Selalunya waktu begini abang sibuk membelek Mercedes 'sayap burung' kat bawah tu," tegur Sharifah Aina tanpa memandang, suaranya tenang tapi berwibawa.

​"Alah sayang... abang tengok sayang macam letih sangat urus estet keluarga kita hari ni. Meh sini abang tolong picitkan tangan tu. Tangan halus mulus ni la yang banyak berjasa urus segala harta tujuh keturunan kita," balas OKB Berahim mula merapati, tangannya mula memicit lembut lengan isterinya.

​"Amboi, buang tabiat apa abang hari ni? Ada niat nak minta bajet tambah cawangan kedai ke?" Sharifah Aina menyindir halus namun dia membiarkan saja suaminya melayan tangannya. Sedap juga urutan kali ini.

​"Mana ada sayang... abang cuma nak hargai isteri abang yang paling berdaulat ni. Sayang, pejam mata tu sat. Abang nak buat teknik 'relaksasi diraja' sikit. Biar hilang segala sengketa di kepala tu." OKB Berahim berbisik, matanya melirik ke arah gincu merah bold di atas meja solek yang terletak hanya sejengkal dari tangannya.

​Sebaik sahaja Sharifah Aina menarik nafas dalam dan memejamkan mata, OKB Berahim dengan gerakan sepantas kilat mencapai gincu tersebut. Dia mencalitkan sedikit pada ibu jari kanan isterinya. Jantung Berahim berdegup kencang, takut 'harimau' di depannya ini terjaga.

​Borang kebenaran poligami yang sudah renyuk dalam kocek kain pelikat ditarik keluar. Dengan penuh ketelitian, dia memegang pergelangan tangan Sharifah Aina, lalu menekankan ibu jari yang sudah merah itu tepat pada ruangan 'Cop Jari Isteri'.

​Zup!

​Satu cap merah terang mendarat megah di atas kertas borang tersebut.

​"Abang... apa yang melekit dekat ibu jari saya ni? Bau dia pun macam bau gincu saya?" Sharifah Aina tersentak, mata kanannya terbuka sedikit hingga hirisan timun di dahi terjatuh.

​"Eh! Tak ada apa sayang! Ni... minyak urut 'Aroma Mawar'. Memang tekstur dia pekat sikit, khas untuk melembutkan kulit. Ha, sayang sambunglah rehat. Abang nak turun bawah jap, nak check lori barang dapur yang baru sampai untuk agihan orang kampung esok!"
​Berahim terus melompat bangun, borang tadi disembunyikan di bawah ketiak dengan kemas.

Sebaik sahaja pintu bilik ditutup, dia melepaskan keluhan lega yang amat sangat.

​"Alhamdulillah! Cop jari Sharifah Aina Syed Al Kuntum sudah di tangan! Manisah... tunggu abang datang sayang!"

"Mmmmuachhh!" Dikucupnya berkali-kali surat kebenaran tambah bini. Dia bayang tengah cium mulut kepoh comel-lote itu.

​Di dalam bilik, Sharifah Aina bangun dan memandang ibu jarinya yang merah pekat.

"Berahim. Berahim..." bisiknya tersenyum sinis.

"Abang ingat sayang tak tahu ke yang abang tu dah pinang si budak jual apom terencat tu. Kawinla bang. kawin," ucapnya penuh makna tersurat. Tersirat. Padang Mat Sirat!

***

Matahari pagi yang mula memacak di ufuk Kampung Semut Gatal, menyuluh tepat ke arah sebuah teratak kayu yang dibina dengan seni bina rumah tradisional Melayu yang sangat halus.

Walaupun hanya sebuah 'teratak', namun setiap inci kayunya diperbuat daripada cengal gred tertinggi yang sudah pupus di pasaran. Tangganya dihiasi jubin antik berwarna-warni, manakala di halamannya tersusun rapi pokok-pokok renek yang dipangkas mengikut seni landskap Inggeris, bercampur baur dengan bau haruman bunga kenanga yang ditanam Sharifah Aina.

​Di anjung teratak itu, OKB Berahim sedang berdiri megah, membetulkan kolar kemeja batiknya sambil membelek borang kebenaran yang sudah bercap jari itu dengan penuh seleranya.

​"Dik Manis abang!"

​OKB Berahim hampir terjatuh dari anjung, apabila melihat kelibat Manisah yang sedang mengayuh basikal tua, mendaki jalan merah menuju ke arah terataknya. Manisah berhenti tepat di bawah pohon mangga, nafasnya turun naik. Peluh yang merenik di dahi licinnya membuatkan wajahnya nampak lebih berseri namun matanya tetap tajam bagai sembilu.

​"Dik Manis... sampai juga bunga desa ke teratak abang ni. Rindu ya?" Berahim turun tangga dengan gaya kacak yang dibuat-buat, perutnya yang membulat itu diusap-usap.

​Manisah tidak membalas senyuman itu. Dia turun dari basikal, kakinya yang hanya menyarung selipar hijau lumut itu memijak rumput karpet di halaman teratak tersebut. Dia menyeluk kocek apronnya, mengeluarkan kotak baldu merah yang masih nampak mewah itu.

​"Ambil balik ni," ujar Manisah lembut tapi tegas. Dia melangkah setapak lalu menghulurkan kotak itu dengan tangan yang sedikit menggigil menahan geram.

"Orang datang ni bukan nak cari pasal tapi orang nak pulangkan hak Tuan OKB," jelas Manisah. Sat panggil abang. Sat panggil Tuan. Ikut suka Manisah.

OKB ​Berahim tergamam, tangannya yang hendak menyambut kotak itu kaku seketika.

"Eh, Dik Manis... kenapa ni? Tak suka ke? Ini berlian gred A Afrika Selatan tahu? Cantik kalau duduk kat jari manis Nisah tu."

​"Cantik memang cantik tapi bukan milik orang. Orang tak mahu jadi punca rumah tangga orang lain retak seribu. Orang tak nak dituduh penyondol," balas Manisah, matanya tepat memandang anak mata OKB Berahim.

OKB Berahim melangkah setapak lagi cuba menghampiri Manisah dengan sisa keberanian yang ada.

​"Dik Manis, janganlah panggil Tuan OKB. Panggillah abang kan manis. Abang serius ni, Dik Manis. Abang dah dapat lampu hijau. Dik Manis jangan risau pasal Kak Aina tu. Dia dah setuju!"

​Manisah berundur setapak, matanya mencerun.

​"Setuju apa? Setuju nak ganyang orang? Tuan jangan nak buat lawak pagi-pagi buta ni. Orang dah kata tak nak, tak naklah!"

​"Betul, sayang! Sumpah demi Mercedes abang!" sahut OKB Berahim angkat jari macam nak baca rukun negara.

"Abang, bebetul cintakan Manisah. Kalu tak percaya, ambik kapak belah dada abang ni..."

Dan-dan itulah, Manisah mula melilau cari kapak.

"Dik Manis, cari apa tu sayang? Abang ada kat depan..."

"Kapak!"

Gulp!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience