bab2

Romantic Comedy Series 4122

Suasana kat Balai Raya Kampung Semut Gatal petang tu bukan setakat membahang tapi dah naik pijar!

Bukan sebab rakyat semangat nak berkempen sangat tapi sebab masing-masing dah mula loya tekak dengar janji bulan- bintang, siap pakej komet yang keluar dari mulut OKB Berahim.

​Di atas pentas, Berahim sibuk membetulkan songkoknya yang dah senget ke kiri, mungkin sebab berat sangat menanggung angan-angan mat jenin.

Dia berdehem sikit, konon nak tarik balik tumpuan mak cik-mak cik yang tengah sibuk membawang fasal harga ikan kembung kat bawah.

​"Tuan-tuan, puan-puan... serta anak-anak muda yang saya kasihi sekalian! Dengar sini rapat-rapat. Manifesto saya kali ni, sumpah... bukan kaleng-kaleng!" Laung OKB Berahim sambil angkat tangan kanannya, tinggi-tinggi.

Sengaja dia singkap lengan baju, biar jam Rolex dia terpampang jelas bawah lampu kalimantang yang dah berkelip-kelip nak mampus tu.

​"Saya janji! Kalau saya menang kerusi Adun kali ni, saya sendiri akan pastikan setiap rumah kat Kampung Semut Gatal ni, ada internet 10G! Kita tak main dah 5G, 5G ni lembap macam siput sedut. Kita nak anak-anak kita main game tak ada lag, biar depa puas hati!"

​"Hoi Berahim! Pencawang pun tak nampak batang hidung kat kampung ni, kau nak bagi 10G celah mana?! Pakai satelit atas bumbung rumah ke?!" sergah Pak Chot dari barisan belakang.

Kepalanya yang masih kuat bau sabun basuh baju Mak Senah, terjengul-jengul celah orang ramai macam kura-kura nak melintas jalan.

OKB ​Berahim tersenyum kelat, gigi putih dia nampak bersinar tapi hati tengah cuak.

​"Sabar Pak Chot! Itu baru mukadimah, belum masuk main course lagi. Saya juga berjanji, jalan raya dari simpang depan sampai ke depan lubang jamban rumah Pak Chot tu, saya akan tar pakai gred A punya! Import dari Jerman! Licin dia... pergh, licin macam pipi saya ni haa. Saya jamin!"

​"Janji dicapati lah kau ni!" celah Mak Som sambil mengibas-ngibas kipas tangan bergambar bunga raya.

"Dulu calon sebelum kamu pun, cakap benda sama. Sudahnya, jalan tu tetap macam kawah bulan. Anak aku bawa motor pun dah serupa naik kuda, melompat-lompat sampai senget pinggang!"

Dahi OKB ​Berahim mula lencun. Dia lap dahi pakai sapu tangan sutera bukan kain pelikat ya.

​"Itu orang lama, Mak Som! Saya ni Orang Kaya Baru. Duit saya ni... kalau susun boleh buat tembok! Kalau kerajaan tak bagi peruntukan, saya pakai duit sendiri. Saya akan bina satu hospital pakar, betul-betul sebelah kedai runcit Ah Kiok tu. Tak payah kita susah-susah nak 'terbang' pergi bandar!"

​"Apa ospital-ospital, Berahim? Aiya... itu tempat manyak sui la, itu kan jirat?" Ah Kiok pula mencelah sambil peluk tubuh, buat muka 'apa-punya-bangang-ini-orang'.

​Satu balai raya pecah dengan gelak tawa. Berahim dah makin terdesak, macam ikan atas darat. Dia rapatkan mikrofon kat mulut sampai bunyi berdengung satu dewan.

​"Okey, okey! Dengar ni. Janji terakhir saya yang paling 'padu', paling 'meletopz'! Saya akan bagi elaun bulanan RM500 kepada setiap duda dan janda di kampung ni! Tanpa syarat. Tak payah isi borang, janji status 'single'!"

​Suasana tiba-tiba sunyi. Krik-krik sekejap. Pak Chot yang tadi bising terus tegak telinga. Janda-janda kat barisan belakang terus betulkan tudung.

​"Betul ke ni, Berahim? Jangan kau 'kencing' kami pula! Kami ni penduduk Kampung Semut Gatal, jangan sampai semut-semut kampung ni kami arah gigit kau!" tanya seorang penduduk dengan nada curiga.

​"Betul! Saya OKB Berahim! Kata dikota, janji ditepati bukan dicapati!" sahut OKB Berahim sambil tepuk dada sasa, padahal kena perut boroi dia dulu. Dia nampak bangga gila, walaupun dalam hati dia sendiri tengah fikir...

'Alamak, RM500 sorang? Berapa ramai duda gatal kat kampung ni sebenarnya?'

​Dia melilau pandang pintu balai raya, mengharapkan kelibat 'penyelamat' datang selamatkan dia dari kena bahan tapi bayang pun tak nampak. Yang ada cuma Pak Chot yang dah mula tersengih-sengih macam kerang busuk, mungkin dah mula kira-kira nak beli motor baru pakai duit elaun duda.

​"Ingat! Undi saya, undi masa depan yang cerah! Jangan undi orang yang pandai sembang kencang tapi habuk pun tak ada!" Laung OKB Berahim tutup ucapan dia dengan gaya paling karisma, ala-ala menteri tengah bentang bajet, padahal separuh daripada manifesto tadi tu 'sembang kari' tahap dewa saja nak tutup gemuruh depan orang kampung yang makin cerdik menilai.

​Tengah OKB Berahim nak melangkah turun tangga pentas dengan penuh gaya 'VVIP' tak jadi, tiba-tiba...

​Kringgg! Kringgg! Kringgg!

​Bunyi loceng basikal yang dah nak arwah tu bergema kat pintu masuk.

​"Amboi Bang Berahim! Sembang bukan main lebat ya? Macam nak runtuh balai raya ni saya dengar dari luar!"

​Semua orang berpaling. Manisah berdiri kat situ, bercekak pinggang dengan apron merah jambu dia. Muka dia nampak serius tapi ada senyum sinis kat hujung bibir.

​"Eh, Manisah baru sampai?"

"Pasal janji RM500 nanti dulu. Ni baki duit apom seratus lima puluh ringgit yang Tuan OKB borong tadi, bila nak bayar? Ke nak kena tunggu menang Adun baru nak transfer?"

​Dan-dan muka OKB Berahim yang tadi merah menyala, terus jadi pucat lesi macam kena sampuk. Senyuman manis lemak merdu disukai ramai terus jadi susu basi.

Orang kampung apalagi...

"Oooooo!"

Berjemaah.

"Kantoi daa!"

"Eh, Dik Manis..."

"Dik Manis. Dik Manis. Manisah lah!"

"Ya, ya. Kejap-kejap ikut abang..."

Lagi sekali, Manisah diserang rasa geli-geleman bila OKB Berahim 'berabang-abang' dengannya yang pangkat anak! Cucu pun boleh!

"Sampainya hati Dik Manis malukan calonkan suami sendiri, ya?" OKB Berahim tak setakat basa-basi. Mengorat sekali!

"E..." Manisah geli-geleman. Dengan mata tak henti-henti nak pandang tang perut.

"Apa? Dik Manis ingat bakal imam Dik Manis ni takde duit ke? Bukan sesaja abang taknak bayar. Abang takde cash. Nak bayar pakai kad Dik Manis takde phone pula. Ha...apa kata abang belikan Dik Manis Iphone. Nak tak?" Tersua-sua kedengarannya.

"Iphone? Iphone ke, I-pad ke, I-kan masin ke... saya tak peduli. Sekarang ni saya nak 'I-duit' saya balik! Seratus lima puluh ringgit, bukan seratus lima puluh sen!"

​Orang kampung dah mula rapat, masing-masing buat bulatan macam tengah tengok perlawanan tomoi. Pak Chot yang tadi dah berangan nak jadi 'duda kaya' terus menyampuk...

"Lah... hutang apom pun sangkut, ada hati nak bagi elaun RM500 kat kami? Berahim, Berahim... ni bukan setakat sembang kari, ni dah tahap sembang kurma busuk ni!"

​OKB Berahim makin terdesak. Peluh jantan dia dah sebesar biji jagung, turun ikut celah jambang yang baru semalam dia trim kat bandar.

​"Sabar, sabar! Manisah, janganlah cakap kuat-kuat. Jatuh saham abang," bisik Berahim sambil tangan meraba-raba poket seluar, mengharap ada keajaiban terselit sekeping dua not merah.

"Macam ni, malam ni abang datang kedai Manisah, abang bayar sekali dengan bunga-bunganya. Bukan bunga duit tau, bunga betulan! Abang bagi sejambak mawar merah tanda... tanda cinta!"

​"Puih!" Manisah buat gaya meludah ke tanah.

"Cinta abang tu simpan buat hantaran kat janda-janda yang abang janji tadi tu lah. Saya nak duit saya sekarang. Tak ada cash, abang pergi pinjam kat Pak Chot ke, kat Ah Kiok ke. Saya tak kira!"

​Ah Kiok yang dari tadi
memerhati terus angkat tangan.

"Aiya Berahim, lu cakap lu manyak kaya, duit susun boleh buat tembok... tapi hutang apom Manisah lu tak boleh bayar? Lu punya tembok itu buat pakai kertas, surat khabar lama ka?"

​Dewan kembali gamat. Kali ni gelakan orang kampung lebih berbisa daripada sengatan semut gatal.
​OKB Berahim rasa macam nak masuk dalam lubang jamban yang dia janji nak tar tadi. Dia pandang jam Rolex kat tangan dia.

Jam yang dia beli kat pasar malam Jonker Walk tapi claim ori kemudian dia pandang muka Manisah yang dah macam singa lapar.

​Tiba-tiba, OKB Berahim senyum senget. Dia tarik nafas dalam-dalam, mengumpul balik ego dia yang dah runtuh bertaburan. Dia betulkan songkok yang senget dan kali ni, dia biarkan ia senget ke kanan pula. Gaya kasanova kampung nak back in action.

​"Aiya Ah Kiok! Pak Chot! Korang semua ni... dangkal sangat pemikiran. Macam air parit depan rumah Mak Som," Berahim mula petik jari, kononnya nak tarik perhatian balik.

"Manisah... Dik Manis sayang. Abang bukan taknak bayar. Abang cuma nak uji loyaliti Dik Manis kat bakal pemimpin. Tapi takpe... Dik Manis lulus ujian abang! Ujian kesabaran!"

OKB ​Berahim angkat tangan kanan, gaya macam nak bagi flying kiss tapi tak jadi sebab ternampak Pak Chot dah angkat selipar Jepun.

​"Korang ingat OKB Berahim ni sembang kari ke? Korang tak tahu... aset abang bukan setakat kat Kampung Semut Gatal ni. Kat Bursa Saham London, nama abang pun depa sebut-sebut! Setakat seratus lima puluh ringgit... celah gigi abang je!"

​Dan-dan itu juga, dengan gaya paling dramatik ala-ala ahli silap mata yang nak keluarkan arnab dari topi, OKB Berahim seluk poket belakang seluar slacks dia yang ketat tu.

​"Korang tengok ni rapat-rapat! Tengok dengan mata hati korang!"

OKB ​Berahim keluarkan segenggam not RM100. Warna ungu yang terang benderang tu silaukan mata orang kampung, mengalahkan lampu kalimantang yang dah nak mampus tadi. Dia kibas-kibas duit tu depan muka Manisah, macam nak kipas sate.

​"Seratus... dua ratus... tiga ratus! Nah, Dik Manis! Ambil semua ni. Baki dia... Dik Manis simpan buat beli bedak sejuk. Biar muka Dik Manis sentiasa glowing-glowing macam masa depan kampung kita ni bila abang menang!"

​Orang kampung terdiam sekejap. Terkesima tengok kepuk duit RM100 kat tangan OKB Berahim. Pak Chot garu kepala yang tak gatal. Ah Kiok pula betulkan cermin mata dia.

​"Fuyoo... betul la dia kaya," bisik Pak Mail kat sebelah Pak Chot.

​OKB Berahim dah mula rasa nak kembang hidung balik. Dia pandang Manisah dengan pandangan 'ambik-kau-jangan-main-main-dengan-abang'.

​"Ingat! Ini bukti! OKB Berahim bukan setakat cakap tapi buat! Ini baru permulaan. Lepas ni... hospital pakar, jalan raya gred A, internet 10G... semua abang bagi! Sebab apa? Sebab abang... pijar!"

OKB ​Berahim tepuk dada sasa dia sekali lagi dan kali ni, dia rasa bangga gila. Walaupun sebenarnya, duit RM300 tu la duit last dia dalam poket untuk bulan ni, hasil dia gadai rantai emas mak mentua dia kelmarin.

​'Gasaklah! Janji gaya kena ada! Menang Adun nanti... semua ni balik modal!' bisik hati kecil OKB Berahim sambil buat pose 'V' sign paling poyo depan orang kampung.

Share this novel

Guest User
 

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience