Series
4122
Pak Mat Tempe, berdehem sikit sambil betulkan songkok tinggi dia yang dah mula senget ke kanan, berjangkit dengan gaya bos dia la tu.
"Beginilah Pak Semaon, Mak Senah. Tuan OKB Berahim kirim salam rindu tahap dewa. Dia minta kami sampaikan hajat dia bukan pakai sembang kosong tapi pakai seni warisan bangsa," kata Pak Mat Tempe sambil beri isyarat kat orang kanannya.
Satu kotak baldu merah disorong ke tengah meja. Pak Mat Tempe bangun, berdehem dua tiga kali, siap buat gaya tangan macam nak bersilat.
"Dengar ya, Mak Senah... ini pantun khas dari bakal menantu kamu..."
"Bukan komet sebarang komet,
Komet datang dari angkasa;
Bukan kismet sebarang kismet,
OKB Berahim datang membawa jasa."
Pak Semaon angguk-angguk.
"Amboi... puitis betul bakal menantu kamu ni, Senah. 'Komet' tu apa? Kuih ke?"
"Hish, Pak Ngah ni! Komet tu bintang berekor!" Mak Senah mencelah, matanya dah terpaku dekat kotak baldu tu.
"Kejap, ada lagi!" Pak Mat Tempe sambung balik, kali ni suara lagi lantang sampai bergegar cawan kopi O atas meja.
"Batang paku tumbuh di paya,
Masak tumis sedap dirasa;
OKB Berahim memang dah kaya,
Niat nak sunting bunga di desa."
"Wah... bunga desa! Manisah lah tu!" Mak Senah dah tersengih sampai nampak gusi.
"Tapi Manisah tak ada kat rumah ni, Pak Mat. Dia pergi hantar apom kat hujung kampung. Tak apa, kami ada boleh 'wakilkan' telinga dia!"
"Eh, jangan risau Mak Senah. Dengar yang ni pula, ini bab 'jaminan masa depan'!" celah wakil kedua, Leman Tali Air.
"Ikan kembung harganya naik,
Beli sekilo di kedai Ah Kiok;
Kalau Manisah jadi isteri yang baik,
Rumah papan ni abang buatkan blok!"
"Blok? Banglo ke maksud kamu?" Pak Semaon dah mula pegang-pegang tiang rumah papan dia, macam dah nampak tile mozek kat lantai.
"Ya, Pak Ngah! Janji OKB Berahim... bukan dicapati! Pak Mat Tempe keluarkan pantun 'pembunuh' sambil buka kotak cincin tu luas-luas bagi silau mata satu rumah.
"Pergi ke pekan beli kemeja,
Singgah sebentar di rumah Tok Penghulu;
Tak payah Manisah susah nak kerja,
Goyang kaki jadi mem besar selalu!"
"Goyang kaki? Betul ke ni Pak Mat?" Pak Semaon dah tersengih-sengih.
"Betul! Nanti Pak Ngah pun boleh tumpang goyang kaki sekali. OKB Berahim kata, kalau pinangan ni diterima, lori barang dapur sampai esok pagi!"
"Apalagi Semaon... terima jelah! Budak Berahim tu pun dah kaya, komet pun dia punya!" Mak Senah terus capai kotak cincin tu, seolah-olah takut komet tu terbang balik ke angkasa.
"Kami terima, Pak Mat! Beritahu Berahim, Manisah tu nanti kami 'tar' bagi dia lembut hati sikit!" Pak Semaon ketawa berdekah-dekah sambil membayangkan roller coaster kat laman rumah.
Maka, petang tu pinangan rasmi pun diterima tanpa tuan badan. Yang tinggal cuma asap ekzos kereta Mercedes 'sayap burung' wakil OKB Berahim dan Mak Senah yang sibuk membelek cincin berlian sebesar biji nangka tu.
_________
"Nak apom kamu satu, Nisah," ujar Kemat. Pemuda kutu rayau Kampung Semut Gatal itu tersengih-sengih, matanya liar memandang dada mekar lepasan SPM itu.
"Ya, bang Kemat. Nanti ya," balas Manisah tersenyum simpul, setelah terpaksa menekan brek basikal mengejut. Tayar depan dah senget ke tebing, sikit lagi nak mendarat dalam tali air. Kalau tidak, mahu dua ekor ikan keli dia 'dapat' petang tu!
"Eheh! Eheh! Apa ni!" pekik Kemat, kelam-kabut melompat ke tepi sebelum selipar jamban milik Manisah hinggap tepat di batang tengkuknya.
Papp!
Bunyi padu gila.
"Hah! Tu makan dia!!!" pekik Manisah dengan perasaan geram yang memuncak.
Dia berdiri sebelah kaki, nafasnya turun naik menahan amarah yang dah sampai ke ubun-ubun.
Kemat menggosok tengkuknya yang mula pijar tapi bibirnya masih gatal nak mengusik.
"Amboi... kasar betul 'sayang' abang ni. Selipar pun selipar lah, janji tangan orang yang baling tu tetap putih melepak."
"Orang dah cakap jangan nak mengatal! Buat juga! Nak beli, buatlah cara nak beli!"
Kalau dia marah sangat, memang 'orang' lah ganti diri dia.
"Janganlah 'orang-orang' sangat, Nisah. Panggillah abang... baru mesra," Kemat mendekat setapak cuba buat muka kasanova tak jadi.
"Selipar ni... abang simpan buat bantal peluk eh? Bau-bau 'original' dari kaki bakal bini abang ni."
"Simpan buat ubat nyamuk pun orang tak sudilah! Bak sini balik selipar tu!" Manisah menjegilkan mata, tangannya dah mula meraba-raba raga basikal, macam betul-betul nak cari benda berat untuk dibaling.
Kemat tersentak, terus angkat tangan tanda menyerah tapi masih tersengih macam kerang busuk.
"Okey, okey! Garang betul harimau seko ni. Nah, abang pulangkan harta karun ni." Dia mencampak selipar hijau lumut itu ke kaki Manisah.
Manisah menyarung selipar itu dengan kasar, mukanya merah padam.
"Lain kali kalau orang nampak melanguk kat sini lagi, jangan harap, dapat rasa apom balik mak orang. Makan pasir kat tepi tali air ni!"
"Aih, kalau pasir tu Manisah yang suap, abang telan je... janji ada 'manis' sikit hujung lidah," balas Kemat, masih tak serik-serik nak mencuba nasib.
Manisah terus memanjat basikal, mengayuh laju-laju tanpa menoleh ke belakang.
"Nisah! Esok abang datang warung tau! Letak kacang lebih, letak cinta lagi lebih!" Laung Kemat sekuat hati, memecah kesunyian tepi tali air Kampung Semut Gatal yang makin membahang petang tu.
***
"APA? Terima!"
"Apa salahnya, Nisah. Pak Ngah pun berkenan dengan OKB tu. Dahlah kacak."
"Iras-iras siapa tu, Senah? Ala...pelakon tu!" tanya Pak Semaon berpaling belakang tenung Mak Senah yang tengah melipat baju tinggi menggunung itu.
"Dato' Ady Putra," jawab Mak Senah turut mengakui. Cacatnya cuma tang perut saja.
"Mak! Pak Ngah! Tau tak, yang OKB tu dah berbini? Mak suka pulak ke orang mengate anak emaknya ni, penyondol?" tukas Manisah. Sempat lagi dia buat bunyi oink-oink kaler pink itu!
"Astaghfirullahalazim, Nisah! Mulut tu kalau tak kena cili memang tak sah!" Mak Senah berhenti melipat baju, terus diangkatnya sehelai kain pelikat Pak Semaon macam nak dikibaskan ke muka Manisah.
"Apa babi-babi ni? Kamu tu anak dara, jaga sikit perangai tu!"
"Bukan babi mak, penyondol! Sikap dorang ni pun sama je dengan Oink, oink!" Manisah buat lagi gaya hidung kembang kempis dengan jari.
"Orang tak naklah jadi bini nombor dua. Nombor tiga ke, empat ke... lagi haram! Mak nak tengok ke orang kampung baling kulit durian kat muka orang masa orang pergi pasar nanti?"
Pak Semaon yang tadi tengah syok membayangkan muka Berahim iras pelakon KL Gangster tu terus terdiam sekejap. Dia garu kepala yang tak gatal.
"Orang dengar kata-kata jiran OKB tulah! Memang bini dia tu garang macam singa lapar. Silap-silap bukan setakat orang kena ganyang, dengan Mak dengan Pak Ngah sekali kena ligan dengan parang kalau dia tahu laki dia masuk meminang orang!"
Mak Senah terpempan. Cincin berlian sebesar biji nangka kat jari manis, yang tadi dia cuba-cuba pakai secara haram, terus ditarik keluar perlahan-lahan.
"Iyeke... garang sangat ke bini dia tu? Takkan OKB berani masuk pinang kamu kalau bini dia segarang itu? Mesti dia dah minta izin dahulu tu..." jawab Mak Senah macam tau-tau saja.
"Garang mak... dengar cerita, bini dia tu bekas juara silat negeri!" Manisah mula menambah perisa, biar kecut perut orang tua dua orang ni.
"Mak nak ke esok-lusa rumah kita ni kena 'serbu' dengan rombongan bermadu yang bawa asid? Mau cair muka orang yang 'glowing' ni nanti!"
"Hish, kau ni... menakutkan mak pulak," Mak Senah letak balik kotak cincin tu atas meja jati, jauh-jauh sikit.
Pak Semaon pula terus betulkan kedudukan duduknya.
"Tapi... hantaran dia lori barang dapur setahun tu, Nisah. Rugi betul kalau kita pulangkan balik. Ke... kita ambil barang dapur tu, tapi kau janganlah nikah dengan dia? Kita cakaplah kau 'hilang ingatan' ke?"
"Amboi Pak Ngah! Itu bukan hilang ingatan, itu namanya cari penyakit!" Manisah capai balik kotak cincin tu, terus disimpan dalam kocek apronnya.
"Orang nak simpan ni dulu. Biar orang sendiri yang pulangkan kat muka Berahim esok. Biar dia tahu, 'Bunga Desa' ni tak boleh dibeli dengan berlian gred A Afrika Selatan dia tu!"
"Jangan pulangkan semua, Nisah! Cincin tu je! Jam Rolex dia tu bagi Pak Ngah pakai seminggu pun jadilah!" laung Pak Semaon masa Manisah dah mula melangkah keluar dari ruang tamu dengan muka yang cukup 'pijar'.
Share this novel